Sunday, June 17, 2018

CERITA HARIRAYA YANG ORANG TIDAK TAHU


Orang tidak tahu
telah berapa banyak airmatamu yang gugur
basah lantai hidup ini
biar aku cuba mengesatnya
yang pergi hanya habuk keruping parut luka
sekian lama mereka guris hatimu
lalu kerana itu kenangan tentang hidup ini
tidak terhakis dari bumi dan langit.

Segala ceritamu 
bagaimana mereka duduk keliling meja
menikmati juadah saban pagi
sedang engkau berjuntai di pangkinmu
tidak dipandang walah sebelah mata
langsung tidak dipedulikan
lalu cerita tentang airmatamu yang gugur
dan cerita tentang calarnya hatimu
membawa aku kepada rasa amarah dan cemburu.

Aku marah bila mereka tidak pedulikan ibu
mereka makan dan minum tanpa mempelawamu
apatah lagi memberi makan secubit menu
dan aku cemburu tidak dapat saksikan semua itu
yang boleh aku buktikan bahawa mereka telah buta
tentang kasih sayang seorang ibu.

Orang tidak tahu
hatimu telah rabak tidak terfikirkan
perasaanmu tentu telah robek dan luka
betapa kelopak matamu tergenang airmata
bagaimana seorang anak tega melakukan
tanpa belas kasihan dan tiada perasaan.

Kamu bercerita selancar gugurnya airmata
di pagi raya yang sunyi dan hiba
tanpa anak-anak dan keluarga
lalu bagaimana aku boleh tinggalkan
biar kamu duduk sendirian?

Apapun terjadi aku akan sentiasa menjagamu
biarlah mereka yang lain 
sentiasa lari dan membenci
aku akan tetap di sisi
kerana kamu seorang tua yang lemah 
dan seorang diri di dunia ini
dengan hidup kita tinggal sedikit lagi.

15 Jun 2018



Sunday, May 13, 2018

HARAP KFA BERUBAH WAJAH


1. Pilihanraya Umum ke 14 sudahpun berlalu dan semua warga sudah tahu siapa kalah siapa menang. Dan semua orang sudah faham bahawa KFA bakal bertukar tangan. Kali ini presidennya tentulah Datuk seri Mukrij Mahathir menggantikan Dato' seri ahmad Bashah. Dan Setiausaha Kehormat juga pasti bertukar tangan dari Dato' Aminuddin Omar kepada individu lain yang belum dietahui. Apapun tahniah diucapkan kepada bakal peneraju KFA yang baru.

2. Barangkali tiada lagi wajah SU Kehormat yang sentiasa dicucuk hidung oleh PPP, kenalan baiknya sehinggakan semuanya diserahkan kepada budi bicara PPP dalam soal pengadil di Kedah. Dan seringnya beliau 'kena jual' begitu sahaja oleh PPP. Dan sudah tentu tiada lagi kelibat Datuk Othman Aziz yang selama memegang Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, sekalipun tidak pernah hadir mesyuarat. Tentunya dia langsung tidak tahu apa yang berlaku dalam jawatankuasa yang dipengerusikannya itu.

3. Semoga KFA distruktur semula dari atas hingga ke bawah biar masing-masing tahu langit tinggi atau rendah. Biar masing-masing sedar bahawa langit tidak selalu cerah. Selama ini tidak ada siapa tahu ada pihak yang sentiasa buat kerenah. Jika dibuat laporan pun, semuanya dikatakan menyebar fitnah.

4. Sudah sekian kali ditulis surat rasmi kepada pihak bertangungjawab tetapi sekalipun tiada jawapan yang diberikan. Semua aduan ibarat mencurah air ke daun keladi. Penat sahaja. Habis duit sahaja berbelanja di pejabat pos. Haram satu surat pun tidak berbalas biarpun ianya adalah surat rasmi bukannya surat layang. Begitulah KFA bermain wayang.

5. Semuanya angkara PPP yang beranggapan Jawatankuasa Pengadil KFA dan semua pengadil bolasepak di Kedah ini miliknya sendiri. Harap-harap kali ini tidak berlaku lagi. sama-samalah kita tengok nanti. Mana tahu barangkali masih serupa juga dan tidak berubah. Ataupun KFA akan berubah wajah.

Adios!

Tuesday, April 24, 2018

SIAPA YANG MENGHANCURKAN SIAPA?


1. Membaca akhbar SINAR keluaran Ahad 22 April 2018 membuatkan kita terkejut dengan kenyataan begitu tegas dari seorang berstatus menteri iaitu Datuk Othman Aziz. Biarpun beliau hanya Timbalan Menteri Kewangan, pemikirannya dilihat agak bercelaru akibat suasana politik tanahair akhir-akhir ini. seorang individu yang berpengalaman seperti beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang begitu bongkak, bodoh dan sangat dangkal.

2. Menurut beliau KFA akan hancur tanpa penglibatan orang politik. Betulkah? Benarkah seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri ini yang juga salah seorang Naib Presiden KFA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA?

