Tuesday, January 19, 2010

SUBSIDI UNTUK ORANG KAYA

Saya amat tertarik dengan luahan rasa seorang pembaca (BASURI, PANDAN INDAH, KUALA LUMPUR) dalam ruangan ini pada hari Selasa 19 Januari 2010 yang menyentuh tentang soal pemberian subsidi petrol yang akan diumumkan tidak lama lagi. Apa yang diluahkannya saya rasa ada asas dan kebenarannya memandang kepada mekanisma yang serupa diamalkan dalam kes-kes terdahulu.

Terpanggil untuk saya turut sama memberi pandangan walauapun mungkin tidak dapat mempengaruhi perlaksanaan pemberian subsidi bahan baker tersebut nanti lebih-lebih lagi mempengaruhi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kalau Encik Basuri baru kali ini merasai kesan dari perlaksanaan KPDNDHEP, bagi saya pula ini adalah kali ketiga saya menempuhnya jika dasar ini mengambil kira kapasiti kenderaan yang saya miliki.

Ketika orang ramai mendapat nikmat pemberian ‘rebat tunai’ mulai April 2008 hingga April 2009, saya tidak berpeluang memperolehinya. Begitu juga ketika kerajaan menurunkan kadar harga Cukai Jalan Kenderaan, saya tidak dapat juga menikmati penurunannya pada ketika itu.

Ini kali ketiga saya terlepas peluang menikmati pemberian subsidi bahanapi yang diberikan kerajaan sedangkan saya hanya memiliki kereta bernilai tidak sampai RM15,000.00 walaupun kapasitinya melebihi 2000cc iaitu Honda Accord 2.2 keluaran tahun 1993. Ada kereta yang harganya di pasaran 10 kali ganda harga kereta itu tetapi masih berpeluang menikmati subsidi petrol itu.

Memang sukar bagi kerajaan untuk memuaskan hati semua pihak, tetapi bayangkanlah ketika mengisi petrol nanti, kereta saya yang miskin terpaksa membayar harga ‘orang kaya’ sedangkan di sebelah atau di belakang saya kereta orang kaya membayar dengan harga ‘orang miskin’

Jelaslah subsidi ini diberi kepada orang kaya yang mampu memiliki kereta yang harganya ratusan ribu ringgit. Saudara Basuri sendiri yang memiliki kereta berharga RM90,000 pun terasa ketidakadilan pemberian subsidi ini, apatah lagi saya yang memiliki kereta bernilai sekitar RM15,000 sahaja jika itu satu-satunya kriteria diguna-pakai sedangkan sepatutnya nilai kereta juga perlu diambil-kira.

Tetapi saya tetap bersyukur kerana masih lagi boleh mengisi petrol di mana-mana stesen kerana memiliki Kad Pengenalan seperti orang lain juga kerana saya rakyat negara ini yang setia membayar cukai setiap tahun.

