Sunday, October 11, 2009

BELAJARLAH DARI MCA

1. MCA telah membuat satu keputusan yang bijak semalam. Walaupun keputusan itu memang di duga, ternyata itulah keputusan terbaik bagi mengembalikan reputasi mereka yang sudah tercalar sejak PRU12 tahun lalu. Sebagai sebuah parti terbesar bagi kaum Cina dan salah satu komponen paling berpengaruh dalam BN, tindakan yang diambil perwakilan semalam adalah wajar dan amat baik. Sekalung tahniah untuk MCA!

2. Semalam MCA menolak kedua-dua pemimpin mereka yang asyik bertelagah ini. Mereka menolak Ong Tee Kiat dan Dr. Chua Soi Lek yang tidak pernah senyap sejak pemilihan MCA yang lalu yang menobatkan Tee Kiat sebagai Presiden dan Soi Lek sebagai Timbalannya.

3. Oleh kerana bukan dari kem yang sama, mereka tidak pernah sunyi dari bertelagah sesame sendiri dan kemuncaknya, Dr. Chua di pecat dari parti. Bertambah parahlah krisis kedua-dua pemimpin ini sehinggalah semalam, para perwakilan mengambil tindakan yang amat terpuji.

4. Lagipun apa gunanya berketuakan seorang yang penuh dengan kontroversi dan bermasalah. Lebih baik berketuakan seorang yang lain yang lebih baik dari kedua-dua mereka itu. Ong Tee Keat dengan masalah PKFZnya manakala Dr. Chua Soi Lek dengan masalah videonya. Kedua-duanya menghadapi masalah moral, jadi adalah lebih baik mereka ditolak.

5. Inilah yang perlu dipelajari oleh parti komponen yang lain jika handak membuat penghijrahan ke arah yang lebih baik. Mana-mana pemimpin yang ada masalah dan kontroversi, harus ditolak sahaja seperti yang MCA lakukan.

6. Baik dalam UMNO atau pun MIC, kedua-duanya mempunyai individu yang bermasalah yang mencemarkan reputasi parti. Individu-individu ini patutnya telah lama di ‘masukkan dalam peti sejuk’ dan digantikan dengan pemimpin yang lain yang bersih dari sebarang kontroversi.

7. Tanpa perlu menyebut nama-nama tertentu, semua orang sudah maklum siapa yang dilanda kontroversi dan siapa yang mempunyai masalah. Ada pemimpin yang entah bagaimana boleh terpilih memegang jawatan tertinggi sedangkan semasa pencalonan ia hanyalah nyawa-nyawa ikan manakala calon yang pencalonan tertinggi pula tewas. Tentulah ada sesuatu di sebaliknya.

8. Ada individu yang nyata diselubungi kontroversi membawa wang berjuta ke luar negara dan dibicarakan di mahkamah di sana, masih lagi boleh dipilih dan dilantik menganggotai kerajaan pada satu ketika.

9. Ini adalah sekadar beberapa contoh yang boleh dilihat dengan jelas. UMNO dan MIC patut melihat contoh yang dilakukan oleh MCA semalam jika masih mahu dianggap masih relevan dengan senario politik sekarang.

Thursday, October 8, 2009

DRAMA DARI SEBERANG

1. Akhir-akhir ini kedengaran bermacam-macam luahan rasa tidak puas hati terhadap penyiaran drama dan filem dari Indonesia dalam siaran televisyen tempatan tidak kira saluran kerajaan atau swasta. Ramai yang beranggapan tidak wajar drama-drama dan filem yang rendah mutunya itu ditayangkan untuk tatapan rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi sekarang ini dipengaruhi keadaan semasa hubungan rakyat Malaysia dengan rakyat Indonesia ekoran beberapa isu berbangkit.

2. Semua pendapat yang diutarakan dipengaruhi emosi marah dan tidak puas hati terhadap tindakan segelintir rakyat Indonesia ‘bertindak’ terhadap Malaysia. Tetapi jika diteliti dan direnungkan secara rasional, tidak kurang hebatnya drama dan filem dari sana dibanding dengan filem dan drama tempatan. Malah ada yang lebih hebat lagi.