3. Sepanjang yang kita tahu orang politiklah yang menjahanamkan KFA. Usah berbangga jika hanya dengan ada pengaruh mendapat sumbangan kewangan dari mana-mana pihak. Jika itupun sudah dianggap berjaya meningkatkan bolasepak di negeri Kedah, anda silap sebenarnya. Usah pandang pembangunan bolasepak dari sudut kewangan sahaja dan melupakan aspek-aspek yang lain padahal banyak lagi perkara yang membantu meningkatkan kemajuan bolasepak.

4. Jika diimbas kembali, hanya Datuk Hamzah Abu Samah tokoh politik yang berjaya mengendalikan persdatuan sukan seperti bolasepak ini. Kegemilangan FAM adalah hasil penat lelah Hamzah Abu Samah. Selepas beliau, tiada tokoh politik yang berjaya menaikkan sukan bolasepak ini. Menjahanamkan memang banyak.

5. Lihat sahaja di KFA, berapa orangkah orang politik yang ada dalam pentadbiran persatuan bolasepak itu. Bermula dari Presidennya, Naib Presiden, Setiausaha Kehormat hinggalah kepada lain-lain jawatan. Lihatlah siapa yang mempengerusikan Jawatankuasa Pengadil KFA. Kerana kesibukan berpolitik, tugas dalam KFA dibiarkan atau diserahkan kepada orang lain yang kebetulan pula bijka mengambil kesempatan.

6. Datuk Othman sendiri tidak pula menyatakan apakah bentuk sumbangan beliau kepada bolasepak KFA. Menyumbang wang jutaan ringgit jugakah? Yang orang tahu beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA tetapi sepanjang penglibatan saya dalam jawatankuasa tersebut semenjak Mei 2015 hingga Januari 2017, beliau tidak pernah hadir mempengerusikan mesyuarat walaupun sekali. Semuanya diberi tugas kepada En Khamal Idris selaku Timbalan Pengerusi. Jika diteliti, berbagai masalah menimpa Jawatankuasa Pengadil, tetapi tiada siapa peduli.

7. Aduan demi aduan saya kemukakan kepada pihak pengurusan KFA tetapi tiada tindakan diambil secara total. Malah siasatan pun tidak dijalankan. yang mereka bertindak adalah menyingkirkan orang yang membuat aduan manakala orang yang diadu semakin 'naik tocang'.

8. Datuk usahlah berbangga jika hanya wang ringgit yang diperjuangkan sedangkan aspek pembangunan pengadil tidak dilaksanakan dengan berhemah dan betul. Jawatankuasa Pengadil KFA dibiarkan 'dikembiri' oleh individu lain yang berkepentingan.

9. Orang politiklah yang menjahanamkan KFA sebenarnya.

Saturday, March 31, 2018

PENGADIL BOLASEPAK DARI MALAYSIA UNTUK PIALA DUNIA

Tentulah hebat andainya benar ada sesiapa pengadil bolasepak dari Malaysia disenaraikan untuk Piala Dunia 2018 nanti. Tentu individu itu bertuah orangnya dan yang tumpang naik namanya adalah pihak yang terlibat secara rasmi dalam program pembangunan pengadil di FAM. Malangnya tiada individu yang layak. Selepas Subkhidin Salleh melakar sejarah di Piala Dunia empat tahun lepas, belum nampak pengadil yang berwibawa untuk membawa nama FAM dan Malaysia di pentas dunia biarpun ada beberapa orang mendapat pengiktirafan sebagai pengadil FIFA.

Dalam perkembangan yang sama, ada pihak yang menyentuh tentang pegawai dan program pembangunan pengadil sama ada berfungsi dengan betul atau sebaliknya sehinggakan kita ketandusan pengadil berkelayakan. Malah orang di FAM sendiri musykil tentang peranan PPP di peringkat kebangsaan dan juga peringkat negeri sama ada telah merangka dan melaksanakan program yang berkesan atau tidak. Contoh yang paling ketara adalah PPP di negeri Kedah. Tanyalah KFA.

Saya sebenarnya malas hendak memberi komen apa-apa dalam soal ini kerana saya telah berbuat demikian sudah sekian kali tetapi tiada sedikitpun respon dari mereka yang terlibat samada di pereingkat FAM dan juga negeri. Saya telah pernah menghubungi beberapa pihak di FAM malah telah mengutus surat rasmi kepada YM Tengku Presiden sendiri mengenai hal ini tetapi tidak mendapat sediktpun layanan daripada baginda.

Jadi jika Presiden sendiri tidak memberi respon atau menjawab pendedahan yang saya buat, apatah lagi pegawai-pegawai lain yang hanya menunggu arahan dari presiden sahaja tapi tidak mempunyain inisiatif sendiri. Exco FAM yang menjadi pengerusi pengadil sendiri tahu perkara ini tetapi beliau tidak boleh berbuat apa-apa kononnya kerana saya telah mendedahkan kepada khalayak termasuk surat khabar.

