Monday, March 30, 2009

HATI

Kata orang,

ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Itu pepatah lama tetapi masih segar digunakan hingga ke hari ini. Kata-kata yang sesuai sepanjang zaman dan telah digunakan berzaman-zaman. Dari dahulu hingga sekarang ia masih digunakan bagi menggambarkan perlakuan manusia. Semua perlakuan manusia adalah datang dari hati.

Ramai yang musnah kerana terlalu mengikut hati. Ramai yang binasa kerana mengikut perasaan. Kata hati itu adalah perasaan. Dan perasaan datangnya dari hati.

Walaupun hati hanya satu unit kecil dalam tubuh manusia, peranannya boleh membawa kepada kemusnahan. Walaupun hanya satu organ kecil dalam tubuh manusia, ia dapat mengawal pergerakan dan tingkahlaku manusia. Hati memberi perasaan, dan perasaan itulah yang meruntun manusia kepada sama ada kebaikan atau keburukan.

Jangan terlalu ikutkan hati. Ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Sunday, March 29, 2009

AHLI BARU DALAM FAMILI

Baru dua hari lepas kami menerima kehadiran 4 ahli baru dalam keluarga. Semuanya comel-comel belaka. Kehadiran mereka bnar-benar memberi impak yang sangat bahagia dalam keluarga yang telah lama tidak mempunyai anak kecil. Kehadiran kembar empat yang baru dilahirkan ini membawa sinar baru dalam keluarga.

Kami menjaganya bagai menatang minyak yang penuh. Tempat tidur mereka dibuat dengan sebaik-baiknya agar tidak terkena musibah. Terlindung dari hujan dan panas.



Sekarang kami masih dalam proses mencari nama untuk diberikan kepada kembar berempat ini. Apakah nama-nama yang sesuai hendak diberikan?

Tapi kasihan ibu mereka. Patutlah selama ini nampak sarat sangat perutnya. Maklumlah ada kembar di dalamnya. Empat pula.
Ibu mereka bernama Putih manakala bapa mereka bernama Belanga.

Saturday, March 28, 2009

POLITIK GILA ATAU ORANG POLITIK YANG GILA?

Paling tepat kalau dikatakan politik negara memasuki episod paling gila sekarang. Mana tidak gilanya, setiap perwakilan yang mengundi membuat pilihan dalam Perhimpunan UMNO baru-baru ini seolah-olah kurang waras dan semakin gila.

Patutlah UMNO semakin tidak diterima umum sebagai parti Melayu tersohor lagi sekarang. Orang-orang muda langsung tidak mahu lagi melibatkan diri dalam parti itu kerana tidak relevan lagi dengan kehendak mereka. UMNO hanyalah tinggal untuk orang-orang tua dan pertengahan yang telah sebati dengan UMNO.

Perwakilan yang membuat pilihan untuk jawatan-jawatan yang dipertandingkan tidak menggalas agenda Bahagian masing-masing tetapi melaksanakan agenda peribadi masing-masing.

Contoh paling jelas boleh dilihat dalam pemilihan Ketua Pemuda. Patutkah calon yang mendapat pencalonan tertinggi boleh tewas kepada calon yang mendapat pencalonan paling rendah? Mukrij boleh tewas kepada Khairi Jamaluddin?

Tentulah sesuatu yang pelik telah terjadi. Lepas itu pakat meminta semua orang terima keputusan pemilihan. Pak Lah merayu supaya semua pihak menerima pemilihan ini sebagai kehendak ahli akar umbi. Betulkah?

Sepatutnya para Perwakilan menghormati mandat ayang diberikan ahli-ahli Bahagian kepada mereka dan mereka wajar memilih calon yang dinobatkan oleh Bahagian masing-masing. Tetapi berlaku sebaliknya.

Itulah dinamakan politik gila. Ataupun orang politik yang gila?

Wednesday, March 25, 2009

ITULAH POLITIK


Terdapat sekeping gambar menarik dalam akhbar hari ini. Gambar Menteri Besar Perak, Dr Zambry Abd. Kadeer bersalaman dengan bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar jamaluddin di mahkamah dengan diperhatikan Nge khoo Ham dari DAP amat menyentuh perasaan saya. Kelihatan Ngeh senyum sahaja melihat dua gelagat dua orang tokoh politik Melayu ini.

