Showing posts with label halaman rumah. Show all posts
Showing posts with label halaman rumah. Show all posts

Monday, September 20, 2010

MASIH DI HALAMAN RUMAH

Cerita di halaman rumah bersamabung lagi. Kali ini adalah dari sudut yang lain pula dari sebelumnya. Halaman yang dihiasi tumbuh-tumbuhan ini amat menyenangkan mata yang memandang dan menenangkan jiwa.

Di luar tembok belakang rumah ditanam dengan pokok tebu yang tumbuh segar. Bulan Ramadan baru-baru ini puas juga anak-anak berbuka dengan air tebu dari pokok sendiri hampir setiap petang.



Di sudut luar rumah pokok-pokok yang ditanam tumbuh liar, hampir tidak dijaga sepenuhnya. Kadang-kadang sempat menyiramnya sekali sahaja dalam sehari. Di sini terdapat pokok-pokok yang tidak memerlukan penjagaan rapi seperti pokok bebuas yang diambil pucuknya untuk dibuat ulam, pokok pandan kuning dan juga pokok ara yang sentiasa tumbuh liar.



Buluh madu di sudut yang satu lagi pula tidak jemu mengeluarkan rebungnya. Kadang-kadang sampai 3 atau 4 pucuk sekali keluar dan ditutup dengan paip PVC untuk menjaga mutunya.




Kelapa ini sentiasa berbudi mengeluarkan buah yang banyak. Sedap juga kadang-kadang diambil untuk diminum airnya. Selain menghilangkan dahaga, berkhasiat juga untuk kesihatan.



Pokok langsuyar ini jarang dipedulikan sebab kedudukannya di atas tembok pagar yang berjiran dengan orang sebelah. Kadang-kadang sahaja disiram tetapi suburnya menghijau.




Kawasan ini padat dengan berbagai jenis tumbuhan. terlalu banyak, ada yang kecil dan ada yang besar. Ada yang tinggi dan ada yang rendah. Antara pokok yang ditempatkan di sini ialah bogainvilea, subang hindu, jarak bunting, kipas, tyt, palma rotan, pandan tikus, mas cotek, pokok cerita. Padatnya tumbuhan di sini, kelihatan seperti tidak terurus.




Palma ini disusun di tepi dinding rumah menuju ke bahagian belakang rumah. Banyak terdapat pelepah-pelepah kering di setiap pasu kerana tidak cukup masa menguruskannya. Biasanya mengambil masa sehari suntuk hanya nuntuk membuang pelepah kering di tepi dan hadapan rumah.



Di sini pula banyak pokok-pokok menjalar tumbuh melingkari batang pokok belimbing yang telah mati. Kelihatan pokok yang lain seperti sepit udang, king mongkut, alamanda dan bogainvilea. Pada batang pokok belimbing itu pula ada menjalar sirih, anggur , bunga tongkeng dan anggerik hutan.



Di sebelahnya pula kelihatan pokok janggut tok adam dan juga lidah mak mertua dangan ati-ati di kelilingnya. Kelihatan juga pokok pandan tikus dan kemoyang yang tidak dijaga dengan baik di situ.



Pokok lidah jin atau lidah mak mertua ini kelihatan menarik juga dengan dihiasi ati-ati dan pandan tikus di kelilingnya.



Bunga raya ini letak terasing dari yang lain kerana ia besar dan boleh melindungi pokok yang lain jika diletak berhamapiran.



Ppemandangan yang sama dilihat dari belakang ke hadapan rumah. Pokok palma di kiri dan pokok-pokok yang lain di kanannya.




Sunday, September 19, 2010

CERITA DI HALAMAN RUMAH

Kali ini aku bawa anda melawat beberapa sudut halaman rumah yang agak kurang diberi perhatian akhir-akhir ini. Sibuk. Kebanyakan masa digunakan melawat anak gadis yang berada di hospital. Kadangkadang ke kebun membersihkan semak-samun yang semakin galak tumbuhnya.

Pokok Janggut Tok Adam ini semakin panjang tumbuhnya walaupun tidak diberi perhatian. Ia menjadi berjela-jela sehingga mencecah lantai dan memberi suasana sedikit suram di tempat letak kereta selain memberi udara sejuk di kawasann hadapan rumah ini.



Tangkai Kalumpang ini semakin galak berbunga. Dua warna sebenarnya bunga ini iaitu merah dan biru. Yang birunya agak suram tetapi yang merahnya amat jelas menceriakan suasana.


Ros Mini ini tidak pernah berhenti berbunga. Walaupun ia kurang harum, persekitarannya yang sentiasa disinari mentari menyebabkan ia kerap mengeluarkan bunga dan kelihatan kontra dengan kehijauna daun pokok-pokok yang ada di situ.




Alamanda merah ini juga tidak pernah berhenti mengeluarkan bunga. Pokoknya agak tinggi sekarang kerana tidak dipangkas secara berkala seperti selalu. Tetapi bewgitu lebih baik rasanya dengan kawasan pokoknya yang dipenuhi dengan pokok-pokok yang lain yang berlumba-lumba mencapai awan.




Kesidang atau Kerak Nasi tetap setia mengharumkan kawasan letak kereta yang satu lagi. Ia mendatangkan bau yang amat menusuk hidung tetapi memberi situasi damai setiap kali menghidunya. Sekarang kenalah kerap menyiramnya kerana tahap kepanasan yang cukup tinggi walaupun kadang-kadang hujan.




Bunga Kenanga semakin kecil saiznya mungkin kerana terlebih baja. Selalunya selepas dibajakan, siraman perlu lebih kerap. Tetapi kerana kesibukan akhir-akhir ini, tidak kerap lagi menyiram, menyebabkan bunga semakin tidak segar dan bersaiz kecil.




Daun Langsuyar tetap berjuntaian walaupun hanya melekat di tiang tempat kereta ini. Begitu teguh ia mencengkam tiang simen itu dan selalunya diberi pisang ranum sebagai hadiah kerana kesetiannya itu. Ia memberi suasana kehijauan di tempat tersebut.



Anggerik ini tidak pernahn berbunga sepanjang hidupnya di rumah ini. Mungkin ia merajuk kerana diletakkan di sudut yang jarang diperhatikan orang. Menurut seorang 'pakar' tumbuh-tumbuhan yang ditemui di Padang Besar, pokok ini jangan disiram terlalu kerap. Biar ia kering dan ia pasti berbunga. Tetapi nasihat itu tidak dipatuhi kerana takut dan kasihan melihat ia kekurangan air.


Biarlah tidak berbunga asalkan ia kelihatan segar.



Bunga Kertas atau Boganvillea merah itu sudah melebihi 10 tahun di situ dan terus setia mengeluarkan bunganya yang kadang-kadang mendatangkan masalah pula. Apa tidaknya, sampah hasil dari bunga yang gugur perlu dibersihkan setiap hari.



Sudut 'Aqua' ini memberi kedamainan hati setiap kali keluar dari rumah. Letaknya berhampiran pintu dan siapa yang keluar dari rumah pasti meberi makanan kepada ikan yang ada di dalam pasu tersebut. Deraian air yang turun dari pasu atas ke pasu bawah memberi kelegaan kepada sebarang keresahan dengan ikan yang berkejar-kejaran di dalamnya.




Itulah suasana di halaman hadapan rumah yang mendamaikan hatiku ini. Nanti kita lihat di sudut yang lain pula, Insyaallah!