Setiausaha Kehormat KFA telah saya hubungi dengan sekurang-kurangnya 3 surat rasmi, Presiden KFA juga saya kirim sepucuk surat rasmi. Begitu juga dengan CEO yang baru dilantik baru-baru ini. Tetapi semuanya diam membisu mungkin kerana masalah politik akhir-akhir ini. Rata-rata orang di Kedah mengetahui dan menyebut hal PPP ini, tetapi kerana beliau terlalu kebal dan berhubungan rapat dengan Datuk Aminuddin Omar serta Datuk Seri Ahmad Bashah, membuatkan beliau semakin naik tocang.

Tambah-tambah pula baru-baru ini entah atas kapasiti yang sangat misteri, beliau menghadiri mesyuarat di FAM untuk penyelarasan Liga 5 dan pulang dengan tangan kosong tanpa apa-apa maklumat diberikan kepada pengurusan KFA sehinggakan pasukan dari KFA tidak tercatat sebagai layak untuk liga tersebut. Padahal tugas tersebut bukanlah tugas PPP tetapi kerana hubungannya dengan Presiden, Setiausaha Kehormat serta Pegawai Eksekutif, beliau dihantar menjadi wakil KFA. Pengalaman gagal mengambil bahagaian di AFC tidak menjadi iktibar dan pedoman mereka sehingga kini. Siapa PPP yang dihantar menghadiri taklimat yang penting begitu? Inilah politik dalam sukan tanahair!

Dan kerana hal-hal yang tersbut iaitu sibuk menggalas tugas-tugas yang tidak sepatutnya, beliau gagal menyediakan calon-calon untuk peperiksaan pengadil Kelas Tiga FAM yang bermula hari ini 31 Mac 2018. Munasabahkah seorang PPP yang sepatutnya menguruskan pembangunan pengadil hanya dapat mendaftar 2 orang calon. Nasib baik ada orang lain yang lebih prihatin dan berinisiatif mengusahakan untuk pendaftaran 21 orang yang lain menjadikan 23 calon dari KFA.

Tetapi apa nasib mereka dari daerah-daerah lain yang berminat? Tunggu tahun hadapan pula itupun jika PPP menjalankan kerja yang sepatutnya. Tapi kalau begini juga sikap para pegawai di KFA, begini jugalah jadinya. Dan FAM kononnya tidak boleh berbuat apa-apa kerana ini adalah masalah dalaman di KFA. Senang sahaja melepas tangan, beban biar orang lain tanggung.

Tuesday, March 27, 2018

BODOH TIDAK BOLEH DIAJAR, CERDIK TIDAK BOLEH DITUMPANG II


Seperti dijangkakan, akhirnya muktamad TMJ meletak jawatan Presiden FAM bermula semalam. Adios! Kerusi itu memang panas dan tiada lagi orang yang sanggup duduk sebagai presiden sehinggakan orang yang begitu lantang mengkritik FAM selama bertahun-tahun akhirnya mengalah juga sesudah setahun berada di ‘takhta’ bolasepak Malaysia. Hal ini sangat bertentangan dengan janji dan hasrat ketika awal perancangan beliau untuk menduduki tempat tersebut sebelum ini.

Tetapi ayat yang digunakan sebagai alasan meletak jawatan itu sangat kasar dan tidak sepatutnya keluar dari mulutnya secara rasmi. Semua individu yang terlibat dan masih ada dalam barisan kepimpinan FAM pasti terasa. Sebagia manusia biasa yang waras pasti tercuit perasaannya bila mendengar pengucapan seorang yang berkedudukan tinggi dan sangat dihormati. Antara percaya dengan tidak, tetapi itulah yang berlaku.

“…….Sudah tiba masanya untuk tidak lagi berkhidmat dengan pihak yang bersikap bodoh sombong dan kurang pandai dalam menilai kemajuan yang telah dibawa.”

Kepada siapa ayat ini ditujukan? Siapa yang dimaksudkan sebagai pihak yang bodoh sombong oleh baginda? Inilah yang menjadi persoalan. Dan rasanya luahan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang berkedudukan tinggi. Usah pandang rendah kepada orang lain. Jika mahu berhenti, berhenti sajalah, tidak usah timbulkan konflik kepada orang lain. Bodoh sombong maknanya bodoh tapi berlagak pandai. Kepada siapa gelaran ini ditujukan. Pegawai? Peminat? Hanya beliau yang tahu dan siapa makan cili dia yang rasa pedasnya. Takut nanti dikatakan “bodoh tidak boleh diajar dan cerdik tidak boleh ditumpang”.

Semua orang mahukan kemajuan dan orang ini dipilih menduduki kerusi Presiden itu adalah kerana ingin melihat kemajuan yang cuba dibawanya. Jadi usahlah menempelak bahawa orang kurang pandai menilai kemajuan yang telah dibawa. Sebenarnya orang mahu melihat kemajuan tersebut tetapi sebelum sempat maju anda sudah berhenti. Ranting patah di tengah jalan, orang pun susah mahu bergayut.

