Wednesday, November 19, 2008

ESOK SAYA AKAN KE TANAH SUCI

Dengan rasa rendah hati, saya memohon ampun dan maaf kepada siapa sahaja yang sempat menatap tulisan ini jika ada apa-apa kata saya yang terasa di hati selama saya berada di Laman ini. Esok saya akan memulakan perjalanan ke Tanah Suci menunaikan fardu Haji dan Umrah.

Saya akan kembali ke tanahair selepas 45 hari berada di sana.

Rasanya selepas ini saya akan teruskan juga menulis untuk kepuasan diri semata-mata. Hanya untuk kepuasan diri! Orang lain tentu tidak berminat membaca kerana mungkin saya terlalu serius dalam sesuatu isu.

Walau apa pun, saya akan ke Mekah esok.

Monday, November 10, 2008

ANTARA EX-GRATIA DAN HARGA BARANG

Salah seorang tentu berbohong. Mahathirkah yang betul, Nazrikah yang betul? Biar siapa pun yang betul, salah seorang telah berbohong. Nazri kata hakim-hakim itu dinasihatkan bersara awal manakala Mahathir pula tegas berkata bahawa mereka dipecat. Mereka berdua sahaja yang tahu siapa berbohong, siapa tidak. Kami orang-orang kampung hanya mampu meneka.

Pecat atau bersara awal bukan urusan lagi. Peduli apa. Yang penting mereka telah dibayar ‘ex-gratia’ jutaan ringgit. Untuk 6 orang hakim sebanyak RM10.5 juta dilunaskan kepada kerajaan Malaysia yang baik hati. Ada yang dapat sampai RM5 juta dan yang paling sedikit RM500 ribu. Itupun sudah banyak bagi kami yang tinggal di kampung-kampung.

Kami orang-orang kampung ni tidak kisah sangat berapa juta kerajaan terpaksa berhabis untuk perkara yang menurut Tun Mahathir sebagai tidak perlu itu kerana ada antara 6 hakim itu menerima 3 jenis pencen. Kami tidak tahu 10.5 juta itu sebanyak mana. Agaknya kalau diisi dalam beg orang pergi Haji mungkin penuh padat. Hendak mengira RM1 juta pun kami tidak pandai. Buat masa ini, dapat RM1000 pun kami rasa sudah tidak terkira banyak.

Yang kami fikirkan sekarang tentang harga barang yang tidak turun-turun walaupun harga minyak sudah empat kali turun. Dulu harga barang dinaikkan dengan begitu cepat, alasannya kerana harga minyak naik. Sekarang harga minyak sudah turun, kenapa harga barang masih macam itu juga? Inilah yang merunsingkan rakyat.

Yang kami runsing tentang cuaca tidak menentu. Kadang-kadang hujan dan kadang-kadang panas. Akhir-akhir ini kami kerap dilanda banjir. Pemimpin kerajaan bukan hendak memikirkan perkara itu tetapi sebaliknya asyik bercakaran merebut jawatan dalam parti. Hari-hari cerita mengenai perebutan ini menjadi topic utama, bukan kesusahan rakyat.

Dalam duduk fikir-fikir tentang harga barang yang masih membebankan, Datuk Noh Omar pula umumkan kenaikan tambang bas dan teksi. Entah apa rasionalnya pun susah kita hendak faham. Harga minyak dah turun, tambang pula naik. Barangkali Noh Omar tidak tahu ataupun lupa bahawa yang selalu menaiki bas dan teksi adalah rakyat miskin yang tidak ada kereta. Itulah sahaja pengangkutan untuk kami dari kampung ke kota.

Orang yang ada kereta sudahlah harga minyak dah turun, dapat ‘rebate’ tunai lagi. Kami orang kampung yang naik bas dan teksi kena bayar lebih pula. Bukankah itu pelik? Daripada memikirkan ex-gratia RM10.5 juta yang kami tidak faham itu, lebih baik memikirkan apa kami nak bagi anak-anak kami makan esok kerana harga ikan kembung pun sudah mencecah RM8.00 sekilo dan cili mencecah RM6.00 sekilo.