3. Dalam minggu ini saya mengambil kesempatan menonton drama bersiri dari Indonesia bertajuk Si Cantik Dan Si Buruk Rupa yang mungkin diadaptasikan dari cerita Inggeris “Beauty And The Beast”. Mungkin drama itu tidak standing dengan dengan cerita Inggeris itu tetapi ternyata dapat mengalahkan drama tempatan “Zati dengan Si Mawas” dari segi penceritaan dan mutu lakonan serta prop dan sebagainya.

4. Dari apa segi pun, filem tempatan dan filem Indonesia sama sahaja, plotnya tidak masuk akal. Lihat saja filem “Jangan Pandang Belakang Congkak”dan “Toyol”, apa yang kita dapat dari filem tersebut selain dari jenaka yang memperbodohkan khalayak? Lihat saja komedi yang dibuat-buat dalam siri cerita komedi yang kita ada, penonton seperti diperbodohkan.

5. Para pengeluar filem tempatan tidak pernah mahu berusaha dan duduk berbincang untuk kemajuan industri filem dan drama tempatan, tentang bagaimana untuk berkerjasama bagi menghasilkan filem dan drama yang menarik serta bermutu tetapi mereka lebih senang bertelagah sesama sendiri tentang pendapatan filem siapa yang lebih seperti yang berlaku antara KRU Production dengan Metrowealth baru-baru ini walhal kedua-dua filem yang dijadikan isu itu tidaklah sehebat mana.

6. Jadi kita hendaklah melihat filem dan drama dari sudut seni bukan emosi. Mengakulah bahawa filem dan drama kita sendiri tidak sampai ke tahap mana pun maka tidak seharusnya kita mengutuk drama dan filem dari seberang sesuka hati kita. Yang baik tetap baik dan kita harus mengakuinya.

Monday, October 5, 2009

ADILKAH KITA?

1. Barangkali kerana terlalu mahukan laba maka kita lupa diri. Barangkali kerana terlalu memikirkan mendapat untung, kita sudah tidak keruan lagi. Kita mengeluarkan penghinaan demi penghinaan kepada orang lain yang tidak sependapat dengan kita. Kita mencerca orang lain yang tidak sehaluan dengan kita padahal mereka adalah sebangsa dan seagama dengan kita.

2. Bila kita sesuka hati mengata dan mengutuk orang lain, sesedap itulah juga orang akan mengata dan mengutuk kita pula. Apabila kita terlalu ghairah mencerca orang lain yang tidak sebulu dengan kita, pihak yang kita kutuk itu juga berhak berbuat demikian kepada kita. Jadi apa bezanya kita jika hendak dibandingkan dengan mereka?

3. Soalnya dapatkah kita menerima kutukan orang selepas kita begitu bebas dan senang mengutuk orang lain? Dapatkah kita menerima penghinaan dari orang lain terhadap kita sesudah kita begitu ghairah menghina orang? Akhirnya kita turut jadi seperti mereka.

4. Lebih molek kita berbuat sesuatu yang baik supaya kita menjadi lebih baik dari orang yang kita cerca dan hina itu. Lebih baik kita perbetulkan diri kita daripada kita mempertikaikan keburukan orang lain supaya kita dilihat lebih baik dari kumpulan yang kita hina dan cerca itu.

5. Kita tidak perlu heboh satu dunia menyatakan kita amat baik. Kita tidak perlu membandingkan diri kita dengan orang lain kerana perkara baik yang kita lakukan dengan sendirinya akan menghakimi apa yang tersurat dan tersirat. Perkara baik yang kita buat akan mengadili siapa baik dan siapa tidak.

6. Kita pukul canang ke seluruh pelosok dunia mengatakan kita baik dan bagus dalam serba-serbi dan kita heboh mengatakan bahawa orang lain tidak bagus dan tidak elok tetapi kita langsung tidak berbuat apa-apa yang baik selain memburuk-burukkan orang lain. Kita tidak berbuat apa-apa yang bagus selain menghina orang tetapi kita masih hendak tonjolkan diri kita sebagai insan terbaik di dunia.