Tetapi biasalah sifat manusia, jika sudah tidak suka dan tidak berupaya, semua orang salah belaka. Dahulu sebelum dilantik menjadi presiden bukan sedikit kenyataan dan serangan terhadap badan induk bolasepak tanah air dilemparkan. Tentu kita tidak lagi lupa tentang isu maklumat dalam ‘pendrive’ yang ditunjukkan, kononnya ada berbagai maklumat salahlaku pegawai-pegawai FAM. Bila disiasat, semuanya kosong sahaja.

Begitu jugalah kenyataan sebelum dipilih sebagai presiden bahawa di suatu masa “saya akan menjahanamkan bolasepak Malaysia.” Dan sekarang bolasepak Malaysia memang sudah jahanam., Dari kedudukan 175 sudah turun ke paras 178. Dengan Monggolia pun sekadar seri. Misi sudah berjaya, jadi apa tunggu lagi.

Begitulah sifat manusia. Bila di waktu kita sayang, macam mana pun tidak apa.

Adios!


Tuesday, March 6, 2018

APA DAH JADI, APA DAH JADI.


Tiba-tiba dua hari lepas saya mendapat satu mesej dari seseorang di PAFA (Persatuan Bolasepak Perak) menyatakan bahawa mereka berjaya mendaftarkan seramai 136 orang anak muda bagi menduduki peperiksaan pengadil Kelas Tiga FAM yang akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 31 Mac ini. Jumlah besar itu padanlah dengan besarnya negeri Perak dan berbaloilah dengan usaha mereka yang menurut sumber tersebut mereka telah menjelajah ke setiap daerah mengadakan kursus dan memberi motivasi kepada para belia untuk mencebur diri dalam bidang pengadilan bolasepak ini.

Sumber tersebut bertanya saya berapa orang pula dari negeri Kedah yang telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut. Barangkali beliau tidak tahu bahawa saya telah disingkirkan dari menganggotai Jawatankuasa Pengadil KFA, lantas bertanya saya tentang perekara tersebut. Apa yang dapat saya katakan selain menyatakan tidak tahu dan menerangkan kedudukan sebenar diri saya buat masa ini.


Yang nyata hal tersebut sangat dimaklumi bahawa hanya berjaya didaftarkan oleh Pegawai Pembangunan Pengadil KFA hanyalah  dua orang, tidak sepadan dengan keluasan Kedah ini yang mengandungi 11 daerah. Tentulah tidak munasabah jumlah tersebut tetapi itulah hakikatnya. ini adalah sesuatu yang menghairankan kerana jika dicongak setiap daerah ada 10 orang sudah tentu KFA berjayas mendaftar 110 orang peserta yang mungkin separuh daripadanya akan berejaya lulus Kelas Tiga FAM ini.

Jadi apa yang dibuat oleh PPP dan Jawatankuasa Pengadil KFA hingga tiada calon yang mendaftar kecuali 2 orang? Apatah lagi mereka ini apabila lulus nanti akan melalui beberapa proses yang bakal meningkatkan lagi tahap mereka dalam bidang pengadilan di peringkat kebangsaan. Daripada dua orang ini, siapa pula yang akan berjaya melepasi peperiksaan peringkat kebangsaan pula nanti?  Nampaknya harapan untuk melihat pengadil bolasepak dari Kedah beraksi diperingkat kebangsaan hanyalah angan-angan dan mimpi.

Nasib baiklah ada kesedaran dan inisiatif dari Persatuan Pengadil Bolasepak /daerah Kota Setar yang lebih peka dalam soal ini. mereka, jawatankuasa persatuan tersebut atas inisiatif sendiri telah mengadakan kursus dan berjaya mencungkil bakat dan mendaftar seramai 18 orang calon. Ini menjadikan 18 + 2 calon dari negeri Kedah tetapi hanyalah dari daerah Kota Setar sahaja.


Apa hal pula dengan daerah-daerah yang lain yang selama ini memang ketandusan pengadil kerana telah bersara dan tidak lulus di tahun-tahun yang lalu? Seyugia disebutkan bahawa daerah-daerah lain seperti Yan, Sik, Baling, Bandar Baru, Padang Terap dan juga Langkawi sangat kurtang dan ada daerah yang tiada seorangpun pengadil bolasepak kecuali di daerah Kubang Pasu, Kulim, Kuala Muda dan tentunya Kota Setar.

sebelum ini sudah berapa kali Pegawai Pembangunan Pengadil bertukar, kursus di daerah-daerah tidak pernah diadakan. Kalau ada pun hanya atas permintaan badan tertentu. Kalau inisiatif dari Jawatankuasa Pengadil dan juga PPP usah diharaplah, memang tidak pernah ada. Usaha memberi pendedahan dan mencungkil bakat tidak pernah berlaku.

