Tuesday, January 30, 2018

JANGAN NASI MENJADI BUBUR


Sekali pandang dan sepintas lalu berfikir, mudah sahaja. Perkara boleh beres dengan senang tanpa masalah. Tetapi hakikatnya memang payah dan rumit. Hendak puaskan hati pihak-pihak tertentu, satu hal. Tetapi mahu melancarkan kerja dan menguntungkan semua pihak, satu hal yang lain.

Inilah yang perlu difikir pengurusan KFA. Melantik CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif memang satu perkara mudah jika dilihat sekilas pandang. Apa susahnya, dapatkan nasihat dari beberpa orang dan teliti jika ada permohonan tertentu, buat penilaian sebaiknya, lantik sahaja. Harapan orang itu boleh jalankan tugas belum tentu sebab kita tiada sebarang rekod tentang kerjayanya sebelum ini. Kita anggap orang Kedah tentulah akan berbakti untuk Kedah sepenuh hati. Lantik sahaja orang Kubang Pasu dan biarkan KFA menjadi JFA

Pilihlah orang yang betul-betul berwibawa untuk menggalas tugas yang berat ini. Jangan pisang berbuah dua kali. KFA sudah berpengalaman bagaimana jika pegawai eksekutif jalankan tutgas sambil lewa. Kegagalan mendapat lesen AFC adalah pengajaran berguna untuk kita supaya kita berhati-hati memilih orang bertugas.

Pilihlah orang yang sudah ada rekod cemerlang menjalankan tugas. Ada individu yang bersara dengan tugas cemerlang mengendalikan Pusat Sukan di universiti di utara Kedah ini. Berdasarkan penglibatan dan pencapaian beliau dalam bidang pengendalian sukan-sukan berprestij di Kedah dan juga Malaysia, orang ini difikirkan layak. Walaupun usianya sudah meningkat tetapi masih aktif dan masih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif KFA.

Kalau setakat usia muda dan berminat, tidaklah mencukupi untuk menggalas tugas yang mencabar ini. Rekod pencapaian dalam menjalankan tugas itu amat penting dirujuk dan diamabil kira. Jangan nasi menjadi bubur.

Friday, January 26, 2018

NASIHAT KEPADA KFA


Pengumuman Dato’ Seri Ahmad Bashah, Presiden KFA untuk mewujudkan jawatan CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif KFA bagi mengendalikan pentadbiran persatuan bolasepak negeri itu, sangat bermakna dan bakal disambut baik para peminat bolasepak negeri Kedah khasnya penyokong Helang Merah.

Setidak-tidaknya dengan adanya CEO tersebut, dapatlah diselamatkan persdatuan dari terjerumus sekali lagi dalam kemelut kesilapan yang menyebabkan pasukan gagal layak ke Liga Kelab  Asia tahun lalu. Sekurang-kurangnya CEO dapat menjalankan tugas dengan baik dan memantau segala aspek pentadbiran agar perkara ayang serupa tidak berulang.

Hendak mengharapkan para pegawai-pegawai yang dipilih dalam pertandingan setiap kali pemilihan exco tentu membebankan kerana rata-rata pegawai yang menjawat jawatan dalam persatuan adalah tokoh-tokoh politik yang mempunyai komitmen yang lain. Itulah yang berlaku sebelum ini di KFA. Dari presiden hinggalah ke pegawai bawahan juga adalah orang politik.

Dan tokoh-tokoh ini bukannya datang setiap kali mesyuarat, malah kadang-kadang sampai setahun tidak bermesyuarat kerana mereka ada komitmen politik yang lebih penting daripada bolasepak. Ambil contoh Jawatankuasa Pengadil KFA, pada tahun 2016 langsung tidak bermesyuarat tetapi peruntukan keluar seperti biasa juga.

Semoga dengan adanya CEO yang dibayar gaji dan elaun, tentulah pentadbiaran KFA nanti akan lebih mantap dan berwibawa. Begitulah harapan semua peminat dan juga seluruh rakyat Kedah ini. Walau bagaimanapun semua ini bergantung kepada siapa yang dipilih menjawat jawatan tersebut. Namun secara rawak kita bolehlah berfikir bahawa orang yang akan dilantik nanti tentulah individu yang berwibawa dan berkebolehan. Tentulah orang itu mempunyai pengetahuan yang luas dalamm pentadbiaran badan sukan dan juga tahu selok belok bolasepak dan faham dengan sejarah persatuan bolasepak itu sendiri.   
 
Tetapi jika jawatan penting itu diberikan kepada orang baru yang langsung tidak tahu selok belok pentadbiran dan pengurusan, tentulah hasrat itu menjadi sia-sia. Lebih-lebih lagi jika individu tersebut langsung tidak dikenali dalam arena bolasepak negara dan juga di Kedah ini. Jadi pihak pengurusan khasnya Dato’ Seri Presedin dan juga Dato’ Setiausaha Kehormat mestilah membuat kajian dan pemerhatian dengan teliti terhadap calon-calon yang tersenarai.

Bukannya tyidak ada tokoh yang boleh menggalas tanggungjawab tersebut di negeri Kedah ini. Ada beberapa orang yang sesuai dan bijak mentadbir. Ada juga yang telah bersara dari jawatan kerajaan tetapi masih berwibawa menggalas tugas berat itu. Ada juga antara pegawai eksekutif KFA sendiri yang boleh diberi tanggungjawab ini. Rasanya tidak moleh kalau nama-nama mereka disebut tetapi memadai dicadangkan pihak pengurusan KFA melihat kembali tokoh-tokoh yang menaikkan nama negara dalam sukan tanah air yang ada di KFA.

