Wednesday, April 22, 2020

PENCINTA BAHASA MELAYU HANYA JAGUH KAMPUNG

Sidang akhbar Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai Covid19

1. Ada seorang cendekiawan Melayu menulis komen terhadap posting saya di FB mengenai Sidang Media yang terpapar di atas yang ingin saya kongsikan. Saya tidak mengubah ejaan dan lenggok bahasanya agar semua orang dapat memahami situasi sebenar. Kedua-dua komen ini adalah dari orng yang sama.

             i.  Orang yang dah biasa dengan Bahasa Inggeris, dia akan gunakan bahasa itu tanpa sengaja, tambah-tambah lg kerjaya sebagai doktor. Saya faham sgt sbb saya kawan baik doktor, orang yang tak pandai Bahasa Inggeris boleh cakap sahaja. Jangan buruk sangka. Kasihan doktor.

             ii. Ramai yang tak pandai bhs inggeris ckp konon nak martabatkan bhs Melayu tapi rata2 saya tengok BM kita teruk. Ayat berterabur & ejaan tak betul. Mcm tu bangga dengan bahasa sendiri? Lawak sungguh! Tak perlu nak bangga dengan BM kita tu. Tak penting utk komunikasi peringkat global. Boleh jadi jaguh kg shj.

2. Inilah dua komen yang membuat saya terfikir tentang nasib bahasa Melayu di negara kita ini. Jika ramailah dalam kalangan rakyat yang berpandangan seperti wanita itu, tidak mustahil pada satu hari nanti bahasa Melayu yang kita cintai ini terus terkulai dan terkubur di tempat asalnya sendiri. Bukan orang asing yang berbuat begitu tetapi orang Melayu sendiri yang tergolong sebagai bijak pandai.

3. Sedikitpun wanita itu tidak rasa bersalah dan malu apabila memperlekeh dan menghina bahasa negaranya dan bangsanya sendiri. Secara tidak langsung ia menghina orang yang begitu tekun dan berusaha menghias dan memartabatkan bahasa Melayu di persada negara dan dunia. Sedikitpun ia tidak rasa bersalah menghina dan melabelkan sebagai "jaguh kampung" kepada pihak yang berusaha memartabatkan bahasa Melayu itu. Dia lupa apakah bahasa yang muncul di dalam setiap mimpinya. Kalau dia mahu tahu bahasa ibundanya bagaimana, lihat saja dalam mimpinya, dia akan tahu.

4. Semuanya bermula apabila saya timbulkan di FB apa perlunya wartawan mengajukan soalan kepada Ketua Pengarah KKM menggunakan bahasa Inggeris dan disambut dengan jawapan dalam bahasa Inggeris juga sedangkan yang menonton dan yang menagih maklumat adalah orang-orang kampung yang tidak faham bahasa Inggeris. Alangkah baiknya ia disoal dan dijawab menggunakan bahasa Melayu. Yang bertanya orang Malaysia, yang menjawab orang malaysia dan yang mendengar pun orang Malaysia, jadi alangkah moleknya bahasa Melayu digunakan.

5. Itulah dua komen yang dibuat oleh cendekiawan wanita tersebut yang sangat menyentuh hati saya yang selama ini berjuang mahu memartabatkan bahasa Melayu agar dihormati dan dipandang tinggi oleh sekurang-kurangnya oleh rakyat Malaysia kalau tidak ke persada dunia sekalipun. Jika begini sikap sesetengah rakyat negara ini sendiri terhadap bahasa Kebangsaannya, tidak menghairankan jika bahasa itu tidak dihormati dan terpinggir. Usahlah berbangga anda kawan baik doktor sebab saya bukan mengkritik profesionnya malah saya menyanjung tinggi usaha dan khidmat beliau. Saya sendirti mempunyai adik yang menjadi matron di hospital sebagai frontliner malah ada tiga anak saudara bertugas sebagai doktor yang sedang memerangi Covid19 ini.

6. Kita adalah rakyat Malaysia berbangsa Melayu pula, patut ada jatidiri dan rasa kasih kepada bahasa kita sendiri. Memang kita lihat penggunaannya berterabur seperti yang didakwa tetapi itu tanggungjawab siapa? Kitalah yang sepatutnya memperbetulkan dengan mengamalkan penggunaan yang betul. Kita tidak usah memperbetulkan kesalahan orang lain tetapi kita memilih jalan yang betul untuk memperbetulkan keadaan. Bila setiap orang Melayu menggunakan bahasanya dengan betul, lama kelamaan orang lain juga akan mengamalkan bahasa yang betul. Tidak mustahil satu hari nanti bahasa kita itu akan disegani dan diiktiraf sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia.

7. Apapun semua ini memerlukan pengorbanan dan usaha banyak pihak dan hampir semua organisasi yang terbabit dalam penyampaian maklumat termasuk akhbar dan juga stesen televisyan. Program-program rasmi pihak berwajib termasuk parti-parti politik, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan patut dirangka dengan penggunaan bahasa Melayu ini.

8. Memang sekarang kita lihat ia sebagai sesuatu yang rumit tambah-tambah lagi ada kelibat seperti wanita yang menghina bahasa Melayu itu. Apapun gembeling tenaga semua pihak pasti meringankan usaha ke arah pemartabatan bahasa kita itu. Dan kita tidak lagi dianggp sebagai Jaguh Kampung lagi.  Insyaallah!

Sekian. Terimakasih.


No comments:

Post a Comment