Friday, January 30, 2009

KAMPUNGKU 2

Pulang ke kampung memang amat menyeronokkan. Sesudah lama tidak bertemu kawan-kawan dan saudara-mara, saya pulang sempena cuti Tahun Baru Cina dengan harapan dapat bertemu kembali dengan sahabat-sahabat saya yang dulu sepermainan susah dan senang.

Beberapa orang daripada mereka telah kembali ke rahmatullah, menerima panggilan Ilahi. Seorang sahabat sekarang sudah beberapa tahun menjadi bilal masjid di situ. Yang berkerja dengan kerajaan, ramai sudah bersara seperti saya juga. Seorang sahabat pula, bekas PPD Kota Setar, juga telah bersara tetapi menetap di kampung itu. Cikgu Khalid telah meninggal dunia.

Tetapi bukan itu persoalan yang hendak diperkatakan. Entri ini penting untuk kita renungkan dan memikirkan apa yang telah terjadi dengan masyarakat kita. Dan yang penting apa yang patut kita sama-sama lakukan untuk mengatasinya.

Kampung yang saya maksudkan letaknya dalam DUN Anak Bukit yang diwakili YB Datuk Amiruddin Hamzah, EXCO Kerajaan Negeri Kedah. Satu ketika tahun lepas telah saya utarakan perkara ini, tetapi bila saya pulang kali ini keadaannya tetap sama juga. Masyarakat kampung itu masih juga tidak berubah.

Orang kampung berpecah kepada puak-puak yang jika dibiarkan akan meletus jadi satu penyakit yang payah diubati. Semuanya bermula dengan kewujudan dua buah masjid iaitu masjid lama yang telah dibaiki dan diubahsuai dan masjid baru yang sedang digunakan secara rasmi.

Walaupun masjid lama hanya ‘berfungsi sebagai surau’ sahaja, tetapi ia menjadi pusat berkumpulnya jemaah yang menjadi penyokong PAS manakala masjid baru pula menjadi tumpuan penyokong UMNO. Pada hari Jumaat, jemaah dari masjid lama tidak kelihatan sangat di masjid baru. Dengar kabar mereka pergi bersembahyang Jumaat di Pantai Johor, Sungai Baru Tengah atau di Gunong Keriang.

Dengar kabar juga rupanya isu Imam mengambil upah RM3.00 satu waktu masih lagi kedengaran. Dalam entri terdahulu tahun lepas saya telah sebutkan dengan panjang lebar mengenai isu ini. Rupanya sehingga sekarang ia masih diguna-pakai.

Ada dakwaan bahawa Imam yang dilantik kerajaan terdahulu kekurangan ilmu, tetapi setakat yang saya tahu Imam tersebut adalah bekas ustaz yang tinggi ilmunya seperti orang lain juga.

Dan yang mempertikaikan kedudukan Imam ini pula kebanyakannya adalah jemaah dari masjid lama yang beberapa orang antara mereka saya kenal benar peribadi mereka luar dan dalam. Yang menghairankan saya kenapa perkara ini harus berlaku kerana dulunya kedua-dua pihak adalah sahabat handai belaka. Kerana perbezaan ideologi masyarakat kampung yang dulunya bersatu, sudah berpuak-puak.

1 comment:

paneh said...

Salam tuan haji,

Masa telah berputar kembali ke tempat yg sama.

Saya melihat situasi di kg tuan juga berlaku juga di n9. Dah lama tiada, tapi kembali berlaku.