Lantaran tersebut bagi tahun 2017 hanya 4 orang layak menduduki peperiksaan pengadil kebangsaan dan dari 4 itu hanya seorang saja yang lulus. Dan jika yang lulus ini gagal pula dalam ujian seterusnya, akibatnya KFA tidak lagi mempunyai pengadil peringkat kebangsaan

Terimalah hakikat bahawa PPP negeri Kedah dan Jawatankuasa Pengadil KFA tidak berfungsi ke arah yang sepatutnya. Mereka banyak membuat kerja-kerja lain yang tidak munasabah yang hanya menaikkan imej mereka sahaja tanpa mempedulikan pembangunan pengadil mereka sendiri. Individu dalam jawatasnkuasa ini serta PPP sendiri hanya mencari peluang untuk peningkatan diri masing-masing serta mendapat imbuhan dengan mengendalikan serta bertugas sebagai RA untuk beberapa pertandingan. Usaha untuk peningkatan pengadil tidak diadakan atas alasan tiada orang yang berminat.


Bila tidak ada peserta bukan kerana orang tidak berminat. Tetapi ianya adalah kerana tidak ada langsung aktiviti mempromosi dan tidak ada sebarang kursus pengenalan untuk tujuan tersebut. Usah salahkan orang lain melainkan muhasabah diri.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA pula adalah orang politik yang tidak tahu langsung tentang 'pengadil'. Timbalannya juga demikian iaitu bekas pemain, bukannya bekas pengadil. Lantaran itu pengerusi langsung tiada masa untuk hadir mesyuarat dan semuanya diserahkan kepada timbalannya yang langsung tiada asas sebagai pengadil. Sudahnya, semua mereka seolah-olah dicucuk hidung dan akur semua apa yang diarahkan oleh PPP padahal Jawatankuasa Pengadil adalah badan yang berada di kedudukan atas daripada PPP. Inilah yang pelik dan individu yang menjadi PPP semakin 'naik tocang'.

Kita yang bodoh ilmu statistik pun boleh menjangkakan, jika PPP dan Jawatankuasa Pengadil berusaha mengadakan kursus pengenalan dan membuat promosi di daerah-daerah, sudah pasti ramai yang berminat untuk menduduki peperiksaan Kelas Tiga FAM ini. Jika satu daerah boleh beri 10 orang sudah tentu KFA boleh mendaftarkan 110 orang. Mungkin mereka akan mendapat jumlah yang lebih dari itu. Tetapi kerana PPP terlalu sibuk hendak menggantung jersi dalam bilik mesyuarat pasukan, semua ini tidak menjadi kenyataan kerana jawatankuasa hanya menurut kata PPP.


Jadi Pegawai Pembangunan ini bertindak seolah-olah pemilik KFA. Presiden berada dalam genggamannya, Setiausaha Kehormat berada di bawah telunjuknya. Jawatankuasa Pengadil harus menurut perintahnya. Dialah tuan. Jika begini keadaannya, sampai bila KFA dan Kedah ketandusan pengadil bolasepak apatah lagi pengadil yang berwibawa.

Bila KFA melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), keadaan ini akan berubah. Rupanya sama sahaja. CEO yang dilantik itupun mungkin sudah dicucuk hidung seperti orang lain juga oleh PPP sama seperti Presiden, Setiausaha Kehormat dan seluruh Jawatankuasa Pengadil yang ada sekarang.

Sama-sama kita fikirkan. Adios!


Thursday, March 1, 2018

KFA YANG EGOIST DAN PEKAK TELINGA

                                                    (Foto ini hanyalah hiasan)

1. Malam ini, seperti yang dijangkakan, pengadil-pengadil yang terlibat dalam perlawanan antara selangor dan Pahang menerima hukuman. Memang sepatutnya mereka menerimanya dan biarlah penerimaan itu secara dada terbuka. Seterusnya ambillah iktibar bahawa membuat keputusan spontan dan selari dengan undang-undang permainan bukanlah satu perkara yang mudah. Mereka perlukan kefahaman yang maksima serta mempunyai kecergasan tahap tertinggi agar dapat berada di kedudukan yang paling wajar untuk melihat setiap insiden.

2. Tegasnya para pengadil mestilah mempunyai pengetahuan tambahan iaitu berkemampuan membaca permainan selain dari pemahaman undang-undang permainan. Inilah faktor yang penting agar stamina dapat digunakan seminima mungkin untuk permainan yang akan mungkin memakan masa dua jam.

3. Perkara inilah yang menjadi tugas utama Pegawai Pembangunan Pengadil yang dilantik oleh KFA, bukannya kerja menggantung jersi di dalam bilik persalinan ketika taklimat perlawanan antara pegawai-pegawai pasukan. PPP mestilah merancang program meningkatkan prestasi pengadil dari segi stamina dan pengetahuan dah 'helah-helah' agar stamina mereka dapat digunakan sebaiknya dalam setiap tugasan.

4. Hal ini tidak berlaku di KFA dan PPPnya dibiarkan bermaharajalela mencampuri segala urusan di KFA sehinggakan Jawatankuasa Pengadil menjadi pak turut sahaja. Padahal kalau diamati PPP yang mesti patuh kepada keputusan JK Pengadil. Tetapi di KFA berlaku sebaliknya. Begitulah bodohnya para pegawai dan pihak pengurusan termasuk Dato' Seri Presiden, Datuk Setiausaha Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil sendiri.

