Monday, October 19, 2009

DEWAN ULAMA UMNO

1. Perhimpunan UMNO sudah pun berlalu pergi. Rumusan-rumusan ke arah perubahan serta usaha memperkasakan UMNO telah dibahaskan dengan ucapan-ucapan yang berdegar-degar. Bingit dan menggamatkan sebagaimana lazimnya dengan pantun dan seloka, dengan nada dan irama bahasa, dengan ketawa dan jenaka. Dan sebagaimana biasa kononnya ahli-ahli semakin matang berbahas tapi orang lihat seperti para badut dalam sarkas.

2. Salah satu rumusan yang menarik adalah cadangan menubuhkan Dewan Ulama. Walaupun kemurnian penubuhannya amat nyata, tetapi ramai yang masih tertanya-tanya tentang fungsinya. Adakah ia sama dengan Dewan Ulama PAS? Adakah fungsinya hanya menghimpunkan pemikiran ulama-ulama yang ada di dalam UMNO kemudian membuat rumusan mengikut acuan UMNO? Beranikah Dewan Ulama ini memperbetulkan atau menegur segala yang tidak ‘islamik’ yang muncul dalam parti?

3. Jangan pula semata-mata hendak mengikut parti lain yang mempunyai Dewan Ulama, maka UMNO juga hendak menubuhkan dewan yang serupa, tetapi fungsinya entah apa-apa. Kalau dewan itu ditubuhkan sekadar hendak meniru orang lain, tanpa ada apa-apa matlamat, lebih baik tidak usah. Buat diketawakan orang.

4. Ada beberapa andaian telah diperkatakan tentang peranan Dewan Ulama UMNO ini. Cuma disangsikan, dapatkah mereka melakukan perkara-perkara berikut sebagai satu langkah perubahan dalam UMNO. Kita bukan mahu UMNO berubah penampilan dengan berketayap putih atau berjubah labuh seperti kalangan ahli PAS. Kalau perkara asas inipun tidak dapat dilakukan, lebih baik lupakan saja hasrat tersebut. Buang masa sahaja.

4.1. Tentang menutup aurat

Perkara ini menjadi tunjang dalam proses perubahan yang patut menjadi peranan Dewan Ulama. Dapatkah dewan ini memastikan tentang perkara ini akan menjadi ia lebih dihormati. Dapatkah dewan ini mengubah wanita dan puteri UMNO memakai tudung sebagai satu cara menutup aurat wanita? Walaupun perkara ini dianggap kecil, tetapi itulah yang menjadi fokus masyarakat umum. Buat masa sekarang, tidak menutup rambut adalah sesuatu yang amat janggal dalam kalangan wanita Islam. Dapatkah Dewan Ulama UMNO menyedarkan ahli dan para isteri mereka tentang perkara ini?

4.2. Tentang rasuah

Dapatkah dewan ini memperkasakan ahlinya terutama para pemimpin supaya merasa jijik dengan amalan rasuah yang menjadi bualan semua orang akhir-akhir ini? Sedikit sebanyak isu rasuah telah mencalarkan reputasi UMNO sejak sekian tahun kebelakangan ini. Walaupun ada individu telah diisytihar sebagai bersih, tetapi kesan rasuah amat dalam parutnya. Lantaran itu bila calon yang menang dalam PRK Bagan Pinang agak kurang dihormati.

4.3. Tentang generasi muda

Berupayakah dewan ini mengubah persepsi generasi muda mendokong budaya Islam dan mengalihkan perhatian mereka daripada mengagungkan budaya Barat yang ternyata melemahkan jatidiri mereka? Dapatkah dewan ini menyahut cabaran bahawa anak muda telah berubah ke arah lebih Islamik sejak menjadi anggota atau menjadi penyokong UMNO seperti yang disebut Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam kolumnya dua minggu lalu?

5. Jika perkara-perkara semudah ini tidak dapat dilakukan, jika selepas ada Dewan Ulama, masih juga dengan kerja-kerja yang sama seperti hari ini, lebih baik jangan ditubuhkan Dewan Ulama seperti yang dicadangkan nanti orang ketawa kepada UMNO. Apa yang akan dianggap adalah tidak lebih sebagai gimik sahaja untuk menyedapkan hati orang mendengar. Cakap berdegar-degar, balik kampung perangai macam itu juga, tidak berubah.

6. Nanti kata orang UMNO tak ubah seperti ayam jantan, ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

No comments:

Post a Comment