Monday, October 5, 2009

ADILKAH KITA?

1. Barangkali kerana terlalu mahukan laba maka kita lupa diri. Barangkali kerana terlalu memikirkan mendapat untung, kita sudah tidak keruan lagi. Kita mengeluarkan penghinaan demi penghinaan kepada orang lain yang tidak sependapat dengan kita. Kita mencerca orang lain yang tidak sehaluan dengan kita padahal mereka adalah sebangsa dan seagama dengan kita.

2. Bila kita sesuka hati mengata dan mengutuk orang lain, sesedap itulah juga orang akan mengata dan mengutuk kita pula. Apabila kita terlalu ghairah mencerca orang lain yang tidak sebulu dengan kita, pihak yang kita kutuk itu juga berhak berbuat demikian kepada kita. Jadi apa bezanya kita jika hendak dibandingkan dengan mereka?

3. Soalnya dapatkah kita menerima kutukan orang selepas kita begitu bebas dan senang mengutuk orang lain? Dapatkah kita menerima penghinaan dari orang lain terhadap kita sesudah kita begitu ghairah menghina orang? Akhirnya kita turut jadi seperti mereka.

4. Lebih molek kita berbuat sesuatu yang baik supaya kita menjadi lebih baik dari orang yang kita cerca dan hina itu. Lebih baik kita perbetulkan diri kita daripada kita mempertikaikan keburukan orang lain supaya kita dilihat lebih baik dari kumpulan yang kita hina dan cerca itu.

5. Kita tidak perlu heboh satu dunia menyatakan kita amat baik. Kita tidak perlu membandingkan diri kita dengan orang lain kerana perkara baik yang kita lakukan dengan sendirinya akan menghakimi apa yang tersurat dan tersirat. Perkara baik yang kita buat akan mengadili siapa baik dan siapa tidak.

6. Kita pukul canang ke seluruh pelosok dunia mengatakan kita baik dan bagus dalam serba-serbi dan kita heboh mengatakan bahawa orang lain tidak bagus dan tidak elok tetapi kita langsung tidak berbuat apa-apa yang baik selain memburuk-burukkan orang lain. Kita tidak berbuat apa-apa yang bagus selain menghina orang tetapi kita masih hendak tonjolkan diri kita sebagai insan terbaik di dunia.

7. Adilkah kita?

No comments:

Post a Comment