Thursday, April 16, 2009

DALAM KEMERIAHAN MENYAMBUT KETIBAAN 'EXORA', SEDARKAH KITA BAHAWA PROTON MENJADI PEROSAK BAHASA?

(Inilah EXORA)
(Semua tersenyum walaupun bersekongkol menjadi perosak bahasa sendiri)


Hari ini kita menyambut ketibaan keluaran baru Proton iaitu 'EXORA’ sebuah MPV yang dihasilkan oleh teknologi tempatan. Nampak cantik dan bergaya. Nampak menarik bila Perdana Menteri lancarkan semalam.

Tapi di sebalik kemeriahan menyambut ‘Exora’ itu, sedarkah kita bahawa pengeluar kereta nasional ini merosakkan Bahasa Melayu? Sepatutnya kita sama-sama berusaha memartabatkan Bahasa Melayu, tetapi terjadi sebaliknya. Proton lebih cenderung membantu merosakkan lagi Bahasa Kebangsaan kita ini.

Perkataan Exora tidak ada langsung dalam Kamus Dewan dan juga dalam penggunaan bahasa setiap hari. Tidak ada siapa yang tahu maknanya. Yang menjadi persoalan di sini, pihak Proton memberi ganjaran pula kepada individu yang mencadangkan nama Exora itu walaupun terang-terang telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Proton sendiri.

Kalau ditelitikan Borang Penyertaan Peraduan Menamakan Kereta Nasional itu, ada ruang bagi menyatakan makna perkataan yang dipilih. Tapi di sini, apa maksud yang diberikan kepada perkataan yang tidak pernah wujud itu? Inilah yang menjadi tanda tanya peserta yang lain yang berusaha mencari perkataan yang ada makna.

Ini seolah-olah menggalakkan lagi orang lain turut merosakkan bahasa dengan memberi nama-nama dari perkatan rekaan yang tidak ada dalam kamus terbesar tadi. Apa maknanya syarat setiap penyertaan mesti memberi maksud dan menghuraikan perkataan yang dipilih kalau perkataan tersebut memang tidak ada makna?

Apapun bukan sekali ini Proton buat silap tentang bahasa ini. Nama PROTON itu sendiri adalah satu nama yang boleh dipertikaikan. PROTON adalah kombinasi dari PERusahaan OTOmobil Nasional. Adakah dalam Kamus Dewan perkatan OTOMOBIL? Ia didasarkan daripada perkataan Automobile yang kalau di Bahasa-Melayukan akan menjadi AUTOMOBIL.

Jadi penggunaan OTO itu sudah salah, sepatutnya AUTO. Tetapi oleh kerana yang memberi nama syarikat itu dulu ialah Tun Mahathir, tokoh-tokoh bahasa semuanya berdiam diri. Para pemimpin Melayu semua menikus.

Selepas itu Proton mengejutkan kita pula dengan jenama proton ISWARA. Apa makna Iswara? Tidak siapa tahu. Hanya para perosak bahasa dan Proton sahaja yang tahu. Nama JUWARA juga tidak mempunyai makna apa-apa. Bagaimana pula dengan PERSONA, apakah maknanya? Semua kerana sedap didengar sahaja.

Yang teraniaya di sini adalah individu-individu yang betul-betul sayangkan Bahasa Melayu. Puas menyelak Kamus Dewan mencari satu perkataan Melayu yang ada makna, tiba-tiba pihak Proton memilih satu perkataan yang langsung tidak ada dalam Bahasa Melayu bagi menamakan MPV tersebut. Dan nama ini pula layak mendapat anugerah sebuah MPV. Nampaknya Proton lebih cenderung memberi hadiah kepada seorang perosak bahasa daripada pencinta bahasa.

Mana perginya Datuk Hassan Ahmad dan A Samad Said yang sayang sangat dengan Bahasa Melayu hingga sanggup berarak ke Istana Negara menuntut PPSMI di hentikan? Takkan isu PPSMI sahaja yang diperjuangkan?

Kerana isu tersebut menjadi kegemaran pihak pembangkang, anda terus ingin meraih populeriti. Kalau anda betul-betul ikhlas memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu, isu Proton ini juga merupakan isu nasional.

