Thursday, May 28, 2015

TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG


Stadium Darulaman megah berdiri. Ia sudah berubah, tidak seperti dahulu yang amat mudah menyeludup masuk. dahulu ketika masih kanak-kanak, selalu juga menyelinap masuk ke dalam stadium melalui pagar belakang. Ketika itu kawasannya tidak terjaga seperti sekarang. pokok besar-besar keliling stadium. kadang-kadang kalau tidak menyelinap masuk, kami memanjat pokok dan menonton perlawanan dari atas pokok-pokok itu. Ramai yang berbuat begitu.

Sejak stadium berwajah baru, dan saya sendiri sudah melepasi zaman remaja, siapa menyangka masih lagi berpeluang memasuki stadium indah ini. Kali ini masuk dengan penuh hormat sebagai salah seorang pegawai persatuan bolasepak itu. Selain menjadi salah seorang Ahli Majlis, saya juga sering bertugas mengadili perlawanan-perlawanan tertentu kebetulan saya juga salah seorang Pengadil Kebangsaan pada masa itu. Dan kebanyakan masa dihabiskan dengan menyusun jadual-jadual tugas pengadil KFA kerana kebetulan saya juga adalah salah seorang ahli dalam Jawatankuasa Pengadil. Kadang-kadang sampai lewat malam bersama seorang dua lagi AJK berbuat demikian.

Saya masih tidak lupa beberapa malam saya habiskan dengan membawa anak-anak yang masih kecil ke Sekolah Tengku Anum, Jitra, bertugas menyusun jadual pengadil bertugas untuk satu pertandingan peringkat negeri di Kubang Pasu. Dan selepas menyhiapka jadual tersebut saya terpaksa bergegas pulang kerana esoknya ada anak-anak yang bersekolah. Itulah satunya peristiwa yang masih kental dalam ingatan.

Tetapi itu hanya kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan. Lama kelamaan khidmat saya itu tidak diperlukan lagi. Kerana beberapa faktor, saya terus disisihkan dari tugas dan senarai jawatankuasa dan Ahli Majlis KFA. 

Saya akhirnya dilupakan terus sesudah berhenti dari tugas pengadil kerana faktor usia. Dan yang lebih memeritkan saya dilucutkan semua tugas dan jawatan kerana membuat tuntutan perbelanjaan yang sepatutnya diberikan kepada saya. Oleh kerana saya mempertikaikan beberapa perkara, saya diberhentikan dan dilupakan terus.

Sekarang saya teringat kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku itu. Akan saya ceritakan lagi selepas ini.

No comments:

Post a Comment