Sunday, March 28, 2010

TIDAK DIDUDUKI KERANA ROSAK ATAU ROSAK KERANA TIDAK DIDUDUKI?

Polemik mengenai Perumahan Guru timbul semula semula apabila Menteri Pelajaran mengumumkan peruntukan yang besar bagi membaiki kerosakan bagi membolehkan rumah-rumah ini didiami oleh warga sector pendidikan. Walaupun langkah membaiki kerosakan tersebut adalah satu langkah yang baik, tetapi ramai yang berpendapat akan berlaku lagi sekali pembaziran wang kerajaan andainya ia tidak dikuti dengan perbahan dasar menduduki rumah-rumah tersebut.

Dan rasanya laporan yang diterima Tan Sri Muhyiddin adalah laporan yang salah. Rumah-rumah tersebut sebenarnya mengalami kerosakan sebab tidak diduduki, bukannya tidak diduduki kerana rosak. Ini adalah dua kenyataan yang berbeza dan kerajaan harus memandang secara positif tentang dasar yang digariskan bagi setiap pendidik yang menduduki rumah tersebut.

Rata-rata Kompleks Perumahan Guru tidak berpenghuni kecuali di kawasan-kawasan kritikal iaitu di bandar-bandar besar yang susah mendapat rumah sewa. Daripada 5 blok apartment 5 tingkat setiap blok, hanya didiami 5 atau 6 keluarga. Unit-unit yang lain tidak dimanfaatkan dan tinggal lengang begitu sahaja. Unit-unit inilah yang menjadi sasaran pencuri dan merosakkan barang-barang yang ada di situ, tambahan pula tidak ada pengawal yang bertugas menjaga keselamatan.

Jadi unit-unit rumah ini rosak kerana tidak diduduki orang bukan orang tidak duduki kerana ia rosak. Pihak kementerian khasnya dan kerajaan amnya harus mencari formula yang sesuai agar rumah-rumah ini tidak dibiarkan kosong begitu sahaja. Hal yang sama juga terjadi kepada Perumahan Polis dan Perumahan Tentera.

Salah satu punca perumahan ini tidak dapat menarik minat anggota kerajaan mendudukinya adalah kerana polisi jabatan masing-masing memotong semua elaun perumahan dan juga elaun sara hidup. Elaun-elaun ini akan ditolak terus sebagai ‘bayaran sewa’ mendiami unit-unit rumah itu. Ada pegawai kerajaan yang hilang pendapatan antara RM600 hingga RM1000 kerana menduduki rumah-rumah yang disediakan itu. Hal ini menyebabkan para pegawai kerajaan lebih berminat menyewa rumah-rumah yang lain yang tentunya lebih murah sambil boleh menikmati elaun-elaun yang disebutkan tadi.

Adalah lebih baik jika elaun-elaun tersebut dikekalkan dan para pegawai yang menduduki rumah-rumah tersebut hanya dikenakan sewa yang berpatutan. Rasanya rumah-rumah itu akan nada penghuninya kelak dengan berbuat demikian.

Tuesday, March 23, 2010

PENDIDIKAN SEKS MACAM MANA YANG DIKEHENDAKI?

Akhir-akhir ini bertubi-tubi Kementerian Pelajaran diasak dan disarankan agar pendidikan seks dimasukkan dalam kurikulum sekolah, kononnya untuk memberi pengetahuan kepada pelajar tentang bahayanya mengandung anak di luar nikah dan mengamalkan seks sebelum kahwin. Yang lebih penting untuk mengawal gejala buang bayi yang menjadi-jadi sekarang ini.

Semalam Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mengulangi gesaan supaya Kementerian Pelajaran bertindak segera memulakan pendidikan seks di sekolah-sekolah manakala Kementerian Pelajaran pula masih menimbangkan dan menunggu maklum balas dari pihak-pihak yang lain.

Tetapi apakah benar pendidikan seks tidak diajar di sekolah selama ini? Atau pendidikan seks yang macam mana yang dikehendaki oleh para pendesak ini? Selama ini apakah jenis pendidikan yang diterapkan dalam matapelajaran Sains dan Pendidikan Islam mengenai seks? Bukankah itu adalah satu cabang pendidikan seks?

Dalam matapelajaran Sains dan Sains kesihatan di sekolah telah ada topik-topik tentang alat-alat kelamin lelaki dan perempuan. Para pelajar telah melihat dan melukis dan membuat lakaran serta nota tentang perkara itu. Mereka telah diajar bagaimana alat-alat kelamin itu berfungsi dan apa hasilnya jika persenyawaan berlaku antara sperma lelaki dan telur dari benih perempuan. Para pelajar telah mempelajari mengenai kitaran haid dan keberkesanan ‘mani’ lelaki.

Mereka juga telah didedahkan mengenai proses mengandung dan proses kelahiran melalui matapelajaran Sains dan juga Pendidikan Islam. Malah dalam Pendidikan Islam telah diajar tentang halal dan haramnya perhubungan intim di luar nikah dan telah diajar juga tentang status anak yang lahir di luar nikah.

