Friday, September 19, 2014

SOALAN BOCOR: SALAH SIAPA?

1. Semingu ini heboh sungguh tentang kertas soalan UPSR bocor. Hampir setiap hari  ada saja tangkapan dibuat dan yang kena tangkap adalah guru kebanyakannya. Sedikit sangat yang bukan guru terlibat dalam hal ini. Betullah begitu. Bidang pendidikan memang tugas guru dan bila soalan peperiksaan bocor, memang itu kerja guru.

2. Tetapi wajarkah kita menyalahkan semua guru? Atau adilkah kita hanya menyalahkan guru sedangkan pihak lain yang turut menyumbang kepada masalah tersebut tidak diambil kira? Pihak lain yang berkaitan dengan pelajaran dan pedidikan patut turut juga dipersalahkan dalam isu ini. Bagaimana dengan Jabatan Pendidikan Negeri? Bagaimana dengan Pejabat Pendidikan Daerah? Dan tentunya Kementerian Pelajaran juga turut menyumbang ke arah kebocoran kertas soalan ini tetapi hanya guru yang dipersalahkan.

3. Sebenarnya setiap tahun ada soalan bocor. Desas-desus mengenainya didengar setiap tahun di musim peperiksaan baik UPSR, PMR, SPM dan STPM. Ia tidak pernah dihebahkan dan tidak siapa ambil peduli. Ia dianggap soalan ramalan sahaja kerana datangnya bersama soalan-soalan yang lain., bukan seperti soalan UPSR baru-baru ini, datang lengkap sebagai set soalan peperiksaan dengan logo lembaga peperiksaan dia atasnya.

4. Ia semakin heboh kerana tidak semua orang dapat set soalan itu.

5. Soalnya di sini, penting sangatkah UPSR itu? Ia bukan ada sijil pun dikeluarkan. Lulus atau tidak sama sahaja kerana ia hanyalah penilaian. Sama maak PMR jugsa tetapi PMR ada sijil. Peperiksaan darjah 6 ini hanyalah untuk melihat pencapaian pelajar samada bagus atau tidak, sama ada layak atau tidak untuk dihantar ke MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh. Itu sahaja. Padahal penilaian ini boleh sahaja didapati dari pihak sekolah berdasarkan ujian-ujian dan peperiksaan yang dijalankan selama 6 tahun di sekolah rendah.

6 Yang mudahnya, hapuskan sahaja UPSR. Kita harus ingat, pelajar yang cemerlang semasa UPSR belum tentu akan cemerlang berterusan. Kecemerlangan seseorang kadang-kadang datang lewat, selepas usia 12 tahun. Mungkin seorang kanak-kanak itu cemerlang kerika usia 12 tahun dan kecemerlangan itu semakin turun setiap usia meningkat. Ada pula orang ketika usia 12 tahun ia tidak cemerlang tetapi berubah lebih baik dari setahun ke setahun selepas itu.

7. Kita harus ingat bahawa PMR juga semakin dihapuskan secara perlahan-lahan. Ia digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Boleh pun diterima walaupun pada peringkat awal timbul juga beberapa masalah.

8. Jadi, hapuskanlah UPSR ini dan nilaikan kecemerlangan mereka berdasarkan sekolah juga. Mula-mula agak payah, tetapi lama kelamaan ia jadi biasa.


Monday, September 15, 2014

MALANGNYA BAHASA MELAYU DI TANAH MELAYU

Entah kali yang ke berapa keluhan tentang bahasa ini harus ditulis dan harus diluahkan tidak siapa dapat menjangkakan. Rasanya harus lebih kerap kita menampakkan kekesalan tentang nasib Bahasa kita di tanah air kita sendiri.  Mungkin pada suatu ketika nanti ada juga mana-mana pemimpin atau pejuang bahasa akan sedar dan turut mengeluh bersama-sama kita. Mana tahu, semua boleh terjadi pada bulan-bulan yang dinamakan Bulan Bahasa Kebangsaan 2014.

Tahun 2014 menempa sejarah seolah-olah pihak  berwajib bersungguh-sungguh mahu memperkasakan penggunaan bahasa Melayu bila Bulan Bahasa Kebangsaan dilancarkan dan disambut selama  tiga bulan berturut-turut. Kalau benarlah bagai dikata, bahasa Melayu akan megah akhirnya. Mungkin tahun hadapan sambutannya hingga enam bulan, dah tahun selanjutnya selama Sembilan bulan. Akhirnya Bulan Bahasa Kebangsaan disambut sepanjang tahun.

