Wednesday, April 14, 2010

BUNGA KAPAL TERBANG



Pokok kapal terbang merupakan satu jenis tumbuhan liar yang tidak dipedulikan orang dan apabila terjumpa tumbuh di mana-mana halaman sudah pasti akan dicabut atau ditebas. Orang tidak menyukainya kerana tidak cantik dan memberi pemandangan yang kurang menarik.

Sebenarnya pokok ini memberi manfaat yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan manusia. Ia boleh dikategorikan sebagai salah satu ubatan tradisi terutama daunya selain dari akar yang baik untuk merawat luka. Beberapa kegunaan luaran yang lain didapati berkesan seperti kembung dan cirit birit.


Air perahan dan gumpalan daun yang sudah dilenyek boleh digunakan untuk menahan aliran darah di tempat anggota badan yang luka. Darah yang mengalir keluar dapat dihentikan dengan daun kapal terbang ini. Selain dari itu, akarnya yang ditumbuk hancur boleh disapu kepada tempat luka untuk proses penyembuhan.
Namun begitu, pokok kapal terbang ini mempunyai beberapa keburukan kepada manusia. Selain dari baunya yang sedikit busuk, ia mempunyai bahan racun yang boleh menyebabkan kerosakan pada hati terutama kanak-kanak.
Walau apapun, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah terbaik.

POKOK LETUP-LETUP




Walaupun bunga pokok ini cantik dipandang, tetapi tiada siapa yang pedulikan pokok letup-letup ini. Selain dari ianya dibuang kerana selalu memanjat dan menutup pagar kawasan rumah, tidak ada apa yang hendak diperhatikan orang.


Buahnya boleh dimakan tetapi tidak ada orang yang berminat kerana rasanya yang tawar. Hanya menjadi makanan serangga dan unggas. Warna buah letup akan menjadi kuning apabila telah masak ranum.


Walau apapun pandangan orang terhadap pokok ini, ianya boleh menyumbang kepada khazanah ulam-ulaman kepada manusia. Pucuk dan bunganya boleh dimakan sebagai ulam apabila direbus atau dicelur dalam air panas. Rasanya enak bila dimakan dngan sambal belacan.

Tuesday, April 13, 2010

SENDUDUK PUTIH



Terdapat tiga jenis senduduk berdasarkan warna bunganya, tetapi senduduk putih ini mempunyai kelebihan dan sangat digemari pengamal-pengamalmperubatan tradisional kerana khasiat dan kemujarabannya melawan penyakit kencing manis dan darah tinggi. Bunga dan daunnya serta akarnya adalah bahagian-bahagian yang sering menjadi sasaran penggemar senduduk putih.
Ini bukanlah bermakna senduduk merah dan senduduk ungu tidak digemari. Spesis yang ini juga sering dijadikan tanaman hiasan yang jika dipelihara dengan baik, ia menjadi tumbuhan yang amat menarik kerana keramahannya berbunga.
Berbalik kepada senduduk putih atau ' melastoma malabathricum' tadi, daun dan bunganya dikeringkan dan bahagian yang telah kering ini direndam pula dalam air panas untuk dijadikan minuman seperti minuman teh. Kalau rasa tidak tahan dengan rasanya, masukkan sedikit gula. Namun begitu, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah yang terbaik.
Senduduk boleh dibiakkan secara semaian biji benih atau dipotong anak yang tumbuh melalui akarnya. Anak pokok ini dipelihara di tempat teduh sebelum ditanam di atas tanah untuk mendapatkan hasil yang lebih banyak.

Monday, April 12, 2010

BUNGA KESIDANG






Kesidang merupakan sejenis bunga nadir iaitu bunga yang sukar didapati dan telah hampir pupus dan tidak dipedulikan. Jika tidak dambil langkah tertentu ke arah yang lebih komersial, kemungkinan pada sdatu ketika orang tidak mengenalinya mungkinmenjadi kenyataan.

Kesidang dipanggil juga dengan nama ‘kerak nasi’. Berdasarkan bentuk dan susunan bunganya seperti ketulan nasi berwarna putih. Tidak dinafikan baunya yang harum semerbak dan unik menusuk hidung. Keharuman bunga ini dapat bertahan lama walaupun selepas ia gugur.


