Thursday, April 8, 2021

TENTANG "PENGADIL HARAM" DI NEGERI KEDAH

 

 1. Sebelum pergi lebih jauh, biar diterangkan dahulu maksud “pengadil haram” itu agar semua pihak dapat menilai dan tidak pula nanti membuat sebarang anggapan negatif tentang perkara ini. Kalau boleh tidaklah kita mahu kategorikan haram atau halal seseorang pengadil bolasepak kerana masing-masing ada kelebihan dari segi kemampuan mengadili perlawanan bolasepak.

2. Lazimnya seseorang pengadil bolasepak di Kedah akan bernaung di bawah Persatuan Pengadil Bolasepak Negeri dan Daerah dan diletakkaan di bawah pengawasan Persatuan Bolasepak Kedah yang pastinya dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa Pengadil. Jawatankuasa ini meletakkan para pengadil ini seterusnya didaftarkan di bawah persatuan bolasepak daerah dan KFA sendiri. Jawatankuasa Pengadil KFA inilah yang bertanggungjawab membuat perlantikan pengadil untuk bertugas dalam mana-mana perlawanan samada liga atau persahabatan.

3. Keadaan ini berjalan sejak lama dahulu dan tiada sebarang masalah kerana masing-masing bertanggungjawab dan hormat menghormati kepada tugas masing-masing.  Dan sebagaimana kebiasaan dan difahami, selepas melalui Ujian Kecergasan Tahunan, para pengadil yang lulus akan disahkan pendaftarannya daan diberi keistimewaan untuk dilantik bertugas dalam mana-mana perlawanan manakala mereka yang gagal akan diberi peluang kedua dan akan diberi tugasan pada masa yang memerlukan atau akan bergiat di peringkat daerah sahaja bergantung kepada keperluan dan kebijaksanaan Jawatankuasa Pengadil Daerah masing-masing.

4. Apa yang berlaku tidak seperti yang dirancangkan. Para pengadil yang tidak lulus ini bersama dengan beberapa tokoh yang lain sibuk mencari peluang untuk bertugas secara sulit dan bersendirian. Pada peringkat mulanya memang begitulah kerana untuk mendapat tugasan rasmi dari persatuan bolasepak memang bermasalah kerana tidak berdaftar dan tidak lulus ujian kecergasan. Lagipun bilangan yang telah lulus ramai jumlahnya. Akhirnya mereka ini telah bergabung menjadi satu persatuan dan bergerak secara sulit pada mulanya. Lama kelamaan kumpulan ini menjadi kian besar dengan penglibatan beberapa tokoh bekas pengadil FIFA dan Pengadil Kebangsaan yang berpengaruh dan masih cergas. Kumpulan inilah yang dikategorikan sebagai PENGADIL HARAM.

5. Sesudah lebih 20 tahun keadaan ini berterusan dan ianya semakin sukar dibendung. Malah kumpulan ini berjaya mendominasi tugasan di serata tempat dan kawasan tanpa menghormati lagi mana-mana AJK Jawatankuasa Pengadil KFA. Merka lebih menurut kata IDOLA mereka yang mempunyai hubungan dan pengaruh dalam kalangan Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan yang sering menganjurkan perlawanan untuk kakitangan mereka. Kumpulan pengadil-pengadil haram ini dilayan dan diberi tugas mengadili pertandingan liga yang besar dan penting di seluruh Kedah tanpa melalui pengetahuan KFA.

6. Presiden KFA sendiri pada satu ketika turut bermain bersama Ahli-ahli Majlis KFA dalam perlawanan yang mengujakan di Stadium Darulaman dan juga di Stadium Suka Menanti  dengan tugas sebagai pengadil diberi kepada ku,pulan ini. Tidak kira lagi di padang-padang terbuka yang lain tanpa sesiapa pun mengambil kisah kepada para pengadil yang berdaftar dan telah lulus ujian kecergasan. Kadang-kadang ada juga perlawanan yang hanya dihadiri dua sahaja pengadil bertugas. Pada satu ketika pernah juga Datuk Seri Presiden KFA hadir merasmikan perlawanan yang diadili oleh kumpulan Pengadil Haram ini tanpa peduli pada waktu yang sama pengadil yang halal sedang menghadapi ujian kecergasan tahunan. Seolah-olah Presiden tidak tahu wujudnya Jawatankuasa Pengadil di KFA.

7. Keadaan ini menyebabkan timbul rasa tidak puas hati para pengadil yang berusaha memajukan diri dan berlatih untuk lulus ujian kecergasan tahunan. Ada juga yang kurang senang dengan Jawatankuasa Pengadil KFA yang dilihat gagal membendung hal ini. Walaupun sudah diterangkan bahawa kemelut ini berpunca dari pihak yang lebih atas. Mereka mencadangkan jawatankuasa pengadil adalah lebih baik dibubarkan sahaja. Sekali pandang mereka berkata yang positif kerana nampaknya pengadil yang haram lebih diberi kepercayaan sedang pengadil yang halal dipinggirkan.

