Monday, July 28, 2014

BILA HELANG MERAH MAHU MENYAMBAR SEPERTI KENARI?


Rasa rindu pula kepada piala-piala yang pernah dimenangi Kenari suatu waktu dulu. sekarang ia hanya satu nostalgik dan sesuatu yang sukar tetapi tidak mustahil untuk mendapatkannya. Bukan satu tetapi tiga piala sekaligus. Tetapi itu masalalu, era Kenari terbang tinggi.

Sekarang Kenari sudah tiada, sudah berubah rupa dan warna menjadi Helang Merah pula. Apakah Helang Merah tidak kepingin memeluk puala-piala tersebut? Sejak bertahun-tahun Kenari gagal mengulangi kegemilangannya, mungkin Helang Merah boleh mengubat luka peminat-peminat yang masih setia. Biarkanlah para peminat yang kecewa bila Kenari sudah tiada mengeluh dan mencemuh (sebab rugi tak boleh berniaga baju Kenari pada masa itu).


Satu piala pun jadilah untuk menjadi pengubat.

Azrai Khor sudah meninggalkan T-Team. Pujuklah dia untuk kembali mengendalikan Helang Merah seperti yang dilakukannya dahulu kepada Kenari. Bila lagi hendak menjemputnya pulang. Masa inilah dia boleh berganding dengan Tan Cheng Ho membentuk pasukan yang mantap.

Teruskanlah kegemilangan. Apapun, syabas diucapkan!




Sunday, July 27, 2014

APA SUDAH JADI DENGAN PENGADIL BOLASEPAK KFA?

Pejabat Persatuan Bolasepak Kedah: Lambang kegemilangan Hijau Kuning


Bila berbicara tentang bolaepak negeri Kedah, KFA adalah lambang kegemilangan Hijau Kuning, warna yang diperkenalkan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil. Hijau Kuning dan KFA sememangnya berkait rapat antar satu dengan lain. Dan jasa Allahyarham tersebut amat besar nilainya.

Bila bercakap tentang bolasaepak dan KFA, sebuah badan yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja adalah Lembaga Pengadil. Mulanya ditubuhkan sebagai Persatuan Pengadil Bolasepak Kedah di bawah inisiatif Allahyarham Haji Khalid Ariffin. Sesudah itu dibuat penambahbaikan demi meningkatkan prestasinya, persatuan itu di ubah menjadi Lembaga Pengadil KFA yang membuatkan para pengadil dan aktiviti mereka berada dalam pemantauan KFA.

Itu masa lalu, sewaktu era Semi-pro dan sebelumnya.

Sekarang semua itu tidak seperti itu. Dan bilangan pengadil bolasepak di negeri Kedah sudah semakin berkurangan. Sehubung dengan itu, wakil pengadil di peringkat kebangsaan dan FAM juga turut semakin 'tiada'. Hanya beberapa orang sahaja. Itupun prestasi mereka tidak sampai ke mana.

Dalam satu kesempatan berbicara dengan AJK Lembaga Pengadil KFA yang masih aktif, beliau meneritakan tentang kurangnya pendedahan dan  kursus atau ilmu disalurkan kepada pengadil-pengadil baru. Ada daerah yang langsung tidak mempunyai pengadil bolasepak, apatah lagi Persatuan Pengadil Daerah.

Saya sendiri berpendapat, kita harus kembali ke titik asal dengan mengadakan kursus-kursus pengenalan dan awalan untuk pengadil baru di setiap daerah. Seperti dulu juga,
diadakan pendedahan dalam beberapa liga anjuran KFA di daerah-daerah untuk mengumpulkan seberapa ramai pengadil yang boleh. Dari situ barulah dapat dipilih yang betul-betul berkualiti untuk diberi pendedahan di peringkat kebangsaan pula.

Apa yang berlaku sekarang menurut sumber tersebut, apabila akan ada peperiksaan di peringkat kebangsaan atau FAM, barulah tangkap-muat beberapa orang untuk diberi kursus-kursus untuk lulus peperiksaan. Langkah seperti ini tidak betul. Oleh itu kembalilah kepada kaedah asal yang dibuat dahulu. 

