(Rumah sewa anak-anak kita)
Langkah kerajaan Malaysia hendak melayan permintaan Indonesia menetapkan gaji Pembantu Rumah dari negara itu menampakkan betapa terdesaknya kita. Indonesia gertak sedikit mengenai penderaan pembantu rumah dari sana, kita dah menggelabnah dan mahu menurut saja apa yang diminta.
Gaji minima RM800 bukanlah sedikit. Selain menjadi beban kepada majikan, terfikirkah kita nasib anak-anak kita. Berapa sangatlah pendapatan kerja operator pengeluaran di kilang-kilang. Masalah gaji minima mereka pun kerajaan tak selesaikan lagi. Rata-rata mereka mendapat antara RM400 hingga RM700 sahaja. Ditambah sedikit dengan elau-elaun lebih masa dan elaun kerajinan, dapatlah tambahan kira-kira RM100. Itu sahaja pendapatan mereka.
Jumlah itu ditolak pula belanja pengangkutan, makan-minum dan sewa rumah, kadang-kadang adalah lebihan setakat RM200. Itulah wang yang hendak diberikan kepada ibu bapa dan adik-adik. Itulah wang untuk membeli keperluan peribadi mereka.
Berbanding dengan Pembantu Rumah dari Indonesia yang hendak diberikann gaji minima RM800 ini, semua kemudahan lain adalah percuma. Gaji sebanyak itu adalah bersih, betul-betul bersih. Mereka tidak perlukan pengangkutan dan tidak perlu keluarkan wang untuk belanja makan dan minum. Makanlah banyak manapun, tiada siapa yang menegah.
Mereka tidak perlu menyewa rumah seperti anak-anak kita. Tempat tinggal disediakan malah lebih selesa lagi berbanding dengan rumah sewa anak-anak kita. Begitulah layanan baik yang kita berikan kepada orang luar yang hendak mencari 'makan' di tempat kita. Rakyat kita sendiri terus diabaikan dan orang luar yang kita letakkan di tempat lebih penting.
Inilah yang dikatakan Satu Malaysia, "Kera di hutan disusui, biar anak mati kelaparan." Itulah kita bernama Malaysia. Memang sering memberi keutamaan kepada orang luar dalam apa perkara pun.
No comments:
Post a Comment