Rakyat sekarang sudah boleh berfikir dan menentukan yang mana perlu difikirkan dan nyang mana tidak perlu. Dah diharap pihak kerajaan melalui pegawai-pegawainya atau bapa-bapa Menteri juga memikirkan perkara serupa daripada sibuk hendak berdebat untuk menunjukkan siapa pandai bercakap.

Itulah kerja orang-orang politik. Tak kira siapa mereka pemerintahkah atau pembangkangkah, sama sahaja.

APA RAFIDAH NAK BUAT SELAMA TIGA BULAN?

Exco Wanita yang bermesyuarat hari ini memutuskan bahawa peralihan kuasa pergerakan itu tetap seperti rencananya iaitu pada Jun 2009. Rumusan juga dibuat bahawa tidak ada pertandingan jawatan Ketua dan Timbalan Ketua. Meleset semua spekulasi yang timbul akhir-akhir ini bahawa sama ada wujud pertandingan atau peralihan kuasa dipercepatkan.

Semalam Sharizat bersuara seperti yang dijangkakan. Walaupun dikatakan seperti ‘melawan ketua’, memang wajar sekali beliau menyuarakan hasrat supaya peralihan kuasa Pergerkan Wanita di selaraskan pada Mac ini semasa persidangan Perwakilan. Sejajar dengan peralihan kuasa Presiden, adalah lebih manis jika perkara yang sama berlaku kepada Wanita.

Bukan setakat Presiden, malah semua sayap UMNO mendapat ketua yang baru. Pemuda sudah ada tiga calon dan salah seorang akan tepilih menjadi Ketua Pemuda. Beitu juga dengan Puteri dan Putera nya, Jadi tidakkah sesuatu yang pelik peralihan Ketua Wanita berlaku pada Jun 2009?

Entah apa yang bermain di fikiran Rafidah sehingga tidak mahu melepaskan jawatan tersebut. Penting sangatkah jawatan tersebut membuatkan Rafidah mahu memegangnya untuk tempoh tiga bulan lagi?

Dan apa yang beliau hendak buat dalam masa tiga bulan selepas perhimpunan nanti. Hendak mengukuhkan Pergerakan Wanita? Rasanya Wanita akan lebih kukuh jika beliau umumkan peralihan sekarang kerana sokongan kepada Sharizat semakin mantap.

Apa agenda lagi yang belum selesai yang mahu dilakukan Rafidah? Tidak ada siapa tahu. Tetapi bila dilihat kepada pencalonan untuk Sharizat, jelas ia merupakan mesej yang nyata kepada Rafidah betapa ‘grass-root’ mahukan perubahan kepimpinan.

Bukan perwakilan tidak sukakan Rafidah tetapi peralihan kuasa lebih penting. Mendapat Ketua yang baru lebih menjadi keutamaan sejajar dengan sayap UMNO yang lain. Lagipun hanya membuang masa menunggu tiga bulan dan kemudian Sharizat hanya ‘memangku’ jawatan itu sedangkan inilah peluang untuk berundur secara terhormat.

Teka-teki yang dimainkan Rafidah mendatangkan kesan kepada orang lain. Azalina tidak cukup pencalonan untuk bertanding Timbalan kerana Bahagian-bahagian telah mencalonkan Sharizat. Andainya Rafidah tidak bertanding, sudah tentu Sharizat dicalonkan Ketua dan peluang untuk Azalina terbuka luas.

Dan sekarang semuanya terungkai. Rafidah tetap dengan kemahuannya untuk memegang jawatan Ketua Wanita untuk tiga bulan lagi. Dan untuk jawatan Timbalan Ketua tidak akan ada pertandingan. Nanti selepas tiga bulan, apabila Sharizat memangku jawatan Ketua Wanita, siapa pula pemangku Timbalan Ketua?