Pihak pengurusan persatuan atau Lembaga Pengadil sendiri melalui Pegawai Pemnangunan Pengadil yang dilantik FAM mesti memikirkan untuk mengambil langkah terbaik. Masuklah ke daerah-daerah dan anjurkan kursus atau klinik atau apa namanya sekalipun untuk mendedahkan bidang pengadilan ini kepada generasi muda yang berminat.

Gunakan khidmat para pengadil yang sudah bersara yang banyak pengalaman yang masih sedia dan tidak lokek berkongsi ilmu. setiap daerah ada bekas-bekas pengadil yang masih aktif. Gunakanlah kepakaran mereka sebaik mungkin.

Insyaallah, pengadil Kedah akan lebih matang dan gemilang.

Friday, May 23, 2014

SIAPA MENJADI PILIHAN?


SIAPA AKAN MENJADI PILIHAN?

Siapa akan menjadi pilihan? Tiga nama sudah pasti mahu meletakkan diri di singgahsana FAM. Masing-masing mahu menjadi presiden dan berharap diri dipilih para perwakilan.

Setiap hari ada saja berita tentang 3 watak ini dengan visi dan misi masing-masing.

Annuar Musa, nama kontroversi dalam arena bolasepak tanahair lebih menyokong Tengku Mahkota Johor. Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar sudah nyatakan Trngku Mahkota Pahang memiliki ketokohan dipilih. Dan Sultan Pahang  sendiri tentu mempunyai strategi hebat kerana sudah berpengalaman 30 tahun memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia walaupun tidak ada apa-apa kemajuan.

Nah! Pilihlah siapapun, bolasepak tidak akan menambah mata tahil dalam timbangan. Tiada apa yang hendak dibanggakan selain berbagai kontroversi bermula dari jurulatih hinggalah kepada pengurus pasukan menumbuk pengadil. Bukan pengadil tidak bagus tapi orang tidak faham undang-undang permainan. 

Pilihlah siapapun, pi mai, pi mai, tang tu juga!

Monday, May 5, 2014

APA ADA DALAM BOLASEPAK SEBENARNYA?

Berita dan cerita tentang bolasepak cukup mendapat tempat di negara kita. Ramai yang berminat mengikuti perkembangan peermainan tersebut sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Beberapa minggu lalu kita dikejutkan dengan berita paling sensasi apabila pengadil Shukri  Abd. Rahman ditumbuk oleh Penolong Pengurus JDT, Datuk Onn Jabar. Entah apa yang merasuk beliau, tiba-tiba saja meluru dan memukul pengadil yang sedang menuju bilik persalinan. Kalau kerana tidak puas hati dengan keputusan Pengadil, mana ada pasukan yang sukakan pengadil bila pasukannya kalah?

Kalau waktu itu Presiden Obama tidak ada di Malaysia, sudah tentu berita Onn Jabar ini akan lebih sensasi.

Hakikatnya tentu ada sesuatu dalam bolasepak yang orang tidak tahu. Tentu ada kelebihan pada seseorang jika dapat berada dalam kancah bolasepak khasnya di negara ini. Hal ini yang orang tidak tahu dan mahu diketahui ramai.

Kalau tidak ada apa-apa masakan 3 individu bertaraf Raja berebut mahu menjadi Presiden Persatuan Bolasepak  Malaysia. Hanya sebuah persatuan sukan , tapi menjadi rebutan dua Putera Raja dan seorang Sultan. Padahal kalau diikut hukum akal, seorang raja atau putera raja, kalau tidak jadi presiden pun, bila-bila masa boleh menonton bolasepak.

Banyak susah dan kesulitan bila seorang Sultan menjadi presiden persatuan sukan. Tidak ada satupun kelebihannya. Adalah lebih baik jika dibiar kepada rakyat saja menjawat jawatan tersebut kerana selama 30 tahun ini pun Malaysia bukan semakin naik, malah semakin turun prestasinya. Raja dan Anak Raja tidak menyumbang apapun dalam meningkatkan prestasi mana-mana permainan.