Tuesday, January 12, 2010

KALIMAH ALLAH DAN MC DONALD

1. Bila mahlamah memutuskan bahawa kalimah Allah bukanlah hak mutlak agama Islam, teringatlah saya kepada kes perkataan 'Mc" yang dipakai oleh perniagaan ayam goreng 'Mc Donald' yang mengalami nasib yang sama juga lebih kurangnya. "Mc" bukanlah hak mutlak Mc Donald. Sesiapa yang rasa mahu, bolehlah menggunakannya di premis perniagaan masing-masing. Pihak Mc Donald tidak akan berupaya berbuat apa-apa.
2. Sehubung dengan keputusan mahkamah mengenai 'Mc' itu, maka bebaslah label-label perniagaan lain yang serupa iaitu Mc Chicken, Mc Dota, Mc Curry dan aedikit masa lalu di Kulim muncul label yang ditukar kepada jenama tempatan, Mat Dollah (Kalau siapa masih ingat, perniagaan ini dijalankan di restoran jejantas lebuhraya BKE Kulim-Seberang Jaya).
3. Begitulah hebatnya mahkamah sehingga tiada siapa pun dapat mengubah dan mencabar kewibawaannya. Memang betulllah, kalau tidak mahu percaya kepada mahkamah sebagai titik penentu, hendak percaya pada siapa lagi.
4. Apa yang nyata perkataan 'Mc' boleh dimanipulasi dan dieksploitasi begitu rupa oleh orang-orang yang berkepentingan bagi melariskan perniagaan masing-masing.
5. Hal yang sama tidak mustahil bakal terjadi kepada kalimah Allah. Semua agama dan manusia di Malaysia boleh menggunakan kalimah tersebut dengan alasan bahawa keputusan mahkamah begitu. Oleh sebab 'Allah' bukan lagi hak mutlak agama Islam, semua agama boleh menggunakannya bagi membawa maksud Tuhan mereka. Tidak mustahil pada suatu masa nanti di generasi yang akan datang akan terpampang nama Allah pada lambang-lambang keagamaan yang lain.
6. Tidak mustahil kalimah Allah akan dapat dilihat di tiang-tiang salib kerana agama Kristian juga mahu menggunakan kalimah Allah. Tidak mustahil juga nanti Tuhan-tuhan agama Hindu dan Buddha juga mahu menggunakan kalimah yang sama kerana dakwa setengah orang hari ini bahawa Allah adalah Tuhan bagi semua manusia, bukan untuk orang Islam sahaja.
7. Bukan setakat masjid sahaja terpampang nama Allah. Gereja juga menggunakan Allah. Nanti di suatu masa kuil-kuil dan lain-lain juga meletakkan nama Allah di premis ibadat mereka kerana siapa sahaja berhak menggunakannya seperti yang diputuskan mahkamah semasa dunia menutup tirai 2009 yang lalu.
8. Sewaktu kecil dahulu ketika berjalan di kawasan rumah kongsi di ladang-ladang getah, saya diajar datuk saya mengenal rumah pekerja beragama Islam dengan melihat nama Allah di pintu-pintu rumah mereka. Begitu juga dengan kedai-kedai makan milik peniaga Islam, ada tertulis kalimah yang sama. Mungkin keadaan ini akan berubah sedikit masa lagi kerana semua agama boleh mnggunakan kalimah tersebut. Mungkin satu hari nanti payah kita hendak memilih makanan untuk orang-orang Islam, tegasnya makanan halal.
9. Entahlah wahai sekelain manusia yang sangat bijak dan pandai sekarang ini.

Thursday, December 24, 2009

TIADA LANGSUNG SUMBANGAN GURU MEREKA?

Hari ini keputusan PMR diumumkan dan para pelajar yang berjaya dengan cemerlang bersorak gembira mulai jam 1o pagi di sekolah masing-masing. Sebelum itu bermula jam 9 Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Alimuddin mengumumkan dengan gembiranya kerana peningkatan mata dari 2.83 kepada 2.74 sehingga 2 kali beliau ulangkan bahawa semakin kurang mata diperolehi, semakin bagus keputusan.

Tetapi bukan itu perkara yang hendak dibicarakan.

Rata-rata pelajar yang diwawncara selepas keputusan ternyata begitu riang dan dengan bangga sekali sampai ada yang menitiskan air mata. Ada pula yang berplukan dengan ibu-bapa masing-masing serta saudara-mara.

Yang saya tumpang sedih adalah kepada guru-guru mereka. Sudahlah tidak difokuskan langsung dalam gambar-gambar di kaca TV, malah para pelajar tersebut pun tidak ada yang menyentuh langsung tentang peranan guru-guru ini. Tak ada seorang pun yang menyatakan rasa terimakasih kepada guru dan menyanjung sumbangan guru terhadap kejayaan mereka.

yang disebutkan adalah berkat doa para ibu dan bapa. Ada yang terharu kerana pengorbanan ibu-bapa berjaga sehingga larut malam menemani anak mereka membaca buku. Ada pula yang menyebut tentang kelas tuisyen dan sokongan rakan-rakan.

Guru mereka? Tidak ada peranan langsung?

Agaknya budak-budak berjumlah 28,000 yang mendapat semua A sudah lupa kepada insan yang sentiasa memberi dorongan dan motivasi sepanjang masa.

Begitulah setiap kali selepas peperiksaan baik PMR, SPM ataupun STPM. Guru sentiasa dilupakan apabila telah berjaya sebaliknya guru menjadi sasaran apabila keputusan tidak memuaskan.

Wednesday, December 23, 2009

PERKASAKAH BAHASA MELAYU?

Pada Oktober 2009 lalu mahkamah menolak kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan saman malu terhadap bekas Perdana Menteri Tun Mahathir. Alasan penghakiman berkisar kepada penggunaan bahasa dalam rayuan tersebut di mana pihak Datuk Seri Anwar tidak menggunakan bahasa Melayu dalam proses rayuannya. Betapa perkasanya bahasa Melayu di mahkamah jika dilihat dari keputusan penghakiman tersebut.

