Thursday, October 23, 2008

HINDRAF: PERTUBUHAN HARAM ATAU SEKADAR DIHARAMKAN?

Mungkin saya bodoh. Mungkin saya kurang ilmu atau mungkin saya terlalu benak sehingga gagal memahami maksud ‘Pertubuhan Haram’. Lebih baik kita melihat Kamus Dewan bagi mengetahui difinisinya yang sebenar.

Mengikut Kamus Dewan, pertubuhan membawa maksud badan yang ditubuhkan untuk mengerjakan sesuatu, lembaga, organisasi atau persatuan. Manakala perkataanharam pula membawa maksud sebagai ditegah (terlarang) oleh undang-undang, tidak sah (di sisi undang-undang). Perkara ini terdapat di mukasurat 513 dan 1721 Kamus Dewan Edisi Keempat keluaran tahun 2005.

Jadi sudah jelas bahawa Hindraf adalah satu pertubuhan atau satu badan yang haram dan salah di sisi undang-undang negara. Semuanya telah jelas dan nyata. Tetapi nasib Hindraf ini cukup baik jika dibandingkan dengan pertubuhan haram yang lain termasuk Arqam, KMM, Al-Maunnah dan kumpulan ajaran sesat Ayah Pin. Sehingga kini pengikut-pengikut kumpuan-kumpulan tersebut diburu kerajaan sehingga ke akar umbinya. Berapa lama Abuya bersembunyi dulu sebelum ditahan.

Rufaqa, sebuah koperasi yang tidak ada kena mengena dengan ajaran Arqam turut menerima nasib yang sama padahal ia hanya sebuah koperasi yang kebetulan ditubuhkan oleh bekas ahli Arqam dan berpakaian seperti Al-Arqam. Nasib Rufaqa turut menjadi seperti induknya, diharamkan sehingga terbantut aktiviti-aktiviti perniagaan mereka.

Al-Maunnah dan KMM terus lenyap menjadi sejarah bila ahli-ahli kumpulan ini ditangkap dan dibicarakan. Beberapa ahli Al-Maunnah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati.

Ayah Pin sampai hari ini tidak berani muncul di khalayak ramai sejak ajarannya diharamkan dan beliau sendiri diburu bersama-sama pengikut-pengikutnya. Kumpulan yang percaya dan yakin dengan Kerajaan Langit satu ketika dulu sehingga kini tidak berani menunjukkan identiti selepas diisytiharkan haram.

Nasib Hindraf dilihat tidak menerima nasib yang sama walaupun telah dinoktahkan sebagai pertubuhan haram. Anggota dan ahli-ahlinya boleh berkumpul secara bebas di Parlimen, memakai pakaian seragam mereka dengan penuh bangga. Malah wakil penyokong Hindraf, K. S. Thanenthiran boleh dengan bebas mengeluarkan desakan agar kerajaan mengaktifkan semula passport antarabangsa milik Pengerusi Hindraf, Whytha Moorthy yang sekarang berada di London. Beliau lari dari Kuala Lumpur sejak Disember 2007 hingga sekarang.

Apa maknanya semua ini? Siapa K. S. Thanenthiran di mata Dato’ Seri Syed Hamid dan kerajaan? Adakah beliau wujud sebagai wakil pertubuhan haram itu atau sebagai individu lain? Tapi melihat baju-T oren itu orang sudah tahu itulah Hindraf. Penguatkuasaankah yang lemah atau memang Hindraf diberi muka?. Kalau diikutkan dari kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebaik sahaja Hindraf diumum sebagai Pertubuhan Haram, rasanya Hindraf hanyalah tinggal namanya sahaja.

Kalau diteliti apa yang Hindraf telah buat, sama sahaja dengan pertubuhan-pertubuhan tadi iaitu menggugat keselamatan negara. Dan yang penting Hindraf ini menyebarkan sentimen perkauman yang tinggi yang amat membahayakan keharmonian negara.

Atau Hindraf ini hanyalah sekadar diharamkan sahaja tetapi masih tidak menjadi pertubuhan haram seperti kes-kes yang lain yang disebutkan tadi.

Barangkali kita terlalu bodoh untuk memahami semua ini.

1 comment:

  1. Kerajaan nak jaga kepentingan politik mereka dalam menangani isu Hindraf. Samy Vellu pun minta pemimpin Hindraf dibebaskan. Kerajaan serba salah takut PRU 13 merudum lagi macam PRU baru ni. Kes Al-Alqam, Rufaqa, KMM ni semua pertubuhan orang Melayu. Dulu sokongan Melayu terhadap UMNo sangat kuat boleh lah kerajaan pukul gendang besar-besaran kat kumpulan ni. Hindraf ni lain melibatkan sensitiviti kaum dan periuk nasi orang politik. Tambahan lagi PKR dilihat sebagai pejuang dalam usaha membebaskan pemimpin Hindraf dan menghapuskan ISA. Semua benda ni kena lihat dari segi hegemoni politik BN. Menggugat Hindraf sampai ke lubang cacing alamatnya mencari nahas.

    ReplyDelete