5. AJK Pengadil dan Timbalan Pengerusi lagilah lebih menikus demi menjaga diri dan takut terlepas tugasan dan elaun. Mereka langsung tidak berani mempertikaikan segala tindak-tanduk PPP biarpun mereka sedar itu semua salah dan tidak betul. Segala teguran yang diberikan semuanya tidak dipercayai dan dianggap sebagai fitnah.

6. Bagi saya, senang sahaja. Buktikan apa yang saya katakan selama ini semuanya fitnah. Buktikan dan bawa saya ke mahkamah atas dakwaan fitnah. Ini tidak. Bersemuka tidak berani, tapi mencanang ke setiap perjumpaan dan mesyuarat bahawa itu semua adalah fitnah. Harapkan Ketua Pegawai Eksekutif untuk memperbetulkan keadaan karut ini, umpama bercerita kepada orang pekak dan tuli. Sama sahaja menikus dan masuk kandang yang sama.

7. Jadi bagaimana pengadil khasnya di Kedah hendak membangun. dalam tahun 2017 hanya 4 orang yang menduduki peperiksaan kebangsaan dan hanya seorang sahaja yang lulus. Apa kerja PPP sehingga dalam ramai-ramai manusia di Kedah hanya 4 orang yang mendaftar untuk peperiksaan? Akan datang pula tidak lama lagi peperiksaan Kelas Tiga FAM dan hanya 2 orang yang didaftarkan oleh PPP. Nasib baik ada inisiatif orang lain mendaftarkan 18 orang menjadikan 20 semuanya.

8. Ini baru dari segi jumlahnya. Kalau dilihat prestasi, tidak ada pengadil dari KFA yang boleh diletakkan dalam senarai Kelas A di peringkat Kebangsaan. Pihak pengurusan dan Majlis KFA tidak nampakkah semua ini? Tegasnya pihak Majlis KFA ini dianggotai oleh manusia-manusia yang ego dan bertelinga pekak, langsung tidak mahu mendengar dan menerima teguran orang lain.

9. Bila diperkatakan semua ini, kita dianggap memfitnah. Ini kebenaran!

ADIOSSSSS!

Wednesday, February 14, 2018

BUTANG KECEMASAN



Tekanlah butang kecemasan itu
panggillah dia menjenguk aku
buat seketika sementara kita berkuasa
di kala kita masih mengenali yang mana budi
dan kita kenali apakah itu mungkir janji.

Tekanlah butang kecemasan itu
bila terasa diri di awangan
bakal terjunam ke lembah derita
dan hilang baik budi segala.

Tekanlah butang kecemasan itu
sementara masa masih ada
aku juga masih di sini
barangkali kita masih berbudi
dan mengenang jasa.

- yan, kedah.

Tuesday, February 13, 2018

LAIN BENGKAK LAIN YANG BERNANAH


Melihat gambar di atas, kembalilah nostalgia dalam diri tentang aktiviti masa lalu dalam bidang pengadilan bolasepak. Dahulu, sejak bolasepak negara belum memasuki era profesional, setiap kali diadakan kursus pengadilan bolasepak, sudah pasti akan turut terlibat bersama beberapa rakan regular. Kami satu pasukan saring sahaja diamanahkan mengendali kursus untuk pengadil baru dan juga untuk mengadakan kursus ulangkaji.

Tetapi itu zaman dahulu. Sekarang bila KFA dan bolasepak negara sudah menjadi profesional sepenuhnya, tenasga kami tidak diperlukan lagi kerana FAM telah memperkenalkan jawatan baru untuk tujuan ini iaitu PEGAWAI PEMBANGUNAN PENGADIL. Sudah tentu segala perancangan dan program kursus dibuat dan dilaksanakan oleh pegawai yang dilantik khas ini. Itulah yang sepatutnya.


Tetapi segalanya mungkin tidak terlaksana. PPP entah di mana dan apakah program yang dilaksanaknnya. Tiada siapa tahu langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Pengadil dan juga PPP dalam hal ini. Semenjak saya berada di dalam Jawatankuasa Pengadil KFA sehinggalah saya disingkirkan pada 22 Januari 2017, tiada sekalipun kursus sebegini diadakan.


Jadi apabila melihat kesungguhan PersatuanPengadil Kota Setar mengorak langkah mengadakan kursus untuk para pengadil baru bersekali dengan latihan amali mengangkat bendera, kembang rasa hati kerana ada juga dilihat inisiatif dari orang-orang yang tiada nama dalam KFA mengendalikan perkara yang sebegini. Tahniah kepada mereka dan seluruh jawatankuasa Persaruan Pengadil Bolasepak Daerah Kota Setar.


Yang menghairankan banyak pihak, di mana PPP negeri Kedah berada pada kwaktu ini. Kelibatnya langsung tidak kelihatan padahal perkara begini adalha tanggungjawab beliau. Di mana PPP menghilangkan diri atau sengaja tidak mahu terlibat kerana sudah tentu dia tidak ada nama dalam kegiatan ini. Atau merasa malu kerana orang lain lebih pandai mengatur langkah ke arah meningkatkan jumlah dan mutu pengadil di negeri Kedah.