Pokoknya tumbuh menjalar dan tidak mempunyai akar tunjang. Pembiakannya hanyalah samada secara tampang atau diambil anaknya yang tumbuh melalui akarnya tetapi kaedah kedua lebih berisiko. Benih yang diambil dari kaedah tampang atau ‘tut’ adalah lebih meyakinkan.

Bunganya dapat bertahan selama tidak lebih 4 atau 5 hari di tangkainya.

Sunday, April 11, 2010

KENANGA




Kenanga merupakan tumbuhan hiasan yang sudah dilupakan. Generasi masa kini ada yang sudah tidak mengenali pokok dan bunga ini sedangkan satu ketika dahulu, nama Kenanga sering digunakan kepada anak perempuan yang comel. Bunga kenanga sekarang tergolong sebagai sejenis bunga nadir iaitu spesis yang hampir pupus.
Bunganya berjurai dan berbau harum. Ketika baru mekar warnanya kehijauan tetapi bertukar kekuningan apabila telah cukup matang. Kewangian bunga kenanga lain dari yang lain.
Pokok kenanga amat sensitif dan sukar dipelihara. Pembiakannya hanyalah secara 'tut' atau 'balut' yang lebih mudah menggunakan sabut kelapa. Kadang-kadang digunakan tanah dan dibalut dengan plastik sudah memadai. Apabila akarnya tumbuh dan matang, ia diubah ke medium semaian untuk dipelihara sebelun diubah.
Bunga kenanga hanya dapat bertahan kira-kira lapan hari sahaja sebelum ia kering dan gugur.

Saturday, April 10, 2010

GANDASULI



Kadang-kadang pokok ini dipanggil pokok patawali. Ia tumbuh liar di hutan dan menghasilkan bunga putih yang harum. Pokok ini adalah dari jenis tumbuhan herba yang berubi atau berakar seperti pokok halia dan boleh dibiakkan dengan menanam akarnya itu.

Satu keistimewaan patawali atau gandasuli ini adalah bunganya yang boleh dikeringkan. Bunga yang kering ini dimasak bersama sayur yang lain. Ia dimakan untuk menyejukkan badan. Orang-orang Cina suka sayur ini.

Bunga gandasuli hanya boleh bertahan selama tidak lebih 3 hari. selepas itu ia akan layu dan gugur sebagai bunga kering yang tidak berguna lagi. Dan batangnya juga akan turut kering selepas lebih kurang 2 minggu. Pokok yang telah berbunga tidak akan berbunga untuk kali kedua.

Sunday, April 4, 2010

KISAH CINTA DARI PULAU

Drama anak dara lari dari rumah telah pun memasuki episod akhir dengan ‘Happy Ending’ di pihak gadis dan teruna tetapi menjadi ‘Sad Story’ atau kisah duka di pihak ibu dan bapa gadis tersebut. Apa tidaknya apabila si ibu terpaksa menggadai maruah merayu anak gadis yang didakwa pintar itu pulang tetapi dibalas dingin dan degil anaknya. Ditambah lagi dengan sikap pihak lelaki seolah-olah tiada apa yang berlaku dan ini adalah sekadar cerita ‘perigi yang mencari timba’ sahaja.

Kalau sebelum ini kita hanaya mendengar kisah cinta dari Pulau Lombok, tapi kali ini hanyalah dari Langkawi, juga sebuah pulau. Adik Halimaton, 15 tahun dengan cinta sucinya, meninggalkan pelajaran dan keluarga mendambakan hati ke Pulau Langkawi mengikut teman lelakinya, Mohamad Nor bin Abdullah yang baru berusia 19 tahun. Walaupun kisah ini berakhir di ambang perkahwinan, tetapi banyak pengajaran yang dapat ditimba dari kisah tersebut.

Kita sedar bahawa cinta tidak mengenal usia dan tempat. Cinta tidak mengenal batas hukum dan adat. Kisah ini juga memaparkan bahawa gadis berusia 15 tahun ini pintar minda, bukan pintar ilmu kerana orang yang pintar ilmu tidak akan bertindak demikian. Bayangkan Halimaton yang didakwa seorang gadis pintar boleh terjebak dalam kancah cinta ini, bayangkan apa akan terjadi kepada gadis-gadis lainnya yang tidak sepintar Halimaton? Sebab itu ada orang mengatakan ‘Cinta Itu Buta’.

