Monday, October 14, 2013

PERIHAL GELARAN DATUK

Beberapa hari lalu, sebelum Hari Keputeraan Yang Dipertua Negeri Melaka, saya ada bertanya kawan-kawan bila  Ong kim Swee akan dapat 'Datuk' seperti Rajagobal peneraju Harimau Malaya. Rupanya selang beberapa hari sahaja, tersiar berita beliau telah menerima darjah bergelar Datuk. Tepat ramalan saya bahawa Ong Kim Swee akan dapat gelaran itu kerana pasukannya memenangi Pestabola Merdeka dengan bergaya. 

Itulah Malaysia. Akhir-akhir ini bukan payah nak dapat Datuk. Buatlah sesuatu yang luarbiasa dan jadilah terkenal, dapatlah Datuk. Insyaallah! Terkinja-kinja atas pentas dan terjerit-jerit di TV juga boleh dapat gelaran itu seperti AC Mizal.

Lepas Rajagobal dapat Datuk, apa jadi dengan Harimau Malaya? Piala AFF pun tak menang lagi, lepas itu tewas dengan beberapa pasukan dalam perlawan persahabatan dan ranking semakin menurun. Dan apa pula akan terjadi dengan pasukan Ong Kim Swee lepas ini? Berjaya dia mempertahankan pingat emas Sukan SEA nanti?

Lepas ini siapa pula? Mungkin rezeki Jackie Chan sebab Malaysia amat pemurah. Shahrukh Khan dah pun dapat dulu. Kata orang kalau kita pusing belakang dan lemparkan batu ke belakang, harapan tidak terkena Datuk amat tipis. Begitu ramai Datuk sehingga nilainya serendah itu. Lihat saja baru-baru ini, 5 orang yang ditahan kerana pengubahan wang haram, semuanya bergelar Datuk.

Di negara lain, nak dapat pengiktirafan begini bukan mudah. Lihat di England berapa ramai yang dapat 'SIR'? Dalam sukan bolasepak yang amat terkenal dan sangat gah di negara itu, hanya seorang saja iaitu bekas peneraju Manchester United. Kalaulah pemain-pemain dan jurulatih mereka di Malaysia, tentu semuanya dapat Datuk kerana semuanya bagus belaka.

Itulah Malaysia.

No comments:

Post a Comment