Thursday, March 10, 2022

KEWUJUDAN PENGADIL HARAM MENCABAR WIBAWA JAWATANKUASA PENGADIL KFA

 

SITUASI PENGADIL HARAM DI NEGERI KEDAH:KEWUJUDANNYA MENCABAR WIBAWA JAWATANKUASA PENGADIL KFA

1. Isu PENGADIL HARAM ini bukanlah sesuatu yang istimewa tetapi jika tidak diberi perhatian dan dibiarkan, ia pasti menjadi satu ancaman yang boleh menggugat sistem yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengadil KFA mengikut sistem yang sama dengan FAM dewasa ini. Pengadil kategori haram atau yang tidak sah ini telah lama wujud dan sehingga kini selepas hampir 30 tahun, ia tidak dapat dibendung apatah lagi hendak dihentikan. Keadaan semakin sakit dan menjadi barah dalam sistem pengadilan bolasepak di negeri Kedah ini dan dilihat semakin mencabar peranan Jawatankuasa Pengadil KFA.

2. Sebelum pergi lebih jauh, biar diterangkan terlebih dahulu maksud ‘pengadil haram’ itu agar semua pihak dapat menilai sebaik-baiknya dan tidak membuat anggapan negatif tentang status haram dan halalnya seseorang pengadil itu kerana masing-masing ada kelebihan dan sumbangan dalam bidang tersebut iaitu mengadili perlawanan bolasepak dan semua yang berkaitan dengan sukan bolasepak. Ini mencakupi perlawanan persahabatan, liga, dan perlawanan amal termasuklah perlawanan biasa, sebelah 7, sebelah 9 dan juga sepakan dari tanda penalty serta futsal.

3. Lazimnya, seorang pengadil di Kedah akan bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Kedah dan Persatuan Bolasepak Daerah. Dan kedudukan mereka menjadi tanggung-jawab Jawatankuasa Pengadil KFA yang membuat pendaftaran serta kursus-kursus dan ujian kecergasan tahunan. Jawatankuasa inilah yang akan membuat perlantikan pengadil untuk bertugas dalam mana-mana perlawanan samada liga atau persahabatan di seluruh negeri Kedah. Namun begitu, biasanya kuasa melantik ini diperturunkan kepada Persatuan Bolasepak Daerah masing-masing untuk mempermudahkan serta mempercepatkan urusan mengikut kesesuaian perlawanan.

4. Keadaan ini berjalan sejak lama dahulu dan tiada sebarang masalah kerana masing-masing faham, bertanggung-jawab dan hormat menghormati kepada tugas masing-masing. Dan sebagaimana kebiasaan, selepas menjalani Ujian Kecergasan Tahunan, para pengadil yang lulus mendapat keutamaan untuk mengisi tugas di mana-mana perlawanan yang di dalam kelolaan KFA sendiri serta mana-mana badan gabungan serta jabatan-jabatan dan pihak swasta, asalkan dimaklumkan kepada KFA. Pengadil yang tidak lulus pula diberi peluang ujian kali kedua. Mereka tetap juga dilantik bertugas pada ketika memerlukan dan sentiasa diberi perhatian dan bimbingan oleh pihak JK Pengadil KFA.

5. Apa yang berlaku selepas itu tidak seperti yang dirancangkan. Lama kelamaan, pengadil-pengadil yang tidak lulus ujian kecergasan bersama-sama dengan beberapa orang lagi yang tidak pernah mendaftar diri di senarai KFA mencari peluang bertugas secara sulit dan bersendirian, Individu tertentu mengambil peluang mencari pengaruh dengan melobi beberapa perlawanan dan pertandingan yang di luar pengetahuan KFA. Akhirnya mereka bergabung dan menubuhkan persatuan yang tidak rasmi bertopengkan mana-mana Persatuan Bolasepak Daerah. Mulanya mereka bergerak secara sembunyi atas nama persatuan bolasepak yang tidak peka kepada masalah ini. Kumpulan ini pula dibantu oleh sosok bekas-bekas pengadil kebangsaan dan juga antarabangsa yang tidak menghormati KFA dan juga Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri. Kumpulan inilah yang dikategorikan ssebagai PENGADIL HARAM atau “pirates”.