Nampak tangan berjabat tetapi di dalam hati masing-masing siapa tahu. Siapa dapat mengetahui apa yang bermain di hati masing-masing pada waktu itu. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui betapa busuknya di dalam hati.

Yang lebih memalukan, Melayu sama Melayu bertelagah kerana ego masing-masing, si Cina pula tersenyum memandang seolah-olah menyindir mereka. Melayu sama Melayu bercakaran merebut kuasa, akhirnya si Cina yang mengambil kesempatan.

Itulah politik.

Kuasa punya hal, ego punya angkara, Mufti disamakan dengan anjing, Sultan diibaratkan sebagai anjing!


Sunday, March 22, 2009

SELAMAT BERTUNANG, PUTERIKU!



Semuanya telah selamat. Segalanya telah selesai. Majlis berjalan lancar dan sempurna. Tidak ada yang hendak dirunsingkan lagi. Jamuan yang disediakan mencukupi dan para tetamu menjamahnya dengan berselera sekali.
Itulah yang berlaku di Majlis Pertunangan puteriku yang kedua. Majlis diadakan pada hari Sabtu 14 Mac 2009 yang lalu dalam suasana harmoni dan ceria. Cuaca seperti mengerti memberikan suasana tenang dan damai. Tidak ada panas dan tidak ada hujan.

Anak-anak yang lain pulang bercuti semata-mata meraikan majlis pertunangan kakak mereka. Jiran-jiran memenuhi ruang menanti ketibaan rombongan pihak lelaki dari Kuala Terengganu. Rombongan seramai lebih 30 orang itu tiba tepat pada waktunya selepas solat asar. Ketibaan mereka disambut oleh pihak yang menunggu termasuk kaum keluarga dan jiran-jiran.


Pihak lelaki tiba dengan 7 dulang hantaran dan pihak kami membalas dengan 9 dulang pula menjadikan suasana menjadi meriah. Upacara menentukan ‘belanja’ dan menyarung cincin 'tanda jadi' berjalan dalam suasana kekeluargaan disaksikan kaum keluarga dan sahabat handai.
Selepas upacara peminangan dan pertunangan selesai, semua yang hadir menjamu selera di halaman rumah kami dengan beberapa juadah istimewa. Santapan terdiri dari mi kari, jimpan (kueh tradisi Acheh), pulut serimuka dan lain-lain lagi.









Akhirnya waktu berangkat pulang pun tiba. Rombongan pihak lelaki bergerak pulang setelah bersalam-salaman dengan para hadirin yang lain.

Selamat Bertunang, Puteriku!

Saturday, March 21, 2009

JAWAPAN ORANG KENA TUDUH

Saya pernah melawat sebuah Balai Polis di tempat saya yang secara kebetulan mengadakan ‘Rumah Terbuka’. Ketika melawat itu saya berpeluang menjenguk ke dalam ‘lokap’ yang menempatkan beberapa pesalah termasuk pesalah kes dadah, kes kecurian dan pecah rumah.

Semasa berbual dengan mereka untuk menyelmi perasaan merka, saya mendapati jawapan yang diberikan sama sahaja. Seperti salinan fotostat di kedai buku. “ Saya kena aniaya, encik. Orang lain buat, saya yang kena.” Semua yang berada di dalam lokap tersebut memberikan jawapan yang sama ataupun lebihkurang sama.

Melihat airmuka dan nada suara mereka, hati kita boleh cair mempercayai bahawa mereka benar-benar dianiaya. Mereka benar-benar tidak bersalah. Jadi bila semua yang kena tuduh tidak bersalah, siapa yang bersalah?

Tidak hairanlah bila Ali Rustam kata dia tidak bersalah. Tidak hairanlah bila dia berkata dia dianiaya. Memang perangai orang yang kena tuduh macam itu, sentiasa menyalahkan orang lain. Jadi siapa yang betul? Ali Rustam yang betul? Atau Lembaga Tsatstertib yang betul?

Kalau semua kerja Lembaga Tatatertib hendak dipertikaikan, buat apa tubuhkan badan tersebut? Buat apa melantik Tengku Ahmad Ritahuddin jika apa yang dikatakannya dianggap tidak relevan? Lebih baik ditiadakan kalau semua yang dilakukan oleh badan itu dianggap tidak betul.

