Sunday, September 13, 2015

SUARA SUMBANG PAKAR BOLASEPAK


“Saya akan bersihkan FAM jika jadi Presiden.”

Sedap bunyi pengucapannya. Tinggi benar harapan yang dijanjikan. Itulah kata-kata yang terhambur keluar dari mulut seorang yang boleh dikatakan ‘pakar bolasepak negara’ iaitu TMJ sebaik sahaja Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan akan melepaskan jawatan secara berperingkat. Dan kebetulan ada pula beberapa pendapat supaya jawatan Presiden FAM diberikan kepada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Banyak lagi kata-kata yang dihamburkan oleh Tunku Ismail seolah-olah orang lain semuanya ‘bodoh’ dalam bolasepak. Sudah berpuluh tahun FAM berdiri, kerana kekalahan memalukan 10-0 kepada UAE, badan bolasepak itu seolah-olah menjadi pentas para pelawak. Ini ditambah pula dengan insiden rusuhan yang memalukan negara kononnya kerana kegagalan FAM juga.

Seolah-olah Tuanku Sultan Ahmad Shah tidak berbuat apa-apa selama 31 tahun menjadi presiden FAM. Baginda dan FAM diserang begitu hebat oleh TMJ yang baru berapa hari dikenali dalam bidang bolasepak. Benarkah Sultan Ahmad Shah dan FAM mencemarkan bolasepak negara selama 31 tahun?

Betulkah badan induk itu ditadbir golongan yang tidak memiliki pengetahuan bolasepak? Pandai sangatkah TMJ sehingga sanggup membuat andaian sedemikian? Jika setakat mengendali JDT, tidak usah cakap besar kerana JDT juga tidak ke mana. Tetapi bagaimana pula dengan pengakuan baginda  sebaik sahaja Harimau Malaya tewas 0-10 kepada UAE tempoh hari? Berikut adalah kenyataan baginda:

“Oh ya, saya akan teruskan misai saya untuk membunuh bolasepak tanahair. Bagi mereka yang mengatakan saya telah mencapai misi saya apabila tewas 10-0, masih jauh lagi kerana saya akan berhenti apabila kita tewas 50-0.”

Apakah jenis kenyataan itu? Sesungguhnya ia amat tidak bertanggungjawab. Seolah-olah seorang yang amat ‘kurang ajar’ mengucapkannya. Hakikatnya ia tidak sepatutnya terpacul keluar dari mulut seorang yang bercita-cita menjadi pemimpin dan presiden persatuan bolasepak tanahair. Dan sanggupkan dia nanti berhadapan dengan tohmahan dan kritikan yang serupa apabila menjadi pemimpin nanti?

Dan kita tentu masih ingat insiden menendang bendera penjuru  sesudah satu perlawanan yang melibatkan JDT. Semua orang tahu dan ramai yang menyaksikan siapa individu yang berkelakuan demikian. Adakah itu lagak seorang pemimpin persatuan bolasepak? Begitupun ada hati hendak menjadi Presiden FAM?

Hakikatnya, raja dan putera raja usahlah ghairah untuk memimpin persatuan bolasepak. Duduk sahaja di istana dan jadi peminat nombor wahid. Jangan pula nanti hilang rasa hormat dalam kalangan rakyat jika rajanya nanti adalah seorang yang celupar dan gemar melabel orang lain dengan label kurang enak. Biarlah rakyat biasa sahaja yang berkerja agar lebih senang keputusan dibuat. Satu hari anda akan jadi Sultan dan bukan bolasepak saja rakyat anda.


No comments: