Sunday, September 2, 2018

KFA TIDAK PERNAH BELAJAR DARI KESILAPAN LALU



1. Semalam 01 September 2018 adalah hari bersejarah bagi para pengadil yang berdaftar di bawah Jawatankuasa Pengadil KFA bagi tahun 2018 dan juga hari malang bagi mereka. Sesudah puas berusaha dan bergelut untuk lulus ujian kecergasan tahunan, mereka dimalukan pula oleh segelintir pengadil yang degil dan tidak mahu mendaftarkan diri dengan badan induk bolasepak negeri itu. Sesudah berjaya dalam ujian tersebut, mereka mengharapkan akan mendapat peluang dilantik mengadili mana-mana perlawanan bolasepak yang dianjurkan di bawah naungan KFA. Malangnya perkara itu tidak berlaku.

2. Serentak dengan penganjuran ujian kecergasan oleh Jawatankuasa Pengadil KFA itu, satu pertandingan bolasepak diadakan di kawasan tidak jauh dari Alor Setar iaitu pertandingan Futsal Piala Menteri Besar. Alangkah janggalnya bila Menteri Besar yang menjadi Presiden KFA boleh meluluskan dan hadir untuk menyaksikan perlawanan futsal tersebut yang tentunya diadili oleh para pengadil yang tidak terlibat dengan Ujian Kecergasan yang dianjurkan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh beliau sendiri.

3. Tentulah para pengadil yang terlibat dengan ujian kecergasan ini terasa ke tulang hitam betapa mereka tidak dihargai sebaliknya diberi tugas kepada individu-individu yang ingkar, tidak mematuhi peraturan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengadil KFA. Mereka ini pula adalah individu-individu yang lebih mementingkan wang dan kemudahan yang lain.

4. Sepatutnya Menteri Besar sebagai Presiden KFA hendaklah peka kepada keadaan dan hendaklah ambil maklum aktiviti yang dibuat oleh jawatankuasa di bawahnya daripada mementingkan perlawanan futsal tersebut. sepatutnya Menteri Besar selaku Presiden KFA hendaklah mengutamakan para pengadil yang mengikuti Ujian Kecergasan ini yang diadakan bagi menilai tahap kecergasan pengadil KFA sendiri.

5. Sampai bila perkara sebegini akan terus berlaku di KFA? Tentulah akan terus terjadi andainya yang bertukar hanyalah Presiden dan para exco yang dipilih ketika pemilihan, tetapi para pegawai yang mendapat elau, gaji dan kemudahan lain masih juga orang lama yang diketahui tidak dapat menjalankan tugas dengan betul dan berprestasi tinggi. Selagi para pegawai ini dikekalkan, selagi itulah keadaan tidak akan berubah.

6. Menteri Besar selaku Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Kehormat dan juga exco yang lain tentulah maklum bahawa pegawai-pegawai inilah juga yang menyebabkan Kedah atau pasukan Helang Merah gagal mengambil bahagian dalan kejohan AFC yang lalu. Begitu juga dengan penganjuran Liga 5 yang KFA gagal menganjurkannya kerana pegawai-pegawai eksekutif dan bukan eksekutif tidak menjalankan tugas mereka. Jadi selepas ini jika ada apa-apa yang kurang, Presiden KFA tidak payah menuding jari kepada sesiapa. Salahkan diri sendiri sahaja yang tidak peka kepada hal-hal seperti ini.

7. Saya bersimpati dengan para pengadil yang mengambil bahagian dalam Ujian Kecergasan semalam. Seramai 104 orang termasuk seorang pengadil wanita mengambil bahagian. Bermula dari yang muda dalam usia 15 tahun hinggalah kepada yang paling berusia 55 tahun menjalani ujian tersebut yang bermula jam 7.00 pagi. Mereka datang dari seluruh pelosok negeri termasuk dari Langkawi dengan perbelanjaan sendiri. Bayangkanlah berapa banyak perbelanjaan mereka dan jam berapa mereka bertolak dari rumah? Yang datang dari Langkawi tentulah tiba sehari sebelumnya dan bayangkan mereka terpaksa menginap di hotel dengan perbelanjaan sendiri.

8. Namun segala pengorbanan itu sia-sia sahaja akibat dari tindakan penganjuran Futsal Piala Menteri Besar yang tidak menggunakan khidmat mereka sebaliknya menggunakan khidmat pengadil yang tidak berdaftar dan ingkar dengan peraturan yang ditetapkan Jawatankuasa Pengadil KFA yang berada di bawah pengurusan Menteri Besar sendiri sebagai Presiden KFA. Semuanya jadi janggal sekali. Sepatutnya penganjuran tersebut tidak diluluskan andainya semua pihak peka dan sedar fungsi setiap jawatankuasa di KFA. Jangan-jangan Jawatankuasa Pertandingan KFA sendiri tidak tahu tentang penganjuran pertandingan tersebut, hanya Menteti Besar sahaja yang tahu.

9. Saya bersimpati dengan anda semua, para pengadil terutama yang berusaha lulus dalam ujian kecergasan tersebut. Tetapi apa boleh buat, mereka memegang dayung dan perahu milik mereka. Kita sebagai penumpang terima hakaikat bahawa kita tidak diperlukan pada masa ini. Insyaallah nanti pihak pengurusan dan Jawatankuasa Pengadil KFA yang baru ini akan mengambil tindakan yang perlu.

10. Bagi pihak pengurusan pula khasnya Datuk Seri Presiden serta YB Asmirul sebagai Setiausaha Kehormat haruslah memandang serius perkara ini. Lihatlah Ketua Pegawai Eksekutif yang dilantik dahulu bukannya orang bolasepak. Begitu juga Pegawai Eksekutif yang sudah beberapa musim di pejabat KFA tetapi peningkatannya tiada juga. Jadi apa tunggu lama-lama.

Sekian. Terimakasih.
ADIOS!

No comments:

Post a Comment