Baik buruk prestasi bolasepak dan sukan yang lain  juga bukan kerana siapa jadi presiden tetapi kerana pemain-pemain itu sendiri. Lihatlah sukan-sukan yang lain sebagai contoh.


Sunday, April 13, 2014

UNTUK KEHIDUPAN LEBIH SEJAHTERA

kita sudah berada dalam kesejahteraan jika kita fikirkan betul-betul. Tidak ada cacat celanya kita di negara tercinta ini. Kerana itu kita perlu bersyukur sangat kerana diberi penghidupan yang baik dan bagus serba-serbi.

Tapi untuk nampak lebih sejahtera lagi, negara patut tidak ada beberapa perkara. Perkara yang orang nampak tidak penting ini amat menyumbang kepada kegelisahan dan ketidak-puasan hati majoriti rakyat.

Perkara pertama yang patut difikirkan dan diberi perhatian ialah tentang kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. alangkah harmonimya kita andainya tiada sekolah-sekolah ini di negara kita. Kita hanya mengamalkan satu sistem sekolah dan dapat mewujudkan satu komuniti yang berpaksi kepada satu bahasa iaitu Bahasa Melayu sahaja.

Perkara kedua pula ialah memfokuskan semua bidang sukan tanpa menggunakan khidmat jurulatih. Sepanjang yang dilihat, perkembangan sukan kita boleh berkembang tanpa kewujudan jurulatih. Kalau kita perhatikan secara serius apakah sebenarnya peranan jurulatih? Jurulatih sering bertukar, tapi mutu sukan tetap juga berada di tahap yang sama dan ada pula yang semakin menjunam prtestasinya. Kita asyiki menggunakan jurulatih yang sama sahaja, hanya pasukan saja yang bertukar.

Perkara akhir yang patut difikirkan ialah manusia bernama Anwar Ibrahim. Kalau tidak ada orang ini rasanya lanskap politik Malaysia akan lain jadinya. Kita akan lebih harmoni. Inilah manusia yang sering menghasut rakyat berdemonstrasi sejak tahun 70an lagi. Takkan kita tidak sedar perkara itu.

Jika ketiga-tiga ini tidak ada di negara Malaysia ini, pasti kita lebih bergembira dan hidup kita menjadi tenteram tanpa gangguan. Insyaallah!

Tuesday, January 14, 2014

PENJENAMAAN SEMULA PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH

1. Langkah persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memperkenalkan logo baru sebagai salah satu langkah penjenamaan semula pasukan bolasepaknya harus disambut baik oleh semua pihak yang mencintai pasukan tersebut. Ini bukanlah kali pertama logo persatuan itu ditukar. Dahulupun pernah berlaku semasa bolasepak Malaysia melangkah ke era Semi-Pro lebih satu dekad yang lalu. Ketika itu tiada pihak yang menentang atau bercadang memboikot pasukan kesayangan mereka.

2. Biarlah KFA menguruskan persatuan dan juga pasukan asalkan ia kembali menjadi pasukan yang sukar ditandingi. Biarlah Kenari diganti dengan Helang. Biarlah Alamanda diganti dengan Tangkai Padi. Ia akan tetap menjadi pasukan yang dipuja dan disegani. Asalkan slogan Biar Jasa Jadi Kenangan masih berkumandang. Asalkan warna keramat Hijau Kuning masih menjadi kebanggaan.

3. Biar apapun, sejarah penciptaan logo sebelum ini harus diingat. Jangan terlalu diperlekeh seolah-olah ia dihasilkan sekadar mahu mencipta logo. Ia ada mesej tersendiri yang orang tidak faham. Kata-kata Datuk Othman Aziz tentang lakaran Bunga Alamanda yang dikaitkan dengan status ‘Mat Bunga’ dalam pasukan bolasepak Kedah sebagai satu usaha menjatuhkan air muka Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil selaku individu yang beetanggungjawab dalam penghasilan logo lama itu.