6. Sesudah hampir 30 tahun, keadaan ini berterusan sehingga semakin sukar dibendung apatah lagi menghapuskannya. Malah kumpulan ‘pirates’ ini mendominasi tugas pengadilan di serata tempat dan daerah tanpa menghormati lagi pihak yang sepatutnya dirujuk iaitu Jawatankuasa Pengadil KFA. Setiap yang disuarakan Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA tidak diendahkan sebaliknya ahli kumpulan ini lebih menurut kata ‘IDOLA’ mereka iaitu seorang bekas Pengadil Antarabangsa, seorang bekas Pengadil Kebangsaan serta beberapa pengadil veteran yang sudah melepasi garis usia untuk mengadili perlawanan. Individu-individu ini pula mempunyai hubungan baik dengan Ahli-ahli Majlis KFA tertentu serta ketua-ketua jabatan yang menganjurkan pertandingan. Kumpulan Pengadil Haram ini dilayan dan diberi tugasan mengendalikan perlawanan anjuran jabatan-jabatan tertentu.

7. Istimewanya kumpulan pengadil yang tidak berdaftar ini hinggakan pada beberapa ketika Presiden KFA sendiri hadir dalam perlawanan yang diadili oleh ahli kumpulan ini. Malah ada waktunya Presiden serta beberapa Ahli Majlis turut bermain dalam perlawanan di stadium Darulaman yang mendapat liputan akhbar di bawah sinar lampu limpah stadium dengan mereka dari kumpulan tidak berdaftar ini juga dilantik sebagai pengadil. Begitu jugalah dengan padang-padang yang lain seperti Peremba, Stadium Suka Menanti, MADA dan padang-padang yang lain yang terdapat stadium mini dan padang awam. Suatu ketika dahulu pernah juga Presiden KFA hadir merasmikan pertandingan Futsal yang dianjurkan dan diadili oleh kumpulan ini sedangkan pada ketika yang sama pengadil yang berdaftar dengan KFA sedang menjalani Ujian Kecergasan Tahunan di Stadium Darulaman. Nampak sangatlah dari atas hingga ke bawah dan dari berbagai sudut, tidak tahu apa yang berlaku.

8. Situasi ini menyebabkan timbul rasa tidak puas hati para pengadil yang berdaftar di bawah Jawatankuasa Pengadil KFA yang sentiasa berusaha memajukan diri dan berlatih untuk lulus ujian kecergasan tetapi yang mendapat kepercayaan bertugas adalah mereka yang tidak berdaftar. Ada juga dalam kalangan pengadil yang sah ini kurang senang dengan Jawatankuasa Pengadil yang dilihat gagal membendung kegiatan pengadil haram ini hingga ada suara-suara mencadangkan Jawatankuasa Pengadil harus dibubarkan sahaja kerana sudah tidak dihormati dan tidak dipandang orang pun. Kadang-kadang terasa benar juga alasan mereka berkata begitu kerana apa yang sering terjadi dilihat seolah-olah Jawatankuasa Pengadil KFA ini tidak dihormati dalam kalangan Ahli-ahli Majlis dan juga badan=badan gabungannya.

9. Kumpulan Pengadil Haram ini kebanyakannya terdiri daripada kalangan pengadil yang telah berusia yang secara munasabah kebanyajannya tidak patut lagi bertugas atau dilantik sebagai pengadil perlawanan bagi mengelak berlaku perkara di luar jangka atas faktor usia tersebut. Tapi oleh kerana masih tebal minat mereka dalam bidang tersebut, aktiviti diteruskan juga di samping boleh menjana sedikit pendapatan tambahan. Dalam kalangan mereka ada pula nama-nama yang masih populer sebagai nama besar dalam bidang pengadilan bolasepak yakni bekas-bekas pengadil di FAM yang melepasi had usia serta yang tidak melepasi ujian kecergasan di FAM. Senarai mereka ini ditambah pula dengan para pengadil muda yang mula berjinak-jinak dalam bidang ini.