Wednesday, April 15, 2009

SEMUANYA KERANA WANG

Hari ini Ustaz Hashim Jasin, Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang, Perlis mendedahkan bahawa beliau belum dibayar elaun sebagai wakil rakyat yang dimenanginya selepas mahkamah memutuskannya demikian pada 16 September 2008 lalu. Menurutnya tanpa elaun tersebut sulitlah beliau hendak menjalankan tugas untuk menyalurkananya kepada yang memerlukan.

Betul jugalah. Tanpa wang tentulah susah menjalankan tugas.

Yang jelas di sini semuanya adalah kerana wang juga. Yang kita berperang dan fitnah memfitnah ini adalah semata-mata kerana wang. Sama ada dari Pas atau dari BN, semuanya kerana wang. Tidak ada kerja sukarela. Tidak ada kerja percuma.

Selama ini berjuang dalam parti untuk apa? Setiap hari menghasut rakyat untuk apa? Tak lain supaya rakyat membenci satu pihak dan memilih satu pihak. Semuanya kerana untuk mendapat wang. Wang untuk meneruskan hidup. Tidak ada ‘berkerja untuk rakyat’. Itu semua bohong. Konsep yang dipakai adalah ‘kerja untuk wang’.

Manusia sanggup berbuat apa saja kerana wang. Hingga ke peringkat membunuh, semata-mata untuk mendapatkan wang. Tidak hairanlah kalau setakat memfitnah orang tertentu.

Semuanya kerana wang.

Saturday, April 11, 2009

PILIHANRAYA KECIL SATU STRATERGI ANWAR


(Baru-baru ini di Bukit Gantang)
Selepas dua bukit dan satu batang mencapai noktahnya pada 7 April lalu, apa pula langkah pembangkang seterusnya? Apa pula langkah Anwar dan Pakatan Rakyat bagi menggugat kestabilan politik negara? Sudah berapa Pilihanraya Kecil yang keputusannya berpihak kepada Pakatan Rakyat menjelaskan lagi strategi dan taktik Anwar amat menjadi.

Anwar seperti merangkakan setiap pilihanraya Kecil untuk menguji populeritinya. Setiap satunya tidak berjalan serentak. Semua pilihanraya kecil seperti diatur begitu rupa satu lepas satu. Dengan kaedah ini gerakan refomasi yang dilaungkannya akan diingati rakyat sepanjang masa.

Tiga Pilihanraya Kecil baru-baru ini diadakan serentak pun atas sebab Wakil-wakil Rakyat di dua kawasan meninggal dunia. Itupun sudah terdengar cakap-cakap kurang sedap dari kem Anwar tidak setuju dengan keputusan SPR mengadakannya serentak dengan Bukit Selambau.

Selepas Bukit Selambau, lihatlah nanti, ada lagi pilihanraya yang lain. Dewan Undangan Negeri Penanti di Seberang Perai sudah tentu dalam senarai berikutnya ekoran masalah pendakwaan yang dihadapi Wakil Rakyatnya. Sekali lagi negara akan digegarkan dengan kempen-kempen agresif parti-parti yang bertanding. Masalah perundangan yang dihadapi Mohd Fairuz Khairuddin memungkinkan satu pilihanraya pula.

Bila ada pilihanraya sahaja, rakyat akan mengingati refomasi Anwar. Dan terbayang corak refomasi dan demonstrasi yang menjadi ‘trademark’ saudara kita dalam PKR ini. Akan ada kempen agresif fitnah dan tohmah terhadap kerajaan seolah-olah tidak ada satu pun kebaikan yang dilakukan BN.

Selepas Penanti, Bukit Lanjan pula tentu dalam senarai akan ada Pilihanraya Kecil. Elizabeth Wong diarah bercuti dan menyambung lagi cutinya. Agak lama sedikit nanti, bila rakyat hampir hendak melupakan ketegangan politik tanahair, pasti ‘nyonya’ itu akan kembali membuat kejutan dengan meletak jawatan EXCO dan ADUN.

Pilihanraya Kecil akan diadakan lagi selepas Elizabeth Wong meletak jawatan. Dan nama Brother Anwar akan menjadi sebutan lagi. Secara tidak langsung beliau akan menjadi lebih populer. Gerakan refomasinya akan diingati sepanjang masa. Tidak hairanlah Pakatan Rakyat sentiasa memenangi setiap kali Pilihanraya Kecil.