Walau apapun, manfaatnya akan berbalik kepada KFA. Tahniah diucapkan kepada pihak yang terlibat dan PPP patutlah buangkan segala rasa malu dan bongkak dan iktirafkanlah kegiatan ini walaupun bukan datang dari anda. Kata orang, lain yang bengkak lain pula yang bernanah. Orang lain yang sepatutnya bertanggungjawab, orang lain pula yang melaksanakannya.

Adios!

Thursday, February 8, 2018

BIAR KUAH TUMPAH KE NASI

1. Perlantikan CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif KFA disambut baik ramai peminat bolasepak tanahair khasnya dari negeri kedah sendiri. Peminat Helang Merah merasakan pihak pentadbiran KFA kali ini lebih serius supaya tidak berulang sejarah hitam kegagalan beraksi diperingkat Asia gara-gara kerja sambil lewa para pegawainya. Seperti mendapat harapan baru, perlantikan tersebut dirasakan kena pada tempatnya bagi menyelesaikan beberapa kemelut pentadbiran KFA.

2. Salah satu aspek yang perlu mendapat perhatian CEO ini adalah tentang fungsi Jawatankuasa Pengadil yang kebelakangan ini dilihat tidak berjalan seperti yang sepatutnya. Ada individu di dalam senarai jawatankuasa tersebut mengambil kesempatan daripada hubungan akrabnya dengan SU Kehormat dan juga Presiden KFA mendominasi Jawatankuasa Pengadil KFA untuk kepentingan dirinya. Orang itu adalah Pegawai Pembangunan Pengadil yang dilantik KFA dan direstui FAM. Diharap CEO yang baru dilantik ini dapat memainkan peranan dan mengembalikan kedudukan JK Pengadil KFA di tempat sepatutnya serta meletakkan PPP sebagai entiti sokongan sahaja.

3. Jawatankuasa Pengadil dan Pegawai Pembangunan Pengadil adalah dua entiti yang tidak serupa walaupun kedua-duanya berkisar pada perkara yang serupa iaitu pengadil bolasepak. Walaupun berada di blok yang sama, tugas tetap tidak serupa. Inilah yang tidak difahami kebanyakan orang termasuk ahli jawatankuasa dan Pegawai Pembangunan Pengadil sendiri. Pada anggapan PPP, semua yang berkaitan dengan pengadil adalah di bawah kuasanya tanpa beliau menyedari bahawa beliau adalah ahli yang berada di bawah kuasa Jawatankuasa Pengadil. Dengan tiada kefahaman tersebut maka timbullah berbagai masalah dan pertelingkahan.

4. Hal ini sepatutnya sudah lama diperbetulkan oleh pihak yang bertanggungjawab terutama oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil sendiri ataupun SU Kehormat boleh menggunakan kuasanya member nasihat. Tetapi oleh kerana sekalipun tidak pernah hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengadil bagaimana Pengerusi hendak meneliti semua ini. Dan oleh kerana tiada setiausaha yang mencatat minit mesyuarat, bagaimana laporan mesyuarat akan samapai ke meja Setiausaha Kehormat. Lalu sekartang orang melihat apa yang berlaku sangat melucukan.

5. Program untuk pengadil sepatutnya diputuskan oleh Jawatankuasa, diputuskan oleh PPP. Peruntukan ribuan ringgit yang sepatutnya disalurkan melalui Jawatankuasa, diberikan kepada PPP. Dahulu tidak pernah berlaku jadual bertugas para pengadil untuk sesuatu pertandingan hanya dikeluarkan beberapa jam sebelum sepakmula, sekarang berlaku tanpa memikirkan komitmen lain yang perlu dilaksanakan oleh pengadil. Pengadil juga manusia mempunyai tanggungjawab yang lain. Bila sekali dipertikaikan, pengadil itu disenaraihitamkan.

6. Dahulu tidak pernah berlaku perkara sebegini. Belum pernah terjadi Jawatankuasa Pengadil tidak pernah bertemu atau bermesyuarat dalam jangkamasa yang panjang iaitu setahun dalam 2016. Bayangkan bagaimana program dijalankan dan bagaimana peruntukan disalurkan. Tentulah semuanya terarah kepada PPP kerana beliau merasakan beliau paling berkuasa dalam bidang pengadil tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Pengadil. Ini adalah gara-gara PPP dan Jawatankuasa Pengadil tidak memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing.