Pada hakikatnya, bahasa Melayu semamangnya berkuasa, hebat dan agung pada setiap masa di negara ini sehingga menggunakan bahasa selain bahasa Melayu (Inggeris umpamanya) dianggap satu penghinaan terhadap perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Tulisan Prof. Dr. Teo Kok Seong (Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM) malalui Berita Harian pada Selasa 22 Disember 2009 menceritakan segala-galanya.

Malangnya ramai yang tidak sedar dan tidak mahu peduli perkasa atau tidak bahasa kebangsaan ini sehinggakan Tun Mahatihir sendiri tetap masih mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara sehingga pada satu ketika beliau meminta semua pihak tidak menganggap seseorang itu tidak patriotik jika masih menggunakan bahasa Inggeris. Sehingga hari ini beliau masih terkilan dengan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI.

Memang tidak dinafikan bahasa Inggeris digunakan dengan meluas di serata dunia terutama dalam sektor koporat dan antarabangsa. Malah di mahkamah yang utamakan bahasa Melayu sendiri pun masih dibolehkan menggunakan bahasa Inggeris ketika berinteraksi dengan saksi-saksi yang tidak mempunyai asas dan pengertian yang cukup dalam bahasa Melayu.

Namun apabila hendak mengumumkan dividen ASB yang sepatutnya didengar khalayak bumiputera khasnya orang-orang Melayu masih juga menggunakan bahasa Inggeris, sikap patriotik dipertikaikan. Kalau hendak mengumumkan sesuatu produk untuk dagangan di negara ini sendiri pun masih tidak mahu menggunakan bahasa Melayu, tentulah kita tertanya-tanya tentang kedudukan bahasa Melayu dalam hal tersebut.

Petronas sendiri seolah-olah tidak yakin dengan bahasa kebangsaan kita sendiri bila iklannya masih juga mengutamakan bahasa-bahasa yang lain selain bahasa Melayu. Syarikat pengeluar minyak negara memakai empat bahasa sekaligus iaitu Cina, Tamil, Inggeris dan Melayu dalam iklan memperkenalkan jenamanya yang terbaru. Entah apa rasionalnya, hanya Petronas yang dapat menjawabnya.

Ini tidak termasuk lagi dengan penggunaan bahasa rojak dan bahasa SMS yang sangat berleluasa dan mempengaruhi golongan remaja dewasa ini. Begitu juga dengan istilah-istilah yang sesuka hati dicipta para penyampai radio dan TV saban hari. Sekarang sudah wujud perkataan ‘cepu gangsa’ yang asalnya cepu emas. Begitu juga ‘cenderahati’ luas digunakan dalam acara-acara rasmi menggantikan cenderamata. Kita tentu tidak sedar entah dari mana datangnya sebutan ‘mereka-mereka’ dan ‘berbaloi-baloi’ padahal perkataan-perkataan tersebut tidak perlu digandakan.

Kadang-kadang hendak ‘termuntah’ rasanya mendengar dialog-dialog dalam drama-drama melayu menyebut I, You, You all dan yang sepertinya. Seolah-olah pelik menggunakan bahasa Melayu seperti ‘akui’, ‘awak’, ‘engkau’ dan lain-lain.

Para pelajar pula begitu ghairah menggunakan bahasa SMS sehingga terbawa-bawa menggunakannya dalam karangan-karangan semasa belajar dan juga dalam peperiksaan. Begitu kuatnya pengaruh bahasa tersebut di kalangan remaja dewasa ini.

Semua yang dibangkitkan ini merupakan fenomena penggunaan bahasa yang bakal melenyapkan identiti bahasa Melayu jika semua pihak tidak serius menanganinya. Jika kita asyik berdiam dirti dan tidak mahu memperkasakan bahasa kita sebagaimana langkah mahkamah tadi, jangan terkejut pada satu hari nanti bahasa Melayu hilang begitu sahaja dan digantikan dengan bahasa yang direka sesuka hati.

Lama kelamaan bahasa-bahasa SMS dan istilah-istilah yang direka-reka ini menjadi satu kebiasaan dan dianggap sebagai betul. Ketika itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi selain turut sama terlibat dalam kecelaruan bahasa tersebut.

Pejuang-pejuang bahasa pula asyik dengan syarahan dan seminar di kalangan kelompok mereka sahaja dan tidak memasyarakatkan bahasa. Tidak mustahil satu hari nanti tinggal para ilmuan dan cendekiawan itu sahaja yang tahu berbahasa Melayu tapi masyarakat dan golongan muda mempunyai bahasa yang lain pula sepertimana penggunaan ‘Lu’ dan ‘Gua’ dalam pertuturan kebanyakan remaja di Indonesia.