Tetapi itu hanyalah cerita dongeng sahaja. Walaupun tahun 2014 ini sambutannya merangkumi bulan Ogos, September dan Oktober,  terasa seperti tiada langsung apa-apa acara bahasa Kebangsaan di mana-mana. Media tidak pernah menyiarkan apa-apa aktiviti tentang bahasa kecuali ada persatuan penulis mengadakan suatu perjumpaan dan sambutan di Ulu Legong, Baling, Kedah. Itupun atas inisiatif mereka sendiri.

Nampaknya bahasa Melayu betul-betul menjadi anak tiri di negara sendiri. Diwar-warkan ada Bulan Bahasa Kebangsaan, tetapi tiada satupun sambutan yang dibuat. Kononnya sambutan selama tiga bulan, hanya hari pelancaran itu sahaja yang disebut-sebut. Nasib kamulah bahasa Melayu.

Siapa mahu gunakan bahasa Melayu? Para pemimpin negara kamu? Rakyat negara kamu sendiri? Bangsa kamu sendiri?

Yang gunakan bahasa Melayu hanyalah orang-orang kampong yang rata-rata menjadi nelayan dan petani. Orang Melayu sendiripun, bila telah maju sedikit, bahasa Melayu ditolak tepi. Banyak gunakan bahasa Inggeris terutama dalam bidang-bidang usahawan dan perniagaan.

Seringnya di TV,  mana ada segmen mempromosikan barangan dan produk dibuat dalam bahasa Melayu. Bahasa Inggeris yang kerap digunakan. Biar tergagap-gagap dengan bahasa penjajah itu, langsung tidak mahu beralih ke bahasa Melayu. Tontonlah segmen Detikniaga di TV3  kalau tak percaya .

Para pemimpin sendiri lebih mengutamakan bahasa Inggeris. Entah apa tujuannya penerangan tentang GST oleh PM disampaikan dalam bahasa Inggeris padahal kumpulan sasaran adalah rakyat Malaysia sendiri yang ramainya berbangsa Melayu?


Kalau beginilah, biar sambut  Merdeka kali ke 100, bahasa Melayu tetap akan layu malah boleh melayang begitu sahaja. Percayalah!

Saturday, August 30, 2014

ALANGKAH BAIKNYA BERPOLITIK SEPERTI TOM & JERRY

Pernah menonton siri kartun Tom And Jerry? Tontonlah untuk membuka minda anda.


Ini memang siri kartun populer. Bukan kanak-kanak sahaja yang meminatinya, malah orang dewasa juga tidak akan melepaskan peluang menyaksikan telatah dua watak unik ini. Kisah memaparkan seekor kucing dan seekor tikus yang setiap kali berkejaran . Kucing mengejar dan tikus lari. Sungguh lucu.

Dalam kelucuan watak itu terselit falsafah yang amat tinggi nilainya jika diteliti dan difikirkan di luar kotak kartun itu sendiri. Dan kalau kita kaitkan dengan kehidupan dan masalah dinegara kita, memang amat berkait rapat dengan watak-watak lucu tersebut.

Soalanya bolehkah politik Malaysia berpaksikan telatah kucing dan tikus dalam siri tersebut? Alangkah baiknya jika orang-orang politik memerhati sejenak kisah-kisah kartun itu dari sudut pengajaran dan etika kehidupan dalam dunia politik itu sendiri.

Kita perhatikan, apabila kucing dan tikus diancam anajing dan lain-lain, yang menggugatkan cara hidup mereka, kedua-dua watak ini bersatu menentang anjing yang mengganggu mereka. Mereka merancang beberapa taktik untuk menghindarkan ancaman anjing dari menggangu mereka. Dan selepas semua gangguan itu berakhir, mereka kembali kepada fitrah kehidupan mereka yang asal.

Dalam politik Malaysia hal ini tidak berlaku. Kes Lahat Datu memperlihatkan keadaan yang amat jengkel antara pihak kerajaan dan pembangkang. Peristiwa MH370 dan MH17 juga memaparkan keadaan yang sama. Pihak pembangkang bukan tolong membantu usaha kerajaan malah telah menjalankan kempen memburuk-burukkan kerajaan, bukansetakat dalam negara malah hingga ke luar negara.

