Tuesday, August 24, 2021

TRAGEDI YANG MENGINSAFKAN

 Tragedi sering menginsafkan kerana dari suatu tragedi itu membuatkan kita insaf tentang kekurangan diri dan kelebihan orang lain. Tragedi juga mendedahkan kita pada hakikat bahawa tidak semua orang pentingkan diri, tidak peduli dan tidak bersimpati dengan nasib orang lain. Mereka yang tidak peduli itu mungkin ada alasan tertentu tetapi masyarakat kita sangat perihatin dan mengambil berat pada nasib malang orangg lain. Itulah uniknya rakyat Malaysia dari berbagai bangsa.

Musibah yang melanda kami di Yan baru-baru ini membuka mata tentang sikap ambil beratnya masyarakat terhadap nasib orang lain. Tidak kira apa bangsa, semuanya saling membantu dari hari mula banjir melanda hinggalah ke hari ini,sudah hampir seminggu pekan Yan dipenuhi dengan skuad dan unit bantuan yang datang dari berbagai pihak. Bukan sedikit pertolongan yang diberikan malah kerja-kerja pembersihan sehingga ke hari ini masih lagi berjalan. Secara tiba-tiba pekan kecil yang dulunya sunyi sepi bertukar meriah seperti suatu pesta.Di tempat-tempat tertentu, ketika orang sibuk dengan operasi pembersihan, ada pula orang yang mengadakan pusat memasak makanan untuk diberikan kepada petugas-petugas.

Ada juga kenderaana yang lalu lalang menghulurkan makanan dan minuman serta keperluan yang lain yang tidak disangka-sangka. Jalan raya menjadi sesak dengan kenderaan terdsiri dari kereta dan jentera-jentera jengkaut yang membantu membuang selut dan tanah yang memasuki rumah dan halaman.Semua ini adalah secara percuma, tanpa apa-apa syarat.

Tiba-tiba semuanya menjadi seperti sebuah pesta. Meriah dalam berduka. Apa tidaknya, dalam waktu kami dirundung malang, segala sumbangan yang datang sangatlah mengujakan. Dalam sekelip mata sahaja pengunjung yang memasuki daerah Yan khasnya kawasan yang dilanda petaka ini bukan main ramai. Ada yang datang memberi bantuan dan ada juga yang datang menziarah sambil menghulurkan bantuan. Di mana-mana sahaja boleh dilihat kenderaan dari luar memasuki pekan dan kampung-kampung melihat sendiri kesan daripada banjir kepalaair dari Gunung Jerai ini.

Mereka dapat menuyaksikan sendiri betapa petaka ini memberi kesan yang sangat mendalam kepada penduduk Yan dan sekitarnya. Selama 40 tahun menetap di sini, inilah kali pertama dilanda banjir yang agak erat dan berlainan. Jika paras air menenggelamkan kawasan rumah dan memasuki rumah, kitga faham ia satu perkara biasa apabila terkena banjir. Tapi kali ini amat berlainan bila yang melimpah memasuki halaman dan juga ruang rumah adalah tana selut yang tebal. Proses membuang selut inilah yang sangat berat dan memakan masa. Ditambah lagi dengan kerosakan tempat tidur,perabot, almari dan kain baju yang sudah tidak boleh dipakai. Bantal dan selimut sudah entah ke mana. Ada yang di malam pertama banjir melimpah, sudah tidak ada tempat tidur lagi.

Barang-barang tidak sempat diselamatkan atau dipindahkan semuanya kerana paras  air naik begitu cepat. Dalam masa 20 minit sahaja ia sudah melimpah ke dalam rumah dengan membawa sampah-sarap dan batang-batang kayu dari gunung. Begitu cepat dan pantas, tidak sempat bertindak memindahkan barang-barang dan juga tiada tempat yang selamat lagi bagi rumah-rumah yang setingkat di atas tanah.

Sesungguhnya musibah ini sangatlah menginsafkan khasnya kami yang terlibat secara langsung menjadi mangsanya. Dalam keperitan menghadapi petaka ini, ramai orang yang baik hati dan pemurah. Sambil lalu, asalkan nampak orang bertungkus-lumus menguruskan kerja bersihkan kawasan dan rumah, bantuan segera diberikan. Kalau tidak dengan tenaga, wang ringgit dan makanan disumbangkan. Terasa ringan beban.

Insaflah kita bahawa rakyat Malaysia sangat pemurah tidak kira apa bnangsanya, semua menyumbang meringankan beban kami yang ditimpa petaka ini.

Sekian dahulu, terimakasih.

No comments:

Post a Comment