Tuesday, January 19, 2010

SUBSIDI UNTUK ORANG KAYA

Saya amat tertarik dengan luahan rasa seorang pembaca (BASURI, PANDAN INDAH, KUALA LUMPUR) dalam ruangan ini pada hari Selasa 19 Januari 2010 yang menyentuh tentang soal pemberian subsidi petrol yang akan diumumkan tidak lama lagi. Apa yang diluahkannya saya rasa ada asas dan kebenarannya memandang kepada mekanisma yang serupa diamalkan dalam kes-kes terdahulu.

Terpanggil untuk saya turut sama memberi pandangan walauapun mungkin tidak dapat mempengaruhi perlaksanaan pemberian subsidi bahan baker tersebut nanti lebih-lebih lagi mempengaruhi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kalau Encik Basuri baru kali ini merasai kesan dari perlaksanaan KPDNDHEP, bagi saya pula ini adalah kali ketiga saya menempuhnya jika dasar ini mengambil kira kapasiti kenderaan yang saya miliki.

Ketika orang ramai mendapat nikmat pemberian ‘rebat tunai’ mulai April 2008 hingga April 2009, saya tidak berpeluang memperolehinya. Begitu juga ketika kerajaan menurunkan kadar harga Cukai Jalan Kenderaan, saya tidak dapat juga menikmati penurunannya pada ketika itu.

Ini kali ketiga saya terlepas peluang menikmati pemberian subsidi bahanapi yang diberikan kerajaan sedangkan saya hanya memiliki kereta bernilai tidak sampai RM15,000.00 walaupun kapasitinya melebihi 2000cc iaitu Honda Accord 2.2 keluaran tahun 1993. Ada kereta yang harganya di pasaran 10 kali ganda harga kereta itu tetapi masih berpeluang menikmati subsidi petrol itu.

Memang sukar bagi kerajaan untuk memuaskan hati semua pihak, tetapi bayangkanlah ketika mengisi petrol nanti, kereta saya yang miskin terpaksa membayar harga ‘orang kaya’ sedangkan di sebelah atau di belakang saya kereta orang kaya membayar dengan harga ‘orang miskin’

Jelaslah subsidi ini diberi kepada orang kaya yang mampu memiliki kereta yang harganya ratusan ribu ringgit. Saudara Basuri sendiri yang memiliki kereta berharga RM90,000 pun terasa ketidakadilan pemberian subsidi ini, apatah lagi saya yang memiliki kereta bernilai sekitar RM15,000 sahaja jika itu satu-satunya kriteria diguna-pakai sedangkan sepatutnya nilai kereta juga perlu diambil-kira.

Tetapi saya tetap bersyukur kerana masih lagi boleh mengisi petrol di mana-mana stesen kerana memiliki Kad Pengenalan seperti orang lain juga kerana saya rakyat negara ini yang setia membayar cukai setiap tahun.

No comments:

Post a Comment