Sunday, August 24, 2008

MALANGNYA BAHASA MELAYU DI BUMI MELAYU

Sudah di ambang kemerdekaan pula kita. Dan usia negara kita ini sudah masuk ke tahun ke 51. Sudah dewasa benar kalau seorang manusia. Kita menjadi cukup matang dengan usia begitu. Tapi negara kita tidak pernah selesai dengan masalah. Macam-macam masalah. Sudah 51 tahun merdeka, tapi Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Rasmi negara semakin tidak dihormati. Termaktub dalam perlembagaan tetapi sekadar lambang bahawa itu bahasa kita. Yang sebenarnya Bahasa Melayu telah sekian lama terpinggir. Hanya orang-orang kampung dan desa sahaja yang tidak lupa bahasanya.



Kita jangan salahkan orang lain bila kerajaan Pulau Pinang mahu menamakan jalan-jalan di Pulau Pinang dengan Bahasa Cina. Alasannya orang-orang Cina tidak faham nama jalan dalam Bahasa Malaysia. Mereka rakyat negara mana? Kita usah kecil hati bila nama-nama bangunan tidak memakai Bahasa Melayu langsung. Kalau ada pun hanya tersangat kercil di bawah nama dalam Bahasa Inggeris dan Cina yang amat besar. Salahkan diri kita sendiri. Kita bercakap tentang hendak memrtabatkan Bahasa Melayu, tetapi kita tidak mahu berbahasa Melayu.


Semasa isu ini berbangkit, semua pemimpin marah dan memberi pendapat yang berbagai-bagai. Ada yang tumpang semangkuk memberi pendapat untuk meraih populariti. Tetapi di masa yang sama, mereka menggunakan bahasa lain apabila mengadakan sidang akhbar. Tidak menggunakan Bahasa Melayu yang diperjuangkan itu.



Selama ini tidak siapa sedar bahawa malapetaka yang menimpa Bahasa Melayu disebabkan oleh orang-orang Melayu sendiri. Sekarang ini orang Melayu sendiri malu hendak menggunakannya seperti kata seorang bintang filem satu ketika dulu; "I feel like stupid speak in Malay". Sampai begitu sekali hinanya Bahasa Melayu. Berapa ramai pemimpin Melayu suka berbahasa Inggeris? Dalam satu persidangan Perkhidmatan Awam di ibu negara beberapa bulan dulu, YAB Dato' Seri Najib sendiri berucap dalam Ucapan Rasmi menggunakan Bahasa Inggeris, sedangkan yang mendengar adalah rakyat Malaysia keturunan Melayu.



Kadang-kadang dalam sidang akhbar di mana-mana, contohnya sekarang ini di Permatang Pauh, para pemimpin negara yang banyak membuat kenyataan menggunakan Bahasa Inggeris berbanding dengan orang lain, Dalam sidang akhbarnya semalam, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid bertutur dalam Bahasa Inggeris sedangkan khalayak adalah rakyat Malaysia. YAB Dato' seri Abdullah sendiri pun menggunakan Bahasa Inggeris ketika mengumumkan penurunan harga minyak semalam. Jadi buat apa kita berkata dan menyeru untuk memartabatkan Bahasa Melayu kalau kita sendiri tidak mahu menggunakan Bahasa Melayu?



Cuba kita lihat nama-nama badan berkanun yang menjadi nadi kemajuan negara. Ada banyak nama seperti FAMA, RISDA, FELDA, MADA, KADA dan macam-macam lagi. Semuanya dari Bahasa Inggeris. Untuk apa itu semua? Nak bagi siapa faham? Orang luar? Inilah penyakitnya. Sikit-sikit nak ambil hati orang luar. Buatlah penjenamaan semula ke arah memartabatkan Bahasa Melayu. Jangan buat penjenanaam semula dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris macam Bank Pertanian Malaysia menjadi Agro Bank. Sedangkan bank tersebut adalah bank untuk petani-petani dan orang-orang kampung.

Kalau rangkaian TV mahu membantu, setiap temubual dengan orang ramai, jangan siarkan temubual dengan mana-mana individu yang tidak mahu menggunakan Bahasa Melayu. Jangan siarkan. Hanya layan mereka yang bertutur menggunakan Bahasa Melayu.



Sekarang ini, menonton filem-filem Melayu dan drama Melayu dah nak termuntah jadinya. Setiap ayat dialog menggunakan I dan You dan You all. Apa ini? bukan nak membantu Bahasa Melayu tapi menolong menjahanamkan Bahasa Melayu.



Yang bukan Melayu pula tidak mahu belajar menggunakan Bahasa Melayu dalam aktiviti harian. Walaupun ada tokoh-tokoh yang boleh dipuji seperti Prof. Khoo Kay Kim, Tan Seri Lee Lam Thye, En Tan Seng Giaw, Datuk Ong Tee Keat, Uthaya Shanker SB (dan beberapa nama lain), tetapi tidak menggambarkan keadaan sebenar. Sebenarnya ramai lagi yang tidak pernah ambil peduli apa akan jadi kepada Bahasa Melayu, Bahasa Rasmi Negara ini.



Jadi kita jangan salahkan orang lain. Salah kita sendiri.



Dan Bahasa Melayu menjadi terpinggir di negaranya sendiri.

1 comment:

  1. Do you think Bahasa Malaysia can be understood by international business world? It's all about usefulness duh!

    ReplyDelete