Hendak menyambut Hari Kebangsaan, hari ulangtahun kemerdekaan negara juga pembangkang dan kerajaan tidak boleh duduk semeja mengadakan sambutan yang sama. malah pihak pembangkang sanggup berbuat secara berasingan menggunakan tema yang berlainan, seolah-olah ada kerajaan yang lain, seolah-olah mereka adalah entiti negara yang lain di dalam Malaysia ini.

Ambillah nilai dalam siri kartun Tom And Jerry itu. Bangkang tetap bangkang tetapi bila berhadapan situasi yang mencabar semua rakyat, bersatulah menghadapi ancaman secara bersama. Ini barulah sesuai dengantema Hari Kebangsaan "Di sinilah Lahirnya Sebuah Cinta". 

Selamat menyambut Hari Merdeka ke 57 untuk semua rakyat Malaysia.


Sunday, August 24, 2014

BOLASEPAK DI MALAYSIA: PEMAIN PUN TAK FAHAM UNDANG-UNDANG.

Perlawanan Liga Super antara Pahang dengan Lions XII sangat memalukan. Pertandingan Piala Malaysia yang begitu berprestij tercemar sedikit apabila gol diperolehi selepas bola terkena kaki pembantu pengadil yang bertugas di tepi garisan. Belum pernah terjadi dan kejadian itu menyedarkan kita bahawa pengetahuan tentang undang-undang permainan di kalangan bukan sahaja penonton, malah dalam kalangan pemain sendiripun amat rendah.

Hal yang sebegitu asas dalam peraturan permainan tidak dapat dihayati dengan baik. Nasib baik insiden itu tidak menyebabkan Pahang tewas. Apa kata Pahang tewas dengan jaringan tersebut? Sudah tentu perkara seperti yang menimpa pengadil di Johor tidak dapat dielakkan. Penonton juga sama seperti pemain, kurang menghayati undang-undang permainan walaupun menyokong sesebuah pasukan bagai nak kiamat.

Sepatutnya pihak yang berkenaan, samada FAM atau Persatuan-persatuan Bolasepak Negeri telah lama mengadakan klinik atau sessi pendedahan tentang tafsiran undang-undang permainan bolasepak. Setakat tahu undang-undang saja tidak memadai. Tafsirannya yang lebih penting. Pemain harus didedahkan dengan ilmu tersebut sebelum 'lulus' untuk bermain dalam pasukan.

Lantaran itulah macam-macam terjadi dalam kancah bolasepak di negara kita. Semuanya berpunca dari para pemain sendiri dan juga para pegawai yang tidak faham peraturan permainan selain dari peranan pengadil sendiri.

Jadi adalah dicadangkan FAM dan juga persatuan negeri-negeri dan kelab berbuat sesuatu.

Wednesday, August 13, 2014

MENGATUK DULANG PAKU SERPIH

Kerajaan Negeri Selangor sudah tidak menentu jadinya. Bukan salah sesiapa kalau TS Khalid Ibrahim berkeras juga tidak mahu mengosongkan kerusi Menteri Besar. TS Khalid tidak patut dipersalahkan. Lihatlah semula sejarah. Toleh ke belakang sekejap.

Beberapa bulan lepas perkara yang sama berlaku di Terengganu. Menteri Besar DS Ahmad Said hendak digantikan. Lihatlah apa yang jadi. Riuh satu negara kutukan demi kutukan terhadap kerajaan BN. Apa yang pembangkang tak kata. Apa yang pembangkang tidak bertohmah sehingga PM terpaksa mengambil tindakan saman terhadap beberapa pihak.

Ketika itu orang tidak ingat bahawa setahun sebelum itu telah ada perjanjian Ahmad Said dengan DS Najib tentang kedudukannya. Pihak pembangkang langsung tidak peduli, selain melemparkan berbagai tuduhan dan kecaman.

Sekarang perkara yang sama berbalik kepada mereka. Sekejap sahaja Tuhan membayar harga keceluparan mereka dengan isu penggantian Menteri Besar Selangor. TS Khalid mahu digantikan dengan Datin Seri Wan Azizah, isteri Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim.

