Sebaik selesai perlawanan antara Harimau Malaya dengan UAE,
datang perasaan yang bercampur-campur. Timbul rasa sedih, rasa terkilan, rasa
marah dan rasa malu. Tetapi yang penting ada juga rasa hendak ketawa puas-puas
akibat kekalahan itu.
Kita sedih kerana Harimau Malaya tidak dapat ke mana-mana
kerana tewas lagi. Kita terkilan kerana harapan ke Piala Dunia jauh dari
gapaian dan semakin gelap. Kita marah kerana melihat pemain-pemain seolah-olah
budak-budak sekolah bermain bola. Dan kita malu kerana kekalahan itu amat
memalukan. Dah selebihnya kita ketawa kerana tewas begitu mudah dengan jaringan
yang amat besar setakat ini, 10-0. Belum pernah lagi skuad negara tewas dengan
jaringan sebesar itu.
Bukan kita sahaja yang terkejut dengan jaringana itu. UAE
sendiri seolah-olah tidak percaya mereka boleh menumpaskan Harimau Malaya
dengan begitu mudah dan banyak gol pula dihasilkan.
Kata orang kita tidak boleh salahkan pemain dan jurulatih.
Alasan ada berbagai-bagai telah disediakan oleh FAM, jurulatih dan juga
pemain. Alasan yang paling awal dikeluarkan adalah pemain-pemain keletihan
akibat jadual liga tempatan yang padat. Betulkah? Tak semena-mena dan tak
disangka-sangka jadual perlawanan Liga Malaysia menjadi ‘kambing hitam’.
Ada cadangan supaya pasukan dibubarkan dan diambil pemain yang
lain bagi menghadapi sisa perlawanan pusingan kelayakan piala dunia ini. Ada
pula ‘pakar bolasepak negara’ yang begitu sinis menempelak pasukan, jurulatih
dan FAM, menyatakan dengan angkuh bahawa dia masih lagi belum puas dalam misi
menjahanamkan bolasepak tanahair. Baginda akan merasa senang bila pasukan
kebangsaan dibolosi 50 gol. Begitu angkuh TMJ seolah-olah baginda tahu semua
selok-belok perjalanan bolasepak sedangkan baru beberapa tahun ini baginda
mencebur diri dalam sukan ini.
Pasukan boleh dibubarkan. Jurulatih boleh meletak jawatan.
Tetapi halatuju bolasepak negara tetap perlu diteruskan oleh FAM, badan yang
bertanggungjawab biar apa saja ugutan dan seranah siapa saja yang sampai ke telinga.
Jadi apakah langkah FAM selepas ini akan menjadi perhatian
dan sindiran. Tentang siapa pengganti Dollah Salleh tidak penting tetapi yang
utama siapa akan menguruskan pasukan Harimau Malaya untuk perlawanan menentang
Arab Saudi pada Selasa depan.
Perlantikan Datuk Ong Kim Swee bukannya penyelesaian masalah
tetapi mungkin boleh menjadi pengubat luka Harimau Malaya. Biarlah dalam masa
yang singkat ini beliau akan berjqya menaikkan semula semangat pemain-pemain
dan setidak-tidaknya kalah dengan jaringan yang lebih kecil.
Harap-harap begitulah.
No comments:
Post a Comment