Nampaknya Pergerakan Wanita sengaja mencari susah.

Saturday, November 8, 2008

APA HIDUP PALING LUNAK?

Bagaimanakah kehidupan yang paling diinginkan semua orang? Apakah bentuk kehidupan yang diimpikan setiap insan di dunia ini? Apa hidup paling lunak? Inilah soalan yang biasa bermain di fikiran saya selama ini. Soalan yang umum ini amat mudah diberi jawapan.

Memang banyak kehidupan ayang melunakkan. Memang banyak kehidupan yang diinginkan. Bergaduh tidak ada orang melawan yakni tidak ada yang berani dengan kita. Ini satu cara hidup yang lunak kerana kita dapat berbuat apa sahaja kepada orang lain. Kita mengumpat, tidak ada yang membalas. Lunak juga hidup begitu sebab kita akan rasa bebas. Berhutang tidak payah bayar. Lagi senang kehidupan begini, lebih melunakkan.

Semua orang inginkan kesenangan. Semua orang inginkan kekayaan dan memiliki seberapa banyak harta di dunia ini. Tidak ada orang yang mahu kesusahan dan keperitan dalam kehidupan di zaman serba kompetatif ini. Saban hari orang berebut-rebut untuk mendapatkan semua bentuk kesenangan walau apa cara sekalipun.

Cara hidup yang paling digemari manusia ialah berhutang dan tidak payah membayar hutang. Senang sahaja, bila berhutang tidak perlu bayar. Manusia memang suka berhutang sama ada berhutang budi atau harta-benda. Sejarah hutang ini telah bermula sejak zaman dahulu-kala lagi sehingga ada pantun Melayu berbunyi:

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.

Ada juga kata-kata pendekar di zaman silam yang berbunyi:

Hutang darah dibayar darah,
Hutang nyawa dibayar nyawa
.

Dari pantun tersebut jelas menceritakan peri pentingnya membayar hutang tak kira sama ada berhutang harta-benda waima berhutang budi sekalipun. Hutang mesti dijelaskan. Wajib dibayar di dunia ini juga kecuali berhutang budi sahaja yang di bawa sehingga kita mati. Malah orang yang membunuh akan menerima balasan setimpal.

Sebab itulah sebelum mayat seseorang hendak dibawa ke kuburan bagi dikebumikan, waris akan meminta pemiutang si mati tampil ke hadapan untuk dilangsaikan hutang arwah sekiranya ada. Orang yang hendak berangkat ke Tanah Suci juga begitu. Seboleh-bolehnya semua hutangnya hendak diselesaikan supaya ia dapat pergi dengan tenang seolah-olah akan mati di sana.

Begitulah pentingnya membayar hutang!

Tetapi bersediakah kita untuk membayar hutang? Banyak hutang kita. Ada orang membeli rumah secara hutang dinamakan Pinjaman Perumahan. Hutang yang ini mudah dibayar sebab dibuat secara potongan gaji. Hutang kenderaan dipanggil Sewa-Beli. Sewa-beli kenderaan juga sejenis hutang. Adakah hutang ini kita selesaikan setiap bulan?

Dan yang penting hutang kita dengan Tuhan. Banyak hutang kita denganNya, tidak terkira. Sembahyang lima waktu sehari, puasa di bulan Ramadan, Zakat dan janji kita dengan Allah tentang keimanan kita adalah hutang kita denganNya. Langsaikah hutang kita itu?

Bila kita ada hutang, lunakkah hidup kita?

LOYAR BURUK DI KAMPUNG PUN TAHU

Akhirnya telah sah kes Anwar tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Memang telah dijangkakan. ‘Loyar buruk’ yang tinggal di kampung yang bersidang di kedai-kedai kopi pun boleh menjangka keputusan tersebut. Tak payah tunggu hingga berminggu-mingu untuk membuat keputusan. Buat habis masa dan wang ringgit sahaja.