Apa pembangkang nak kata sekarang? Kesnya sama sahaja malah keadaan di Selangor lebih memalukan. Najib tak buang Ahmad Said untuk digantikan dengan Rosmah tetapi Anwar mahu Khalid berundur untuk isterinya Wan Azizah. Bukankah pelik walaupun Wan Azizah presiden PKR?

Mengatuk dulang paku serpih, itulah bidalan yang paling sesuai untuk golongan ini.

Orang bodoh sahaja yang melihat sebagai perkara biasa tapi orang yang kurang bodoh akan tertawa 'keras perut' memikirkan putar belit ini. 

Sekarang kita dihidangkan cerita amat melucukan. paling lucu di abad ini. sama-samalah kita lihat kesudahannya!

Tuesday, August 5, 2014

JENAKA PERSATUAN HOKI NEGARA

“………Saya tidak harus menjadi mangsa kecaman kerana sasaran skuad Negara bukanlah Sukan Komanwel, tetapi sebaliknya pada pentas Sukan Asia,” – Muhammad Dharmaraj Abdullah, Jurulatih Joki Negara.

Seorang jurulatih yang bertanggungjawab pasti tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu. Seorang jurulatih yang benar-benar bagus tidak akan lari dari tanggungjawabnya dengan komen yang boleh menjadi bahan ketawa atau jenaka hebat seperti ini.

Kalau Sukan Komanwel bukan pentas mencari pingat, kenapa PHM beria-ia menghabiskan puluhan ribu ringgit menghantar para pemain dan pegawai ke Glasgow, Scotland. Kalau Sukan Komanwel hanyalah pentas untuk mengenal pemain ke Sukan Asia, lebih baik buat peniulaian di Negara sendiri, tak payah buang masa dan wang ringgit ke kejohanan tersebut.

Dan sekiranya Sukan Asia lebih penting daripada Sukan Komanwel, lebih baik siapkan diri untuk Sukan Asia sahaja daripada membuang masa dan tenaga ke Sukan Komanwel. Wang ringgit habis, imej hoki Negara turut tercalar.

Bagi kami, Sukan Asia dan Sukan Komanwel sama pentingnya. Pentas Asia dan Komanwel melibatkan Negara yang tidak sama dan kalau kita menilai sesuatu sukan peringkat antarabangsa seperti ‘Sukan Kampung’ sahaja, sampai bilapun kita macam itu juga, pasti tiada kemajuan.

Biarlah medan mencari dan menilai pemain lebih berkisar di perlawanan dalam Negara atau mana-mana perlawanan antarabangsa yang lain, bukan di temasya seperti Sukan Komanwel.


Itulah jenaka hebat dari Persatuan Hoki Malaysia untuk tatapan rakyat Malaysia.

Monday, July 28, 2014

BILA HELANG MERAH MAHU MENYAMBAR SEPERTI KENARI?


Rasa rindu pula kepada piala-piala yang pernah dimenangi Kenari suatu waktu dulu. sekarang ia hanya satu nostalgik dan sesuatu yang sukar tetapi tidak mustahil untuk mendapatkannya. Bukan satu tetapi tiga piala sekaligus. Tetapi itu masalalu, era Kenari terbang tinggi.

Sekarang Kenari sudah tiada, sudah berubah rupa dan warna menjadi Helang Merah pula. Apakah Helang Merah tidak kepingin memeluk puala-piala tersebut? Sejak bertahun-tahun Kenari gagal mengulangi kegemilangannya, mungkin Helang Merah boleh mengubat luka peminat-peminat yang masih setia. Biarkanlah para peminat yang kecewa bila Kenari sudah tiada mengeluh dan mencemuh (sebab rugi tak boleh berniaga baju Kenari pada masa itu).


Satu piala pun jadilah untuk menjadi pengubat.

Azrai Khor sudah meninggalkan T-Team. Pujuklah dia untuk kembali mengendalikan Helang Merah seperti yang dilakukannya dahulu kepada Kenari. Bila lagi hendak menjemputnya pulang. Masa inilah dia boleh berganding dengan Tan Cheng Ho membentuk pasukan yang mantap.

Teruskanlah kegemilangan. Apapun, syabas diucapkan!




Sunday, July 27, 2014

APA SUDAH JADI DENGAN PENGADIL BOLASEPAK KFA?