Semua ini memperlihatkan betapa rapuhnya semangat cintakan bahasa sendiri terutama bila ada para pemimpin juga lebih cenderung bertutur bahasa lain di kalangan rakyat Malaysia sendiri. Lainlah kalau bercakap di khalayak luar negara yang tidak mengerti bahasa Melayu.

Jadi Adakah bahasa Melayu bahasa yang perkasa jika rakyat Malaysia sendiri menghina Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan menghina Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967?

Tuesday, December 22, 2009

KENAPA MESTI 'TRIBUTE TO MICHAEL JACKSON?'.

Langkah Malaysia menganjurkan pertandingan pancaragam yang dipnggil ‘KL World Marching Band Competition’ yang diadakan pada 18 Disember 2009 lalu sangat dialu-alukan sebagai salah satu usaha memperkenalkan negara sebagai satu destinasi pelancongan. Lebih manis lagi wakil Malaysia Sekolah Menengah Sultanah Asma dari Kedah menjadi juara berganda pada malam tersebut yang disiarkan secara langsung melalui TV.

Walau bagaimanapun akhirnya acara malam itu dicacatkan oleh persembahan penutup selepas majlis penyampaian hadiah yang menampilkan kumpulan penari yang menyanyi dan menari dalam slot ‘Tribute To Michael Jackson’ yang rasanya tidak sesuai dan lari sama sekali dari konsep pertandingan. Entah di mana silapnya, slot tersebut langsung tidak menggambarkan Malaysia. Seolah-olah kita berada di Amerika mengenang seorang penghibur negara tersebut sedangkan slot ini sepatutnya digunakan untuk mempromosi negara ini.

Kenapa kita harus menampilkan ‘Tribute To Michael Jackson’ sedangkan negara kita boleh diperkenalkan dengan budaya tersendiri. Kita sendiri mempunyai banyak kesenian dan kebudayaan yang boleh dipertontonkan. Apa salahnya slot ini diselitkan dengan tarian tradisional atau tarian mana-mana etnik negara ini yang boleh menarik minat peserta luar negara dan tentunya ia boleh dijadikan satu daya tarikan pelancongan.

Entah apa yang bermain di fikiran para pegawai Kementerian Pelancongan yang terlibat dengan acara malam tersebut sehingga meminggirkan seni tempatan dan mengagungkan seni dari Barat tersebut yang tidaklah sebagus manapun dipertunjukkan, malah acara sebegini tidak wajar sama sekali diselitkan dalam suatu program bertaraf ‘dunia’.

Kenapa harus ‘tribute to Michael Jackson’, tidak seni tempatan? Dan 'Michael Jackson' yang ditampilkan sangat mengecewakan.

Friday, December 18, 2009

PUTERIKU: SELAMAT PENGANTIN BARU





Selamat Pengantin Baru, puteriku.
Selamat melayari hidup baru dan selamat berbahagia!

Sepatutnya ayahanda mengucapkan tahniah ini beberapa hari yang lalu, ketika suasana masih baru dan sedang hangat diraikan bersama keluarga. Tetapi hari ini sahaja peluang tiba dan ayahanda mempunyai luang masa yang baik untuk meluahkan kegembiraan ini.

Majlis yang berjalan meriah pada hari Sabtu 12.12.09 lalu memberi makna yang amat besar kerana berjaya juga ayahanda meraikan hari bahagia anakanda yang ditunggu sekian lama dan ayahanda tidak menyangka sama sekali akan menjadi meriah begini setelah kita melalui saat duka dan peristiwa demi peristiwa.

Syukur kepada Ilahi!

Tahniah kepadamu puteriku dan tahaniah juga kepada suamimu!



Wednesday, December 16, 2009

SAMPAH DAN ORANG MELAYU TIDAK DAPAT DIPISAHKAN


(PEMANDANGAN SELEPAS PASAR DITUTUP)


Sebut sahaja orang Melayu terbayang sampah berserakan di halaman. Lihat sahaja sampah, terbayang orang Melayu yang memang gemar membuang sampah. Tidak dapat dinafikan bahawa bukan semua Melayu bersikap demikian dan jauh sekali mahu menghina tetapi sebab nila setitik rosak susu sebelanga. Saya sendiri orang Melayu dan saya amat malu setiap kali melewati kawasan-kawasan yang baru berakhir sesuatu keramaian atau pesta.