Thursday, April 9, 2009

HIKAYAT WANG

Wang penentu segalanya
Wang mencorakkan hidup kita
Wang berkuasa sekarang melebihi yang lain.

Orang akan sayangi kita bila mempunyai banyak wang
Orang akan hormati kita bila saku kita dipenuhi wang
Hodoh pun orang nampak cantik
Buruk pun orang nampak segak
Semuanya kerana wang.

Kalau tiada wang
Orang yang selalu baik pun akan meninggalkan kita
Orang yang paling rapat pun akan membenci kita
Orang yang patut membantu pun akan menjauhkan diri
Orang yang selalu ketawa dengan kita pun mula menghilangkan diri.

Wang penentu segalanya
Wang pengikat kasih dan sayang
Wang pengikat persahabatan.

Tuesday, April 7, 2009

HIKAYAT SATU BATANG DUA BUKIT


Hari ini adalah Hari Penentuan bagi dua Bukit dan satu Batang. Bukit Selambau di Kedah dan Bukit Gantang di Perak serta Batang Air di Sarawak akan mendapat Wakil Rakyat baru menjelang tengah malam ini. Rakyat akan menetukan dengan hati dan tangan mereka.

Bermacam-macam helah dan janji diberikan untuk mengambil hati pengundi. BN dengan segala kemudahan melalui akhbar dan juga TV. Menggunakan premis kerajaan bukan lagi satu yang pelik di pihak BN dengan alasan menyampaikan sesuatu dari kerajaan kepada rakyat atas nama pembangunan. Padahal semuanya kerana berkempen semata-mata.


Pihak pembangkang pula khasnya Pakatan Rakyat juga menggunakan berbagai cara menarik hati mengundi menyokong mereka. Sampailah ke satu tahap membenarkan orang bukan Islam menggunakan ayat Quran semasa berkempen padahal semua menyedari bahawa itu adalah sesuatu yang tidak betul.

Para Mufti menentangnya tetapi Ulama dalam Pakatan Rakyat merestuinya pula. Semuanya untuk politik, kuasa dan wang semata-mata. Kerana duniawi ulama dalam PAS dan PKR membenarkan dan merestui ‘ulama DAP’ Nga Kor Ming membaca ayat-ayat al-Quran dalam kempen mereka.

Pakatan Rakyat juga lega sedikit sebab pengharaman terhadap Penerbitan Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik oleh Perdana Menteri Malaysia yang baru, Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun dinafikan tetapi pengumuman Perdana Menteri mengenai pembebasan 13 tahanan ISA dan jug aura-ura mengkaji ISA secara serius adalah satu usaha memancing undi. Hinggakan ucapannDatuk Seri Anwar Ibrahim yang memuji Tun Mahathir dan BN pada tahun 1995 disiarkan semula untuk tujuan memancing undi.

Yang kasihannya nasib 13 orang calon BEBAS, satu di Bukit Gantang dan 12 di Bukit Selambau. Tapi kempen tetap kempen. Hingga ada yang menggunakan bas dan payUng pergi berkempen.

Jadi isu dua bukit satu batang ini akan menjadi topik menarik untuk hari ini dan hari-hari yang terdekat ini. Sama-samalah kita tunggu hingga jam 9.00 malam ini seperti yang disebutkan oleh Pengerusi SPR dalam akhbar hari ini.

Apapun, esok penduduk di dua Bukit dan satu Batang itu akan menerima Wakil Rakyat mereka yang baru.

Tahniah kepada mereka yang berjaya dan yang tidak berjaya nanti usaha lagi. Nak memecah-belahkan orang-orang Melayu bukannya payah. Nak menghuru-harakan negara bukannya susah. DS Anwar telah membuktikannya. Tun Mahathir juga telah membuktikannya.
Taburkan segala fitnah, hamburkan semua tohmah, orang-orang Melayu memang mudah percaya.

Monday, March 30, 2009

HATI

Kata orang,

ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Itu pepatah lama tetapi masih segar digunakan hingga ke hari ini. Kata-kata yang sesuai sepanjang zaman dan telah digunakan berzaman-zaman. Dari dahulu hingga sekarang ia masih digunakan bagi menggambarkan perlakuan manusia. Semua perlakuan manusia adalah datang dari hati.

Ramai yang musnah kerana terlalu mengikut hati. Ramai yang binasa kerana mengikut perasaan. Kata hati itu adalah perasaan. Dan perasaan datangnya dari hati.