Dulu semasa mula-mula kes Anwar di peringkat laporan lagi sudah saya katakan bahawa Anwar seorang yang cukup bijak. Beliau mengambil langkah awal supaya dirinya tidak terjerat. Yang herannya macam mana pihak pendakwa tidak dapat berfikir seperti loyar kampung berfikir?

Anwar sudah ‘mengikat’ Ghani Patail pada hari pertama kes beliau di bawa ke mahkamah. Laporannya terhadap Musa Hassan dan Ghani Patail kepada BPR sebagai amaran supaya kedua-dua individu ini tidak melibatkan diri dengan kes liwat itu. Mereka berdua diikat awal-awal lagi.

Musa Hassan mengambil langkah yang betul dengan tidak masuk campur dalam urusan siasatan kes tersebut. Harap-harap Ghani Patail pun begitu juga, jangan melibatkan diri dalam kes ini.

Pada peringkat awal memang betullah tindakan mereka. Loyar-loyar kampung ini lihat kedua-dua mereka memang tidak masuk campur dan kami semua gembira bercampur kesal. Gembira kerana mereka berdua mengambil pendekatan yang betul dan kesal kerana tidak ada siapa melihat motif Anwar membuat laporan BPR itu.

Tiba-tiba kita dikejutkan dengan surat permohonan pendakwa untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi ditandatangani Ghani Patail. Kenapa tidak boleh berfikir? Tak payah bersidang menggunakan Yang Arif SM Komathy Suppiah untuk menentukan sahnya surat tersebut. Kami loyar buruk di kedai kopi pun boleh buat keputusan. Tak payah bersidang berhari-hari dan memanggil saksi-saksi. Buang masa sahaja.

Secara logiknya sudah tentu sekali surat tersebut tidak laku atau kata orang putih, ‘unvalid’. Dan itulah yang dijangka Anwar lebih awal apabila beliau terus melaporkan kepada BPR tempoh hari. Dan jangkaan Anwar betul-betul berlaku.

Yang dihairankan, kenapa perkara yang semudah itu tidak dapat difikirkan oleh Ghani Patail dan barisan pegawai pendakwa? Kenapa tidak suruh Musa Hassan pula membuat siasatan. Baru betul! Orang ketawa melihat kebodohan kita.

Tetapi biarlah mahkamah mana pun, Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Sesyen, sama sahaja. Yang bersalah tetap akan bersalah dan yang bebar tetap akan benar juga. Kasihan Mohd Saiful Bukhari yang tidak siapa pedulikan maruah beliau. Pemangsa bebas bergerak dan bercakap, si mangsa jadi tidak keruan nasibnya.

Inilah petanda dunia akhir zaman!

Friday, November 7, 2008

APA AKAN TERJADI KEPADA MEREKA?

Tanggal 11 November 2008 merupakan hari bermulanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2008 bagi pelajar-pelajar Tingkatan Lima dan calon-calon persendirian yang berdaftar. Ini bermakna sessi penentuan masa depan para remaja kita datang lagi untuk menguji keberkatan usaha mereka selama 5 tahun di bangku sekolah.

Tetapi persoalan yang hendak saya kongsi di sini bukanlah mengenai peperiksaan tersebut kerana kali ini saya tidak terlibat langsung dengannya. Apa yang hendak saya perkatakan adalah mengenai para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan tersebut khasnya dan semua pelajar amnya.

Sepanjang pengamatan saya di musim peperiksaan, beberapa kejadian yang saya anggap sangat tidak munasabah berlaku hasil dari sikap para pelajar sendiri. Ada pelajar yang selama beberapa bulan tidak datang ke sekolah, tiba-tiba pada hari peperiksaan mereka muncul.