Lihat sahaja di kawasan-kawasan pekan sehari atau pasar-pasar malam sebaik sahaja selesai berniaga atau kawasann ditutup. Jelek sekali memandang sampah-sampah yang ditinggalkan. Pedih mata melihat longgokan dan serakan sampah memenuhi kawasan yang telah kosong ditinggalkan para pengunjung dan para peniaga.

Para pengunjung pasar malam dan pekan sehari adalah orang Melayu dan para peniaganya juga adalah majoritinya Melayu. Dan orang-orang inilah yang membuang sampah tanpa segan silu. Orang-orang inilah yang membiarkan sampah bersepah di medan yang menjadi tempat berniaga sebentar tadi.

Saya pernah bertanya beberapa peniaga sebuah Pekan Sehari tentang perkara ini, dan jawapan yang diberikan sangat mengecewakan. Mereka memberi alasan bahawa mereka telah membayar wang tambahan bersama bayaran sewa tapak niaga sebagai ‘upah’ pihak berkuasa tempatan membersihkan kawasan tersebut.

“Kami sudah bayar, mereka buatlah kerja. Merekalah bersihkan. Mengapa pula kami.” Itu jawapan yang sering didengar.

Alangkah moleknya jika peniaga-peniaga ini memberi kerjasama menyediakan bekas sampah di sekitar mereka dan orang ramai boleh sama-sama membuang kertas dan plastik ke dalam bekas yang disediakan. Kalau setiap peniaga mempunyai kesedaran ke arah itu, sudah pasti banyak masa dan tenaga boleh dijimatkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Tetapi Melayu tetap juga Melayu, masih dengan perangai yang sama hingga bila-bila. Melayu tidak akan berubah. Melayu beragama Islam dan Islam sukakan keindahan Tetapi Melayu tetap dengan tabiat membuang sampah merata-rata. Melayu tetap meninggalkan sampah apabila habis sesuatu pesta.

Wednesday, December 2, 2009

SEKOLAH SATU ALIRAN: TIBA-TIBA SEPI BEGITU SAHAJA

1. Sedikit waktu lalu, negara heboh seketika dengan polemik sekolah satu aliran. Setiap hari ada sahaja individu memberi pendapat dan pandangan mengenai kebaikan idea tersebut sebagai satu usaha memupuk perpaduan antara kaum. Tidak kurang pula yang membantah dan tidak mahu perkara ini dibincangkan langsung.

2. Dari pendapat-pendapat yang menyokong dan membantah mengenai sekolah satu aliran ini dapatlah dirumuskan bahawa setiap orang mempunyai kebebasan bersuara dan kebebasan tersebut digunakan dengan maksimum. Semuanya disimpulkan bahawa kita terlalu ego dengan kaum masing-masing.

3. Pendapat yang menyokong adalah datangnya dari para cendekiawan dan para ilmuan yang nampak lebih pragmatik di dalam usaha memupuk perpaduan antara kaum yang sepatutnya dimulakan sejak kanak-kanak lagi. Terntunya perkara ini hanya boleh dilaksanakan sementara kanak-kanak ini berada di sekolah rendah lagi. Sudah agak terlewat jika penerapan perpaduan dilakukan ketika mereka meningkat remaja dan dewasa. Sudah 52 tahun kita gagal melakukannya dengan berkesan.

4. Bermula dengan cadangan daripada Profesor Dr. Khoo Kay Kim, tidak sedikit para ilmuan, cendekiawan dan budayawan melontarkan sokongan terhadap idea tersebut kerana mereka melihat perkara ini secara positif dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan selain mahu melihat gagasan 1 Malaysia menjadi satu realiti. Individu seperti Dr Redhuan Tee, Dr. Firdaus serta beberapa orang lagi mempunyai rasional ke arah matlamat tersebut.

5. Kumpulan yang menetangnya pula adalah orang-orang politik yang hanya melihat dari sudut politik yang memberi pulangan kepada agenda politik mereka. Kumpulan terbesar yang membantah idea tersebut adalah pejuang-pejuang politik kaum seperti MCA, MIC, dan beberapa tokoh dari DAP serta PKR. Selain itu pertubuhan-pertubuhan berasaskan kaum bukan Melayu seperti Pertubuhan Dong Zong dan Persatuan Guru Besar SJK Tamil. Semua individu dan pertubuhan ini mempunyai kepentingan dalam penentangan idea ini. Jika wujud sekolah satu aliran sudah tentu tiada lagi Dong Zong dan Persatuan Guru Besar SJK Tamil tersebut.