Walaupun hati hanya satu unit kecil dalam tubuh manusia, peranannya boleh membawa kepada kemusnahan. Walaupun hanya satu organ kecil dalam tubuh manusia, ia dapat mengawal pergerakan dan tingkahlaku manusia. Hati memberi perasaan, dan perasaan itulah yang meruntun manusia kepada sama ada kebaikan atau keburukan.

Jangan terlalu ikutkan hati. Ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Sunday, March 29, 2009

AHLI BARU DALAM FAMILI

Baru dua hari lepas kami menerima kehadiran 4 ahli baru dalam keluarga. Semuanya comel-comel belaka. Kehadiran mereka bnar-benar memberi impak yang sangat bahagia dalam keluarga yang telah lama tidak mempunyai anak kecil. Kehadiran kembar empat yang baru dilahirkan ini membawa sinar baru dalam keluarga.

Kami menjaganya bagai menatang minyak yang penuh. Tempat tidur mereka dibuat dengan sebaik-baiknya agar tidak terkena musibah. Terlindung dari hujan dan panas.



Sekarang kami masih dalam proses mencari nama untuk diberikan kepada kembar berempat ini. Apakah nama-nama yang sesuai hendak diberikan?

Tapi kasihan ibu mereka. Patutlah selama ini nampak sarat sangat perutnya. Maklumlah ada kembar di dalamnya. Empat pula.
Ibu mereka bernama Putih manakala bapa mereka bernama Belanga.

Saturday, March 28, 2009

POLITIK GILA ATAU ORANG POLITIK YANG GILA?

Paling tepat kalau dikatakan politik negara memasuki episod paling gila sekarang. Mana tidak gilanya, setiap perwakilan yang mengundi membuat pilihan dalam Perhimpunan UMNO baru-baru ini seolah-olah kurang waras dan semakin gila.

Patutlah UMNO semakin tidak diterima umum sebagai parti Melayu tersohor lagi sekarang. Orang-orang muda langsung tidak mahu lagi melibatkan diri dalam parti itu kerana tidak relevan lagi dengan kehendak mereka. UMNO hanyalah tinggal untuk orang-orang tua dan pertengahan yang telah sebati dengan UMNO.

Perwakilan yang membuat pilihan untuk jawatan-jawatan yang dipertandingkan tidak menggalas agenda Bahagian masing-masing tetapi melaksanakan agenda peribadi masing-masing.

Contoh paling jelas boleh dilihat dalam pemilihan Ketua Pemuda. Patutkah calon yang mendapat pencalonan tertinggi boleh tewas kepada calon yang mendapat pencalonan paling rendah? Mukrij boleh tewas kepada Khairi Jamaluddin?

Tentulah sesuatu yang pelik telah terjadi. Lepas itu pakat meminta semua orang terima keputusan pemilihan. Pak Lah merayu supaya semua pihak menerima pemilihan ini sebagai kehendak ahli akar umbi. Betulkah?

Sepatutnya para Perwakilan menghormati mandat ayang diberikan ahli-ahli Bahagian kepada mereka dan mereka wajar memilih calon yang dinobatkan oleh Bahagian masing-masing. Tetapi berlaku sebaliknya.

Itulah dinamakan politik gila. Ataupun orang politik yang gila?

Wednesday, March 25, 2009

ITULAH POLITIK


Terdapat sekeping gambar menarik dalam akhbar hari ini. Gambar Menteri Besar Perak, Dr Zambry Abd. Kadeer bersalaman dengan bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar jamaluddin di mahkamah dengan diperhatikan Nge khoo Ham dari DAP amat menyentuh perasaan saya. Kelihatan Ngeh senyum sahaja melihat dua gelagat dua orang tokoh politik Melayu ini.

Nampak tangan berjabat tetapi di dalam hati masing-masing siapa tahu. Siapa dapat mengetahui apa yang bermain di hati masing-masing pada waktu itu. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui betapa busuknya di dalam hati.

Yang lebih memalukan, Melayu sama Melayu bertelagah kerana ego masing-masing, si Cina pula tersenyum memandang seolah-olah menyindir mereka. Melayu sama Melayu bercakaran merebut kuasa, akhirnya si Cina yang mengambil kesempatan.