Anwar Ibrahim pun kata dia tidak bersalah. Tuduhan yang dibuat ke atasnya, semuanya konspirasi. Itu semua fitnah. Bermacam alasan diberikan. Bermacam hujah dikemukakan. Semata-mata untuk menunjukkan beliau tidak bersalah. Hingga mangsa menebal muka membuat sumpah laknat, pun tidak dipakainya. Dia sahaja yang betul. Orang lain tidak betul.

Kalau semua orang mengaku tidak bersalah, siapa yang bersalah?

Friday, March 20, 2009

KERJA SIAPAKAH INI?


Sesudah melihat gambar di sebelah, fikirlah sendiri betapa teruknya orang-orang Melayu hari ini. Dan terimalah hakikat bahawa orang-orang Melayu sebenarnya telah menjadi kuda yang boleh ditunggang untuk apa tujuan sekalipun asalkan diberi sedikit wang.

Sebelum ini kita telah menyaksikan demonstrasi demi demonstrasi. Lepas satu perhimpunan, satu perhimpunan lagi diadakan oleh rakyat Malaysia, kebanyakannya orang-orang Melayu. Hari ini kita menyaksikan pula sifat kurang ajar anak Melayu. Menghina Rajanya sendiri. Menghina Muftinya sendiri.

Yang baring atas jalan menghalang kenderaan Sultan adalah orang Melayu. Yang berarak ke Istana Negara membantah PPSMI adalah orang Melayu. Yang menghina Raja dan Sultan adalah orang Melayu.

Yang bercakaran sesama sendiri juga adalah orang Melayu. Yang menghancurkan bangsa sendiri adalah orang Melayu. Bangsa lain tersenyum dan bertepuk tangan melihat Melayu bercakaran. Suka melihat Melayu menentang Sultannya sendiri.

Hari ini kita menyaksikan pula sifat kurang ajar seorang anak Melayu. Menghina Rajanya sendiri. Menghina Muftinya sendiri. Sultan dan Mufti disifatkan sebagai ‘anjing’. (Nak menyebutnya pun terasa jijik).

Sewaktu singgah solat Jumaat di sebuah masjid di Jalan Bruas dalam perjalanan dari Changkat Jering ke Lumut tengah hari tadi saya mendapat risalah ini yang dilambakkan oleh orang Melayu sendiri yang berhenti semata-mata membuang risalah ini untuk ditatap oleh para jemaah apabila keluar dari masjid selepas bersolat.

Tanpa menghiraukan waktu sembahyang, sbuah kereta berhenti membuang risalah ini di hadapan masjid tersebut. Rupa-rupanya semua masjid di kawasan Parlimen Bukit Gantang menerima risalah tersebut. Orang Melayu yang menjadi pemandu kereta tersebut sudahlah tidak bersolat, melakukan kerja khianat ini pula. Tentulah beliau menerima upah dari mana-mana pihak.

Thursday, March 19, 2009

PTK (PI TANDA, KELUAR)

Barulah aku ingat hari ini ada peperiksaan untuk kaki-tangan kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran. Ada PTK atau Penilaian Tahap Kecekapan. Bukan main sedap nama peperiksaan tersebut. Dah lama berhenti jadi pegawai kerajaan membuatkan aku terlupa tentang peperiksaan tersebut.

Aku sendiri tidak pernah lulus peperiksaan tersebut setelah sempat melalui 3 kali masuk keluar dewan sebelum bersara. Bukanlah aku bodoh sangat hingga tidak boleh lulus peperiksaan sebegitu rupa. Tapi bila usia sudah melepasi 50, jangan siapa pertikaikan lagi. Hendak membaca, melihat huruf di buku pun dah kabur. Setakat 20 minit boleh tahan lagi. Mesin dalam kepala pun tidak dapat berfungsi sepatutnya merakam apa yang dibaca.

Hari-hari pergi ke sekolah, kilik Buku Ringkasan masuk ke kelas dan mengajar. Dari jam 7.30 pagi hingga jam 2.40 petang asyik dengan kerja yang serupa. Murid pun sudah tahu apa langkah kita. Tidak ambil tahu hal-hal dunia yang lain selain menjalankan tugas mendidik.

