Saturday, August 26, 2017

HADIAH 60 TAHUN MERDEKA



Pantai Murni adalah sebuah tempat terpencil di negeri Kedah yang menjadi kawasan laluan dari Alor Setar ke Sungai Petani andainya kita memilih jalan tepi laut dari Kuala Kedah. Biasanya ia menjadi tempat tumpuan muda mudi Melayu yang dahagakan suasana santai dan berhibur terutama di hari-hari cuti. Lantaran itu kawasan Pantai Murni ini penuh sesak dengan anak-anak muda terutama pada waktu petang membawa ke malam.

Pada asalnya pantai ini bukanlah sebuah pantai yang menarik dan cantik. Ianya berlumpur dan tiada kawasan berair yang boleh orang mandi-manda atau berekreasi. Ianya hanyalah satu tempat tumpuan akibat tiada tempat lain yang lebih menarik di daerah Yan, Kedah ini.


Jadi langkah kerajaan negeri menambahbaik kawasan perkelahan ini (kalaulah hendak dipanggil begitu), adalah satu langkah yang baik. Dan kesediaan kerajaan negeri menghabiskan 2.63 juta ringgit adalah jauh lebih dari memadai dan kita sangat berterimakasih. Malah rata-rata dalam kalangan masyarakat tempatan sangat menyanjung tinggi usaha tersebut.

Persoalannya sekarang penambahbaikan itu untuk siapa sehingga mengadaikan terus bahasa kebangsaan? Tidak ada langsung penggunaan bahasa Melayu di kawasan tersebut. Berapa orangkah orang luar yang datang menjengah tempat itu dalam setahun? Rata-rata pengunjungnya adalah 99% orang Melayu dan penduduknya juga 99.5% adalah Melayu. Jadi penggunaan bahasa Inggeris itu untuk siapa sebenarnya? WATERFRONT ini untuk siapa sebenarnya?


Dalam usaha kita mahu memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa dunia dan bahasa ilmu di negara tercinta ini sesudah 60 tahun merdeka, kerajaan negeri Kedah mengambil langkah berundur ke belakang. Apa masalahnya jika digunakan bahasa kita sendiri? Sehinggakan tempat kanak-kanak bermain pun kita namakan "PLAYGROUND". Untuk kanak-kanak manakah kawasan permainan ini?


Hendak makan kita ada 'FOOD COURT'. Untuk siapa? Inilah hadiah kerajaan untuk kita sempena 60 tahun merdeka. Apa lagi yang dapat dikatakan selain bersyukur kerana mujurlah hanya bahasa sahaja yang tergadai bukannya bangsa.


No comments: