Wednesday, October 28, 2015

KERENAH BAS EKSPRES



Sekali pandang dan sepintas lalu, Nampak mudah. Sekilas fikir memang senang. Jika tidak berlaku apa-apa di jalanan, semua orang gembira. Jika perjalanan lancar dan semua tiba ke destinasi masing-masing, semua pihak merasa senang. Apa tidaknya, perjalanan menjadi singkat dan menjimatkan.
Itulah rumusan yang dapat disimpulkan. Begitulah pendapat orang yang mengambil mudah dan tidak berfikir panjang tentang masalah yang mungkin timbul dan juga mengambil mudah tentang keselamatan mereka.

Sebenarnya kegiatan para pemandu bas ekspres menukar penumpang sesama mereka di pertengahan perjalanan sudah lama berlaku. Perbuatan mereka memang diketahui ramai tetapi tiada siapa yang ambil kisah. Tidak ada yang peduli kerana kejadian-kejadian buruk belum terjadi. Pihak SPAD memang sudah lama maklum perkara ini tetapi biasalah, masih menunggu kalau-kalau ada laporan. Bila ada laporan barulah hendak bertindak.

Sebenarnya kegiatan menukar penumpang antara bas-bas ekspres di peretengahan jalan ini sangat berbahaya dan bakal mengundang berbagai masalah. Walaupun sudah lama berlaku, tiada siapa yang ambil tahu. Pertukaran ini dibuat di tempat-tempat yang terpencil dan tidak ramai orang. Selalunya di mana-mana Hentian Sebelah yang jarang orang singgah. Biasanya di Hentian Sebelah Gua Tempurung kerana tempat tersebut tersembunyi sedikit.


Saya sendiri pernah alaminya sewaktu dalam perjalanan ke Kelang beberapa minggu lalu. Di Hentian Sebelah Gua Tempurung saya dan beberapa orang lagi yang hendak ke Shah Alam dan Kelang diarahkan berpindah ke sebuah bas yang lain. Pemandu itu member alasan basnya tidak ke tempat-tempat itu sebaliknya hanya terus ke Puduraya. Dan bas yang mengambil saya dan yang lain itu pula tidak ke Puduraya. Jadi mana-mana penbumpangnya yang hendak ke Puduraya diarahkan menaiki bas yang menurunkan kami.

Mulanya saya tidak mahu berpindah bas tetapi bila pemandu tersebut berulangkali menyebut tidak pergi ke Kelang, bimbang pula saya nanti bila sampai di Puduraya bagaimana pula saya hendak ke Kelang. Hal ini pernah terjadi kepada menantu saya beberapa bulan yang lalu. Dia diberikan RM10 untuk mencari kenderaan lain dari Puduraya ke Kelang.

Bayangkanlah kalau berlaku kemalangan atau petaka di pertengahan jalan, bagaimana orang akan tahu tentang kita? Masa menghantar naik bas, saudara mara melihat kita naik bas lain tetapi masa kemalangan kita dalam bas yang lain. Tentu menimbulkan kekeliruan. Kemudian bagaiamana pula dari aspek perundangan ntuk tuntutan insurans dan sebagainya? Syarikat insurans tentulah mengambil kesempatan dalam soal ini. Kemalangan dengan bas lain sedang tiket yang dipegang dari bas yang lain.

Itupun jika masih boleh dikenali. Apa akan terjadi pula jika kita tidak dapat dikenali langsung. Terbakar bersama kenderaan misalnya? Minta dijauhkan!


No comments: