Akhir-akhir ini tidak ada perkataan lain yang populer di kalangan para pemimpin UMNO selain dari ‘perubahan’. Semua orang bercakap mengenai perubahan. Bermula dari peringkat atas hinggalah ke peringkat akar umbi, semua bercakap tentang perlunya para pemimpin membuat perubahan. Tetapi sehingga kini tidak ada yang berani secara khusus menyatakan bentuk perubahan yang perlu dibuat.
Golongan muda yang paling lantang bercakap mengenai perlunya perubahan. Khairi Jamaluddin pernah membuka gelanggang meyuarakan perkara demikian. Mukrij Mahathir mahu perubahan kepimpinan dari semua peringkat. Muhyiddin Yasin mahukan perubahan dari segi penampilan pemimpin. Najib pula menyuarakan para pemimpin semua peringkat agar tidak sombong dan mengamalkan penampilan sederhana.
Tetapi cuba kita lihat Kamus Dewan tentang makna perubahan. Jika diteliti, maksud perubahan menurut kamus tersebut ialah perihal berubah, peralihan, pertukaran. Jika maksud tersebut diambil kira dan difahami, kehendak mukrij adalah paling tepat. Berubah pada semua peringkat. Gantikan pemimpin yang sedia ada dengan pemimpin yang baru.
Ada pemimpin yang sanggup berbuat begitu? Setakat ini hanya ada dua orang sahaja yang berani. Itupun setelah berdepan dengan desakan demi desakan. Abdullah akan melepaskan jawatannya pada bulan Mac. Dah tentu? Rafidah pula tiga bulan selepas itu. Betulkah? Pemimpin lain belum kedengaran lagi. Malah ramai yang dengarnya masih hendak bertahan.
Rahim Thamby Chik masih hendak memimpin padahal beliau pernah ditolak dahulu. Muhammad Mat Taib masih hendak merebut jawatan padahal semua orang tahu beliau terang-terang terlibat dengan wang RM2 juta di Australia dahulu. Hanya terlepas atas sebab-sebab teknikal sahaja. Mana tahu, tiba-tiba orang-orang ini yang terpilih nanti. Berubahkah UMNO kalau begitu jadinya?
Yang paling baik usah bercakap tentang perubahan dan harus berubah. Kenapa mesti heboh-heboh bersuara? Barangkali hanya taktik memancing undi untuk pemilihan Mac nanti. Biar nampak populer sedikit bila berani bercakap tentang perubahan. Biar orang nampak serius. Padahal orang yang bercakap mengenai perubahan tersebut tidak juga berubah. Masih juga dengan perangai lama dan penampilan yang serupa.
ADUN Bota sudah pun berubah.Tanpa bercakap tentang perubahan, tiba-tiba beliau berubah tempat di dalam dewan. Perubahan begitukah yang dikehendaki?
Lihat sahaja pemimpin PAS dan PKR, DAP dalam Pakatan Rakyat. Pemimpin-pemimpin ini sudah lama berubah dan sentiasa mendekati rakyat. Mereka sentiasa merendah diri dengan turun sedikit ke peringkat bawah dan mendengar keluh-kesah rakyat. Tidak pula mereka heboh panggil wartawan buat sidang akhbar. Tidak hairanlah Pakatan Rakyat dapat mengungguli PRU12 dan 2 PRK baru-baru ini.
Jangan pula kita terkejut jika PRU13 nanti tidak menjanjikan apa-apa kepada BN. Malah sebaliknya Pakatan Rakyat yang lebih cemerlang.
No comments:
Post a Comment