Wednesday, October 15, 2008

MUSLIHAT (1)

Muslihat pertama yang kita pernah dengar semasa belajar di sekolah dahulu adalah kisah Belanda minta tanah daripada Kerajaan Melaka sebelum kedatangan Portugis. Kisah tersebut adalah muslihat pertama orang Eropah menipu orang Melayu. Sekumpulan orang Belanda mengadap Sultan Melaka pada masa itu meminta sebidang tanah hanya sebesar kulit kambing yang mereka bawa.

Melihat hanya kecil sahaja kulit kambing itu, tanpa berfikir panjang baginda terus setuju kerana tanah sebesar kulit kambing bukanlah luas mana pun. Orang lain yang melihat hanya ketawa sahaja kerana apa orang-orang Belanda ini hendak buat dengan tanah sebesar kulit kambing sahaja.

Esoknya baru orang Melaka tahu luas mana tanah sebesar kulit kambing. Si Belanda ini telah memotong kulit kambing itu menjadi tali yang cukup panjang dan tali itu dibuat pengukur tanah yang mereka minta. Akhirnya mereka berjaya mendapat beberapa ekar tanah di Melaka pada waktu itu.

Itulah muslihat terbesar yang pernah dilalui oleh orang-orang Melayu. Sehingga sekarang peristiwa itu terpahat sebagai satu peribahasa Melayu ‘Bagai Belanda Minta Tanah’.

Sebelum itu ada satu lagi cerita berkaitan dengan muslihat iaitu Siti Muslihat, seorang wanita cerdik yang penuh muslihat bagi menyelamatkan suaminya. Watak ini dilakonkan oleh Saadiah Ahmad Daud. Filem Melayu ini semua orang tahu. Walaupun sudah bertahun-tahun dikeluarkan, masih menjadi tontonan ramai berbagai generasi.

Apa pula muslihat Tun Mahathir semasa mengumumkan hajat mahu bersara semasa Perhimpunan UMNO dulu sehinggakan semua hadirin terperanjat? Datuk Seri Rafidah terisak-isak menangis bertanya ‘Why! Why!’ pada masa itu. Datuk Seri Abdullah bangun menuju ke arah Tun bertanya soalan yang sama. Kemudian Tun sendiri terisak-isak.

Peristiwa hampir maghrib semasa penutup Persidangan Perwakilan tahun tersebut menjadi sejarah negara yang sukar dilupakan. Selepas itu semua orang berkerumun dan liputan terhenti. Adakah muslihat Tun hanya untuk ‘test market’? Esoknya diumumkan Tun tak jadi berundur hari itu tetapi pada Oktober 2003 selepas Persidangan OIC.

Apakah muslihat Datuk Seri Abdullah membatalkan projek Jambatan Bengkok yang menghubungkan Johor dengan Singapura? Projek telah dimulakan dan kerajaan terpaksa membayar pampasan jutaan ringgit kepada para kotraktor yang terlibat. Alasan bantahan Singapura dilihat tidak relevan oleh beberapa pihak termasuk Tun Mahathir sendiri kerana kita berhak membina jambatan di sebelah ‘kita’. Mungkinkah kerana projek itu projek Tun Mahathir maka ia harus dibatalkan?

Selepas itu apa pula muslihat Datuk Seri Abdullah melancarkan koridor-koridor pembangunan di merata tempat yang kos pelancarannya menelan belanja jutaan ringgit? Apa salahnya dibuat sekali sahaja pelancaran untuk kesemua koridor yang dicadangkan. Belanja pun jimat.

Kita lihat pula apa muslihat Datuk seri Abdullah menangguhkan Pemilihan Jawatan dalam UMNO dari bulan Disember ke bulan Mac tahun berikutnya. Berbagai andaian dibuat orang. Mungkin hendak menurut jejak Tun Mahathir mengumumkan penagguhan bersara dan peralihan kuasa.

Akibat penangguhan itu, negara sudah tidak menentu. Apa tidaknya, para pemimpin tak buat kerja lain selain melobi untuk dicalonkan bagi melepasi kouta pencalonan. Hari-hari kita dengar di sana sini ada-ada saja yang menawarkan diri untuk berbagai jawatan dalam parti. RTM dan saluran-saluran TV Media Prima membuat liputan dengan stastiknya sekali kedudukan calon-calon yang menawarkan diri ini. Ini baru menawarkan diri untuk pencalonan. Yang mana melepasi kouta, sudah tersenyum lebar. Yang belum, masih dengan proses melobi. Agenda pembangunan negara dan sumber negara seolah-olah terhenti sebentar.

Nanti masa berkempen pula satu hal lagi. Agaknya Datuk Seri Abdulah mempunyai muslihat untuk melihat sejauh mana kesetiaan pemimpin-pemimpin ini kepada beliau. Adakah mereka akan mendengar nasihat beliau supaya bertanding secara berhemah tanpa politik wang dan mengkritik peribadi calon yang lain?

Datuk Seri Abdulah yang mengumumkan penurunan harga minyak hari ini tentu ada muslihat di sebaliknya. Kebiasaannya Datuk Shahrir Samad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang umumkan sebarang penurunan dan kenaikan harga barang. Kali ini Perdana Menteri sendiri berbuat demikian. Tentu ada muslihatnya.

Atau ini muslihat Datuk Shahrir supaya orang mempertikai Pak Lah, tidak dirinya kerana penurunan kali ini terlalu sedikit berbanding harga minyak di pasaran dunia. Kalau dilihat betul-betul harga minyak dunia sebelum harga petrol dan disel di Malaysia dinaikkan 78 sen baru-baru ini, jauh lebih tinggi daripada harga setong pada hari ini. Mungkin betul ini muslihat Datuk Shahrir.

Bagaimana pula dengan muslihat Datuk Seri Anwar Ibrahim? Beliau mempunyai lagi banyak muslihat. Nanti kita lihat dalam Muslihat Siri 2.

No comments:

Post a Comment