Kebajikan adalah satu aktiviti manusia mencapai tahap insan berhemah. Dengan kebajikan, manusia mendambakan diri di sisi Tuhan. Sekurang-kurangnya dengan kebajikan yang diciptakan, menjadi bekalan di akhirat kelak.
Saya terserempak dengan dua situasi yang berkonsepkan kebajikan yang dihoskan oleh dua pemuda yang berlainan bangsa. Seorang pemuda Melayu dan seorang pemuda Cina.
Pemuda Melayu segak dengan berbaju lengan panjang dan berketayap, berdiri di sisi sebuah tabung derma yang jelas tertulis Derma Pembinaan Masjid berhampiran sebuah bank yang ramai pengunjung. Pemuda tersebut berdiri di tepi tabung tersebut dengan harapan orang-orang yang keluar dari bank tersebut akan menderma. Maklumlah, keluar dari bank, tentu banyak duit. Bila banyak duit tentu tidak lokek menderma.
Tetapi saya lihat orang yang keluar dari bank tersebut langsung tidak memandang tabung derma tersebut malah seolah-olah tidak perasan pemuda itu berdiri di situ. Semua yang keluar dari bank berlalu begitu sahaja. Tidak ada yang menderma.
Pemuda tersebut berdiri di situ mengharapkan ada orang akan berbuat kebajikan. Tak tahulah berapa lama ia harus berdiri di situ. Macam mana dengan makan dan minum beliau? Dan yang penting, adakah dia pun membuat kebajikan berdiri di situ secara percuma tanpa sebarang upah.
Berhampiran dengan kawasan itu lain pula situasinya. Seorang pemuda Cina siap dengan pakaian seperti seorang badut, juga berkonsepkan kebajikan. Berlainan dari pemuda Melayu tadi, yang ini dia sendiri yang berbuat kebajikan dengan menghiburkan orang ramai yang lalu lalang. Dia menghiburkan kanak-kanak dengan menghadiahkan belon kepada mereka.
Dalam waktu yang singkat sahaja, ramai orang tertumpu kepada pemuda Cina itu. Nampaknya betul-betul dia berbuat kebajikan. Tak tahu pula dia lakukan secara percuma atau diupah oleh sesiapa tapi yang nyata dia berjaya menarik perhatian ramai.
Beberapa pengajaran yang kita dapat dari kedua-dua situasi tadi:
1) Berbuat kebajikan adalah dituntut.
2) Menunggu orang lalu lalang menderma seolah-olah meminta sedekah sedangkan Islam tidak menggalakkan kita meminta sedekah.
3) Bukan Islam pun berbuat kebajikan tetapi dengan cara mereka.
4) Orang lebih suka mendapat sesuatu daripada memberi sesuatu.
Mari sama-sama kita renungkan.
No comments:
Post a Comment