Yang perempuan datang dengan pakaian seragam lengkap tetapi sudah lusuh. Yang lelaki menunggang motosikal serta berambut panjang. Ketika memasuki dewan peperiksaan, barulah tercari-cari tempat duduk.

Ada juga pelajar yang pulang ketika waktu rehat dan terus tidak datang kerana tertidur. Tidak ada siapa yang ambil kisah sama ada dia datang atau tidak untuk peperiksaan. Ada juga yang datang lewat melebihi masa yang ditetapkan.

Beberapa orng pelajar pula didapati merosakkan kad pengenalan mereka dengan sengaja. Bila ditanya kenapa mereka berbuat demikian, jawapan mereka amat menyedihkan. "Sahaja main-main!" Langsung tidak ada rasa bersalah.

Sepanjang masa peperiksaan, beberapa pelajar tIdak menjawab sebarang soalan, hanya duduk atau tidur sahaja. Bila orang pulang, mereka turut pulang. Datang sekadar menduduki peperiksaan sudah memadai bagi mereka. Memang mereka tidak menjawab kerana tidak pernah datang belajar.

Saya amat bersimpati dengan mereka kerana bukan semua sengaja memilih cara hidup demikian. Ada antara mereka terpaksa melalui keadaan seperti itu. Ibu mereka keluar pagi-pagi pergi berkerja, bapa pula pergi ke laut mencari rezeki. Mereka hidup sendiri-sendiri tanpa haluan.

Saya terfikir tentang masa depan mereka. Apa mereka hendak lakukan untuk menyara hidup mereka? Dan kalau telah berumahtangga nanti bagaimana anak-anak mereka pula?

Apa akan terjadi kepada mereka?

LABBAIKALLAH............



Sebelum berbicara lebih jauh, saya terlebih dahulu memohon ampun dan maaf jika selama saya berada di Laman saya ini ada perkara-perkara atau kata-kata saya yang menyentuh peribadi sesiapa. Kalau berlaku pun adalah di luar sedar saya dan terjadi secara tidak sengaja.

Sebenarnya saya akan menyepikan diri untuk satu tempoh yang panjang juga iaitu kira-kira 50 hari mulai pertengahan November ini. Saya akan menjadi tetamu Allah di Mekah untuk menunaikan fardu haji bersama isteri dan ibu. Kami akan hanya kembali ke tanah air selepas 46 hari.

Hasrat untuk menunaikan Rukun Islam Kelima ini memang tertanam di hati setiap muslim tetapi ada sahaja halangan setiap kali hendak melaksanakan perkara yang baik ini. Lepas satu hal, perkara lain pula yang datang yang memerluan penyelesaian. Lantas niat ke Mekah terpaksa dibatalkan. Kata orang belum sampai seru. Betulkah?

Sehingga sekarang ini, sudah ramai jemaah Malaysia berada di Madinah melalui penerbangan awal yang bermula pada 30 Oktober 2008 yang lalu.

Insyaallah! Saya akan berangkat ke sana pada pertengahan bulan November ini menjadi tetamu Allah meninggalkan anak-anak. Bolehkah tinggalkan mereka sendirian di rumah? Tentu boleh. Anak-anak telah pun dewasa dan boleh menjaga diri. Ini membuatkan saya tidak bimbang meninggalkan mereka.

Lagipun jiran-jiran di sini sudah tentu tidak akan membiarkan mereka bersendirian. Jiran-jiran akan membantu dan menggantikan saya dan isteri menjaga kebajikan anak-anak saya.

Kata orang, ujian kepada jemaah adalah sangat jelas dan tidak di sangka-sangka. Kadang-kadang ujian itu didatangkan Allah tanpa disedari. Kita merasa payah melalui sesuatu tetapi kita tidak tahu itulah ujian dariNya. Walau apapun, kita perlu bersyukur dengan pemberianNya.

Baru bulan lepas rumah orang tua saya ditenggelami air akibat banjir. Oleh kerana dia tinggal seorang diri, saya telah berusaha membantunya mengubah barang-barang di rumahnya ke tempat yang lebih tinggi dan selamat. Akibatnya saya rasa tidak selesa sekarang. Badan rasa sakit-sakit. Itulah ujian kepada diri saya.

Kepada sesiapa sahaja, saya harap dapat mendoakan agar amalan kami nanti diterimaNya. Semoga kami bertiga diberkati dan sentiasa berada dalam keadaan kesihatan yang baik serta mendapat HAJI MABRUR.

Insyaallah!

Wednesday, November 5, 2008

KECELARUAN INI SALAH SIAPA?

Bila disingkap kembali tentang kecelaruan politik negara ini, kita tercari-cari di mana silapnya dan siapa yang berbuat silap. Daripada tenang menjadi berkocak. Daripada tenteram bertukar menjadi goncang. Salah siapa?

Baik kita lihat semula bila kecelaruan ini bermula. Dahulu selepas Mahathir bersara dari jawatan Perdana Menteri dalam tahun 2003, semuanya masih tenang. Pilihanraya Umum 2004 menyaksikan BN menang besar dan semua orang membuat kesimpulan bahawa kredibiliti Pak Lah menaikkan peratus rakyat menyokong BN dan UMNO kerana orang suka slogan yang beliau perkenalkan iaitu “Jangan Bekerja Untuk Saya tapi Bekerja Bersama Saya”.

Kecelaruan ini bermula apabila Mahathir mengkritik Pak Lah selepas pembatalan projek mega Jambatan Bengkok yang direncanakan Mahathir sebelum bersara sedangkan Pak Lah sudah berjanji tidak akan berbuat demikian.

Bermula dari sinilah kecelaruan politik ini berlarutan sehingga sekarang. Bermula dari sinilah segala-galanya terjadi sehingga BN tersungkur di empat negeri lagi selepas Kelantan. Bermula dari sinilah, setiap hari kritik demi kritik oleh Mahathir, di dalam dan di luar negara sehingga membawa BN dilanda tsunami dan hilang majoriti duapertiga di Parlimen.

Pak Lah sebenarnya tidak lemah dan tidak ada cacat jika dibanding dengan Perdana Menteri sebelum ini, tetapi Mahathir membuatkan Pak Lah dilihat cacat dan lemah. Komen dan kritik Mahathir memburukkan Pak Lah dilihat mempengaruhi khalayak yang ramai untuk membuat kesimpulan bahawa Pak Lah lemah dan ‘teruk’ mentadbir negara.

Kalau orang macam kita yang kritik, siapa hendak peduli? Orang dengar pun tidak. Macam penulis-penulis blog juga, kalau orang biasa yang tulis, siapa pun tidak berminat membaca. Tapi kalau Raja Petra yang tulis, isu kecil macam manapun boleh jadi cerita hebat.

Jadi bila Mahathir yang membuat kritikan, sudah pasti ia menjadi sesuatu yang boleh dipercayai walaupun apa yang berlaku dalam pentadbiran mungkin sama kalau Mahathir masih lagi Perdana Menteri. Orang melihat kritik Mahathir sebagai betul. Cuba lihat penulisan Mahathir dalam Laman Blognya, ratusan komen pengikutnya yang rata-rata memuji pandangan beliau dalam setiap isu.

Mahathir juga dalam masa yang sama berjaya pula mengheret beberapa pemimpin lain turut serta mencemuh Pak Lah. Yang paling lantang dalam kategori ini adalah Muhyiddin Yassin. Timbullah pandangan-pandangan yang lain dari pemimpin-pemimpin seperti ini yang menghentam Pak Lah dan menyokong Mahathir.

