Minggu ini
adalah minggu yang teramat sibuk dengan adanya Pertandingan Pidato Antarbangsa
Bahasa Melayu. Dengar cerita para peserta datang dari seluruh pelosok dunia
dari 6 benua dan lebih 75 negara. Begitu gah bahasa Melayu di mata dunia. Dikatakan
lebih 300 juta manusia menggunakannya dan merupakan bahasa keempat dari semua
bahasa di dunia. Setiap tahun kononnya semakin bertambah penggunanya dengan
diajar di beberapa universiti terkenal di dunia.
Dan pertandingan pidato ini merupakan
acara tahunan dan kononnya sangat dinanti-nantikan oleh ramai penduduk dunia.
Tambahan pula kali ini diperkenalkan pula kategori baru iaitu kategori pelajar
asing di Malaysia. Ini dilihat sebagai menambahkan lagi rencah pertandingan
selain dari kategori antarabangsa dan kategori nusantara.
Begitulah
hebatnya bahasa Melayu di mata orang luar khasnya para peserta pidato tersebut.
Dan dalam minggu ini pastinya hal ini menjadi berita penting di media dan pasti
juga berlambak pujian dan penghargaan diberikan kepada perserta dari luar
negera ini. Para pemimpin juga tidak ketinggalan memuji dan memberi galakan dan
penghargaan atas penganjuran dan penyertaan mereka.
Malangnya
kita sendiri tidak endah sedikitpun tentang bahasa kebangsaan kita itu. Kita
tidak peduli dan tidak ambil kisah samada ia menjadi bahasa harian kita ataupun
tidak. Yang kita tahu, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda masing-masing
dituturkan seharian. Kalau adapun yang bertutur dengan bahasa Melayu, hanyalah
sebahagian orang-orang Melayu. Itupun Melayu yang duduk di desa dan kampung
yang kurang pendedahan dengan bahasa Inggeris.
Para
pemimpin yang memuja dan memuji tadi juga turut melupakan bahasa Melayu. Bahasa
kebangsaan amat jarang digunakan dalam majlis-majlis rasmi apatah lagi ketika
menyambut tetamu dari negara asing. Mereka lebih bertenaga menggunakan bahasa
Inggeris dari bahasa Melayu.
Media
elektronik demikian juga, lebih mengutamakan bahasa lain dari bahasa Melayu
biarpun dalam siaran Berita dan Buletin Utama. Setiap kali memasuki slot
perniagaan, bahasa Melayu tidak kedengaran lagi. Bahasa Inggeris dan bahasa
lain mula mengambil tempat seolah-olah bahasa Melayu bukanlah bahasa
perniagaan.
Kita seronok
menganjurkan pertandingan begitu rupa, bukan berminat sangat mempromosi dan
memperkembangkan bahasa Melayu. Kita berpura-pura cintakannya tetapi tidak
pernah berusaha memartabatkannya. PURA-PURALAH ITU NAMANYA.
No comments:
Post a Comment