7. Adilkah kita?

Wednesday, September 30, 2009

BILA ORANG KAFIR MEMINTA ORANG ISLAM BERTAUBAT, MAKA BERTAUBATLAH UNTUK MEREKA.

1. Berikut adalah petikan dari akhbar Berita Harian keluaran hari Selasa 30 September 2009 untuk tatapan semua.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor, Teng Chang Khim, mendakwa Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, berbohong apabila menuduhnya melabel pegawai daerah di negeri ini 'tidak cekap' dan 'tidak layak' memegang jawatan berkenaan.

"………………Tiba-tiba beliau bertukar menjadi pelindung kepada penjawat awam. Saya memberi peluang kepadanya untuk bertaubat. Bertaubatlah," katanya.

"Beliau kini cuba berbohong untuk menutup penipuan pertamanya. Beliau sering tidak konsisten dalam semua kenyataannya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

2. Inilah kali kedua kita mendengar pemimpin bukan Islam meminta pemimpin Islam bertaubat. Kali pertama dahulu Karpal Singh meminta DS Anwar Ibrahim dari PKR bertaubat. Dan sekarang Teng Chang Khim pula meminta Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali dari PAS berbuat demikian.

3. Nampaknya pemimpin-pemimpin DAP ini sudah naik taraf sebagai ulama besar di Malaysia sehingga berupaya mengeluarkan saranan demikian. Cuma tidak dinyatakan secara jelas bertaubat kepada siapa.

4. Sebelum ini Ronnie Liu mengeluarkan fatwa mengenai arak, ada yang tidak haram kerana kandungan alkoholnya rendah. Beliau juga membaca ayat-ayat Quran dalam beberapa ceramah kepada orang-orang Islam.

5. Di Pulau Pinang pula pemimpin DAP senang-senang melabel Islam sebagai ekstrim dan pengganas.

6. Tak tahu pula semua tindakan serupa ini dari DAP untuk apa dan untuk siapa. Mungkin ‘si kafir’ ini telah tahu bahawa orang Islam sudah tidak betul dan harus diperbetulkan. Atau mereka sengaja mempermainkan rakan pakatan mereka bahawa anda hanyalah ‘melukut di tepi gantang’ sahaja.

7. Tetapi siapalah kita hendak mempertikaikan semua ini. Dulu kita sendiri yang memilih mereka menjadi pemimpin kita. Kita hanya boleh menggelengkan kepala tanda hairan kerana semua tindakan ini direstui PAS (Parti Islam SeMalaysia) itu sendiri.

Monday, September 28, 2009

MENCARI WAKIL RAKYAT ATAU WAKIL PARTI?

“Semua orang harus berlaku adil kepada Tan Sri Isa Samad. Beliau didapati bersalah dari segi etika pemilihan parti oleh Lembaga Disiplin UMNO. Beliau digantung selama tiga tahun dan telah menjalani hukuman tersebut. Kesalahan beliau adalah kesalahan politik bukannya kesalahan jenayah. Beliau juga dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin UMNO bukannya Mahkamah dan Undang-undang negara.”

1. Itulah antara hujah Dr Khir Toyo dalam Laman Blognya yang dapat saya petik untuk tatapan kita semua dan dari petikan tersebut dapatlah kita selak apa yang ada di sanubari bekas Menteri Besar Selangor ini tentang polemik pemilihan calon BN bagi PRK Bagan Pinang. Nampaknya beliau tidak bersetuju dengan saranan Tun Mahathir supaya BN tidak memilih Tan Sri Isa Samad sebagai calon.

2. Bagi Dr Khir, Tan Sri Isa patut diberi peluang kedua walaupun telah didapati bersalah kerana politik wang dalam pemilihan UMNO beberapa tahun dahulu. Baginya Tan Sri Isa sudah bersih sesudah menjalani penggantungan selama 3 tahun.

3. Kita memang hendak memilih Wakil Rakyat bukan Wakil Parti. Memilih wakil parti amat mudah. Kalau calon itu disukai ahli parti, piulih saja dia. Tapi untuk memilih Wakil Rakyat, calon tersebut mesti disukai rakyat. Adakah orang yang pernah tercalar imejnya oleh sogokan wang akan diterima rakyat?

4. Perdana Menteri pernah mengingatkan bahawa populer dalam parti sahaja tidak mencukupi . Kriteria seorang pemimpin mestilah populer di kalangan rakyat kerana yang hendak memilihnya adalah semua rakyat, bukan ahli parti sahaja. Jangan fikir bila ahli UMNO sudah seratus eratus suka, semua rakyat suka.

5. Bagaimana pengundi yang berada atas pagar? Bagaimana pengundi parti pembangkang juga hendaklah diambil kira. Adakah hanya pengundi dari kalangan ahli UMNO sahaja yang penting? Kalau untuk memilih Wakil Parti, Tan Sri Isa Samad adalah orangnya sebab ahli UMNO bahagian yang dipimpinnya menyukainya secara total.

6. Untuk mencari Wakil Rakyat, lainlah pula halnya. Ia tidak sama. Jangan bandingkan kes-kes terdahulu yang dihadapi Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim dan Ku Li. Masanya tidak sama dan isu ‘rasuah’ sedang hangat sekarang ini. Tentulah tercalar imej UMNO dan BN apabila meletakkan calon yang pernah didakwa ‘rasuah’ walaupun oleh Jawatankuasa Disiplin parti.

7. Jadi saranan Tun Mahathir supaya dipilih calon yang bersih dan bukannya Tan Sri Isa ada kewajarannya. Itulah jawapan kepada soalan Dr Khir.

MANUSIA TERHEBAT ABAD INI

Alangkah hebatnya manusia ini. Sebaik-baik kejadian adalah manusia dan sebaik-baik manusia adalah orang ini yang diberi nama Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diberi penghormatan dengan panggilan Tuan Guru. Di gelar pula Ulama Besar.

Apa saja kata beliau akan menjadi penangkis segala kata orang lain. Boleh jadi kerana bisanya sebagai Tuan Guru dan ulama atau bisanya sebagai Menteri Besar negeri Serambi Mekah atau kerana sebab yang lain?

Cadangan Tuan Guru Haji Hadi Awang mengenai gagasan Kerajaan Perpaduan disanggah begitu sahaja oleh orang yang hebat ini. Dan semua pengikut parti Islam itu akur tanpa pertikaian lagi. Beliau juga menutup terus pintu rundingan apatah lagi kerjasama dengan UMNO (orang-orang Melayu juga tu). Tapi di waktu yang sama mahu pula kerjasama dengan kafir-kafir yang ada dalam DAP dan PKR yang terang-terang menolak Islam tanpa rundingan, diteruskan juga.

Orang lain semua tidak betul. Ulama yang bukan dari PAS tidak betul. Orang macam Anwar lebih betul dari Haji Harusani, Mufti negeri Perak . Karpal Singh (Singh Is King) lebih betul dari Sultan dan Raja Muda Perak. (Menurut Badrul Amin, Haji harusani adalah Mufti Negeri Pasir Berdengung dan Sultan Azlan pula adalah Raja Negeri pasair Berdengung. Lantang sungguh si Badrul Amin ini hasil dari asuhan PAS).

Itulah Nik Aziz, manusia terhebat di abad ini.

Sebelum ini syurga dan neraka milik siapa, beliau yang tentukan dan tahu. Penyokong UMNO sudah pasti tidak dapat masuk syurga. Pengikut Nik Aziz sahaja yang akan masuk syurga.

Sekarang pula beliau tahu sembahyang siapa yang Tuhan terima dan sembahyang siapa yang Tuhan tolak. Kasihan Ibrahim Ali. Sembahyang tidak tinggal, tapi Tuhan tidak terima. Hebat sungguh manusia ini. Ulama besarlah katakan.

Tapi kepada saudara Ibrahim Ali, teruskanlah sembahyang. Jangan putus asa walaupun 'Ulama Besar' dari parti cap 'PANADOL' itu sudah tahu Tuhan tidak terima.

Tuesday, September 22, 2009

KERANA PULUT SANTAN BINASA

Kata Perdana Menteri
Datuk Seri Mohd. Najib Razak:

“Kita tidak akan membiarkan UMNO dipermainkan
dan akidah parti itu dipersoalkan mana-mana pihak.
Jangan persoalkan akidah kita (UMNO)”

- Berita Harian 08 September 2009

Kata Murshidul Am PAS
Datuk Nik Nik Abd Aziz:

“Bolehkah manusia
atau mana-mana parti politik membuat akidah?
PAS tidak pernah mencipta akidah.”

-Kedahlanie.blogspot.com 09 september 2009

Kenyataan kedua-dua tokoh ini menarik untuk direnungi, dua-dua manusia ternama ini mengeluarkan kenyataan melulu, kedua-dua mempunyai agenda tersendiri, tetapi mereka berdua tidak berfikir sebaiknya.

1. Yang seorang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan akidah tetapi tidak berfikir jauh implikasi ‘akidah UMNO’ itu tidak ‘kena tempat’ dan bakal dimanipulasikan oleh orang-orang yang berkepentingan.

2. Yang seorang lagi mengeluarkan kenyataan dengan menonjolkan ego sebagai seorang ulama besar yang serba tahu dan mahu semua yang diucapkannya mesti didengar dan dipercayai selain boleh menentukan siapa ‘masuk syurga’ tanpa berfikir di luar kotak sedikitpun, dan tidak juga cuba memahami betul-betul apa yang dimaksudkan dengan “akidah UMNO” itu.

Semuanya kerana mulut! Cakap ikut sedap sahaja tanpa berfikir panjang.

Monday, September 21, 2009

PERIHAL KASUT





1. Kasut bukanlah sehina manapun. Harganya pun mahal juga, sekitar RM1.20 hingga mencecah ratusan ringgit. Ia sangat-sangat berguna kepada manusia. Tetapi oleh sebab tempatnya di kaki, ia dipandang amat rendah kerana tempatnya terletak di bawah dan dipijak-pijak sepanjang masa orang memakainya. Walaupun baru dibeli, orang masih tidak ‘lalu’ hendak meletakkan kasut di tempat yang lebih atas dari kakinya.

2. Hanya sewaktu hujan atau keadaan jalan terlalu becak, orang hanya sanggup memegang kasut mereka dibawa berjalan, itupun secara berhati-hati agar tidak tersentuh pada bahagian telapaknya. Begitu hinanya benda yang bernama ‘kasut’ biar setinggi manapun harganya.

3. Orang Melayu pula amat menjaga adab sopan mengenai kaki dan kasut. Semasa duduk sama ada atas kerusi atau duduk bersila di rumah atau dalam majlis-majlis, mereka sentiasa menjaga kaki dan kasut agar tidak ‘mencemarkan’ orang lain apatah lagi menghalakan kasut atau kaki mereka kepada muka orang.

4. Begitulah persepsi orang Melayu tentang kasut. Jadi apabila M. Sukumaran dari Pahang mencadangkan kalungan selipar ke leher gambar Tun Mahathir dalam persidangan MIC baru-baru ini, semua orang Melayu marah. Marah tersebut bukan sebab yang ‘kena’ itu Tun Mahathir tetapi marah kerana ia menggunakan kasut, satu lambang penghinaan kepada orang-orang Melayu.

5. Kita tentu masih ingat pada 14 Disember tahun lalu tentang seorang wartawan Iraq yang ditahan dan dipenjarakan di Baghdad kerana kasut juga? Wartawan Muntazer al-Zaidi membaling kasut kepada GeorgeW. Bush, Presiden Amerika Syarikat ketika presiden tersebut menyampaikan ucapaan di hari-hari terakhir beliau menjawat jawatan tersebut.