Ada dalam kalangan eksdekutif KFA sendiri yang tyelah menunjukkan kebolehan tersendiri. Lihat kembali ketika Sukan SEA baru-baru ini, ada tokoh di KFA menjalankan tugas pentadbiran di peringkat kebnangsaan dan pengendaliannya berjalan lancar serta boleh di beri "A". Beliau pernah menggalas tugas menguruskan unit sukan di UUM dan bersara dengan cemerlang. Begitu juga dengan PPP negeri kedah yang begitu berwibawa, seorang diri tanpa bantuan jawatankuasa beliau boleh mengendalikan pengurusan pengadil bolasepak KFA dengan jayanya.


Bagaimanapun, Presiden dan Setiausaha Kehormat tentulah orang yang pragmatik dan dapat menilai setiap individu yang ada di KFA. Dan mereka tahu siapa dalam kalangan eksekutif ini yang berwibawa. Cuma janganlah tersalah pilih kerana akibatnya sangat buruk.                                   

Saturday, January 13, 2018

APA KABAR BONDA


Sampai waktunya
aku pasti berhenti bercerita
barangkali jemu orang mendengarnya
setiap kali cerita yang serupa
setiap aku titipkan
hanya tentangmu, bonda.

Sedih dan sayu perasaanku mengenangmu
setiap kali teringat padamu terasa sebu
pasti minda ini mencari di mana kamu
aku pasti jadi seorang perindu,
apa lagi yang mampu aku lakukan
selain mengingati segala pengorbanan
selain mengenang jasa dan didikan?

Aku tetap tidak akan tinggalkan bonda
aku pasti menjagamu selagi ada tenaga
selagi aku bernyawa dan berupaya
bonda pasti tidak aku lupa.

Biarlah mereka jemu
tapi aku ada ibu.


Januari2018

Wednesday, January 3, 2018

PENGADIL KFA: KEPADA SIAPA HENDAK MENGADU?


Baru-baru ini seorang pemuda berusia 23 tahun menghubungi saya melalui e-mail bertanyakan tentang pengadil dari KFA. Saya terperanjat kerana tidak langsung mengenali beliau tetapi bila dia memberitahu bahawa beliau megetahui tentang perkara itu selepas membaca beberapa penulisan saya melalui blog saya ini, barulah saya faham bahawa ada juga orang yang membaca dan saya faham bahawa tulisan saya itu ada juga kesannya.

Persoalannya, kepada siapakah pemuda ini hendak berhubung selepas ini untuk menyatakan minatnya yang mendalam dalam bidang pengadilan bolasepak? Dalam usia yang muda begini, jika ada tempat atau saluran yang boleh diikutinya, alangkah beruntungnya KFA. Malangnya oleh kerana anak muda ini baru habis belajar di Kelantan dan pulang ke negeri asalnya ini, di mana dia dapat menempatkan diri untuk mendalami ilmu pengadilan ini jika KFA di bawah Jawatankuasa Pengadil ataupun pihak yanglebih 'berkuasa' lagi iaitu Pegawai Pembangunan Pengadil KFA tidak menyediakan prasarana yang berobjektif?

Jawatankuasa Pengadil KFA sepatutnya dapat menyediakan saluran yang memudahkan orang-orang yang berminat seperti ini menempatkan diri. Adakan publisiti dan juga hebahan supaya orang ramai khasnya anak-anak muda dan peminat tahu bahawa bidang pengadilan ini memerlukan orang seperti mereka.

Rancanglah beberapa kursus dan kelas bagi mendedahkan bidang dan ilmu pengadilan kepada generasi muda khasnya pelajar-pelajar sekolah dan pusat pengajian. Mereka khasnya PPP jangan selesa duduk di pejabat menanti, tidak akan ada orang akan datang mencari mereka. Merekalah yang sepatutnya keluar mencari pemuda-pemuda ini.

Di zaman saya masih aktif dulu, kami sentiasa mengadakan kursus dan pendedahan tentang undang-undang permainan bolasepak di daerah-daerah sepanjang masa. Waktu inilah baru kita dapat mencungkil bakat-bakat yang mahu bersinar di kemudian hari. Selepas kursus di daerah-daerah, dipilih pula yang betul-betul berbakat dan berminat menghadiri kursus lanjutan di zon-zon tertentu supaya ilmu dapat dikembangkan lagi. Akhirnya barulah dibuat kursus dan ulangkaji berpusat dan seterusnya didaftarkan untuk menduduki peperiksaan peringkat tinggi.

Tetapi apa yang berlaku sekarang, Jawatankuasa Pengadil KFA serta PPP ini hanya duduk menanti bakat-bakat ini hadir mencari mereka. Itu adalah langkah tidak pragmatik dan sangat tidak baik. Jawarankuasa dan PPP ini dilihat tidak berusaha mencari bakat-bakat baru seperti pemuda tersebut. Perkara sebegini bukanlah seperti hasrat Jabatan Pengadil FAM yang mahu setiap persatuan negeri berusaha menghasilkan pengadil-pengadil berkualiti.

Walau bagaimanapun, supaya pemuda itu tidak merasa kecewa, saya berikan nombor telefon salah seorang AJK Pengadil KFA untuk dihubungi. Terpulanglah kepada individu tersebut untuk bertindak selanjutnya.

Adios!