Saturday, August 12, 2017

PEMIMPIN BAK KETAM, MANALAH BETUL JALANNYA


Foto di atas adalah pemandangan dalam pejabat KFA ketika pasukan Hijau-Kuning menjadi juara 3 dalam Liga Malaysia suatu ketika dahulu. Pada waktu itu saya kerap berada di pehabat KFA atas beberapa sebab yang tidak perlu saya terangkan lagi kerana pada waktu tersebut saya merupakan salah seorang Ahli Majlis KFA dan juga salah seorang AJK Pengadil. Walaupun pada ketika itu bolasepak negara khasnya di Kedah belum profesional sepenuhnya, kita dapat menjalankan tugas dengan baik dan memberi impak yang memuaskan kepada bolasepak Kedah.

Hari ini bolasepak telah memasuki era pro sepenuhnya dan mereka yang terlibat dibayar gaji oleh persatuan-persatuan bolasepak negeri atau kelab. Begitu juga para pegawainya juga adalah dipercayai menjalankan tugas secara pro juga. Walau bagaimanapun masih terdapat para pegawai yang tidak bertugas sepenuh masa di KFA, lebih-lebih lagi yang menduduki kerusi Exco dan yang lebih atas. Mereka ini terdiri dari individu dalam kalangan ahli politik dan ahli perniagaan sudah tentu mereka tidak makan gaji dengan KFA.

KFA sekarang bukan seperti dahulu lagi. Selain dibanjiri dengan pegawai-pegawai dalam kalangan orang politik, ada juga antara mereka dalam kalangan yang berkepentingan dan mahu mengambil kesempatan tetapi tidak tahu bertindak. Ini menjadikan persatuan bolasepak menjadi satu gelanggang orang-orang yang mahu tunjuk hebat.

Beberapa contoh boleh dijadikan alasan mengapa dikatakan begitu. Lihat sahaja Jawatankuasa Pengadil KFA. Pengerusinya Datuk Othman Aziz. Sepanjang saya berada dalam jawatankuasa tersebut sejak 2015 beliau tidak pernah hadir bermesyuarat. Nama saja pengerusi, semua dikendalikan Timbalannya Khamal Idris Ali. Dan khamal pula hanyalah mengendalikan mesyuarat tetapi tiada kata pemutus yang boleh dibuat.

Individu yang paling berkuasa dalam Jawatankuasa Pengadil KFA adalah Pegawai Pembangunan Pengadil dan beliau yang boleh memberi kata putus dalam serba serbi mengenai pengadilan di Kedah. Hitam katanya, hitamlah. Putih katanya, putihlah. Khamal yang jadi Timbalan Pengerusi juga berada di bawah dan mengikut telunjuknya. Biasanya Jawatankuasa Pengadil dan PPP adalah dua entiti yang berlainan.

JK merancang dan menyusun program pangadilan manakala PPP adalah entiti yang berada di samping JK yang menerima arahan dan memberi perancangan pembangunan untuk diluluskan JK. Tetapai apa yangberlaku di KFA adalah sebaliknya. Jika PPP keluar kawasan atau sibuk dan sebagainya, Timbalan Pengerusi tidak beranai mengadakan perjumpaan ataupun mesyuarat. Itulah yang menyebabakan sepanjang tahun 2016 langsung tidak ada mesyuarat jawatankuasa. Pengerusi memang seperti biasa, tidak pernah hadir.

Setiausaha Kehormat pula, oleh kerana dia juga orang politik dan menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri, sibuknya tentulah lebih. Dan dalam bidang pentadbiran dan pengadilan ini diserqh bulat-bulat kepada orang kepercayaannya. Itulah yang terjadi dalam Jawatankuasa Pengadil KFA ini. Oleh kerana PPP adalah kawan baiknya dan menjadi orang harapannya, semua yang PPP ini laporkan terus dipercayai dan tak perlu disiasat lagi. Padahal dia tidak sedar dia dipergunakan.

Itulah padahnya jika kita terlalu mempercayai orang. Ibarat ketam, dia ajalan tidak betul, kemudian mahu orang lain berjalan betul.

No comments:

Post a Comment