4. Mungkin Datuk Othman tidak sedar atau tidak tahu langsung siapa kumpulan yang mencipta logo tersebut. Sebagi individu yang terlibat dalam penghasilan logo lama tersebut, saya amat terkilan dengan kenyataan Datuk Othman Aziz dalam Utusan Malaysia baru-baru ini.

5. Semasa berbincang untuk menghasilkan logo itu, sesudah diputuskan pemilihan warna Hijau-Kuning sebagai warna rasmi pasukan, kami memutuskan pula elemen yang patut dimasukkan di dalam logo tersebut. Semua Ahli Majlis ketika itu mahu elemen padi dikekalkan tetapi Datuk Ahmad Basri mencadangkan bunga alamanda kerana alamanda sentiasa berwarna hijau dan kuning berbanding padi yang warnanya tidak menentu, ada ketika hijau dan ada ketika ia kuning. Akhirnya semua yang terlibat termasuk Datuk Radzi Bashir, Datuk Shukri Hashim dan beberapa orang yang lain bersetuju dengan cadangan itu.


6. Malah pemakaian 11 garis sempadan bentuk logo itu melambangkan sebelas daerah di negeri Kedah dengan mengambil kira daerah kecil Pokok Sena sebagai satu daerah. Tidak terlintas langsung status ‘Mat Bunga’ yang Datuk Othman Aziz suarakan. Jadi berhati-hatilah membuat kenyataan agar tidak menyentuh mana-mana pihak. Malah dengan logo yang dikatakan tidak bermaya itu juga pasukan Kedah Berjaya melakar sejarah kebangkitan yang hebat dalam kancah bolasepak Malaysia.

Saturday, January 11, 2014

KANTIN SEKOLAH: SISTEM TENDER HARUS DISEMAK

Setiap hari kedengaran keluhan demi keluhan tentang harga makanan di kantin sekolah yang semakin naik. Bila harga makanan semakin tinggi, perbelanjaan sekolah untuk anak-anak secara tak langsung meningkat. Bayangkan jika seorang murid terpaksa membawa RM4.00 sehari, apa akan ditanggung ibu-bapa yang ada 4 anak yang bersekolah. Sudah tentu kos sara hidup meningkat semakin tinggi.

Hal ini berlarutan dari tahun ke tahun, harga makanan di kantin tidak pernah turun. Ia semakin meningkat mengikut rentak kedai-kedai makanan di luar. Tambahan pula diusahakan oleh pengusaha yang sama dengan pengusaha kedai makanan di Bandar-bandar. Alasan yang diberi adalah kerana kos bahan mentah yang semakin naik. Pihak pengusaha kantin tidak boleh disalahkan seratus peratus. Pihak sekolah sendiri dilihat seperti penyebab kenaikan harga makanan di kantin kerana sistem tender yang mementingkan wang.

Apapun sistem tender yang diamalkan pihak sekolah patut dikaji semula dan dilaksanakan seperti tahun-tahun dahulu. Sistem yang ada sekarang seolah-olah menggalakkan pengusaha kantin meletakkan harga yang tinggi terhadap sajian mereka.

Amalan sekarang,  pengusaha yang boleh memberi sewa bulanan yang tinggi kepada pihak pengurusan sekolah akan dipilih. Sistem sewa ini menyebabkan pengusaha kantin tiada pilihan selain meletakkan harga tinggi untuk menampung kadar sewa yang hendak diberi kepada pihak pengurusan sekolah. Jadi ubahlah sistem pemilihan dan tender ini. Jangan lagi memikirkan banyak mana wang yang masuk ke akaun sekolah tetapi fikirkan harga patut yang boleh diberi yang tidak membebankan ibu-bapa.


Sistem tender perlu diubah kepada pengusaha yang boleh meletakkan harga terendah akan dipilih. Dengan cara ini sudah tentulah pengusaha yang berminat akan memikirkan harga paling minima untuk murid-murid di sekolah. Dahulu sistem ini diamalkan dan ianya berjaya, cuma pihak pengurusan sekolah harus berkorban melupakan sewa bulanan seperti yang diperolehi sekarang.