Saya rasa jika Mahathir meletak dirinya sebagaimana orang lain yang ‘bersara’, kecelaruan ini pasti tidak berlaku. Maknanya jika Mahathir sudah bersara, buatlah secara orang bersara. Buat apa nak susahkan diri sehingga sanggup ‘keluar’ dari parti yang menjadi kesayangan beliau kerana mempertahankan prinsip yang terhasil dari dendam kesumat.

Kalau betul beliau sayangkan negara dan kerajaan, buat apa beliau memainkan peranan menyingkirkan Pak Lah. Apa salahnya beliau duduk bersama memberi nasihat kepada Pak Lah sebagaimana Lee Kuan Yew berbuat kepada anaknya di Singapura.

Jadi kecelaruan politik masa kini angkara siapa sebenarnya?
Kecelaruan ini salah siapa?

Tuesday, November 4, 2008

GEMBIRA DALAM DERITA

Semalam nampak Najib amat gembira bersama para penyokongnya mengangkat tangan tanda kemenangan. Menang Tanpa Bertanding! Saya tumpang gembira kerana tidak ada pertandingan jawatan Presiden, seterusnya tidak ada perebutan jawatan Perdana Menteri. Setakat itu sahaja gembira kita. Kalau mereka berebut-rebut jawatan PM itu, habis negara kita. Dalam tidak berebut pun dah tunggang-langgang dan ‘bercempera’ habis.

Tetapi betulkah menang tanpa bertanding? Jangan terlalu gembira sehingga lupa bahawa dalam UMNO ada beberapa ‘kem’ yang mempunyai beberapa orang ketua dan pemimpin pula. Hulubalang-hulubalang parti mewakili kaum Melayu ini harus ingat bahawa peraturan system ‘KOUTA’ yang dicipta Mahathir dan diguna-pakai itu menyelamatkan Najib dari menghadapi pertandingan. Kalau tak disebabkan oleh ‘senjata’ itu, bukan sahaja Tengku Razaleigh Hamzah yang akan beradu tenaga dengan Najib. Ada orang lain lagi berminat dengan jawatan nombor satu itu.

Sekarang orang-orang tersebut bukan main lagi memuji Najib padahal dalam hati Tuhan saja yang tahu. Muhyiddin Yassin pernah bersuara untuk berada dalam senarai pencabar untuk jawatan tersebut. Mohammad Mat Taib yang ada skandal duit RM2 juta dulupun berminat juga. Tetapi bila memikirkan susah hendak melepasi kouta tersebut, semua memendam rasa. Ya tak ya, kenalah memberi sokongan padu kepada Najib untuk menjaga diri terutama selepas Mac nanti.

Itulah politik dalam UMNO. Nak cari nahas memberi sokongan kepada Tengku Razaliegh? Orang yang pernah bersuara menyokong Mahathir pun cuba tengok apa sudah jadi. Rais Yatim bagaimana? Beliau masih penyokong Mahathir.

Muhyiddin Yassin kira bernasib baik kerana hanya melobi untuk jawatan nombor dua. Itupun sudah dihentam kiri-kanan oleh beberapa orang kuat Abdullah malah oleh Abdullah sendiri kerana dilihat sering ‘bercendoi-cendoi’ dengan Mahathir dan Mukrij.

Najib pula jangan gembira sangat. Ingatlah, setiap orang yang menyokong dan memuji itu ada agenda tersendiri. Itu semua strategi untuk selepas bulan Mac nanti selepas Najib menerima kuasa dari Abdullah. Dalam suasana politik yang semakin 'gila' sekarang, apapun boleh terjadi.

Pemimpin UMNO sibuk bercakaran sesama sendiri untuk merebut jawatan. Semua memberi pandangan dan nasihat seolah-olah ahli-ahli bodoh semuanya. Semua pemimpin sudah lupa tentang keluh kesah rakyat tentang harga barang. Lupa pada harga minyak yang turunnya lambat tidak seperti naiknya dahulu. Lupa pada rakyat yang menghadapi masalah kekurangan bahan makanan. Itulah kerja orang politik.

