Thursday, October 23, 2008

POLITIKUS PALING KAYA DI MALAYSIA

Jika trend saman menyaman oleh ahli-ahli politik di negara ini menjadi kenyataan, dalam sedikit waktu lagi seorang Ahli Parlimen DAP akan mencatat rekod politikus paling kaya di Malaysia. Belum ada lagi mana-mana ahli politik atau individu yang terlibat dengan politik boleh menjadi jutawan dalam masa singkat, kecuali Theresa Kok. Itupun bergantung kepada tuahnya.

Sudahlah menjadi Ahli Parlimen ketika BN sedang bercelaru, dapat pula menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Selangor. Kemudian dilantik pula menjadi EXCO. Dan kalau Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan, sudah pasti Theresa menjadi Menteri Undang-undang.

Rezeki beliau mencurah-curah ketika politikus lain masih tercari-cari identiti selepas memenangi PRU12 secara tidak disangka-sangka.

Hari ini Theresa menbuat tuntutan sebanyak RM10 juta daripada Dr Mohd Khir Toyo, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor. Beliau dengan diwakili peguan S. N. Nair & Partners menyerahkan surat tuntutan tersebut kepada Dr. Khir dengan memberi tempoh 7 hari.

Tuntutan ini berikutan dengan sebuah artikel dalam Laman Blog Dr Khir yang mengaitkan Theresa dengan petisyen azan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid dan surau-surau di kawasan beliau (Theresa). Menurut tuntutan tersebut, artikel Dr Khir itu telah mnjejaskan reputasi beliau sebagai Wakil Rakyat dan juga EXCO kerajaan Selangor.

Sebelum ini Theresa juga telah menyaman Utusan Malaysia sebanyak RM30 juta kerana kononnya akhbar tersohor itu tersalah lapor. Jika kedua-dua tuntutan ini berjaya, beliau bakal menjadi politikus paling kaya di Malaysia dan memperolehinya dalam masa sekelip mata pula. Di atas kertas, nampak macam itulah.

Hakikatnya belum diketahui. Dr Khir tentu ada ‘backing element’ beliau sendiri. Sebagai ahli politik berpengalaman dan bekas Menteri Besar pula, tentu beliau telah bersedia dengan fakta-fakta yang bakal mempertahankan beliau. Tentulah beliau mempunyai asas yang kukuh semasa menerbitkan artikel tersebut dan berpegang dengan falsafah ‘berani kerana benar takut kerana salah’ dan ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’.

Politik Malaysia menjadi semakin menarik dan orang luar semakin tertawa melihat kerenah politikus Malaysia, bercakaran macam budak-budak.

Walau apapun rasanya soal ini akan berpanjangan. Lambat sedikitlah Theresa hendak menikmati wang RM40 juta itu.

Dan saya mengucapkan tahniah kepada para peguam yang akan berada di hadapan Theresa dan Dr Khir. Nampaknya rezeki anda semua semakin mencurah-curah selepas PRU12 ini. Macam-macam kes berada di dalam ‘briefcase’ anda sekelian dan semuanya memberi pulangan yang lumayan.

Siapa kata Malaysia tidak makmur?

No comments:

Post a Comment