8. Saya ulangi iaitu kumpulan pengadil haram ini kebnyakannya terdiri daripada mereka yang telah berusia yang secara logiknya tidak boleh lagi diberi tugasan sebagai pengadil bagi mengelak berlaku sesuatu yang tidak diingini kerana faktor usia.Tetapi kumpulan ini masih tebal minat mereka dalam bidang pengadilan bolasepak di samping boleh dijadikan sebagai sumber kewangan tambahan pula. Ada juga dalam kalangan mereka yang telah bersara dari tugas Pengadil Kebangsaan dan Pengadil FAM kerana melepasi sempadan usia turut memeriahkan kumpulan haram ini. Ditambah pula dengan para pengadil muda yang baru mula memanas badan sebagai pengadil.

9. Para pengadil yang dikategorikan haram ini bijak mencuri peluang. Mereka berpersatuan bertopengkan Persatuan Bolasepak mana-mana daerah agar dapat dihalalkan. Sebilangan pengadil dari daerah-daerah tertentu yang kurang diberi perhatian kerana tidak lulus ujian-ujian samada teori atau ujian kecergasan bercantum menubuhkan persatuan sendiri secara sulit. Dan oleh kerana ada individu berpengaruh mengambil kesempatan untuk menjadi populer, kumpulan ini dapat bergerak cergas bermula secara sulit tetapi akhirnya secara terang-terangan seolah-olah direstui. Secara tidak langsung kumpulan pengadil haram ini lebih mendapat tempat berbanding pengadil halal yang berdaftar dengan KFA.

10. Tidak hairanlah bila kebanyakan perlawanan di mana-mana padang di Sungai Petani, Baling dan Sik tersaji untuk mereka.Malah ada waktunya apa-apa perlawanan samada liga atau persahabatan malah pertandingan Futsal sekalipun, mereka juga mendapat peluang menjadi pengadil. Ada juga perlawanan di Mini Stadium Suka Menanti, Stadium Darulaman dan padang-padang yang lain di Alor Setar seperti padang Peremba, jatuh ke tangan mereka. Saya pernah terserempak hanya dua orang pengadil sahaja yang bertugas dalam satu perlawanan penuh. Begitu sekali mereka bergiat walaupun dikategorikan sebagai ‘haram’. Manakala para pengadil yang telah lulus dan bersusah payah menduduki dan lulus Ujian Kecergasan Tahunan melihat sambil menggigit jari tanpa dapat bertugas.

11. Kewujudan kumpulan atau persatuan pengadil haram ini berkait dengan sikap dan kesilapan pihak KFA khasnya Jawatankuasa Pengadil sendiri. Pihak pengurusan bermula dari Presiden hinggalah kepada Ahli-ahli majlis, terbawa kepada kakitangan di pejabat persatuan tidak langsung peka dan sensitif dengan kewujudan Jawatankuasa Pengadilnya. Biasa terjadi pihak pengurusan sendiri menguruskan perlawanan tanpa peduli dari mana datangnya pengadil. Kadang-kadang perlawanan di dalam Stadium Darulaman pada waktu malam dengan lampu limpah terpasang dan  di Stadium Suka Menanti tidak dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengadil tetapi menghubungi sumber kontaks lain untuk mendapatkan pengadil. Maka terjadilah yang diberi tugas adalah pengadil yang tidak berdaftar sedang yang berdaftar diabaikan.

12. Syarat dan kaedah pendaftaran pengadil yang ditetapkan Jawatankuasa Pengadil KFA ikhlas saya katakana ia menyumbang ke arah wujudnya kumpulan pengadil haram ini. Jawatankuasa Pengadil terlalu mengikut dan patuh pada syarat seperti yang dibuat di FAM iaitu tidak mendaftarkan mereka yang gagal ujian kecergasan dan penggredan serta mereka yang melepasi had umur tertentu. Di FAM memanglah terpaksa mereka berbuat begitu demi menjaga kualiti lagipun apa guna senaraikan mereka yang tersebut itu. FAM bukannya ada perlawanan-perlawanan liga di kampung-kampung dan daerah-daerah  seperti di negeri.

