Wednesday, October 22, 2008

ABDULLAH vs MAHATHIR

Sebenarnya amat payah hendak mengadili tentang siapa benar dan siapa salah antara Dato’ Seri Abdullah dan Tun Mahathir. Walaupun tidak minta diadili, tapi bila percakaran ini telah menjadi tontonan umum dan masing-masing mempunyai persepsi masing-masing, tak dapat tidak kita mesti hendak tahu siapa yang berada di pihak yang benar.

Baik YM Tun mahupun DS Abdullah, masing-masing telah cukup dewasa dan setiap mereka mempunyai hak dalam memperkatakan perkara ini menurut agenda masing-masing. Tentu kedua-dua anda mempunyai muslihat tertentu yang gagal dibaca oleh ramai orang.

DS Abdullah bercakap sebagai melaksanakan haknya setelah melihat pandangan Tun yang tidak memihak kepadanya, apatah lagi Tun telah berada di luar UMNO. Setelah berada di luar, Tun beliau lihat telah cuba mencampuri urusan-urusan dalaman parti walaupun orang lain tidak nampak begitu. Cakap-cakap Tun supaya ‘keluarkan orang-orang Abdullah’ semasa pemilihan Mac 2009 nanti menampakkan cubaan Tun mempengaruhi perwakilan nanti.

YM Tun pula melaksanakan hak Tun sebagai individu yang berada di luar dan di landasan demokrasi, bebas memberi pendapat sebagai seorang rakyat yang melihat perkara-perkara yang dirasai perlu diberi pandangan dan nasihat. Kalau orang kampung seperti saya yang berkata begitu, sudah tentu tiada siapa yang peduli. DS Abdullah pun tidak mahu membacanya. Tapi Tun orang ternama dan bekas Perdana Menteri, sudah tentu kesannya lebih daripada sekadar pandangan peribadi.

Kita memang mempunyai hak untuk menyukai dan tidak menyukai mana-mana calon. Cuma apabila ada calon ‘favourite’ mana-mana orang tidak digemari, tentu orang itu bersuara. Itulah yang dilihat oleh DS Abdullah. Beliau tidak salah kerana itu haknya sebagaimana beliau mempunyai hak untuk menuduh Tun sebagai telah memberi arahan-arahan tertentu dengan label ‘Pengarah Pemilihan’.

DS Abdullah bercakap atas kapasitinya sebagai Presiden UMNO, adil baginya untuk membetulkan persepsi umum terhadap calon-calon yang bertanding dalam pemilihan nanti. Baginya, kenapa mesti ada orang luar yang cuba campur-tangan.

Tetapi Tun Mahathir bercakap hanya sebagai seorang rakyat biasa. Tentulah ada agenda Tun Mahathir berbuat demikian selain sebagai isyarat untukmemilih putera beliau, Datuk Mukrij semasa pemilihan Ketua Pemuda nanti. Tetapi oleh kerana beliau adalah mantan Perdana Menteri, cakapnya sangat diambil kira.

Yang saya dan ramai orang lagi merasa pelik, kenapa perkara sebegini harus berlaku kepada dua pemimpin besar negara. Seorang bekas Perdana Menteri dan seorang lagi pula Perdana Menteri. Tidak bolehkah mereka duduk semeja, seorang sebagai penasihat dan seorang lagi sebagai penerima nasihat? Lagipun mereka datang dari ‘karung’ yang sama iaitu UMNO.

Tun Mahathir telah bersara dan sebaik-baiknya orang bersara sekadar menjadi penasihat manakala penggantinya sepatutnya selalu meminta dan menerima nasihat. Tak mungkin semua nasihat tidak berguna dan tidak boleh dipakai? Tetapi ini tidak berlaku seperti di Singapura , pesara PM menjadi Menteri Penasihat. Di Malaysia yang mengganti tidak mahu menerima nasihat atau meminta nasihat dan yang bersara tidak mahu menjadi penasihat malah lebih senang menjadi pengkritik.

Pada pendapat saya adalah lebih baik kita melihat bagaimana berlaku ke atas pokok kelapa. Bagi saya, orang naik pangkat adalah seolah-olah orang panjat pokok kelapa. Sebelum panjat kelapa dia janji macam-macam tetapi bila sudah sampai ke atas dia menjadi gayat dan oleh kerana takut jatuh, ia sentiasa memeluk pokok kelapa tersebut dan lupa segala janjinya.

Orang turun pangkat atau telah bersara pula adalah seperti gugurnya pelepah daun kelapa. Pelepah yang di atas jangan ketawa bila pelepah yang di bawah jatuh ke bumi kerana pelepah yang di atas itu akan menjadi pelepah paling bawah pada suatu hari nanti dan dia akan jatuh juga.

Maknanya tidak ada siapa yang kekal.

1 comment:

  1. Assalammualaikum Ayahanda,

    Suka saya petik kata-kata Al-Hassan ibn Abi Talib dengan tiga jenis sikap pemimpin iaitu :

    1. Pemimpin yang benar-benar pemimpin-
    ialah yang mempunyai pendapat sendiri dan mahu bermusyawarah.

    2. Pemimpin setengah pemimpin - ialah yang mempunyai pendapat sendiri dan tidak suka bermusyawarah.

    3. Pemimpin bukan pemimpin -
    ialah yang tidak mempunyai pendapat sendiri dan tidak mahu bermusyawarah. =)

    ReplyDelete