Tetapi perbuatan membelakangkan ibu bapa dan keluarga bukan lagi adat. Perbuatan tidak menghormati ibu dan bapa sudah melanggar hukum. Malah perbuatan keluarga lelaki menyimpan anak dara orang tanpa menyerahkannya kembali kepada keluarganya adalah melanggar tata-susila bangsa dan agama.

Sesungguhnya amat memalukan bila kita cuba mempertahankan bahawa kedatangan anak gadis itu atas kerelaannya sendiri sedangkan kita tidak berbuat apa-apa untuk memulangkan kepada yang empunya hak . Apatah lagi gadis itu masih di bawah umur. Mereka juga harus sedar bahawa jika tidak kerana godaan Adam, tentu Halimaton tidak ‘cinta gila’ seperti itu.

Halimaton harus juga percaya dengan nasihat Dato’ Nooh Gadut, bekas mufti Johor bahawa perkahwinan tanpa restu ibu dan bapa membawa malapetaka. Persetujuan ibu dan bapa Halimaton untuk menikahkan pasangan tersebut hanyalah untuk mengelak kemungkinan berlaku kemungkaran, bukan merestuinya. Dan yang penting ambillah iktibar dari kata-kata terakhir ibunya, ‘dia lupa bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu’. Apatah lagi bila dengan bangganya Halimaton mendedahkan laporan polis terhadap ibunya sendiri telah dibuat.

Jalan terbaik yang boleh diambil kini adalah dengan memulangkan Halimaton ke pangkuan keluarganya dan uruskan proses peminangan seperti biasa dan berpegang kepada kepercayaan bahawa ‘kalau sudah jodoh, tidak akan ke mana’.

Ibarat kata Dato’ Nooh bahawa perkahwinan adalah untuk selamanya dan bukan suami sahaja yang perlu difikirkan tetapi keseluruhan anak-anak yang bakal lahir. Rasanya kaum keluarga juga tidak patut dibuang begitu sahaja tambahan lagi Halimaton adalah harapan keluarga kerana kebijaksanaannya dalam pelajaran.

Ibu mana yang tidak bersedih jika anak yang selalu didokongnya dahulu, dibawa ke hulu ke hilir termasuk membawanya ketika menoreh, tiba-tiba termakan godaan dan lari mengikut kata hati ke rumah seorang lelaki. Dan lebih menyedihkan keluarga lelaki itu terus menyimpan tanpa memikirkan untuk memberi nasihat apatah lagi menghantarnya pulang ke pangkuan keluarga.

Apa sudah jadi dengan orang kita?

Sunday, March 28, 2010

TIDAK DIDUDUKI KERANA ROSAK ATAU ROSAK KERANA TIDAK DIDUDUKI?

Polemik mengenai Perumahan Guru timbul semula semula apabila Menteri Pelajaran mengumumkan peruntukan yang besar bagi membaiki kerosakan bagi membolehkan rumah-rumah ini didiami oleh warga sector pendidikan. Walaupun langkah membaiki kerosakan tersebut adalah satu langkah yang baik, tetapi ramai yang berpendapat akan berlaku lagi sekali pembaziran wang kerajaan andainya ia tidak dikuti dengan perbahan dasar menduduki rumah-rumah tersebut.

Dan rasanya laporan yang diterima Tan Sri Muhyiddin adalah laporan yang salah. Rumah-rumah tersebut sebenarnya mengalami kerosakan sebab tidak diduduki, bukannya tidak diduduki kerana rosak. Ini adalah dua kenyataan yang berbeza dan kerajaan harus memandang secara positif tentang dasar yang digariskan bagi setiap pendidik yang menduduki rumah tersebut.

Rata-rata Kompleks Perumahan Guru tidak berpenghuni kecuali di kawasan-kawasan kritikal iaitu di bandar-bandar besar yang susah mendapat rumah sewa. Daripada 5 blok apartment 5 tingkat setiap blok, hanya didiami 5 atau 6 keluarga. Unit-unit yang lain tidak dimanfaatkan dan tinggal lengang begitu sahaja. Unit-unit inilah yang menjadi sasaran pencuri dan merosakkan barang-barang yang ada di situ, tambahan pula tidak ada pengawal yang bertugas menjaga keselamatan.

