Thursday, October 9, 2008

TAK KISAH.............

Akhir-akhir ini saya menyedari bahawa pihak Administrasi laman blog Kedahlanie.blogspot.com mengambil serius kepada komen-komen yang saya buat terhadap artikel yang mereka terbitkan. Jadi ada baiknya saya juga mengambil serius mengenai perkara ini. Komen-komen yang saya kemukakan bukan perkara main-main lagi dan niat saya pun bukan untuk main-main. Dan saya lihat komen-komen saya dijadikan pula isu untuk dibincangkan oleh para pelawat. Ini membuatkan saya perlu berhati-hati dan memberi tumpuan yang lebih serius.

Perlu saya nyatakan bahawa komen yang saya berikan adalah ikhlas yang terbit dari naluri, hasil pembacaan dan pengetahuan yang saya ada. Saya tidak terpengaruh dengan mana-mana andaian samada oleh individu-individu atau mana-mana fahaman politik kerana saya tidak menyertai mana-mana parti politik. Tertarik pula saya dengan slogan Kedahlanie iaitu ‘Bersama Menunaikan Amanah Rakyat’.

Apa yang saya fikir saya betul, saya kemukakan tanpa saya memikirkan risikonya. Kalau orang setuju, alhamdulillah, saya berterima kasih. Kalau orang tidak bersetuju, alhamdulillah juga kerana saya boleh perbetulkan apa-apa yang perlu. Saya tidak perlu hipokrit dan berselindung di sebalik ketakutan dalam menyatakan yang benar. Selain daripada Kedahlanie, saya ada juga memberi pendapat saya dalam laman-laman yang lain. Malah saya juga mempunyai ‘blog’ saya sendiri yang menjadi medan tulisan-tulisan saya.

Saya mula tertarik untuk memberi pendapat dalam Kedahlanie apabila khalayak pembaca ditipu secara terang-terangan oleh wartawan Utusan Malaysia yang memaparkan kisah Mat Glamour dari Titi Bakong, Yan pada 6 September yang lalu. Saya menulis kepada Utusan tentang betapa tidak adilnya wartawan tersebut menulis berita tanpa membuat kajian menyeluruh tentang kisah Mat itu.

Malangnya pihak Utusan tidak menyiarkan tulisan saya itu. Mungkin mereka tidak mahu wartawan mereka berkecil hati ataupun untuk menjaga kepentingan mereka dalam usaha untuk menjadi akhbar nombor wahid di negara ini. Jadi tulisan saya itu diabaikan sahaja kerana ia melibatkan maruah wartawan mereka.

Hasilnya orang ramai terpedaya dengan kehidupan ‘malang’ Mat sekeluarga dan memberi impak yang tidak baik kepada masyarakat tempatan termasuk wakil-wakil Rakyat, JKKK, Imam, jiran, guru-guru sekolah Mat, PPD Kuala Muda/Yan dan juga Jabatan Pelajaran Kedah sendiri.

Wartawan Zamzurina Ahmad yang kebetulannya warga Yan juga tidak langsung berhubung dngan masyarakat tempatan khasnya jiran-jiran, Guru Tingkatan, Kuanselor Pelajar dan pihak pentadbiran sekolah sendiri untuk mengetahui punca sebenar Mat tidak mahu ke sekolah menyambung pelajarannya. Beliau tidak berbuat demikian tetapi terus menerbitkan berita memaparkan betapa ‘malang’ Mat ini seolah-olah masyarakat tidak perihatin sama sekali.

Lanjutan daripada itu, mencurah-curah sumbangan datang kepada Mat daripada para dermawan dalam negara dan luar negara. Mat senang lenang sekarang sehinggakan ahli keluaranya termasuk beberapa orang adiknya dan juga ibunya dapat memiliki ‘handset’ yang tidak pernah diimpikan selama ini. Ibunya sekarang sudah boleh memakai gelang emas dan pergi saloon untuk ‘rebounding’ rambut.

Ini saya rasa tidak adil kepada pelajar lain yang jauh lebih ‘malang’ tetapi rajin ke sekolah sedangkan Mat dan adiknya yang sering ponteng dan tidak berminat belajar mendapat ‘pembelaan’ taraf eksekutif. Pelajar miskin yang mendapat biasiswa pun tidak mendapat sebanyak itu. Ternyata sumbangan-sumbangan tadi tidak berbaloi kerana sekarang pun Mat dan adiknya tidak pergi ke sekolah juga.

Dan wartawan tersebut sepatutnya datang semula ke sekolah terlibat berjumpa dan meminta maaf atas kesilapannya. Beliau harus sedar bahawa apa yang ditulisnya itu tidak tepat dan telah menjejaskan reputasi guru-guru yang mengajar beliau semasa bersekolah dahulu. Tapi sehingga sekarang beliau tidak berbuat demikian.

Sejak saya memberi komen mengenai isu tersebut, hampir setiap hari saya menulis untuk Kedahlanie dan juga untuk blog saya sendiri. Sama sekali saya tidak menjangkakan pihak Kedahlanie menggunakan komen-komen saya sebagai isu untuk dibincangkan pula. Sesudah saya melihat komen saya tentang hasrat pihak-pihak tertentu hendak menukar kerajaan ‘dihighlightkan’, barulah saya sedar bahawa saya perlu lebih serius dalam perkara ini.

Jika pihak Kedahlanie mengambil sikap seperti Utusan tidak mahu menyiarkan tulisan saya ini, saya tak kisah sangat. Itu hak mereka. Setiap kita mempunyai hak dan pendirian sebab itu timbul berbagai ‘ideology’ politik.

Madisyak tak kisah!

No comments:

Post a Comment