Pejabat Persatuan Bolasepak Kedah: Lambang kegemilangan Hijau Kuning


Bila berbicara tentang bolaepak negeri Kedah, KFA adalah lambang kegemilangan Hijau Kuning, warna yang diperkenalkan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil. Hijau Kuning dan KFA sememangnya berkait rapat antar satu dengan lain. Dan jasa Allahyarham tersebut amat besar nilainya.

Bila bercakap tentang bolasaepak dan KFA, sebuah badan yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja adalah Lembaga Pengadil. Mulanya ditubuhkan sebagai Persatuan Pengadil Bolasepak Kedah di bawah inisiatif Allahyarham Haji Khalid Ariffin. Sesudah itu dibuat penambahbaikan demi meningkatkan prestasinya, persatuan itu di ubah menjadi Lembaga Pengadil KFA yang membuatkan para pengadil dan aktiviti mereka berada dalam pemantauan KFA.

Itu masa lalu, sewaktu era Semi-pro dan sebelumnya.

Sekarang semua itu tidak seperti itu. Dan bilangan pengadil bolasepak di negeri Kedah sudah semakin berkurangan. Sehubung dengan itu, wakil pengadil di peringkat kebangsaan dan FAM juga turut semakin 'tiada'. Hanya beberapa orang sahaja. Itupun prestasi mereka tidak sampai ke mana.

Dalam satu kesempatan berbicara dengan AJK Lembaga Pengadil KFA yang masih aktif, beliau meneritakan tentang kurangnya pendedahan dan  kursus atau ilmu disalurkan kepada pengadil-pengadil baru. Ada daerah yang langsung tidak mempunyai pengadil bolasepak, apatah lagi Persatuan Pengadil Daerah.

Saya sendiri berpendapat, kita harus kembali ke titik asal dengan mengadakan kursus-kursus pengenalan dan awalan untuk pengadil baru di setiap daerah. Seperti dulu juga,
diadakan pendedahan dalam beberapa liga anjuran KFA di daerah-daerah untuk mengumpulkan seberapa ramai pengadil yang boleh. Dari situ barulah dapat dipilih yang betul-betul berkualiti untuk diberi pendedahan di peringkat kebangsaan pula.

Apa yang berlaku sekarang menurut sumber tersebut, apabila akan ada peperiksaan di peringkat kebangsaan atau FAM, barulah tangkap-muat beberapa orang untuk diberi kursus-kursus untuk lulus peperiksaan. Langkah seperti ini tidak betul. Oleh itu kembalilah kepada kaedah asal yang dibuat dahulu. 

Pihak pengurusan persatuan atau Lembaga Pengadil sendiri melalui Pegawai Pemnangunan Pengadil yang dilantik FAM mesti memikirkan untuk mengambil langkah terbaik. Masuklah ke daerah-daerah dan anjurkan kursus atau klinik atau apa namanya sekalipun untuk mendedahkan bidang pengadilan ini kepada generasi muda yang berminat.

Gunakan khidmat para pengadil yang sudah bersara yang banyak pengalaman yang masih sedia dan tidak lokek berkongsi ilmu. setiap daerah ada bekas-bekas pengadil yang masih aktif. Gunakanlah kepakaran mereka sebaik mungkin.

Insyaallah, pengadil Kedah akan lebih matang dan gemilang.

Friday, May 23, 2014

SIAPA MENJADI PILIHAN?


SIAPA AKAN MENJADI PILIHAN?

Siapa akan menjadi pilihan? Tiga nama sudah pasti mahu meletakkan diri di singgahsana FAM. Masing-masing mahu menjadi presiden dan berharap diri dipilih para perwakilan.

Setiap hari ada saja berita tentang 3 watak ini dengan visi dan misi masing-masing.

Annuar Musa, nama kontroversi dalam arena bolasepak tanahair lebih menyokong Tengku Mahkota Johor. Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar sudah nyatakan Trngku Mahkota Pahang memiliki ketokohan dipilih. Dan Sultan Pahang  sendiri tentu mempunyai strategi hebat kerana sudah berpengalaman 30 tahun memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia walaupun tidak ada apa-apa kemajuan.

Nah! Pilihlah siapapun, bolasepak tidak akan menambah mata tahil dalam timbangan. Tiada apa yang hendak dibanggakan selain berbagai kontroversi bermula dari jurulatih hinggalah kepada pengurus pasukan menumbuk pengadil. Bukan pengadil tidak bagus tapi orang tidak faham undang-undang permainan. 

Pilihlah siapapun, pi mai, pi mai, tang tu juga!