6. Walaupun wartawan tersebut dianggap sebagai Wira Dunia Arab kerana begitu berani membaling kasut kepada Ketua Polis Dunia itu, beliau terpaksa juga meninggalkan kota Baghdad selepas dibebaskan demi keselamatannya. Beliau sendiri terpaksa lari dari negaranya sendiri dan kerana rasa tidak selamat lagi walaupun di tanah tumpah darahnya sendiri. Itulah penangan benda yang sama, ‘kasut’ namanya.

7. Jadi M. Sukumaran yang menjawat Naib Ketua MIC Paya Besar, Pahang yang tiba-tiba jadi populer ini haruslah berfikir apa yang patut dibuat dan MIC sendiri khasnya ‘The Godfather’ (Presiden MIC) kenalah berbuat sesuatu yang boleh melegakan orang-orang Melayu khasnya UMNO kerana orang yang dihina itu adalah bekas pemimpin tertinggi parti itu.

Thursday, September 17, 2009

HAKIM JUGA YANG TIDAK BETUL?

1. Bila Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak permohonan DS Anwar Ibrahim semalam, sudah tentu menimbulkan perasaan tidak puas hati di pihak Anwar. Dan kita tidak payah tunggu lama-lama untuk melihat reaksi pembangkang khasnya DAP dan PKR selepas ini.

2. Beberapa caci-hina dan kata provokasi akan terbit spontan sahaja dari mulut pihak-pihak tidak berpuas hati ini.. Seperti biasa, bila keputusan tidak memihak mereka, berbagai tuduhan dilemparkan. Mahkamah tidak telus, hakim tidak adil dan sistem perundangan dikawal kerajaan dan berbagai-bagai tuduhan lagi.

3. Jika keputusan tidak memihak pendakwaan, lain pula bicara. Mahkamah dilabel sebagai adil dan telus. Semua pihak akan memuji Hakim sebagai menjalankan tugas kehakiman dengan baik dan adil.

4. Hal ini juga serupa juga. Lihatlah nanti, akan ada suara-suara seperti ini.

Sunday, September 13, 2009

BAIKNYA MALAYSIA

1. Apabila timbul protes dari sekumpulan rakyat Indonesia tentang penyiaran Tarian Pendet dalam Klip Promoso Pelancongan Malaysia yang disiar oleh Discovery Channel, kita tetap menganggap ia sebagai satu perkara remeh. Tiba-tiba dari satu perkara ‘remeh’ tersebut yang kononnya kita tidak terlibat di sebalik penyiaran tersebut, meletus beberapa insiden yang mencabar kedudukan dan kedaulatan kita sebagai sebuah negara merdeka.

2. Kita dikejutkan dengan peristiwa membakar Jalur Gemilang ketika kita baru menyambut ulangtahun hari Kemerdekaan kita yang ke 52. Kemudian dikuti pula dengan beberapa siri menggertak Malaysia seperti ancaman ‘ganyang Malaysia’ dan yang terbaru diistilahkan sebagai ‘sweeping Malaysia’ dengan persediaan buluh runcing dan sebagainya. Istilah-istilah ini seolah-olah mahu mencabar kita rakyat Malaysia. Bayangkanlah apa yang akan terjadi sekiranya kita ikut menjadi ‘bodoh’ seperti mereka.

3. teringat isu Ambalat beberapa bulan yang lalu di mana kebanyakan para penunjuk perasaan yang memprotes isu tersebut bersungguh-sungguh mahu bertindak terhadap Malaysia seolah-olah kesilapan Malaysia itu amat serius dan seolah-olah mereka tidak pernah menceroboh perairan Malaysia.

4. Barangkali kumpulan ini lupa bahawa di negara ini terdapat jutaan rakyat Indonesia yang mencari rezeki secara halal dan secara tidak halal. Bagaimana nasib mereka jika rakyat Malaysia menyambut cabaran segelintir rakyat Indonesia tersebut? Mereka lupa betapa longgar dan murah hatinya Malaysia terhadap rakyat Indonesia hinggakan soal gaji Pembantu Rumah dari sana pun majikan di negara ini tiada hak hendak putuskan jumlahnya melainkan harus menunggu permintaan dari pihak Indonesia.

