Friday, July 31, 2015

CERITA LAMA TAPI IDEA TETAP SAMA



Esok kami akan bermesyuarat di sini. Sesudah masuk kembali dalm AJK, ini kali kedua datang bermesyuarat. Entah apa yang hendak dibincangkan masih tidak jelas tetapi satu perkara yang pasti adalah tentang senarai muktamad pengadil bolasepak negeri Kedah bagi tahun 2015 ini. Dan pada pertengahan bulan Ogos ini akan dilaksanakan Ujian Kecergasan untuk mereka bagi melayakkan diri mengadili pertandingan-pertandingan KFA.

Dahulu kami juga melalui saat-saat yang begitu. Tetapi aku lebih beruntung kerana ketika yang sama duduk sebagai Ahli Majlis dan AJK Pengadil KFA. Satu kedudukan yang unik sambil pada masa yang sama sering dilantik bertugas samada di KFA atau mana-mana stadium seperti arahan FAM.

Ketika kali pertama mewakili KFA ke Wisma FAM bersama Khalid Ariffin (Allaahyarham), Hamzah Mohamad (Allahyarham), G. Devudu dan Ismail Bakar, kami terkedu dan malu untuk mengeluarkan barang-barang dari dalam beg. Apa tidaknya, melihatkan rakan-rakan dari negeri lain terutama dari Selangor dan negeri-negeri Pantai Timur berdiri segak pada perjumpaan pertama dengan para pegawai FAM. Mereka lengkap dengan pakaian seragam track top dan track bottom bersama kasut berjenama. Rupanya mereka dibekalkan oleh FA negeri mereka sebelum datang. Termasuklah beg dan peralatan yang lain.

Kami berlima hanya berpakaian lama yang kami gunakan di Kedah. Tidak terkata malunya kami yang begitu lusuh dan buruk. Sudahlah tidak seragam seperti mereka, tiada beg khas yang kami bawa. Pakaian seragam pengadil juga masih jenis kain, bukan t-shirt hitam seperti mereka. Ketika itu FAM belum memberi apa-apa. Mereka masih boleh berharap kepada FA negeri masing-masing. Alangkah segan dan malunya kami pada waktu itu.

Jadi ketika mesyuarat nanti diharap ada ahli yang membangkitkan perkara ini. Bukannya berapa orang pun yang akan pergi ke FAM. Biarlah mereka pergi dan boleh berbangga mewakili negeri Kedah bukannya membawa hal masing-masing. Kalau dulu KFA memberi alasan mereka akan diberi pakaian oleh FAM jadi FA negeri bolehlah lepas tangan. Diharap hal ini tidak berulang.

Mereka juga patut dibekalkan dengan sedikit wang tambang seperti pengadil dari negeri lain. Kalau FAM juga membayarnya, biarlah sebagai rezeki tambahan untuk mereka. Kita harus ingat bahawa mereka mewakili FA negeri Kedah. Elok mereka, eloklah negeri Kedah. 

Selamat bermesyuarat.

No comments:

Post a Comment