Wednesday, October 23, 2013

INI BARU PENAMAAN CALON, TAK MENGUNDI LAGI.

Hari ini, Rabu 23 Oktober 2013 adalah Hari Penamaan Calon PRK DUN Sungai Limau. Semenjak lepas subuh tadi berpusu-pusu kereta dan motosikal memenuhi jalanraya ke Pekan Yan. Sepanjang jalan kirakira 3 km, berderetan kereta memenuhi sepanjang jalanraya menghubungkan pekan kecil itu. Lalulintas amat sesak dan tempat meletak kereta sudah penuh dari jam 7.30 pagi tadi lagi.


Motosikal juga bersesak di jalan memenuhi setiap ruang kosong sehingga pada waktu-waktu tertentu kedua-dua lorong dipenuhi kenderaan dan mengganggu kenderaan dari arah bertentangan.

Kedua-dua parti sama sahaja, berderum kereta dan motosikal ikut selera masing-masing kerana hari ini merekalah raja. Polis tidak dapat berbuat apa-apa dengan kebanjiran manusia yang tidak terhingga. Masing-masing menyokong calon masing-masing. 


Ada juga yang terperangkap dalam kesesakan jalan yang kebiasaannya menjadi laluan darinSungai Petani ke Alor Setar. Ada juga yang memang sengaja hendak melihat kemeriahan tersebut.


Ini baru Hari Penamaan Calon.

Monday, October 14, 2013

PERIHAL GELARAN DATUK

Beberapa hari lalu, sebelum Hari Keputeraan Yang Dipertua Negeri Melaka, saya ada bertanya kawan-kawan bila  Ong kim Swee akan dapat 'Datuk' seperti Rajagobal peneraju Harimau Malaya. Rupanya selang beberapa hari sahaja, tersiar berita beliau telah menerima darjah bergelar Datuk. Tepat ramalan saya bahawa Ong Kim Swee akan dapat gelaran itu kerana pasukannya memenangi Pestabola Merdeka dengan bergaya. 

Itulah Malaysia. Akhir-akhir ini bukan payah nak dapat Datuk. Buatlah sesuatu yang luarbiasa dan jadilah terkenal, dapatlah Datuk. Insyaallah! Terkinja-kinja atas pentas dan terjerit-jerit di TV juga boleh dapat gelaran itu seperti AC Mizal.

Lepas Rajagobal dapat Datuk, apa jadi dengan Harimau Malaya? Piala AFF pun tak menang lagi, lepas itu tewas dengan beberapa pasukan dalam perlawan persahabatan dan ranking semakin menurun. Dan apa pula akan terjadi dengan pasukan Ong Kim Swee lepas ini? Berjaya dia mempertahankan pingat emas Sukan SEA nanti?

Lepas ini siapa pula? Mungkin rezeki Jackie Chan sebab Malaysia amat pemurah. Shahrukh Khan dah pun dapat dulu. Kata orang kalau kita pusing belakang dan lemparkan batu ke belakang, harapan tidak terkena Datuk amat tipis. Begitu ramai Datuk sehingga nilainya serendah itu. Lihat saja baru-baru ini, 5 orang yang ditahan kerana pengubahan wang haram, semuanya bergelar Datuk.

Di negara lain, nak dapat pengiktirafan begini bukan mudah. Lihat di England berapa ramai yang dapat 'SIR'? Dalam sukan bolasepak yang amat terkenal dan sangat gah di negara itu, hanya seorang saja iaitu bekas peneraju Manchester United. Kalaulah pemain-pemain dan jurulatih mereka di Malaysia, tentu semuanya dapat Datuk kerana semuanya bagus belaka.

Itulah Malaysia.