Jadi unit-unit rumah ini rosak kerana tidak diduduki orang bukan orang tidak duduki kerana ia rosak. Pihak kementerian khasnya dan kerajaan amnya harus mencari formula yang sesuai agar rumah-rumah ini tidak dibiarkan kosong begitu sahaja. Hal yang sama juga terjadi kepada Perumahan Polis dan Perumahan Tentera.

Salah satu punca perumahan ini tidak dapat menarik minat anggota kerajaan mendudukinya adalah kerana polisi jabatan masing-masing memotong semua elaun perumahan dan juga elaun sara hidup. Elaun-elaun ini akan ditolak terus sebagai ‘bayaran sewa’ mendiami unit-unit rumah itu. Ada pegawai kerajaan yang hilang pendapatan antara RM600 hingga RM1000 kerana menduduki rumah-rumah yang disediakan itu. Hal ini menyebabkan para pegawai kerajaan lebih berminat menyewa rumah-rumah yang lain yang tentunya lebih murah sambil boleh menikmati elaun-elaun yang disebutkan tadi.

Adalah lebih baik jika elaun-elaun tersebut dikekalkan dan para pegawai yang menduduki rumah-rumah tersebut hanya dikenakan sewa yang berpatutan. Rasanya rumah-rumah itu akan nada penghuninya kelak dengan berbuat demikian.

Tuesday, March 23, 2010

PENDIDIKAN SEKS MACAM MANA YANG DIKEHENDAKI?

Akhir-akhir ini bertubi-tubi Kementerian Pelajaran diasak dan disarankan agar pendidikan seks dimasukkan dalam kurikulum sekolah, kononnya untuk memberi pengetahuan kepada pelajar tentang bahayanya mengandung anak di luar nikah dan mengamalkan seks sebelum kahwin. Yang lebih penting untuk mengawal gejala buang bayi yang menjadi-jadi sekarang ini.

Semalam Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mengulangi gesaan supaya Kementerian Pelajaran bertindak segera memulakan pendidikan seks di sekolah-sekolah manakala Kementerian Pelajaran pula masih menimbangkan dan menunggu maklum balas dari pihak-pihak yang lain.

Tetapi apakah benar pendidikan seks tidak diajar di sekolah selama ini? Atau pendidikan seks yang macam mana yang dikehendaki oleh para pendesak ini? Selama ini apakah jenis pendidikan yang diterapkan dalam matapelajaran Sains dan Pendidikan Islam mengenai seks? Bukankah itu adalah satu cabang pendidikan seks?

Dalam matapelajaran Sains dan Sains kesihatan di sekolah telah ada topik-topik tentang alat-alat kelamin lelaki dan perempuan. Para pelajar telah melihat dan melukis dan membuat lakaran serta nota tentang perkara itu. Mereka telah diajar bagaimana alat-alat kelamin itu berfungsi dan apa hasilnya jika persenyawaan berlaku antara sperma lelaki dan telur dari benih perempuan. Para pelajar telah mempelajari mengenai kitaran haid dan keberkesanan ‘mani’ lelaki.

Mereka juga telah didedahkan mengenai proses mengandung dan proses kelahiran melalui matapelajaran Sains dan juga Pendidikan Islam. Malah dalam Pendidikan Islam telah diajar tentang halal dan haramnya perhubungan intim di luar nikah dan telah diajar juga tentang status anak yang lahir di luar nikah.

Jadi apa namanya pendidikan yang disebutkan itu? Atau Pendidikan Seks yang macam mana yang dikehendaki oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat,Datuk Seri Shahrizat itu? Adakah beliau dan pihak-pihak lain yang mendesak ini mahu para pelajar didedahkan dengan kaedah melakukan seks selamat ataupun bagaimana mengelak diri dari mengandung? Atau mereka mahu diajar tentang kaedah memakai kondom dan ubat mengcegah kehamilan?

Apakah tidak cukup dengan pendidikan seks yang terdapat dalam matapelajaran Sains, Sains kesihatan, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang secara terang-terang menceritakan proses evolusi seks secara terperinci itu?

Sunday, March 14, 2010

MAKTAB RENDAH SAINS MARA

Dato” Seri Idris Jusuh gelak besar dan tersenyum hingga ke telinga melihat kejayaan MRSM mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2009 yang baru diumumkan minggu lepas. Kejayaan mengekalkan tradisi kelulusan 100% amat mengujakan beliau dan para waris yang ada anak belajar di sekolah asrama penuh tajaan MARA itu..