7. Sepatutnya perancangan dan sebarang program adalah dibawah kuasa dan tugas Jawatankuasa Pengadil yang diputuskan dalam mesyuarat. Begitu juga dengan hal-hal perlantikan pengadil untuk pertandingan di bawah KFA. Pegawai Pembangunan Pengadil pula adalah bertanggungjawab mengendalikan proses peningkatan pengadil dari aspek kecergasan dan pengetahuan pengadilan dan melaporkan kepada Jawatankuasa apabila diminta. Tetapi apa yang berlaku di KFA adalah sebaliknya. Jawatankuasa Pengadil dinafikan terus fungsinya manakala PPP melakukan semuanya secara “One Man Show” dengan meletakkan Jawatanakuasa Pengadil di bawah arahannya. Dan semua ini tidak boleh ditegur kerana bagi beliau setiap teguran itu sebagai tidak menurut kehendaknya dan orang yang membuat teguran menerima akibatnya. Inilah yang terjadi kepada Mohd. Dahri dan saya sendiri kerana sering mempertikaikan kredibiliti PPP ini.

8. Yang peliknya, apa yang berlaku ini seperti direstui pula oleh Setiusaha Kehormat, Dato’ Aminudin Omar dan Dato’ Seri Presiden sendiri atas kapasiti PPP ini kenalan baik mereka. Apa saja keputusan yang dibuat oleh PPP diterima bulat-bulat oleh SU Kehormat ini.

9. Perkara ini berlaku dengan jelas dari tahun 2015 hinggalah di awal tahun 2017 ketika saya masih berada di dalam Jawatankuasa Pengadil KFA. Tegasnya PPP sangat berkuasa melebihi Jawatankuasa Pengadil sehinggakan untuk mengadakan Ujian Kecergasan Tahunan mesti menunggu PPP ada kelapangan dan kerana terlalu sibuk pada 2016 langsung tidak diadakan ujian tersebut.
10. Atas cadangan PPP jugalah pada awal 2017, satu senarai Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA yang baru dibuat dan dipersembahkan kepada SU Kehormat. Tanpa usul periksa senarai itu diluluskan dan ditandatangani oleh SU Kehormat surat penamatan tugas beberapa AJK yang sepatutnya berakhir pada 2018.

11. Belum pernah terjadi PPP begitu tinggi kuasanya seperti yang berlaku di KFA. Lihatlah FA negeri-negeri lain waima PFA (Pulau Pinang) yang sekecil itupun pandai berorganisasi. Dan lihatlah setakat ini yang terbaik dilakukan oleh PAFA (Perak). Dan JK pengadil munkin tidak tahu bagaimana peruntukan untuk sesuatu program dipohon dan disalurkan. Tidak siapa yang ambil tahu, asal PPP membuat permohonan, ianya diluluskan.

12. Perkaraa-perkara yang beginilah yang perlu diperbetulkan oleh CEO yang dilantik ini bagi meningkatkan profesionalisma dan juga meningkatkan wibawa Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri. Tidak salah melantik Jawatankuasa Eksekutif menjadi pengerusi tetapi lantiklah Timbalan Pengerusi dalam kalangan bekas-bekas pengadil kebangsaan yang ada kerana mereka lebih tahu masalah pengadil. Biarlah kuah tumpah ke nasi supaya tidak membazir dan kena pada tempatnya.

Sekian sahaja. Terimakasih.

ADIOS!

Tuesday, January 30, 2018

JANGAN NASI MENJADI BUBUR


Sekali pandang dan sepintas lalu berfikir, mudah sahaja. Perkara boleh beres dengan senang tanpa masalah. Tetapi hakikatnya memang payah dan rumit. Hendak puaskan hati pihak-pihak tertentu, satu hal. Tetapi mahu melancarkan kerja dan menguntungkan semua pihak, satu hal yang lain.

Inilah yang perlu difikir pengurusan KFA. Melantik CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif memang satu perkara mudah jika dilihat sekilas pandang. Apa susahnya, dapatkan nasihat dari beberpa orang dan teliti jika ada permohonan tertentu, buat penilaian sebaiknya, lantik sahaja. Harapan orang itu boleh jalankan tugas belum tentu sebab kita tiada sebarang rekod tentang kerjayanya sebelum ini. Kita anggap orang Kedah tentulah akan berbakti untuk Kedah sepenuh hati. Lantik sahaja orang Kubang Pasu dan biarkan KFA menjadi JFA

Pilihlah orang yang betul-betul berwibawa untuk menggalas tugas yang berat ini. Jangan pisang berbuah dua kali. KFA sudah berpengalaman bagaimana jika pegawai eksekutif jalankan tutgas sambil lewa. Kegagalan mendapat lesen AFC adalah pengajaran berguna untuk kita supaya kita berhati-hati memilih orang bertugas.

Pilihlah orang yang sudah ada rekod cemerlang menjalankan tugas. Ada individu yang bersara dengan tugas cemerlang mengendalikan Pusat Sukan di universiti di utara Kedah ini. Berdasarkan penglibatan dan pencapaian beliau dalam bidang pengendalian sukan-sukan berprestij di Kedah dan juga Malaysia, orang ini difikirkan layak. Walaupun usianya sudah meningkat tetapi masih aktif dan masih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif KFA.

Kalau setakat usia muda dan berminat, tidaklah mencukupi untuk menggalas tugas yang mencabar ini. Rekod pencapaian dalam menjalankan tugas itu amat penting dirujuk dan diamabil kira. Jangan nasi menjadi bubur.