Jadi apa namanya pendidikan yang disebutkan itu? Atau Pendidikan Seks yang macam mana yang dikehendaki oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat,Datuk Seri Shahrizat itu? Adakah beliau dan pihak-pihak lain yang mendesak ini mahu para pelajar didedahkan dengan kaedah melakukan seks selamat ataupun bagaimana mengelak diri dari mengandung? Atau mereka mahu diajar tentang kaedah memakai kondom dan ubat mengcegah kehamilan?

Apakah tidak cukup dengan pendidikan seks yang terdapat dalam matapelajaran Sains, Sains kesihatan, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang secara terang-terang menceritakan proses evolusi seks secara terperinci itu?

Sunday, March 14, 2010

MAKTAB RENDAH SAINS MARA

Dato” Seri Idris Jusuh gelak besar dan tersenyum hingga ke telinga melihat kejayaan MRSM mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2009 yang baru diumumkan minggu lepas. Kejayaan mengekalkan tradisi kelulusan 100% amat mengujakan beliau dan para waris yang ada anak belajar di sekolah asrama penuh tajaan MARA itu..

Rasanya tidak payah hendak terlalu berbangga dengan kejayaan itu kerana semua orang tahu kalau keputusan bukan 100% barulah sesuatu yang pelik. Dan kejayaan cemerlang itu bukan sesuatu yang luar biasa seperti yang dikecapi sekolah-sekolah lain di luar-luar Bandar. Memang sudah sepatutnya MRSM mencapai kelutusan demikian.

Para pelajar yang berada di sekolah tajaan MARA itu bukanlah pelajar yang dikutip dari tepi-tepi jalan dan dibawa tinggal di asrama. Mereka ditapis dari sekolah-sekolah seluruh Negara yang rata-rata memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR. Sudah tentulah pelajar-pelajar ini berpotensi memperoleh keputusan cemerlang walau di mana mereka belajar.

Hal ini berbeza dengan sekolah-sekolah di luar-luar bandar yang menempatkan pelajar-pelajar yang tidak berjaya ke asrama penuh. Para pelajar ini adalah saki baki selepas pengaambilan ke MRSM, Asrama Penuh, SMKA dan sekolah-sekolah ‘elit’ yang lain.

Sepatutnya para pelajar terpilih ini yang berada di MRSM mencapai keputusan 100% A, bukan setakat 100% lulus seperti yang Dato' Seri Idris Jusuh banggakan sangat itu. Sesudah dikutip semua pelajar terbaik dari seluruh negara, kita mendabik dada mengatakan sekolah kita yang terbaik.

Tuesday, March 9, 2010

BADUT-BADUT MCA PATUT BERUNDUR

Semasa menulis ini saya tetap berpendapat bahawa krisis dalaman MCA tidak akan dapat selesai dalam masa terdekat kecuali sekurang-kurangnya tiga orang BADUT parti itu mengambil langkah paling drastik iaitu tidak melibatkan diri dalam proses pemilihan yang kan diadakan pada 28 Mac ini. Ada beberapa alasan yang boleh menyokong saranan tersebut.

Krisis MCA terlalu lama dan ketiga-tiga badut ini tidak berbuat apa-apa ke arah mendapatkan kembali sokongan kaum Cina terhadap kerajaan. Kerana krisis tersebut jugalah BN kehilangan majority 2/3 dalam PRU12 dahulu. Walaupun orang tidak berani menuding jari kepada MCA, tetap kekalahan BN dalam kebanyakan kawasan kaum Cina adalah disebabkan hilang kepercayaan rakyat terhadap parti itu. Akhirnya rakyat memilih DAP dan juga PKR mewakili mereka.

Ketiga-tiga badut ini bertelagah sesama sendiri dari mula hingga akhir. Tidak ada kompromi dan tidak ada jalan penyelesaian. Jikapun berlaku pemilihan semula ketiga-tiga mereka, krisis tidak akan padam.

Untuk menghentikan krisis ini, ketiga-tiga badut itu mesti keluar. Mesti melepaskan semua jawatan dan tidak bertanding semula. Ketiga-tiga badut itu mesti berkorban dengan melupakan dahulu kepentingan politik peribadi mereka. TEGASNYA BADUT-BADUT INI MESTI BERUNDUR!

Atau mereka memang sengaja hendak menimbulkan masalah dengan membiarkan krisis parti kaum Cina ini berpanjangan? Mereka memang merancang untuk menghuru-harakan kem BN supaya pengundi Cina tetap bersama dengan DAP? Kemungkinan ini juga mesti difikirkan oleh pemimpin-pemimpin dalam BN.

Kalau dipilih semula pun menerajui MCA, Chua Soi Lek telah tercalar imejnya dengan skandal sex dan takkan MCA akan diterajui oleh orang yang ada rekod salahlaku.
Ong Tee Kiat juga ada rekod tidak bersih berikutan skandal PKFZ. Liow Tiong Lai juga tidak sesuai menerajui MCA berikutan sikapnya yang banyak menyumbang kepada krisis yang berpanjangan itu.

Jadi langkah paling sesuai adalah ketiga-tiga badut ini tidak lagi bertanding apa-apa jawatanpun. Biar MCA dipimpin oleh tokoh yang lain yang belum ada rekod yang kurtng enak.