Kalau asyik membaca dan mencari maklumat untuk PTK, alamat tidak berfungsilah tugas guru dan pendidik. Masa yang sepatutnya digunakan untuk mengajar dank o-kurikulum dihabiskan dengan menelaah di Pusat Sumber atau di Perpustakaan. Mengisi ilmu untuk menjawab dalam PTK, mengabaikan tugas yang afdal, mengajar.

Begitulah yang berlaku akibat dari sistem penilaian sebegini. Bagi guru-guru yang masih muda tidaklah bermasalah sangat. Mereka kadang-kadang tidak peduli tanggungjawab yang afdal itu kerana menjadi guru pun adalah pilihan entah yang ke berapa. Kebanyakannya asyik membaca buku dan berbincang tentang soalan PTK hingga mengabaikan tugas utama, mengajar dak aktiviti ko-kurikulum. Yang kesiannya guru-guru tua. Sepatutnya golongan yang berusia ini diberi kelonggaran kerana hanya tinggal berapa tahun sahaja lagi untuk bertugas. Dan PTK ini menyekat golongan ini untuk naik pangkat.

Tahap kecekapan bermakna periggkat kebolehan bertugas pegawai-pegawai tersebut dalam bidang masing-masing. Yang lulus tentulah pegawai yang cekap. Yang gagal tentulah pegawai yang tidak cekap.

Macam mana nak lulus, soalan yang keluar tidak ada kaitan langsung dengan tugas harian. Tidak ada kaitan dengan kerja mengajar dan mendidik. Hari-hari masukkelas dengan buku ringkasan mengajar tetapi soalan mengenai pentadbiran. Murid bertukar, nak isi borang berapa salinan. Layak bercuti berapa hari. Nak ambil soalan peperiksaan macam mana prosedurnya.

Semua soalan mengenai pentadbiran. Yang tidak ada kaitan dengan tugas guru. Itu semua adalah tugas Pengetua dan Pembantu Tadbir. Macam mana nak lulus? Kalau nak lulus juga kenalha membaca buku dengan mengambil masa yang sepatutnya untuk bertugas. Jadi kalau nak lulus kenalah abaikan tugas.

Sudahnya, bila tiba hari peperiksaan PTK, ramai guru yang dah tua-tua hanyalah masuk dewan buat syarat sahaja. Pi tanda, keluar. Masuk dewan, dapat soalan tanda dan lepas tanda keluar. Soalan pun soalan objektif, tak payah tulis apa2. PI TANDA, KELUAR. Itulah PTK.

Tuesday, March 10, 2009

PPSMI: APA SEBENARNYA YANG MEREKA MAHU?

GMP yang menganjurkan perhimpunan di Masjid Negara dan kemudian bergerak ke Istana Negara beberapa hari lepas mahukan apa sebenarnya? Apa agenda di sebalik gerakan tersebut yang melibatkan para cendekiawan, sasterawan dan juga ahli-ahli politik dari parti pembangkang? Apa agenda sebenar selain dari menunjukkan kejahilan sendiri? Adakah semata-mata kerana membantah penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Metematik?

Kasihan melihat A Samad Said, Sasterawan Negara tepaksa berjalan sejauh itu hanya untuk satu matlamat yang kurang jelas. Kasihan bekas Pengarah DBP, Datuk Hassan Ahmad yang beria-ia hendak menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agung tentang satu matlamat yang masih kabur.

Bantahan yang bertujuan menyelamatkan Bahasa Melayu dilihat sebagai alasan yang terlalu lemah. Kenapa menunggu hingga tahun ketujuh baru hendak bertindak? Kenapa tidak ditentang semasa kerajaan mula berhasarat melancarkan PPSMI? Kalau ketika itu dibuat perarakan dan demonstrasi, barulah semangat cintakan Bahasa Melayu kelihatan lebih konkrit.

Sesudah masuk tahun ketujuh baru hendak bertindak, sudah terlewat. Para pelajar jadi keliru. Guru-guru jadi keliru. Sudah enam tahun para guru berusaha mendalami dan memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Sesudah menghabiskan berapa banyak masa dan wang ringgit menyediakan bahan-bahan, mengadakan kursus-kursus, menyediakan buku-buku teks, membayar elaun-elaun selama enam tahun, tiba-tiba mahu dihapuskan.

