Soalan yang amat mudah. Siapa yang patut dipersalahkan setiap kali berlaku kemalangan jalanraya. Tidak kira kemalangan biasa atau kemalangan yang membawa maut. Kemalangan jalanraya berlaku di mana-mana. Lebih-lebih lagi di musim perayaan tidak kira Hariraya untuk umat Islam, Tahun Baru Cina ataupun semasa perayaan Deepavali. Malah ketika menuyambut cuti persekolahan juga kerap berlaku kemalangan jalanraya.
Setiap kali berlaku kemalangan, masing-masing menuding jari. Ada saja kumpulan atau orang yang menjadi kambing hitam dipersalahkan sebagai penyebab berlakunya tragedi. sehinggakan besi pengadang jalan minta digantikan kononnya kalau tidak ada besi itu di sisi jalan, tentu mangsa tidak menemui ajal. Begitu pantas menghukum dan membuat rumusan.
Kemudian ada pula yang memberi cadangan agar besi pengadang jalan itu dibuang dan digantikan dengan pengadang konkrit kononnya boleh mencegah kemalangan maut. Entah di mana diambil rasionalnya kononnya pengadang konkrit tidak menusuk mangsa tetapi hanya memberi hentakan ke badan mangsa. Betulkah boleh menghindarkan kemalangan maut? Betulkah pengadang besi itu memang bersalah.
Tetapi bila kereta terbabas dan melanggar pokok dan menyebabkan kematian, adakah pokok pula hendak dijadikan kambing hitam? Mungkin ada cadangan selepas ini supaya dibuang pokok-pokok di tepi jalan agar perjalanan tidak membimbangkan pengguna jalanraya. Entah ini pula akan dicadangkan; buang pokok di tepi jalan.
Itulah realitinya di Malaysia. Pemandu tetap tidak bersalah biarpun 90 peratus kemalangan adalah akibat kecuaian pemandu sendiri.Faktor lain seperti keadaan jalanraya hanyalah 10 peratus. Pemandu selamat, tidak melakukan kesalahan walaupun secara terang-terang merekalah yang sebenarnya bersalah.
Memandu secara melulu dan laju tanpa memikirkan orang lain menjadi punca utama sebenarnya. Itu tidak difokuskan. Kebanyakan kemalangan berpunca dari sikap pemandu sendiri, tiada kena mengena dengan pengadang jalan atau pokok-pokok di tepi jalan. Bila terlalu laju tentulah tidak dapat mengawal pemanduan dengan pantas. Silap sedikit sahaja akan membawa padah.
Itulah yang sebanrnya. lantas timbullah kata-kata Hati-hati di Jalanraya, Biar lambat Asal Selamat dan berbagai-bagai lagi.
Selamat memandu!
No comments:
Post a Comment