Sesudah lebih 8 tahun menyepi dan tidak ambil peduli, akhirnya sesudah dipujuk dan diminta bertubi-tubi, saya masuk semula mengganggotai AJK Pengadil KFA dengan satu tekad mahu membawa struktur pengadil bolasepak Kedah ini kepada satu bentuk pengurusan yang lebih baik dari sebelumnya. Walaupun saya pernah berada dalam pengurusan KFA sebagai Ahli Majlis dan juga Ahli Jawatankuasa Pengadil semasa era Semi-pro dahulu di bawah pengurusan Allahyarham Dato' Ahmad Basri Akil, kemasukan kali ini mungkin dari persepsi yang berbeza.
Dahulu ketika menjadi Ahli Majlis dan AJK pengadil, saya masih aktif di padang dan juga di luar padang. Kali ini seperti yang dijanjikan kepada saya, tugas tidaklah terlalu rumit, hanya sekadar menguruskan pendaftaran dan pengurusan pembelajaran para pengadil di Kedah khasnya yang bernaung di bawah KFA.
Sebelum bersetuju, saya diberi maklumat bahawa kedudukan para pengadil di Kedah amat tidak teratur dan berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil yang dikepalai oleh beberapa bekas pengadil yang ternama pada masa-masa lalu. Malangnya kumpulan-kumpulan ini tidak pernah boleh duduk bersama untuk menyelaras atau berbincang demi kebaikan mereka. Itulah yang sampai ke telinga saya pada mulanya. Dan bila saya hadir bermesyuarat, perkara tersebut didapati benar.
Ada daerah yang langsung tidak mempunyai seorang pengadilpun. Daerah Baling hanya ada seorang pengadil yang berdaftar dengan KFA. Daerah Yan hanya ada dua orang. Selebihnya adalah pengadil dari daerah Padang Terap, Kulim, Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar dan Kuala Muda. Tetapi di semua daerah ini terdapat beberapa kumpulan kecil seperti yang disebutkan tadi.
Bila ada apa-apa perlawanan, ketua-ketua kumpulan inilah berebut-rebut melantik orang mereka sendiri tanpa mengira kebolehan dan prestasi lagi. Hinggakan mutu pengadilan sering dipertikaikan dan keputusan perlawanan diragui.
Ahli-ahli Majlis dan juga Setiausaha Kehormat digunakan semaksimanya oleh beberapa ketua kumpulan pengadil ini untuk mendapat kebenaran membuat lantikan. Bila diberi lampu hijau untuk melantik, mereka akan memilih orang mereka sahaja tanpa menghiraukan prestasi dan kebolehan. Biar pengadil kebangsaan sekalipun, kalau bukan dari kumpulan mereka, diketepikan begitu saja.
Jadi kemasukan saya dan beberapa orang 'baru' kali ini adalah dengan misi untuk melenyapkan kumpulan-kumpulan ini agar para pengadil boleh berada dalam satu payung dan semuanya berada dalam senarai Pengadil KFA. Untuk itu pendaftaran semula dan satu ujian kecergasan diadakan di Stadium Darulaman pada 15 Ogos yang lalu. siapa yang hadir untuk ujian itu didaftarkan dalam senarai yang dimaksudkan. hanya orang-orang ini sahaja yang sah dilantik untuk mengadili apa-apa perlawanan naungan KFA. Diharap tidak ada lagi kumpulan-kumpulan seperti sebelum ini dan perlantikan hanya dibuat oleh Unit Lantikan JK Pengadil KFA.
Hasrat bukan main murni. Malangnya perkara ini tidak dihayati dengan baik oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA dan juga Setiausaha Kehormat KFA. Hal ini terjadi mungkin kerana mereka tidak hadir ketika mesyuarat diadakan dan juga kerana ketiadaan Minit Mesyuarat. Setiap kali mesyuarat tiada pencatat minit yang akan dikemukakan kepada pihak pengurusan.
Keadaan ini telah dieksploit dengan baik pula oleh Pegawai Pembangunan Pengadil KFA dengan meminta keizinan SU Kehormat untuk membuat lantikan pengadil bagi beberapa perlawanan akhir-akhir ini sehingga mengenepikan unit Lantikan yang diputuskan dalam mesyuarat AJK Pengadil KFA sendiri. Hasil dari itu terdapat beberapa kejohanan yang diberi kepada beberapa pengadil yang asalnya dari kumpulan tertentu. Tidak diambil kira lagi samada ada dalam senarai pendaftaran ataupun yang datang ujian kecergasan yang lalu. Kerana itu timbul beberapa keputusan dan juga datang beberapa bantahan dari beberapa pihak dengan menyalahkan Jawatankuasa Pengadil yang tidak tahu apa-apa.
Kemuncak dari itu, dalam perlawanan persahabatan antara pasukan Kedah menentang Kelantan baru-baru ini Pengadil 4 diberi kepada seorang pengadil wanita, seolah-olah perlawanan itu tidak penting dan hanya untuk suka-suka. Seolah-olah ianya satu pertunjukan. Saya bukan menafikan kebolehan wanita tersebut tetapi ianya sama sekali tidak sesuai.
Jadi selepas ini diharap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil dan juga Setiausaha Kehormat dapat hadir bermesyuarat agar mereka dapat mengetahui hasrat semua AJK dan boleh bertindak mengikut keputusan mesyuarat. Jawatanakuasa Pengadil hendaklah mengadakan seorang pencatat minit dan menyediakan minit mesyuarat agar boleh menjadi panduan semua pihak
Sekian. Terimakasih.
No comments:
Post a Comment