Saturday, May 16, 2009

SEMUDAH MEMBACA A, B, C,....

Kemelut politik Perak tiada kesudahannya. Lepas satu, satu pula perintah mahkamah dikemukakan untuk membuktikan kesahihan kerajaan yang memerintah Perak. Lama kelamaan kemelut ini menjadi bahan ketawa seluruh dunia menyaksikan ‘kebodohan’ rakyat Malaysia bermain politik seperti kanak-kanak bermain ‘masak-masak’.

Apakah nasib bangsa Melayu khasnya di negeri Perak? Kata orang tua-tua, antan sama antan berlaga, padi tumpah, ayam yang kenyang. Itulah gambaran yang sebenar yang melanda rakyat Melayu Perak sekarang ini.

Dua-dua pemimpin Melayu bertelagah sesama sendiri kononnya hendak menegakkan kebanaran. Siapa yang rugi dan siapa yang untung? Ternyata Melayu tidak untung. Ternyata ‘puak’ lain yang untung. Macam Pak Kadok, ayamnya menang, kampung tergadai. Akhirnya biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Kata-kata DS Najib memang betul dan tepat. Kemelut itu tidak akan berakhir jika semua pihak tidak mahu mengalah, masing-masing mahu menegakkan benang basah. Tetapi benang siapakah yang basah? Benang siapakah yang kering? Atau kedua-duanya basah?

Seharusnya kembalilah kepada asal. Baik Pakatan Rakyat mahupun BN tidak usah ada rasa ego. Buangkan rasa ego masing-masing dan kembali kepada titik permulaan. Kembalikan kerajaan kepada DS Mohd. Nizar semula. Kalau betul BN mempunyai majoriti, adakan sidang dewan dan usul undi tidak percaya. Apa susahnya. Semudah kanak-kanak membaca ABC.

Mahkamah pun sudah buat keputusan, status Mohd Nizar hanya akan terlucut melalui undi tidak percaya. Itu saja jalannya. Adakan sidang dan buat usul tersebut. Ini tidak, masing-masing tidak mahu mengaku kesilapan. Masing-masing hendak menegakkan benang yang basah.

DS Najib pun kalau sudah tahu BN juga menegakkan benang basah, apa tunggu lagi? Minta Dr Zambery adakan sidang dewan dan buat usul undi tidak percaya. Kalau sudah jelas BN mempunyai majoriti, apa hendak ditakutkan.

Kalau sudah hendak hadapi pilihanraya semula pun BN tidak takut., susah sangat hendak adakan sidang dewan undangan? Buat apa hendak takut dengan bayang-bayang sendiri. Selagi takut, kemelut di Perak akan terus diketawakan dunia. Saban hari berganti MB macam kanak-kanak bermain ‘masak-masak’.

No comments:

Post a Comment