Sunday, September 19, 2010

CERITA DI HALAMAN RUMAH

Kali ini aku bawa anda melawat beberapa sudut halaman rumah yang agak kurang diberi perhatian akhir-akhir ini. Sibuk. Kebanyakan masa digunakan melawat anak gadis yang berada di hospital. Kadangkadang ke kebun membersihkan semak-samun yang semakin galak tumbuhnya.

Pokok Janggut Tok Adam ini semakin panjang tumbuhnya walaupun tidak diberi perhatian. Ia menjadi berjela-jela sehingga mencecah lantai dan memberi suasana sedikit suram di tempat letak kereta selain memberi udara sejuk di kawasann hadapan rumah ini.



Tangkai Kalumpang ini semakin galak berbunga. Dua warna sebenarnya bunga ini iaitu merah dan biru. Yang birunya agak suram tetapi yang merahnya amat jelas menceriakan suasana.


Ros Mini ini tidak pernah berhenti berbunga. Walaupun ia kurang harum, persekitarannya yang sentiasa disinari mentari menyebabkan ia kerap mengeluarkan bunga dan kelihatan kontra dengan kehijauna daun pokok-pokok yang ada di situ.




Alamanda merah ini juga tidak pernah berhenti mengeluarkan bunga. Pokoknya agak tinggi sekarang kerana tidak dipangkas secara berkala seperti selalu. Tetapi bewgitu lebih baik rasanya dengan kawasan pokoknya yang dipenuhi dengan pokok-pokok yang lain yang berlumba-lumba mencapai awan.




Kesidang atau Kerak Nasi tetap setia mengharumkan kawasan letak kereta yang satu lagi. Ia mendatangkan bau yang amat menusuk hidung tetapi memberi situasi damai setiap kali menghidunya. Sekarang kenalah kerap menyiramnya kerana tahap kepanasan yang cukup tinggi walaupun kadang-kadang hujan.




Bunga Kenanga semakin kecil saiznya mungkin kerana terlebih baja. Selalunya selepas dibajakan, siraman perlu lebih kerap. Tetapi kerana kesibukan akhir-akhir ini, tidak kerap lagi menyiram, menyebabkan bunga semakin tidak segar dan bersaiz kecil.




Daun Langsuyar tetap berjuntaian walaupun hanya melekat di tiang tempat kereta ini. Begitu teguh ia mencengkam tiang simen itu dan selalunya diberi pisang ranum sebagai hadiah kerana kesetiannya itu. Ia memberi suasana kehijauan di tempat tersebut.



Anggerik ini tidak pernahn berbunga sepanjang hidupnya di rumah ini. Mungkin ia merajuk kerana diletakkan di sudut yang jarang diperhatikan orang. Menurut seorang 'pakar' tumbuh-tumbuhan yang ditemui di Padang Besar, pokok ini jangan disiram terlalu kerap. Biar ia kering dan ia pasti berbunga. Tetapi nasihat itu tidak dipatuhi kerana takut dan kasihan melihat ia kekurangan air.


Biarlah tidak berbunga asalkan ia kelihatan segar.



Bunga Kertas atau Boganvillea merah itu sudah melebihi 10 tahun di situ dan terus setia mengeluarkan bunganya yang kadang-kadang mendatangkan masalah pula. Apa tidaknya, sampah hasil dari bunga yang gugur perlu dibersihkan setiap hari.



Sudut 'Aqua' ini memberi kedamainan hati setiap kali keluar dari rumah. Letaknya berhampiran pintu dan siapa yang keluar dari rumah pasti meberi makanan kepada ikan yang ada di dalam pasu tersebut. Deraian air yang turun dari pasu atas ke pasu bawah memberi kelegaan kepada sebarang keresahan dengan ikan yang berkejar-kejaran di dalamnya.




Itulah suasana di halaman hadapan rumah yang mendamaikan hatiku ini. Nanti kita lihat di sudut yang lain pula, Insyaallah!

3 comments:

  1. Banyak tumbuh-tumbuhan menarik di sekitar rumah ya dan semua dalam keadaan yang sihat dan baik.Semoga anak gadis akan bertambah sihat.

    ReplyDelete
  2. Nanti akan dibawa melihat di sudut yang lain pula. Di luar rumah dan di sisi rumah belum siap fotonya.

    ReplyDelete
  3. Orkid tebu tu...ada petua lain nak berbunga...caranya dgn meletakkan kerang hidup. Jika pokok sebesar tu dlm 300g, tapi kena tahan lah dengan baunya dan kena sembur racun semut. InsyaAllah akan berbunga. Saya tanam dlm tempoh 3 tahun terus berbunga dan ia berbunga setiap tahun.

    ReplyDelete