Rasanya tidak payah hendak terlalu berbangga dengan kejayaan itu kerana semua orang tahu kalau keputusan bukan 100% barulah sesuatu yang pelik. Dan kejayaan cemerlang itu bukan sesuatu yang luar biasa seperti yang dikecapi sekolah-sekolah lain di luar-luar Bandar. Memang sudah sepatutnya MRSM mencapai kelutusan demikian.

Para pelajar yang berada di sekolah tajaan MARA itu bukanlah pelajar yang dikutip dari tepi-tepi jalan dan dibawa tinggal di asrama. Mereka ditapis dari sekolah-sekolah seluruh Negara yang rata-rata memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR. Sudah tentulah pelajar-pelajar ini berpotensi memperoleh keputusan cemerlang walau di mana mereka belajar.

Hal ini berbeza dengan sekolah-sekolah di luar-luar bandar yang menempatkan pelajar-pelajar yang tidak berjaya ke asrama penuh. Para pelajar ini adalah saki baki selepas pengaambilan ke MRSM, Asrama Penuh, SMKA dan sekolah-sekolah ‘elit’ yang lain.

Sepatutnya para pelajar terpilih ini yang berada di MRSM mencapai keputusan 100% A, bukan setakat 100% lulus seperti yang Dato' Seri Idris Jusuh banggakan sangat itu. Sesudah dikutip semua pelajar terbaik dari seluruh negara, kita mendabik dada mengatakan sekolah kita yang terbaik.

Tuesday, March 9, 2010

BADUT-BADUT MCA PATUT BERUNDUR

Semasa menulis ini saya tetap berpendapat bahawa krisis dalaman MCA tidak akan dapat selesai dalam masa terdekat kecuali sekurang-kurangnya tiga orang BADUT parti itu mengambil langkah paling drastik iaitu tidak melibatkan diri dalam proses pemilihan yang kan diadakan pada 28 Mac ini. Ada beberapa alasan yang boleh menyokong saranan tersebut.

Krisis MCA terlalu lama dan ketiga-tiga badut ini tidak berbuat apa-apa ke arah mendapatkan kembali sokongan kaum Cina terhadap kerajaan. Kerana krisis tersebut jugalah BN kehilangan majority 2/3 dalam PRU12 dahulu. Walaupun orang tidak berani menuding jari kepada MCA, tetap kekalahan BN dalam kebanyakan kawasan kaum Cina adalah disebabkan hilang kepercayaan rakyat terhadap parti itu. Akhirnya rakyat memilih DAP dan juga PKR mewakili mereka.

Ketiga-tiga badut ini bertelagah sesama sendiri dari mula hingga akhir. Tidak ada kompromi dan tidak ada jalan penyelesaian. Jikapun berlaku pemilihan semula ketiga-tiga mereka, krisis tidak akan padam.

Untuk menghentikan krisis ini, ketiga-tiga badut itu mesti keluar. Mesti melepaskan semua jawatan dan tidak bertanding semula. Ketiga-tiga badut itu mesti berkorban dengan melupakan dahulu kepentingan politik peribadi mereka. TEGASNYA BADUT-BADUT INI MESTI BERUNDUR!

Atau mereka memang sengaja hendak menimbulkan masalah dengan membiarkan krisis parti kaum Cina ini berpanjangan? Mereka memang merancang untuk menghuru-harakan kem BN supaya pengundi Cina tetap bersama dengan DAP? Kemungkinan ini juga mesti difikirkan oleh pemimpin-pemimpin dalam BN.

Kalau dipilih semula pun menerajui MCA, Chua Soi Lek telah tercalar imejnya dengan skandal sex dan takkan MCA akan diterajui oleh orang yang ada rekod salahlaku.
Ong Tee Kiat juga ada rekod tidak bersih berikutan skandal PKFZ. Liow Tiong Lai juga tidak sesuai menerajui MCA berikutan sikapnya yang banyak menyumbang kepada krisis yang berpanjangan itu.

Jadi langkah paling sesuai adalah ketiga-tiga badut ini tidak lagi bertanding apa-apa jawatanpun. Biar MCA dipimpin oleh tokoh yang lain yang belum ada rekod yang kurtng enak.