6. Pemimpin-pemimpin politik pula tentulah ingin menonjolkan diri sebagai jaguh kaum masing-masing. Matlamat mereka hanyalah untuk mendapat sokongan politik peribadi mereka bukan atas semangat nasional. Mereka menolak bulat-bulat idea tersebut tanpa mahu perbincangan yang lebih terbuka dan ilmiah. Mereka takut kehilangan identiti kaum masing-masing.

7. Bagi pihak kerajaan sendiri pula lebih ‘bersikap tunggu dan lihat’. Menunggu ketika sesuai dan melihat reaksi rakyat dalam perkara ‘sensitif’ ini. Kerajaan hanya mengambil jalan selamat terutama di waktu-waktu genting seperti sekarang yang amat menagih sokongan kaum Cina dan India untuk kestabilan politik dan kuasa dengan mengeluarkan kenyataan yang hambar. Bak kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana menteri bahawa ‘kerajaan lebih selesa dengan sistem sekolah berbagai aliran yang ada sekarang’.

8. Akhirnya, selepas kenyataan Menteri Pelajaran itu, idea tersebut hilang begitu sahaja dean tiada siapa lagi yang membincangkannya sedangkan jika dilihat perkara ini dapat dilakukan di negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

9. Sekarang tidak siapa lagi peduli dan bercakap mengenainya. Ia senyap begitu sahaja setelah kerajaan sendiri tidak berminat dan semua kaum memandang sepi idea yang bagus pada pandangan para ilmuan, cendekiawan dan budayawan kerana orang-orang ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan.

Saturday, November 28, 2009

PEJUANG BAHASA YANG BERMUSIM

1. Bulan Bahasa Kebangsaan sudah hampir sebulan berlalu tanpa ada suatu pun program yang boleh dibanggakan untuk dikenang sebagai usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Kalau pada hari pelancarannya kita lihat begitu berkobar-kobar dan bersemangat hendak memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan bahasa dunia.
2. Dan para pejuang bahasa yang teramat lantang dahulu entah ke mana menghilang. Tidak ada seorang pun yang bersuara tentang kecelaruan penggunaan bahasa sekarang ini seolah-olah menjadi pejuang bermusim yang hanya bersuara pada waktu-waktu tertentu. Seperti ayam yang hanya berkokok pada waktu dinihari.
3. Sedikit waktu dahulu para pejuang bahasa begitu ghairah mengkritik kerajaan tentang PPSMI hingga membawa kepada penghantaran memorandum kepada DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agung. Tokoh-tokoh seperti A. Samad Said dan Hassan Ahmad yang berkeras meminta kerajaan menarik balik PPSMI atas alasan mahu memartabatkan bahasa Melayu terus menyepi selepas peristriwa demonstrasi jalanan yang bersejarah itu.
4. Selepas itu tidak kedengaran apa-apa lagi. Barangkali mereka sudah puas setelah berjaya memaksa kerajaan menghabiskan entah berapa juta ringgit untuk menghasilkan buku-buku teks yang baru menggantikan buku teks PPSMI dahulu. Kemudian berapa juta ringgit pula untuk menjalankan kursus-kursus bagi guru-guru yang terlibat dengan PPSMBM pula.
5. Ketika TPM Tan Sri Muhyiddin yasin melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Serawak pada 1 Oktober lalu sehinggan sekarang tokoh-tokoh tersebut menyepi sahaja. Yang ada hanyalah beberapa orang pecinta bahasa memberi beberapa pandangan yang akhirnya dipandang sepi semua pihak termasuk kerajaan sendiri dan semuanya berlalu begitu sahaja. Mungkin menanti bulan bahasa tahun hadapan pula untuk berkokok semula.
6. Sekarang semuanya kembali kepada asal malah semakin jauh dari matlamat hendak meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dan bahasa ilmu. Para pemimpin masih juga cenderung berbahasa Inggeris walaupun berucap kepada khalayak dari Malaysia sendiri. Tokoh-tokoh korporat tetap dengan penuh ego menyampaikan maklumat dan mempromosikan produk mereka kepada rakyat Malaysia sendiri dalam bahasa Inggeris seolah-olah bahasa itu menjadi satu kemestian dalam bidang mereka.
7. Tidak ada siapa peduli dengan lambakan drama Melayu yang menggunakan dialog bahasa rojak. Tidak siapa peduli iklan-iklan yang terang-terang mencabar usaha memartabatkan bahasa Melayu. Malah Petronas sendiri yang dianggap sebagai sebuah syarikat nasional dengan angkuh membuat iklan dengan empat bahasa sekaligus seolah-olah bukan hanya Melayu sahaja bahasa rasmi negara ini.
8. Dan para pejuang bahasa seperti bisu dan hilang taring. Kalau dulu begitu lantang dengan berbagai kritikan, sekarang oleh kerana bukan musimnya, semua berdiam diri begitu sahaja. Seolah-olah kemunculan mereka bemusim. Atau menanti tibanya musim pilihanraya atau sewaktu adanya demonstrasi jalanan untuk mereka menjaja isu bahasa ini semula kerana kemunculan mereka pada waktu sensasi itu mejadikan mereka sedikit ‘glamour’.
9. Kita tunggulah apabila tiba musimnya nanti.