Dalam orang sibuk-sibuk menuntut penurunan harga barang , Noh Omar pula mengumumkan kenaikan tambang bas dan teksi. Sebab apa pula tambang bas dan teksi perlu dinaikkan? Harga minyak mahal? Kepentingan pengusaha bas sahaja diambil kira, kepentingan rakyat dan golongan bawahan yang menggunakan bas untuk ke mana-mana ini perlu juga dijaga. Orang kaya mana mahu menaiki bas.

Pemilik kenderaan sudah diberi subsiti berbentuk wang tunai (rebate) tetapi bagaimana penumpang bas? Pemilik dan pengusaha bas sudah dapat macam-macam, tiba-tiba penumpang pula kena bayar lebih.

Najib jangan seronok sangat, hanya menang sebab orang lain tidak boleh bertanding bukan orang tidak mahu bertanding. Orang lain pun kena ingat juga. Dalam masa memuji Najib bagai nak rak, perkara-perkara begini kena juga diambil kira.

Saturday, November 1, 2008

GURU YANG ORANG TIDAK TAHU

Penyair Usman Awang menulis pada tahun 1979 antaranya berbunyi;

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam yang menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Demikianlah jasa seorang guru, lebih-lebih lagi guru yang mengajar mengenal huruf pertama untuk dikenali, guru yang mengajar nombor pertama untuk diingati. Guru itulah yang sepatutnya lebih awal menerima penghargaan.

Orang hanya mengenali guru bila ada orang memanggilnya ‘cikgu’. Orang mengenali guru bila melihat dia membawa buku memasuki kelas atau kawasan sekolah. Selain dari situasi itu orang tidak kenal guru.

Usman Awang juga menulis;

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Orang tidak kenal guru. Setiap hari ada sahaja cerita kurang enak tentang guru. Kadang-kadang ada berita waris menyaman guru. Ada berita murid menendang guru. Ada berita tentang tuduhan guru menuntut gaji yang tinggi. Orang seperti sudah lupa bahawa mereka pernah bersekolah dan diajar oleh manusia bergelar ‘guru’.

Orang tidak sedar bahawa guru bersengkang mata memeriksa buku-buku kerja murid-muridnya hingga jauh malam, menyediakan soalan untuk ujian dan peperiksaan dan menyediakan bahan-bahan untuk diajar esoknya. Orang juga tidak peduli guru terpaksa mengorbankan hari cuti hujung minggu membawa murid-muridnya mengikuti aktiviti-aktiviti ko-kurikulum di tempat-tempat yang jauh meninggalkan anak-anak mereka.

Orang tidak tahu bahawa semasa musim peperiksaan begini para guru tidak senang duduk. Selagi keputusan peperiksaan tidak keluar, selagi itulah mereka tidak tenteram. Apa tidaknya, nanti kalau keputusan tidak memuaskan, mereka terpaksa menyediakan jawapan-jawapan untuk dijawab semasa post-mortem samada di peringkat sekolah, PPD dan juga Jabatan Pelajaran. Malah kadang-kadang pihak KementerianPelajaran sendiri datang menyelidik.

Tidak kira lagi pihak Nazir Sekolah. Masa inilah juga mereka mengambil kesempatan menekan guru-guru. Kumpulan Nazir ini kadang-kadang dilihat cuba ‘mengganggu’ guru-guru dengan saranan dan laporan mereka yang tidak munasabah kepada Kementerian Pelajaran.

Yang orang tahu guru mesti dikenakan tindakan apabila menghukum muridnya. Guru mesti ditukarkan walaupun sudah jelas yang bersalah adalah murid yang menendang guru. Yang orang tahu, permintaan guru supaya disemak gaji mereka jangan dilayan.

Orang lupa bahawa guru juga adalah manusia biasa. Orang lupa bahawa:

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Begitulah guru yang tidak siapa tahu mengenainya.