Itulah politik.

Kuasa punya hal, ego punya angkara, Mufti disamakan dengan anjing, Sultan diibaratkan sebagai anjing!


Sunday, March 22, 2009

SELAMAT BERTUNANG, PUTERIKU!



Semuanya telah selamat. Segalanya telah selesai. Majlis berjalan lancar dan sempurna. Tidak ada yang hendak dirunsingkan lagi. Jamuan yang disediakan mencukupi dan para tetamu menjamahnya dengan berselera sekali.
Itulah yang berlaku di Majlis Pertunangan puteriku yang kedua. Majlis diadakan pada hari Sabtu 14 Mac 2009 yang lalu dalam suasana harmoni dan ceria. Cuaca seperti mengerti memberikan suasana tenang dan damai. Tidak ada panas dan tidak ada hujan.

Anak-anak yang lain pulang bercuti semata-mata meraikan majlis pertunangan kakak mereka. Jiran-jiran memenuhi ruang menanti ketibaan rombongan pihak lelaki dari Kuala Terengganu. Rombongan seramai lebih 30 orang itu tiba tepat pada waktunya selepas solat asar. Ketibaan mereka disambut oleh pihak yang menunggu termasuk kaum keluarga dan jiran-jiran.


Pihak lelaki tiba dengan 7 dulang hantaran dan pihak kami membalas dengan 9 dulang pula menjadikan suasana menjadi meriah. Upacara menentukan ‘belanja’ dan menyarung cincin 'tanda jadi' berjalan dalam suasana kekeluargaan disaksikan kaum keluarga dan sahabat handai.
Selepas upacara peminangan dan pertunangan selesai, semua yang hadir menjamu selera di halaman rumah kami dengan beberapa juadah istimewa. Santapan terdiri dari mi kari, jimpan (kueh tradisi Acheh), pulut serimuka dan lain-lain lagi.









Akhirnya waktu berangkat pulang pun tiba. Rombongan pihak lelaki bergerak pulang setelah bersalam-salaman dengan para hadirin yang lain.

Selamat Bertunang, Puteriku!

Saturday, March 21, 2009

JAWAPAN ORANG KENA TUDUH

Saya pernah melawat sebuah Balai Polis di tempat saya yang secara kebetulan mengadakan ‘Rumah Terbuka’. Ketika melawat itu saya berpeluang menjenguk ke dalam ‘lokap’ yang menempatkan beberapa pesalah termasuk pesalah kes dadah, kes kecurian dan pecah rumah.

Semasa berbual dengan mereka untuk menyelmi perasaan merka, saya mendapati jawapan yang diberikan sama sahaja. Seperti salinan fotostat di kedai buku. “ Saya kena aniaya, encik. Orang lain buat, saya yang kena.” Semua yang berada di dalam lokap tersebut memberikan jawapan yang sama ataupun lebihkurang sama.

Melihat airmuka dan nada suara mereka, hati kita boleh cair mempercayai bahawa mereka benar-benar dianiaya. Mereka benar-benar tidak bersalah. Jadi bila semua yang kena tuduh tidak bersalah, siapa yang bersalah?

Tidak hairanlah bila Ali Rustam kata dia tidak bersalah. Tidak hairanlah bila dia berkata dia dianiaya. Memang perangai orang yang kena tuduh macam itu, sentiasa menyalahkan orang lain. Jadi siapa yang betul? Ali Rustam yang betul? Atau Lembaga Tsatstertib yang betul?

Kalau semua kerja Lembaga Tatatertib hendak dipertikaikan, buat apa tubuhkan badan tersebut? Buat apa melantik Tengku Ahmad Ritahuddin jika apa yang dikatakannya dianggap tidak relevan? Lebih baik ditiadakan kalau semua yang dilakukan oleh badan itu dianggap tidak betul.

Anwar Ibrahim pun kata dia tidak bersalah. Tuduhan yang dibuat ke atasnya, semuanya konspirasi. Itu semua fitnah. Bermacam alasan diberikan. Bermacam hujah dikemukakan. Semata-mata untuk menunjukkan beliau tidak bersalah. Hingga mangsa menebal muka membuat sumpah laknat, pun tidak dipakainya. Dia sahaja yang betul. Orang lain tidak betul.

Kalau semua orang mengaku tidak bersalah, siapa yang bersalah?