Thursday, October 10, 2013

KASIHANNYA BAHASA MELAYU

Bulan Bahasa Kebangsaan untuk 2013 baru saja dilancarkan di Dewan 2020 Kangar, Perlis oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Seperti setiap tahun, pelancarannya disambut meriah, tetapi untuk hari itu sahaja. Dan Tan Sri Muhyiddin membaca skrip lama juga dalam ucapannya tetapi kali ini menyeru dan berharap IPT memainkan peranan ke arah mendaulatkan Bahasa Kebangsaan atau khususnya Bahasa Melayu. Sebagaimana setiap tahun juga, ianya habis begitu sahaja seiring dengan berlalunya hari pelancaran tersebut.

Tidak ada satupun langkah konkrit seterusnya untuk memenuhi ruang selama sebulan itu sebagai usaha berterusan untuk memartabatkan bahasa seperti yang diharapkan. Apa programnya? Langsung tidak ada dan semuanya kembali seperti biasa, meninggalkan Bahasa Melayu dengan fantasi sebagai bahasa ilmu dan juga sebagai bahasa keenam tersohor di dunia kononnya dituturkan oleh 250 juta orang. Kasihannya Bahasa Melayu.

Apa boleh buat, Bahasa Melayu akhirnya terus terpinggir sekadar tempelan di kebanyakan acara di dalam negara ini dan di khalayak orang Malaysia sendiri. Orang lebih senang dan selesa menggunakan Bahasa Inggeris. Orang seperti sangat rendah martabatnya jika menggunakan Bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi samada majlis anjuran swasta dan juga anjuran pihak kerajaan sendiri. Para pemimpin sendiri kelihatan lebih lancar berbahasa Inggeris dari Melayu.

Papantanda premis perniagaan tetap juga diluluskan walau tiada langsung perkataan Melayu di dalamnya. Yang ada cuma perkataan ‘….Sendirian Berhad’.

Media elektronik terutama TV langsung tidak memainkan peranan untuk tujuan memartabatkan bahasa itu.
Tidak adapun satu program yang berterusan, sekurang-kurangnya dalam masa sebulan ini, sesuai dengan namanya Bulan Bahasa Kebangsaan. Apa salahnya dalam masa sebulan dalam setahun kita sama-sama memberi sokongan memenuhkan aspirasi memartabatkan bahasa itu.

Bukan tidak boleh berbahasa Inggeris tetapi jika yang berucap orang Melaysia dan yang mendengar juga orang Malaysia, kenapa harus berbahasa Inggeris? Rakyat Malaysia tidak faham jika bertutur dalam Bahasa Melayu?


Fikir-fikirkanlah untuk sebulan ini. Bulan yang dinamakan Bulan Bahasa Kebangsaan. 

Sunday, October 6, 2013

APA SUDAH TERJADI DENGAN KFA TIDAK SIAPA TAHU

Apa yang telah terjadi dengan Persatuan Bolasepak Kedah? Sekarang sudah tidak ada lagi walau seorang pengadilnya yang layak mengadili liga FAM. selepas pemergian mendiang Muniswaran baru-baru ini, tiada lagi pengadil FAM dari persatuan ini. 

dahulu bukan main gah dengan beberapa pengadil berwibawa bermula dengan Balasundram,  Khalid Ariffin (Allahyarham), Hamzah Mohamad (Allahyarham), diikuti dengan beberapa orang yang lain termasuk saudara Dahari Rejab, Ismail Bakar, Devudu, Sivamuni, Anwar, Saoda, Rahim Hj Ali, Harif Hassan dan saudara Ahmad Khalidi segalanya berakhir sesudah kematian Muniswaran.

Sekarang tiada lagi pengadil FAM dari Kedah. Tiada juga pengadil pelapis yang boleh diketengahkan walaupun di KFA ada beberapa pegawai yang berkebolehan menguruskan perkara ini. Ada Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, ada Pegawai Pembangunan Pengadil yang dilantik FAM , ada Ahmad Khalidi yang berbisa sehingga ke peringkat FIFA, tetapi semuanya tidak berjaya mengeluarkan produk terbaik.

Apa yang KFA mahu tunggu dan lihat? Ini persoalannya yang tiada jawapan dalam kalangan kita sebagai pemerhati.

- ilham syakima
  061013