Sunday, March 22, 2020

CERITA YANG ORANG TIDAK TAHU (15)



Cerita ini tetap berkisar kepada kisah orang tidak mengenang budi dan tidak menghargai jasa orang lain. Tetapi kali ini bukan berkisar antara rakan dengan rakan, bukan juga antara sahabat dengan sahabat. Kali ini kisahnya berlainan sekali, melibatkan anak menantu dan cucu yang tidak mengenang jasa seorang tua yang menjaga dan mendidik dari kecil hingga mereka dewasa.

Mungkin setengah orang berpendapat apa yang diceritakan ini akan membuka aib orang dan perbuatan membuka aib ini adalah perbuatan yang tidak berhemah dan tidak sepatutnya dilakukan. Tetapi bila memikirkan tidak ada cara lain lagi untuk menyedarkan dan menginsafkan mereka, terpaksa juga menulis cerita ini biarpun dikatakan nanti tidak baik mengaibkan orang. Biarlah nanti dikatakan “menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri”.

Mereka melakukan sekali lagi mengaibkan emak sesuka hati mereka. Mereka lukakan hati emak tanpa belas kasihan. Habis menyumpah seranah orang tua itu dengan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya. Sudahlah menyakitkan hati malah menjatuhkan maruah emak sesuka hati mereka. Dan kata-kata “BARUA” kepada orang tua itu tidak dapat diterima akal. Dan aku tidak dapat terima secar waras bila emak dikatakan “orang tua nak mampus”.

Paling menyedihkan mereka datang ke rumah emak dan memberi amaran emak jangan lagi memijak rumah mereka dan jangan harap untuk mendapat makan dan minum di rumah mereka. Emak kena cari sendiri, mereka tidak lagi akan memberi makanan. Setelah itu bertalu-talu menantu dan anaknya menyerang emak dengan kata-kata keji.

Ingatkan selepas kematian adik, emak dapat duduk dengan baik di rumah mereka bersama menantu dan cucu-cucunya kerana pada hari adik meninggal kelihatan mereka menerima emak yang asyik berteleku di sisi jenazah adik. Dan pulang hri itu aku sangat bersyukur kerana mereka berubah hati menerima emak semula dalam hidup mereka selepas adik meninggal. Makan dan minum emak pasti terjaga dan emak tentulah dapat lena di rumah mereka.


Rupanya segala-galanya tidak seperti yang aku fikirkan. Emak mereka halau dan tidak benarkan orang tua itu bermalam di rumah mereka lagi dan makan minum kena cari sendiri. Di mana hendak dicari nya? Untuk membawa dirinya sendiri pun tidak terdaya, bagaimana mengatur makan minumnya.

(Cukuplah setakat itu dan sekarang emak akan aku bawa ke rumah kami. Biar aku dan anak-anakku menjaganya walaupun dia tidak mahu sebab jauh dari rumahnya)

No comments:

Post a Comment