Wednesday, December 23, 2009

PERKASAKAH BAHASA MELAYU?

Pada Oktober 2009 lalu mahkamah menolak kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan saman malu terhadap bekas Perdana Menteri Tun Mahathir. Alasan penghakiman berkisar kepada penggunaan bahasa dalam rayuan tersebut di mana pihak Datuk Seri Anwar tidak menggunakan bahasa Melayu dalam proses rayuannya. Betapa perkasanya bahasa Melayu di mahkamah jika dilihat dari keputusan penghakiman tersebut.

Pada hakikatnya, bahasa Melayu semamangnya berkuasa, hebat dan agung pada setiap masa di negara ini sehingga menggunakan bahasa selain bahasa Melayu (Inggeris umpamanya) dianggap satu penghinaan terhadap perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Tulisan Prof. Dr. Teo Kok Seong (Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM) malalui Berita Harian pada Selasa 22 Disember 2009 menceritakan segala-galanya.

Malangnya ramai yang tidak sedar dan tidak mahu peduli perkasa atau tidak bahasa kebangsaan ini sehinggakan Tun Mahatihir sendiri tetap masih mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara sehingga pada satu ketika beliau meminta semua pihak tidak menganggap seseorang itu tidak patriotik jika masih menggunakan bahasa Inggeris. Sehingga hari ini beliau masih terkilan dengan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI.

Memang tidak dinafikan bahasa Inggeris digunakan dengan meluas di serata dunia terutama dalam sektor koporat dan antarabangsa. Malah di mahkamah yang utamakan bahasa Melayu sendiri pun masih dibolehkan menggunakan bahasa Inggeris ketika berinteraksi dengan saksi-saksi yang tidak mempunyai asas dan pengertian yang cukup dalam bahasa Melayu.

Namun apabila hendak mengumumkan dividen ASB yang sepatutnya didengar khalayak bumiputera khasnya orang-orang Melayu masih juga menggunakan bahasa Inggeris, sikap patriotik dipertikaikan. Kalau hendak mengumumkan sesuatu produk untuk dagangan di negara ini sendiri pun masih tidak mahu menggunakan bahasa Melayu, tentulah kita tertanya-tanya tentang kedudukan bahasa Melayu dalam hal tersebut.

Petronas sendiri seolah-olah tidak yakin dengan bahasa kebangsaan kita sendiri bila iklannya masih juga mengutamakan bahasa-bahasa yang lain selain bahasa Melayu. Syarikat pengeluar minyak negara memakai empat bahasa sekaligus iaitu Cina, Tamil, Inggeris dan Melayu dalam iklan memperkenalkan jenamanya yang terbaru. Entah apa rasionalnya, hanya Petronas yang dapat menjawabnya.

Ini tidak termasuk lagi dengan penggunaan bahasa rojak dan bahasa SMS yang sangat berleluasa dan mempengaruhi golongan remaja dewasa ini. Begitu juga dengan istilah-istilah yang sesuka hati dicipta para penyampai radio dan TV saban hari. Sekarang sudah wujud perkataan ‘cepu gangsa’ yang asalnya cepu emas. Begitu juga ‘cenderahati’ luas digunakan dalam acara-acara rasmi menggantikan cenderamata. Kita tentu tidak sedar entah dari mana datangnya sebutan ‘mereka-mereka’ dan ‘berbaloi-baloi’ padahal perkataan-perkataan tersebut tidak perlu digandakan.

Kadang-kadang hendak ‘termuntah’ rasanya mendengar dialog-dialog dalam drama-drama melayu menyebut I, You, You all dan yang sepertinya. Seolah-olah pelik menggunakan bahasa Melayu seperti ‘akui’, ‘awak’, ‘engkau’ dan lain-lain.

Para pelajar pula begitu ghairah menggunakan bahasa SMS sehingga terbawa-bawa menggunakannya dalam karangan-karangan semasa belajar dan juga dalam peperiksaan. Begitu kuatnya pengaruh bahasa tersebut di kalangan remaja dewasa ini.

Semua yang dibangkitkan ini merupakan fenomena penggunaan bahasa yang bakal melenyapkan identiti bahasa Melayu jika semua pihak tidak serius menanganinya. Jika kita asyik berdiam dirti dan tidak mahu memperkasakan bahasa kita sebagaimana langkah mahkamah tadi, jangan terkejut pada satu hari nanti bahasa Melayu hilang begitu sahaja dan digantikan dengan bahasa yang direka sesuka hati.

Lama kelamaan bahasa-bahasa SMS dan istilah-istilah yang direka-reka ini menjadi satu kebiasaan dan dianggap sebagai betul. Ketika itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi selain turut sama terlibat dalam kecelaruan bahasa tersebut.

Pejuang-pejuang bahasa pula asyik dengan syarahan dan seminar di kalangan kelompok mereka sahaja dan tidak memasyarakatkan bahasa. Tidak mustahil satu hari nanti tinggal para ilmuan dan cendekiawan itu sahaja yang tahu berbahasa Melayu tapi masyarakat dan golongan muda mempunyai bahasa yang lain pula sepertimana penggunaan ‘Lu’ dan ‘Gua’ dalam pertuturan kebanyakan remaja di Indonesia.

Semua ini memperlihatkan betapa rapuhnya semangat cintakan bahasa sendiri terutama bila ada para pemimpin juga lebih cenderung bertutur bahasa lain di kalangan rakyat Malaysia sendiri. Lainlah kalau bercakap di khalayak luar negara yang tidak mengerti bahasa Melayu.

Jadi Adakah bahasa Melayu bahasa yang perkasa jika rakyat Malaysia sendiri menghina Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan menghina Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967?

No comments:

Post a Comment