5. Dan dengarnya permintaan gaji minima tersebut mencecah RM800.00, melebihi gaji pekerja tempatan di kilang-kilang sedangkan semua tahu bahawa Pembantu Rumah dari Indonesia tidak payah menyewa rumah, tidak payah keluarkan wang untuk makan dan minum dann tidak payah berbelanja untuk pengangkutan. Gaji yang diterima adalah gaji ‘bersih’. Sedangkan pekerja tempatan walaupun bergaji lebih kecil terpaksa berbelanja pula untuk itu semua.

6. Begitu baiknya Malaysia terhadap rakyat Indonesia. Kerana mereka ada di Malaysia, saban hari dan setiap minit ada sahaja lagu-lagu dari republik itu disiarkan. Setiap masa ada sahaja drama dari sana ditayangkan walaupun mutunya sangat rendah. Malah ada sebuah stesen radio swasta menyediakan satu program khas untuk lagu-lagu dari seberang itu.

7. Begitu baiknya Malaysia sehingga membenarkan hasil seni Tan Sri P. Ramlee ‘diganyang’ sehingga hilang keindahannya. Lagu Madu Tiga yang biasanya dinyanyikan oleh Biduan Negara itu dinyanyikan pula oleh Ahmad Dhani dari Indonesia dan stesen radio tempatan pun tidak peduli tentang sensitiviti rakyat Malaysia, terus menyiarkan lagu tersebut, meninggalkan lagu yang asalnya tersimpan terus.

8. Begitu baik Malaysia pun hendak diganyang juga hanya kerana beberapa saat menyiarkan tarian dari Bali itu sedangkan ada rakayat Indonesia sendiri tidak kenal pun tarian tersebut.

Tuesday, September 8, 2009

LEBIH BAIK JADI PEMBANTU RUMAH, BUAT APA KERJA KILANG.

(Rumah sewa anak-anak kita)


Langkah kerajaan Malaysia hendak melayan permintaan Indonesia menetapkan gaji Pembantu Rumah dari negara itu menampakkan betapa terdesaknya kita. Indonesia gertak sedikit mengenai penderaan pembantu rumah dari sana, kita dah menggelabnah dan mahu menurut saja apa yang diminta.

Gaji minima RM800 bukanlah sedikit. Selain menjadi beban kepada majikan, terfikirkah kita nasib anak-anak kita. Berapa sangatlah pendapatan kerja operator pengeluaran di kilang-kilang. Masalah gaji minima mereka pun kerajaan tak selesaikan lagi. Rata-rata mereka mendapat antara RM400 hingga RM700 sahaja. Ditambah sedikit dengan elau-elaun lebih masa dan elaun kerajinan, dapatlah tambahan kira-kira RM100. Itu sahaja pendapatan mereka.

Jumlah itu ditolak pula belanja pengangkutan, makan-minum dan sewa rumah, kadang-kadang adalah lebihan setakat RM200. Itulah wang yang hendak diberikan kepada ibu bapa dan adik-adik. Itulah wang untuk membeli keperluan peribadi mereka.

Berbanding dengan Pembantu Rumah dari Indonesia yang hendak diberikann gaji minima RM800 ini, semua kemudahan lain adalah percuma. Gaji sebanyak itu adalah bersih, betul-betul bersih. Mereka tidak perlukan pengangkutan dan tidak perlu keluarkan wang untuk belanja makan dan minum. Makanlah banyak manapun, tiada siapa yang menegah.

Mereka tidak perlu menyewa rumah seperti anak-anak kita. Tempat tinggal disediakan malah lebih selesa lagi berbanding dengan rumah sewa anak-anak kita. Begitulah layanan baik yang kita berikan kepada orang luar yang hendak mencari 'makan' di tempat kita. Rakyat kita sendiri terus diabaikan dan orang luar yang kita letakkan di tempat lebih penting.

Inilah yang dikatakan Satu Malaysia, "Kera di hutan disusui, biar anak mati kelaparan." Itulah kita bernama Malaysia. Memang sering memberi keutamaan kepada orang luar dalam apa perkara pun.