Sunday, September 9, 2018

PENGADIL KFA: SEBUAH KENANGAN MENGUSIK JIWA


1. Bila berbicara tentang pengadil bolasepak KFA, terimbas kembali beberapa kenangan yang terusik di jiwa. Bak kata orang, biar seceria manapun manusia, ada kalanya memungkinkan sesuatu akan mengusik perasaannya. Biar sesederhana manapun, pasti keinginan untuk dihormati dan dihargai itu ada bermain di jiwanya. Begitulah saya yang tentunya seperti manusia biasa yang lain juga. Ada kenangan dan ada juga rasa terkilan dan terasa di hati.

2. Hari ini apabila mendapat pesanan dari sahabat tentang bidang pengadilan bolasepak di KFA, perasaan seperti ulang tayang cerita lama yang dimainkan puluhan tahun yang silam. Cerita yang sama betapa kita dilupakan orang dan tidak dikenang langsung untuk dibawa berbincang walaupun ianya perlu perbincangan. Dan hari ini mengembalikan ingatan dan harus diingat bahawa ini adalah kali ketiga saya menerima kejutan yang serupa.

3. Sebelum pergi lebih jauh, biar saya imbas kembali apa yang telah berlaku pada satu ketika dahulu hinggalah membawa ke hari ini. Dan selepas itu biarlah orang menilai sejauh mana ingatan dan penghargaan yang patut diperoleh bagi kepuasan diri sebab saya juga manusia seperti orang lain. Tentulah tidak patut saya mengungkit perkara yang telah lepas tetapi apakan daya lagi, itulah sahaja jalan yang sehabis lembut untuk didedahkan tentang perkara yang menghantui saya selama ini.

4. Bermula ketika tahu 1986 selepas lulus dan menjadi Pengadil Kebangsaan, saya diminta oleh Khalid Ariffin (Allahyarham) membantu beliau menjelajah ke daerah-daerah untuk memberi kursus kepada bakal-bakal pengadil. Ketika itu saya berada di dalam senarai AJK dan sering terlibat mengadili perlawanan di negeri Kedah dan FAM. Di waktu yang sama terutama ketika En. Md Isa Abu Seman menjadi Setiausaha JK Pengadil, saya sering diminta membantu dari aspek perlantikan dan taklimat kepada para pengadil dalam sesuatru kejohanan.

5. Kadang-kadang perkara ini berlanjutan hingga lewat malam. ada waktu pula saya terpaksa membawa anak-anak yang masih kecil kerana tiada sesiapa di rumah. Namun kerana kepercayaan yang diberikan, saya gagahkan juga hadir untuk menguruskan perkara-perkara pengadilan itu. Tetapi apa yang saya terima selepas itu amat mengecewakan saya.Dan saya merasa seolah-olah saya tidak dihargai.

6. Suatu hari dalam tahun 1998, Encik Sivamuni dari SP menghatar SMS menyatakan dia dipilih oleh KFA dan dilantik menjadi Match Inspector (sekarang dipanggil RA). Berita itu mengejutkan saya kerana selain menjadi pengadil kebangsaan, tiada pun sedikit sumbangan beliau kepada KFA dan saya juga memikirkan atas dasar apa beliau dipilih sedangkan pengadil ketutunan India tidak sampai pun sebelah tangan pada ketika itu. Sedangkan saya yang terlalu banyak dan komited dengan sumbangan kepada KFA tidak berada dalam radar pengurusan KFA. Namun perkara itu tidak melunturkan semangat saya untuk berbakti kepada KFA. Saya terus membantu dan masih juga AJK Pengadil KFA.

7. Kemudian sekali lagi saya dianiaya oleh pihka Pengurusan KFA. Pada tahun 2000 lebih kurang, ketika saudara Md Isa menjadi Pegawain Pembangunan Pengadil, saya diarahkan untuk hadiri taklimat Venue Coordinator (VC) di Wisma FAM, Ketika itu saya mempunyai masalah kewangan dan ahli keluarga tidak sihat pula langsung membuat saya berat hati mahu pergi. Tetapi setelah dijanjikan bahawa semua perbelanjaan ditanggung, saya pergi juga dengan En Zaber Morad dan kami hadir dalam taklimat tersebut yang diadakan hanya selama 2 jam. selepas itu kami pulang tanpa dibayar sesen pun oleh FAM

8. Di KFA saya bertanya pihak pengurusan pada ketika itu dan Setiausaha Kehormat Puan Salomi telah meminta saya menulis tuntutan secara rasmi kepada KFA dan saya menurut arahan beliau. tetapi bermula dengan surat tersebut, akhirnya saya disingkirkan dari menganggotai Jawatankuasa Pengadil pada masa itu dan selepas itu saya tidak pernah dilantik menjadi VC dalam apa-apa pertandingan di KFA dan di tempat-tempat lain. Tuntutan yang saya buat juga tidak dilayan sehingga ke hari ini. Semuanya telah menjadi sejarah dan sekarang VC menjadi satu pos penting dalam segmen perlawanan bolasepak di KFA.

9. Dan sekarang semuanya berulang. Tentulah saya terasa bila saudara SU Jawatankuasa Pengadil mengirim pesanan kepada saya tentang cadangan beberapa nama untuk dihantar kepada FAM sebagai calon RA dan sebagainya, Saya terasa bukan kerana nama saya tiada dalam senarai 5 calon itu tetapi kerana keputusan penting begitu tidak dibuat dalam mesyuarat. Ia disenaraikan dan meminta pengakuan setuju atau tidak. Itu yang buat saya terasa. Jika boleh perkara begini dibuat dalam satu mesyuarat kerana kita mestilah melihat latarbelakang calon itu dari segi kriteria dan juga apa-apa sumbangan yang telah diberikan kepada KFA. Mungkin ini sebagai satu cara kita membalas jasa kerana orang yang berjasa jika tidak dibalas dengan baik, ia akan jadi seperti yang saya alami.

10. Diharap pihak yang berkenaan akan dapat mengambil ingatan tentang perkara ini.

ADIOS!


No comments:

Post a Comment