Murid-murid yang belajar sudahpun boleh menerima PPSMI dan telahapun mengerti istilah-istilah yang digunakan, tibas-tiba sekarang hendak dihapuskan. Tidak terfikirkah kita tentang nasib budak-budak yang sedang belajar ini? Adakah selama enam tahun lalu sebagai eksperimen sahaja?

Bila dihapuskan PPSMI, berapa banyak lagi wang dan masa akan dihabiskan untuk mengadakan kursus-kursus semula untuk guru-guru, untuk menyediakan buku-buku teks dan lain-lain bahan pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid akan jadi keliru kembali.

Sepatutnya jika tokoh-tokoh cendekiawan ini begitu kepingin hendak memartabatkan bahasa Melayu, ada cara lain yang lebih berkesan. Kenapa tidak menentang penggunaan berbagai bahasa pada papantanda oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang? Kenapa tidak menentang penghapusan tulisan jawi di negeri Selangor?

Banyak cara lain menunjukkan kecintaan kepada Bahasa Melayu, bukan PPSMI ini sahaja.

Datuk Hassan Ahmad sendiri semasa memegang jawatan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sepatutnya boleh memainkan peranan amat besar ke arah memartabatkan Bahasa Melayu, bukan sekarang ketika tidak memegang jawatan itu. Ketika itu beliau tidak menyusun program-program ke arah itu.

Tiba-tiba sekarang beliau muncul bersama A. Samad Said menjadi jaguh membela Bahasa Melayu. Bukankah pelik begitu.

Biarkan PPSMI. Para pelajar sudah boleh menerimanya sama ada di bandar atau di desa. Guru-guru juga sudah dapat memantapkan diri dengannya. Apa kita mahu lagi? Kita berlaku tidak adil sekiranya PPSMI dihapuskan. Kekalkan ia tetapi dengan membuat beberapa penambah-baikan.

Lagipun hanya tiga matapelajaran sahaja yang menggunakan Bahasa Inggeris. Yang lain-lain masih menggunakan Bahasa Melayu. Di sini boleh dimantapkan penggunaan Bahasa Melayu.

Thursday, March 5, 2009

SEMUA ORANG MAHU MENJADI RAJA

Kebetulan tercetusnya kemelut politik Perak yang melibatkan DYMM Sultan Perak, filem Tamil ‘Singh Is King’ mula ditayangkan di pawagam. Bermula dari situlah semua orang memasang angan-angan hendak menjadi RAJA.

Dahulu siapa yang berani melawan Raja. Selepas Tun Mahathir mengheret Raja dan Sultan dalam krisis perlembagaan lebih sedekad dahulu, orang mula berani mencabar Sultan dan Raja. Episod menentang Raja bermula selepas langkah ‘derhaka’ yang dimulai Tun Mahathir.

Selepas krisis itu, keadaan kembali tenang dan sistem Raja Berperlembagaan diterima kembali dengan tidak ada apa-apa pertikaian lagi. Orang pun mula lupa apa yang telah berlaku. Dan Raja-raja yang tidak pernah bercakap banyak, terus menjadi lambing perpaduan bangsa di negara ini.

Sekarang polemik itu bergema kembali apabila meletus krisis politik Perak. Masing-masing keras kepala dan berlagak seperti ‘raja’. Malah tajuk filem Tamil tersebut tadi dijadikan slogan. Karpal Singh bertitah, "Singh Is King”.

Kebetulan Karpal seorang berketurunan Singh, sesuai benarlah beliau dengan angkuh menggunakan slogan tersebut. Dia begitu berani dengan sombong mengeluarkan kata-kata, "Jangan main-main dengan saya!” seolah-olah siapa pun tidak boleh mengkritik dan menegur beliau hatta Sultan sekalipun.

Beliau dengan angkuh dan sombong tetap mahu menyaman Sultan Azlan Shah yang meruntuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Berulang kali beliau mengulangi kenyataan tersebut tetapi sampai sekarang belum melakukannya, jika tidak dapatlah kita menyaksikan pertembungan dua orang Raja. Seorang Raja Melayu dan seorang lagi Raja Singh.

