Saturday, October 31, 2009

SEKOLAH SATU ALIRAN: BUAT DULU BARU TAHU



1. Kita tidak merasa hairan bila cadangan sekolah satu aliran tidak dipersetujui dua pertubuhan bukan Melayu iaitu Dong Zong yang merupakan Persekutuan Perrsatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia dan juga Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Kemudian MCA dan MIC menyusul membantah perkara yang sama.

2. Memang telah dijangkakan akan ada tentangan dari pihak-pihak ini. Mereka tetap mempetahankan budaya dan bahasa ibunda masing-masing tanpa memikirkan ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Lihatlah apa yang berlaku kepada cadangan Sekolah Wawasan yang diilhamkan semasa era Tun Mahathir dahulu, adakah dapat dilaksanakan?

3. Idea Sekolah Wawasan dahulu tidak meminggirkan bahasa ibunda masing-masing. Mereka boleh teruskan dengan aliran masing-masing tetapi berada di bawah pentadbiran pentadbiran yang sama. Para pelajar dari berbagai bangsa dan aliran ditempatkan di satu sekolah di bawah satu pentadbiran. Itupun mendapat tentangan sehingga kerajaan terpaksa melupakan terus Sekolah Wawasan tersebut.

4. Sekolah satu aliran ini juga tentulah akan ditentang golongan ini kerana hanya aliran bahasa kebangsaan sahaja yang digunakan, tidak ada lagi SJK Cina dan Tamil. Bahasa ibunda hanyalah dipelajari sebagai satu matapelajaran sahaja. Jadi penolakan oleh persatuan-persatuan dan parti-parti politik ini memang telah dijangkakan.

5. Bila wujud sekolah satu aliran sudah pasti Dong Zong dengan sendirinya tidak wujud lagi. Dan mereka yang berkepentingan dalam persatuan ini akan kehilangan pengaruh dan populeriti. Begitu juga dengan Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Mana ada Guru Besar sekolahTamil lagi bila ada sekolah aliran kebangsaan. Mereka akan kehilangan kedudukan dan jawatan.

6. Amaran Samy Vellu ‘…jangan menjolok sarang tebuan’ perlu dilihat sebagai langkah memikat semula hati kaum India berpihak kepada MIC. Tetapi sebenarnya masalah perpaduan nasional semakin meruncing sekaran adalah hasil system yang dibantah itu juga.

7. Selama 53 tahun kita mengamalkan sistem pelbagai aliran, hasilnya hubungan antara kaum hanya nampak elok pada kulitnya sahaja. Semua ini berpunca dari pelbagai kaum yang tidak mahu berkorban. Semua kaum ingin mengekalkan status bahasa ibunda masing-masing lantas tidak mahu menerima bahasa kebangsaan. Selama 53 tahun, Samy Vellu masih tidak fasih menggunakan bahasa Melayu. Itulah hasil pendidikan berbagai aliran seperti yang dikehendaki beliau.

8. Jika pendidikan satu aliran, penggunaan satu bahasa diberatkan dan komunikasi satu bahasa yang mudah difahami menjadi faktor utama ke arah perpaduan di negara ini. Di samping itu kita tidak lupa tentang budaya dan bahasa ibunda mereka. Hal ini harus disedari MIC dan juga MCA. Cuba dahulu baru tahu!

9. Teruskan sahaja hasrat menjadikan sekolah satu aliran ini. Pada peringkat permulaan, memanglah kita akan menghadapi berbagai masalah termasuk rasa tidak puas hati dan masalah ‘tebuan’ yang diperkatakan Samy Vellu itu. Lama-kelamaan saya percaya ianya akan dapat diterima umum.

10. Thailand boleh melakukannya. Indonesia juga boleh melakukannya. Malaysia yang berslogan “Malaysia Boleh” kenapa tidak boleh melakukannya?

1 comment:

  1. Salam Tuan,

    Mohon disokong kempen sekolah 1 aliran.

    http://satusekolahuntuksemua.wordpress.com/patriotsinsuppor/

    Terima kasih.

    penyokongsss-

    ReplyDelete