Monday, May 5, 2014

APA ADA DALAM BOLASEPAK SEBENARNYA?

Berita dan cerita tentang bolasepak cukup mendapat tempat di negara kita. Ramai yang berminat mengikuti perkembangan peermainan tersebut sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Beberapa minggu lalu kita dikejutkan dengan berita paling sensasi apabila pengadil Shukri  Abd. Rahman ditumbuk oleh Penolong Pengurus JDT, Datuk Onn Jabar. Entah apa yang merasuk beliau, tiba-tiba saja meluru dan memukul pengadil yang sedang menuju bilik persalinan. Kalau kerana tidak puas hati dengan keputusan Pengadil, mana ada pasukan yang sukakan pengadil bila pasukannya kalah?

Kalau waktu itu Presiden Obama tidak ada di Malaysia, sudah tentu berita Onn Jabar ini akan lebih sensasi.

Hakikatnya tentu ada sesuatu dalam bolasepak yang orang tidak tahu. Tentu ada kelebihan pada seseorang jika dapat berada dalam kancah bolasepak khasnya di negara ini. Hal ini yang orang tidak tahu dan mahu diketahui ramai.

Kalau tidak ada apa-apa masakan 3 individu bertaraf Raja berebut mahu menjadi Presiden Persatuan Bolasepak  Malaysia. Hanya sebuah persatuan sukan , tapi menjadi rebutan dua Putera Raja dan seorang Sultan. Padahal kalau diikut hukum akal, seorang raja atau putera raja, kalau tidak jadi presiden pun, bila-bila masa boleh menonton bolasepak.

Banyak susah dan kesulitan bila seorang Sultan menjadi presiden persatuan sukan. Tidak ada satupun kelebihannya. Adalah lebih baik jika dibiar kepada rakyat saja menjawat jawatan tersebut kerana selama 30 tahun ini pun Malaysia bukan semakin naik, malah semakin turun prestasinya. Raja dan Anak Raja tidak menyumbang apapun dalam meningkatkan prestasi mana-mana permainan.


Baik buruk prestasi bolasepak dan sukan yang lain  juga bukan kerana siapa jadi presiden tetapi kerana pemain-pemain itu sendiri. Lihatlah sukan-sukan yang lain sebagai contoh.


Sunday, April 13, 2014

UNTUK KEHIDUPAN LEBIH SEJAHTERA

kita sudah berada dalam kesejahteraan jika kita fikirkan betul-betul. Tidak ada cacat celanya kita di negara tercinta ini. Kerana itu kita perlu bersyukur sangat kerana diberi penghidupan yang baik dan bagus serba-serbi.

Tapi untuk nampak lebih sejahtera lagi, negara patut tidak ada beberapa perkara. Perkara yang orang nampak tidak penting ini amat menyumbang kepada kegelisahan dan ketidak-puasan hati majoriti rakyat.

Perkara pertama yang patut difikirkan dan diberi perhatian ialah tentang kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. alangkah harmonimya kita andainya tiada sekolah-sekolah ini di negara kita. Kita hanya mengamalkan satu sistem sekolah dan dapat mewujudkan satu komuniti yang berpaksi kepada satu bahasa iaitu Bahasa Melayu sahaja.

Perkara kedua pula ialah memfokuskan semua bidang sukan tanpa menggunakan khidmat jurulatih. Sepanjang yang dilihat, perkembangan sukan kita boleh berkembang tanpa kewujudan jurulatih. Kalau kita perhatikan secara serius apakah sebenarnya peranan jurulatih? Jurulatih sering bertukar, tapi mutu sukan tetap juga berada di tahap yang sama dan ada pula yang semakin menjunam prtestasinya. Kita asyiki menggunakan jurulatih yang sama sahaja, hanya pasukan saja yang bertukar.

Perkara akhir yang patut difikirkan ialah manusia bernama Anwar Ibrahim. Kalau tidak ada orang ini rasanya lanskap politik Malaysia akan lain jadinya. Kita akan lebih harmoni. Inilah manusia yang sering menghasut rakyat berdemonstrasi sejak tahun 70an lagi. Takkan kita tidak sedar perkara itu.

Jika ketiga-tiga ini tidak ada di negara Malaysia ini, pasti kita lebih bergembira dan hidup kita menjadi tenteram tanpa gangguan. Insyaallah!