Thursday, August 13, 2015

DALAM BIDANG APAPUN, FAVORATISMA TETAP ADA


1. 'Favoratisma' adalah satu penyakit walaupun tidak ada yang menyedarinya. Penyakit ini membuatkan perasaan kita hanya menyukai sesuatu atau seseorang biar secacat manapun rupa dan tindakannya. Apa saja tentang perkara atau seseorang itu dianggap baik walaupun hakikatnya tidak seberapa. Nilaikanlah diri dan hati kita sendiri, ada atau tidak perasaan mahupun penyakit ini pada diri kita. Sudah semestinya kita tidak sedar kewujudannya.

2. Dalam bolasepak juga perkara ini tidak terlepas dari menerima tempiasnya. Biarpun dalam kalangan pemain mahupun dalam kalangan pengadil-pengadil, favoratisma timbul dalam kalangan para pegawai yang mengendalikan bidang-bidang tersebut.

3. Sebagai insan yang terlibat secara langsung di bidang pengadilan bolasepak, sangat saya sedar bahawa dalam kalangan ramai pengadil, ada beberapa orang sangat disukai dan difokuskan. Dan orang inilah yang akan diusahakan untuk ';naik' dan pergi lebih jauh. Orang lain hanyalah pelengkap dan membuang masa.

4. Saya masih ingat situasi pada tahun-tahun 86 - 90, ketika Persatuan Bolasepak Kedah baru hendak melonjak naik sebagai kuasa baru sukan nombor satu pada waktu itu, saya sendiri adalah insan yang menjadi fokus utama untuk naik dan pergi lebih jauh. walaupun ketika itu bersama saya ada beberapa orang lagi yang dipilih menjadi pengadil FAM dari negeri Jelapang Padi ini. Biarpun ketika itu telah ada Khalid Ariffin dan Othman Abdullah, tetapi oleh kerana mereka telah berusia, saya berada di ranking nombor satu pada masa itu meninggalkan Ismail Bakar dan Devudu di belakang.

5. Tetapi, itulah, kita manusia hanya boleh merancang tetapi yang memberi hanyalah Allah Maha Kuasa. mungkin bukannya rezeki saya, biarpun berbagai kesempatan saya perolehi, namun beberapa kesilapan menyebabkan saya menemui kegagalan. Saya gagal mengawal diri sesudah menjadi 'favorate' untuk naik ke tahap yang lebih tinggi.

6. Kesilapan yang paling besar terjadi ketika satu taklimat FAM untuk pengadil KFA mengenai perubahan undang-undang baru pada tahun 1989 berkaitan penjaga gol. Kelalaian saya menyebabkan kaset video taklimat tersebut hilang dari simpanan dan Jawatankuasa Pengadil FAM pada waktu itu, Haji Zainal Abidin dan S. Katravale meletakkan kesalahan ke bahu saya kerana saya sahaja yang bertanggungjawab dalam pengurusan taklimat tersebut. Beberapa minggu selepas itu barulah kaset tersebut dijumpai tetapi sudah terlewat untuk mereka memaafkan saya.

7. Dan selepas kurang diendahkan selepas peristiwa itu, tahap kecergasan saya semakin menurun kerana sudah tawar hati. Lalu selepas itu beberapa kali pula saya gagal memikat hati para pegawai biarpun kecergasan adalah 'atas urat' sahaja. Akhirnya dalam ujian kecergasan yang lain, saya gagal terus. Dan selepas itu teruslah bekubur kerjaya saya itu.

8. Ada beberapa situasi yang lain yang meyakinkan saya bahawa sebenarnya sikap favoratisma inilah yang banyak mempengaruhi peningkatan kita dalam apa hal sekalaaipun tetapi tentulah tidak dapat saya ulaskan dalam ruang yang terhad ini.

No comments:

Post a Comment