Beliau dengan berani dan lantang dan berulang-ulang memaki Melayu dalam UMNO sebagai ‘celaka’. Beliau dengan membuta tuli menuduh Pemuda UMNO yang mengirim dua butir peluru kepadanya sedangkan beliau sendiri tidak setuju tuduhan kepada ANWAR IBRHIM yang dikatakannya fitnah. Orang lain menuduh dikatakannya fitnah, tapi beliau sendiri boleh pula membuat tuduhan kepada orang lain.

Begitulah beraninya King Karpal ini.

Sivakumar juga ingin menjadi Raja. Tanpa perkenan Sultan Perak, beliau memanggil sidang DUN yang dibuat di bawah pokok sahaja. Dan ‘raja-raja’ yang lain ikut sama dalam persidangan yang lucu itu. Hadirlah ‘raja’ Mohamad Nizar, ‘raja’ Ngeh Kho Ham, ‘raja’ Sivakumar dan lagi 24 raja yang lain.

Langkah ini disokong pula oleh ‘raja’ Haji Hadi, ‘raja’ Anwar Ibrahim dan ‘raja’ Nik Abdul Aziz. Seorang pun tidak mahu mengalah. Semua menunjukkan lagak seperti Raja dengan membelakangkan titah Sultan Perak, Sultan Kelantan dan Sultan Selangor.

Penyokong-penyokong yang begitu sombong dan takbur serta gila kuasa inilah menyebabkan King Singh ini lebih berani seberani ketika beliau membela pencuri lembu dalam kes pertama beliau ketika mula-mula menjadi peguam dahulu. Semua orang tahu cerita itu sehingga sejak kes tersebut kerajaan terpaksa mewujudkan akta perlesenan untuk ternakan tersebut.

Tuesday, March 3, 2009

TAHNIAH KEPADA PETER BUTLER

Nama Peter Butler tidaklah sehebat mana kalau tidak kerana melonjakkan pasukan Kelantan mengharungi kancah Liga M buat masa ini. Walaupun tewas dengan pasukan gergasi Selangor baru-baru ini, nama Peter Butler tetap menjadi sebutan. Dalam masa yang singkat, beliau berjaya mengukir nama Kelantan sebagai sebuah pasukan yang digeruni.

Tetapi ucapan tahniah ini bukan kerana kejayaan beliau itu. Ucapan tahniah ini adalah kerana keupayaan beliau bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaupun tersangkut-sangkut, tetapi usaha beliau menggunakan Bahasa Melayu untuk menyampaikan komen tentang kekalahan Kelantan kepada Selangor mengejutkan ramai penonton TV malam tadi.

Jarang sekali kita mendengar atau melihat jurulatih bolesepak negara yang bukan Melayu mahu bertutur Bahasa Melayu. Mereka lebih senang dan lancar bertutur Bahasa Inggeris. Ataupun mereka merasakan bertutur Bahasa Melayu tidak sesuai dengan permainan bolasepak, satu permainan global.

Tetapi Peter Butler malam tadi telah membuka mata ramai orang. Kalau ada kemahuan dan kesungguhan, dalam masa yang singkat sahaja Bahasa Melayu dapat dikuasai. Baru berapa lama Peter Butler berada di Malaysia berbanding dengan jurulatih tempatan yang lain?

Kenapa Peter Butler boleh tetapi mereka tidak boleh?

Rata-rata rakyat Malaysia sudah tinggal di Malaysia berpuluh tahun tetapi tidak dapat menguasai Bahasa Melayu. Bukan kerana bahasa itu susah. Kalau susah tentu Peter Butler tidak boleh bertutur menggunakannya dengan begitu baik hanya dalam masa beberapa bulan sahaja berada di Malaysia.

Semuanya terletak kepada kemahuan dan kesungguhan. Selain dari itu perasaan cintakan bahasa tersebut mesti tertanam dalam hati masing-masing. Kalau tidak ada kemahuan dan usaha, Bahasa Melayu tidak akan dapat dikuasai.

Malu kepada Peter Butler, seorang luar yang lebih senang menggunakan bahasa yang orang tempatan mudah faham. Tetapi orang tempatan malu menggunakan bahasa sendiri.