10. Para pengadil yang dikatakan haram ini bijak mencuri peluang. Sekarang mereka berpersatuan bertopengkan mana-mana persatuan bolasepak daerah untuk mengabui mata tentang kegiatan mereka dan aktiviti mereka dihalalkan kononnya aktiviti persatuan bolasepak tesebut. Sekarang ini Persatuan Bolasepak Daerah Yan menjadi mangsa bila Persatuan Bolasepak Kuala Muda (Sg Petani) tidak menerima mereka. Mereka ini pula bukanlah kalangan penduduk Yan tetapi datang dari beberapa tempat di Kedah. Mereka bercantum dan berpersatuan sedemikian dan ada pula mereka yang berpengaruh dalam arena bolasepak di KFA serta badan gabungan bersekongkol dengan mendapatkan tugas-tugas pengadilan kepada mereka.

11. Tidak hairanlah bila kebanyakan perlawanan di mana-mana padang samada di Sungai Petani, Baling, Sik, Pendang, Yan dan juga di Alor Setar dan lain-lain tersaji untuk mereka. Akhir-akhir ini pula selepas pandemik Covid19 ini pertandingan Futsal, bolasepak persahabatan, liga serta yang terbaru pula adalah peretandingan Sepak Dari Tanda Penalti begitu populer diadakan dan tugasan semuanya diserahkan kepada mereka yang tidak berdaftar dengan KFA ini. Baru-baru ini timbul isu pertandingan merebut piala SUK yang diadakan di Alor Setar dan perlawanan akhir dijalankan di Stadium  Darulaman, tugas mengadilinya diberikan kepada kumpulan tidak berdaftar ini sedangkan pengadil yang berdaftar dengan KFA menggigit jari. Ketika perlawanan akhir malam 22 Februari itu dimasukkan juga seorang pengadil FAM dari Kuala Lumpur tanpa pengetahuan Jawatankuasa Pengadil.

12. Keutuhan dan penyatuan ahli-ahli pengadil tidak berdaftar ini berkait rapat dengan sokongan daripada pegawai-pegawai KFA sendiri serta sokongah pegawai dari badan-badan gabungan yang ada di KFA itu. Ahli-ahli Majlis seolah-olah tidak menghormati dan peka dengan Jawatankuasa Pengadil yang diwujudkan oleh KFA sendiri. Segala keputusan dan aktiviti yang dibuat langsung tidak diberi perhatian. Tiada siapa antara pegawai serta Ahli Majlis yang sudi hadir duduk bersama dalam setiap kali Jawatankuasa ini bermesyuarat. Kerana itu KFA untuk sekurang-kurangnya mengetahui apa yang dibincangkan. Dan laporan minit mesyuarat yang diserahkan tidak siapa membacanya.

13. Lantaran itu berlakulah perkara-perkara tidak masuk akal yang mana perlawanan yang dijalankan di padang-padang rasmi seperti Stadium Darulaman dan Stadium Suka Menanti tidak diambil kisah langsung siapa pengadilnya. Perlawanan-perlawanan di Peremba  oleh pihak-pihak tertentu juga tidak dimaklumkan kepada  Jawatankuasa Pengadil padahal yang menganjurkan perlawanan tersebut adalah dari badan-badan gabungan KFA sendiri. Semuanya di luar pengetahuan kerana tidak dimaklumkan. Sudahnya pengadil bertauliah dan berdaftar dengan KFA dipinggirkan begitu sahaja sebaliknya menonjolkan para pengadil haram atau ‘pirates’ tadi.

14. Dalam keadaan yang sama, Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri turut menyumbang ke  arah wujudnya kumpulan pengadil haram ini. Pendaftaran Pengadil di bawah KFA walaupun dilihat sebagai langkah yang baik tetapi perlaksanaannya tidak sebagaimana yang diharapkan. Syarat pendaftaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengadil secara ridak langsung membuka laluan kepada ahli-ahli kumpulan ini bergerak secara tidak sah. Apabila pengadil yang tidak lulus atau yang telah melepasi tahap usia tertentu tidak didaftarkan, tentulah sulit mengawal pergerakan mereka. Tegasnya Jawatankuasa Pengadil mestilah berani keluar dari kotak syarat tersebut iaitu mendaftar semua pengadil yang mahu aktif tidak kira lulus atau tidak tanpa mengira ‘kelasnya’asalkan mereka berminat sebagai pengadil. Kadang-kadang didapati para pengadil veteran yang masih berminat meneruskan tugas pengadilan patut diambil kira. Ada juga individu yang masih muda berminat untuk menjadi pengadil hendaklah turut didaftarkan,