13. Kita di peringkat negeri tidak sepatutnya berbuat seperti di FAM. Matlamat kita di negeri adalah untuk menambahkan bilangan pengadil FAM dan mereka yang berusia dan juga yang bersara dari menjadi Pengadil Kebangsaan boleh dijadikan mentor di padang. Lagipun individu begini tentu tidak boleh melepaskan terus aktiviti seperti itu apabila tidak tersenarai di FAM. Mereka masih berkebolehan dan pasti ada sesuatu yang tidak ada pada orang lain yang boleh diberikan kepada pengadil KFA yang lain. Para pengadil muda dan juga yang gagal dalam ujian kecergasan tidak boleh diabaikan mereka begitu sahaja. Daftarkan sekali dengan pengadil yang lain dan diberi peluang bertugas bersama dengan yang lulus (tapi terhad) sebagai medium menimba pengalaman. Di mana medan untuk mereka bergerak sekiranya kita tidak pedulikan.

14. Mereka inilah,yang Jawatankuasa Pengadil KFA tidak pedulikan ini bergiat secara berkumpulan yang dikategorikan sebagai Pengadil Haram itu. Oleh kerana berpengalaman dan berpengaruh pula, ada juga dalam kalangan pengadil muda samada yang sudah ada kelas, sudah memasuki kategori FAM dan FIFA mudah terpengaruh dan melibatkan diri dalam organisasi ini. Seterusnya tidak lagi menghormati dan mempedulikan Jawatankuasa Pengadil KFA sekarang ini. Mereka bergerak bukan atas arahan KFA tetapi mengikut arahan ‘warlord’ organisasi yang tidak diiktiraf tersebut. Sekarang ini bukan mereka yang terpinggir tetapi para pengadil yang berdaftar dan yang bermuka tidak malu adalah Jawatankuasa Pengadil dan KFA sendiri.

15. Jadi untuk merungkai masalah ini,Jawatankuasa Pengadil KFA mesti berani berubah sikap. Permudahkanlah peraturan mendaftar diri sebagai pengadil yang sah di KFA. Berlapang dada,ubahlah sedikit peraturan yang ditetapkan FAM kerana ini adalah masalah di negeri. Beri golongan pengadil yang telah bersara dari tugasan FAM, pengadil-pengadil berusia dan para pengadil muda yang baru memulakan langkah ke arena ini peluang yang sama. Tidak menjadi masalah andainya mereka juga dilantik bertugas bersama dengan yang lain yang mungkin akan memberi motivasi untuk menuju ke arah yang lebih baik.

16. Selain dari itu, KFA sendiri mestilah bertegas mengingatkan Jawatankuasanya (Ahli-ahli Majlis) mengarah semua jabatan agar menghubungi KFA atau Jawatankuasa yang berkenaan setiap kali mengelola perlawanan, bukan menghubungi individu tertentu yang tidak tersenarai di KFA. Hubungi Jawatankuasa Pengadil sekiranya memerlukan tugas pengadil dalam apa-apa perlawanan samada persahabatan ataupun liga. Untuk mencantikkan lagi organisasi,pilih seorang dua dalam kalangan pengadil haram ini menganggotai Jawatankuasa Pengadil untuk duduk berbincang bersama.

17. Akhir sekali, saya berharap pihak KFA dan juga Jawatnkuasa Pengadilnya serta para pegawainya dapat bermuhasabah, merendah diri dengan menerima kumpulan yang dikategorikan sebagai haram ini sebaik-baiknya. Semoga selepas ini bidang ini tiada lagi masalah besar yang perlu dihadapi. Cukuplah lebih 20 tahun berlalu tanpa sesiapa mahu merendah diri dan berusaha ke arah penyatuan dan kesefahaman antara pengadil bolasepak ini.  Semoga tiada lagi Pengadil Haram dan Pengadil Halal selepas ini.

Insyaallah!

ADIOS.....!

 

 

 

 

 

 

 


1 comment:

  1. Assalamualaikum wr wb. Saya Sangat berterimah kasih kepada Ustadz Abdul Nandar berkat semua bantuan yg diberikan saya sdh buka usaha dan memiliki beberapa Restoran ternama di Surabaya mengatakan ”Saya dulu seperti orang gila, bahkan hendak bunuh diri, usaha saya ditipu sahabat karib dan membawa lari semua uang saya. Saya pun harus menanggung hutang supplier dari usaha kontraktor yang dibawa lari teman saya. Kesana kemari minta bantuan gak ada yang nolong. Bahkan saya sudah keliling Indonesia untuk mendapatkan atau mencari pinjaman dan dana gaib, tapi untung di ujung keputus asa’an saya bertemu dgn Ustadz Abdul Nandar yang dikenalkan oleh adik ipar saya, akhirnya bliau menawarkan bantuan Dana Gaib tanpa tumbal/resiko diawal ataupun akhir dan dari golongan putih.setelah persyaratanya dilengkapi dan ritual selesai, MENGEJUTKAN !!!, saya mendapatkan dana gaib sebesar 700jt dihadapan saya. ATAU Anda Mau sperti sya silakan anda tlp Ustadz Abdul Nandar Di No 0853-3733-4757 Atau

    ReplyDelete