Friday, November 20, 2009

MUNGKIN INILAH IKLAN SATU(1) MALAYSIA

Setiap kali mengikuti siaran buletin Utama atau Berita Nasional, iklan Petronas tidak pernah lupa disiarkan. Setidak-tidaknya 2 kali semasa siaran berita di TV. Dalam sehari entah berapa kali iklan tentang penggunaan dan kelebihan bahanapi jenama nasional itu dihidangkan kepada para penonton.

Mahu tidak mahu, lihat jugalah. Dalam hati sebenarnya ‘meluat’ tak terkira. Tapi oleh kerana hendak menonton berita, terpaksa jugalah melihat iklan yang menyakitkan hati itu. Iklan itu bukan tidak bagus tetapi cara dipersembahkan amat menyakitkan hati.

Dimulai dengan bahasa Cina sebagai pembuka tirai, diikuti bahasa Tamil, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Nampaknya bahasa Melayu lepas ke belakang. Walaupun susunan bahasa itu bukanlah bermaksud begitu, orang akan menilai begitu. Tetapi bagi saya bukan perkara tersebut menjadi fokus sebenar saya dalam soal ini.

Yang menghairankan saya kenapa ia perlu dibuat dalam empat bahasa? Tidak memadai dengan bahasa Melayu sahaja? Susah sangatkah rakyat Malaysia hendak memahami bahasa Melayu yang termaktub sekian lama sebagai bahasa rasmi dalam perlembagaan? Itulah yang menghairankan dan mengejutkan saya. Mungkin inilah iklan yang mencerminkan gagasan 1 Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri.

Dalam kita bersungguh-sungguh hendak memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, adalah tidak munasabah iklan begini dihasilkan dan disiarkan. Walau apa pun rasionalnya, iklan ini benar-benar mencabar usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu. Untuk siapa sebenarnya iklan itu dihasilkan?

Saya rasa tidak perlu menggunakan empat bahasa sekali dalam iklan tersebut. Memadai hanya bahasa Melayu kerana setiap rakyat Malaysia sudah pasti memahami setiap ayat yang digunakan. Bukan payah sangsat, “Kereta saya pergi lebih jauh hanya dengan satu pengisian sahaja”.

Iklan ini patut dikaji semula penyiarannya. Lebih-lebih lagi yang terlibnat aalah sebuah syarikat bertaraf nasional, sepatutnya hendaklah lebih patriotik. Sepatutnya Petronas hendaklah lebih peka kepada usaha kerajaan meletakkan bahasa Melayu di tempat sepatutnya.

Monday, November 16, 2009

TIGA BADUT DALAM MCA

1. MCA parti yang digembar-gemburkan sebagai parti terbesar kaum Cina semakin bercelaru dan haru-biru. Tak habis-habis dengan kemelut dan krisis umpama satu jenaka jadinya. Saban hari ada sahaja bahan yang datang dari MCA yang membuat kita boleh tertawa. Kita tergelak melihat lakonan persis badut dari para pemimpin mereka yang hari ini cakap lain, esok cakap lain pula.

2. Ada tiga BADUT yang memainkan peranan penting dalam pergolakan parti itu. Dan ada penganalisa menganggap segala krisis bakal selesai atau tamat terus andainya ketiga-tiga badut ini secara sukarela mengundur diri. Watak TIGA BADUT atau ‘Three Stooges’ ini perlu ditamatkan terlebih dahulu, barulah memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan MCA.

3. Itulah yang perlu dilakukan Perdana Menteri jika beliau masih memikirkan MCA masih relevan kepadas BN. Itupun jika beliau diminta campurtangan menangani kemelut tersebut. Jika badut-badut ini masih ada menjadi tonggak MCA, selagi itulah MCA semakin jauh dari hati seluruh masyarakat Cina.

