Monday, July 9, 2018

MUNGKINKAH CERITA LAMA AKAN BERULANG?


1. Dua hari lagi sesi pemilihan pegawai pengurusan KFA akan berlangsung. Nanti Jawatankuasa atau exco baru akan dipilih dalam kalangan anggota gabungan serta individu yang menawarkan diri. Dan dengan anggota rxco dan eksekutif baru ini nanti dapatlah KFA memasuki episod baru yang lebih meyakinkan. KFA harus belajar dari kemelut yang berlaku sebelum ini yang mewajarkan mereka yang terlibat tidak lagi dibiar berada dalam posisi yang dulu yang mengakibatkan beberapa inar dan kemelut dalam pengurusan badan itu.

2. Biarlah orang yang benar-benar ikhlas dan tahu buat kerja sahaja yang dipilih mentadbir. Jika setakat menjadi penumpang dan pak turut sahaja, tidak berbaloi dalam era bolasepak yang sangat mencabar ini. Orang-orang yang seperti beberapa exco atau jawatankuasa yang lalu biarkan berlalu pergi. Gantikan dengan yang baru.

3. Penangan paling buruk bagi KFA tentulah kegagalan memasuki kejohanan AFC. Gagal bukan sebab pasukan Helang Merah tidak layak tetapi akibat pegawai yang diletakkan untuk perkara tersebut tidak tahu buat kerja. Tegasnya hanyalah terima elaun atau gaji buta. Perkara yang sepatutnya dibuat, tidak dilaksanakan. Sudahnya KFA dan peminat tegar yang menanggung akibat. Biarlah perkara ini tidak berulang dan untuk tujuan tidak berulang itu pilihlah pegawai yang tahu buat kerja.

4. KFA masih tidak mahu belajar dari kesilapan seperti itu. Tak sampai sebulan selepas kegagalan di AFC, di hantar pula pegawai yang tidak sepatutnya menghadiri taklimat suatu liga di FAM. Dan selepas itu liga tersebut menyisihkan KFA kerana pegawai terbabit tidak mendedahkan butir-butir taklimat tersebut untuk perhatian pegawai di KFA dan tiada pula format susulan dibuat mengakibatkan KFA tidak layak mengambil bahagian di peringkat tersebut. Jadi orang sebegini tentulah tidak patut dilantik lagi yang akibatnya dirasai di peringkat bawah.

5. Lihat pula beberapa jawatankuasa yang dibentuk. Pengerusinya tentulah dilantik dalam kalangan ahli exco atau ahli eksekutif. Tetapi jika pengerusi sekalipun tidak pernah hadir mesyuarat, apalah gunanya. Timbalan yang diharap dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah pula bacul dan menjadi pak turut sahaja hingga hendak mengadakan mesyuarat jawatankuasa pun tidak boleh memberi kata putus dan mengalah kepada orang yang lebih bawah daripadanya. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Jawatankuasa Pengadil KFA bagi sessi yang lalu. Sudahnya kita ketandusan pengadil peringkat kebangsaan dan juga negeri. Kalau setakat cakap sahaja pandai, baik duduk rumah main dengan cucu.


5. Yang nampak bergaya sedikit adalah Jawatankuasa Pertandingan. Mungkin sebab ia dikendali oleh pegawai-pegawai yang berpengalaman bukan sahaja di peringkat negeri malah hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, menjadikan jawatankuasa ini benar-benar berfungsi. Tetapi apakan daya kerana itu bergantung kepada kelulusan dan peruntukan daripada pihak yang lebih atas, aktiviti dan program mereka sangat terhad.

6. Jika dilihat dari senarai watak-watak yang menawarkan diri, mungkin menjadi tandatanya. Yang pengulas sukan TV pun hendak bertanding, untuk apa sebenarnya. Beliau sudah cukup glamor dan apa pula sumbangnan yang boleh diberikan jika saban hari penuh dengan tugas utamanya sedangkan KFA hanyalah akan menjadi sarapan paginya sahaja. Begitu juga dengan pegawai-pegawai dari MSN. Untuk apa lagi mahu duduk dalam barisan eksekutif KFA sedangkan anda semua mempunyai tugas sukan-sukan yang lain lagi yang perlu diberi tumpuan.

7. Entahlah apa akan jadi dengan nasib KFA. Nanti cerita lama akan berulang dan kita tetap di takuk itu juga. Kita lihatlah nanti. ADIOS!

No comments:

Post a Comment