15. Pada peringkat negeri, KFA sepatutnya tidak berbuat seperti di FAM yang hanya mendaftar mereka yang lulus ujian kecergasan sahaja. Jawatankuasa Pengadil KFA sepatutnya mendaftarkan siapa sahaja yang berminat dan boleh memberi komitmen. Tugas di peringkat bawah ini adalah untuk mencungkil bakat dan membina keyakinan untuk mereka pergi lebih jauh. Jadi sangat munasabah pihak KFA membuka pendaftaran kepada siapa sahaja. Dengan cara demikian dapatlah dikawal aktiviti mereka di peringkat negeri.

16. Jika tidak didaftarkan di bawah KFA, ke mana mereka akan pergi? Begitu jugalah dengan pengadil-pengadil veteran, minat mereka masih menebal tetapi melepasi syarat menduduki peperiksaan FAM. Bagaimana pula mereka dari kumpulan ini? Jawatankuasa Pengadil mesti fikirkan juga ada antara bekas-bekas Pengadil Kebangsaan dan Antarabangsa yang masih berkeupayaan. Semua ini patut disenaraikan setidak-tidaknya mereka dapat memberi bimbingan kepada pengadil-pengadil muda. Pengadil dari kumpulan orang lama ini tidak boleh diabaikan. Jika tidak diberi perhatian pasti kumpulan yang tersisih ini akan berbuat apa sahaja bagi meneruskan minat mereka. Itulah sebenarnya punca wujudnya pengadil haram ini.

17. Mereka inilah iaitu pengadil-pengadil yang berusia dan veteran bergiat dalam satu kumpulan selepas tidak mendapat tempat di dalam senarai pengadil dalam KFA. Lama kelamaan aktiviti mereka semakin terserlah dan tidak secara sulit lagi dengan disokong oleh beberapa tokoh berpengalaman mereka yang bersara dari FAM dan negeri. Selanjutnya mereka tidak merasa rugi sedikitpun bila tersisih dari senarai KFA. Rasa hormat kepada Jawatankuasa Pengadil KFA sudah tidak ada ditambah pula dengan sokongan dari beberapa tokoh di dalam organisasi KFA sendiri. Sekarang ini bukan mereka yang terpinggir tetapi sebaliknya yang terpinggir adalah pengadil sah yang berdaftar di bawah payung KFA.

18.Jadi untuk merungkai masalah ini, Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri mestilah berani mengubah sikap. Permudahkanlah peraturan pendaftaran pengadil yang sah di KFA, jangan hanya mendaftar mereka yang lulus Ujian Kecergasan sahaja dan yang lulus peperiksaan bertulis. Berlapang dada dan berilah peluang golongan veteran serta kumpulan yang telah bersara dari peringkat kebangsaan dan antarabangsa meneruskan minat mereka secara sah. Demikian juga golongan yang masih muda turut bersama diberi tugas mengikut kesesuaian perlawanan dan tempat. Secara begitu tentulah yang berusia boleh memberi tunjuk ajar dan bimbingan dari pengalaman mereka. Hal ini tidak akan merugikan sesiapa,

19. Selain dari itu dan yang paling penting, pihak pengurusan KFA sendiri mestilah bertegas mengingatkan jawtankuasanya serta ketua-ketua jabatan dalam badan gabungan supaya lebih sensitif dan berfikit bila mahu menganjurkan sesuatu pertandingan atau perlawanan persahabatan. Bukan lagi seperti amalan sekarang, menghubungi siapa sahaja untuk mendapat khdmat pengadil. Dan bila ditanya tentang dari mana datangnya pengadil, jawapan tidak kisah dari mana adalah jawapan yang tidak bertanggung-jawab. Semoga selepas ini tiada lagi kelasifikasi halal dan juga haram dalam bidang pengadilan bolasepak ini.

 

No comments:

Post a Comment