3.1. ONG TEE KIAT

Semenjak memenangi jawatan presiden MCA mengalahkan Ong Ka Chuan dahulu lagi si badut ini mula beraksi dengan tidak melantik lawannyaa ayang tewas untuk apa-apa jawatan dalam MCA. Sepatutnya beliau harus sedar bahawa Ong Ka Chuan ada penyokongnya dan beliau harus melantik individu ini dalam senarai pengurusan parti itu bagi mengambnil hati para penyokong Ka Chuan. Tetapi itu tidak dilakukan.

Imejnya telah tercalar sama sekali apabila timbul isu PKFZ. Tidak ada apa lagi yang hendak diperbetulkan dan tidak perlu menggunakan parti bagi membersihkan namanya yang tercemar itu. Ini membuat ramai ahli tidak suka dan marah.

Apabila undi tidak percaya terhadap beliau sudah diluluskan dalam EGM yang lalu, sepatutnya beliau faham bahawa dirinya tidak diperlukan lagi. Apa hendak diperbetulkan lagi jika majoriti ahli sudah tidak percaya? Langkah paling baik untuk beliau adalah melepaskan jawatan presiden itu dan undur diri secara berhemah. Tidak perlu lagi beliau memikirkan perkara-perkjara yang belum selesai dan tidak perlu lagi pelan perdamaian yang diwar-warkan.

3.2. CHUA SOI LEK

Peribadi Chua Soi Lek mula tercalar apabila tersebar video sexnya yang sangat populer sedikit masa lalu sehingga terpaksa melepaskan jawatan dalam parti dan juga kerajaan. Kemudian sedikit demi sedikit beliau membina semula diri dan memenangi kerusi Timbalan Presiden tetapi akhirnya bertelagah dengan presiden Ong Tee Kiat hinggalah membawa kepada perpecahan dalam MCA samapai ke hari ini.

Tidak salah sama sekali bahawa yang menyebabkan MCA jadi haru-biru ini banyak disebabkan badut yang seorang ini. Bermula dengan moralnya yang runtuh membawa kepada pertelingkahan serta peribadi umpama lalang. Kerana sikap tidak berprinsip itulah juga MCA sukar membaca tindak-tanduknya.

Umpama seorang badut, mula-mula seiring dengan Liew Tiong Lai menjadi pendesak hingga membawa kepada EGM dan Tee Kiat hilang kepercayaan ahli, akahirtnya menyokong kembali Tee Kiat melalui pelan perdamaian anjuran presiden dan bersama-sama pula menentang Liew Tiong Lai.

Boleh percayakaha kepada manusia yang umpama lalang ini yang sering berubah arah mengikut angin? Hingga sekarang manusia ini menjadi bahan tertawa rakyat Malaysia. Umpama badut tua yang kekeringan idea.

3.3. LIEW TIONG LAI

Pada mulanya watak ini muncul, dilihat seolah-olah seorang penyelamat telah tiba. Moga-moga MCA terselamat dari badai dengan nada penuh yakin bahawa “Saya bukan gila kuasa,” katanya, tetapi ternyata andaian itu meleset. Rupanya seorang lagi badut muncul dalam MCA.

Apa tidaknya, apabila Soi Lek dilucutkan jawatan Timbalan Presiden, beliau dipilih oleh EGM menggantikan Soi Lek. Tetapi apabila ROS mendapati jawatan Timbalan Presiden tidak kosong, si badut ini mulalah tunjuk belangnya yang sebenar. Cakap sudah tak serupa bikin. Rupanya ia ‘gila kuasa’ seperti badut-badut yang lain juga. Rupanya kerusi presiden parti menjadi matlamatnya.

Lidahnya berkata tidak gila kuasa, tetapi tindak-tanduknya seperti hendak merampas kuasa. Tidak sabar-sabar hendak menduduki kerusi nombor satu MCA itu. Langsung tidak akur lagi dengan pelan perdamaian malah tetap mahu EGM sekali lagi yang diharap bakal menentukan kedudukannya.

4. Kita? Apa kita tunggu lagi? Semuanya di tangan kita. Hendak tunggu melihat aksi badut-badut ini atau apa? Yang paling baik, ketiga-tiga mereka harus berundur secara sukarela. Ataupun membuat pemilihan semula untuk jawatan-jawatan tersebut dengan tidak mencalonkan badut-badut ini demi menyelamatkan MCA. Atau lupakan parti itu dan tubuhkan pareti baru yang aspirasinya serupa seperti kewujudan Makkal Sakti bagi kaum India.

5. Kenapa harus dibiarkan lagi “Three Stooges” ini beraksi di depan mata? Jelek rasanya!