Friday, October 10, 2008

KENARI TERBANG TINGGI (1)

Bila menyebut tentang pasukan bolasepak Kedah, ingatan saya kembali kepada memori sewaktu pasukan Hijau Kuning mula bangkit pada tahun-tahun 80an. Walaupun tidak secara total, saya turut terlibat dalam proses pembangunan pasukan kebanggaan rakyat Kedah ini. Kerana itu saya turut berbangga atas kejayaan membawa balik 3 piala dalam 2 tahun berturut-turut.

Ketika itu Stadium Darulaman tidak tersergam seperti sekarang. Dan kapasiti penonton hanyalah beberapa ribu orang sahaja. Jadi para penonton yang tidak bertiket memanjat pokok pakulima di sekeliling stadium untuk tidak melepaskan peluang menonton perlawanan-perlawanan melibatkan pasukan Kedah. Dari dalam stadium boleh dilihat penonton duduk di dahan-dahan pokok tersebut.

Suatu petang ketika minum-minum selepas satu perlawanan bolasepak bersama beberapa orang kawan termasuk Allahyarham Datuk Ahmd Basri, Cikgu Khalid Ariffin, Datuk Shukri Hashim, Datuk Radzi Basir, Cikgu Ismail Ringo, En Jaafar Mansor dari Jabatan Pelajaran dan seorang dua lagi yang saya sudah lupa, Datuk Basri melontarkan idea untuk memberi identiti dan menamakan warna jersi rasmi bagi pasukan Kedah. Ketika itu bolasepak negara sedang memulakan kempen untuk Liga Semi-Profesional atau dipanggil ‘Semi-Pro’.

Datuk Shukri yang pada waktu itu menjadi Setiusaha Agung KFA mencadangkan KUNING HIJAU kerana kebetulan pasukan PKNK yang bermain pada petang itu memakai jersi kuning berseluar hijau. Dan petang itu pasukan PKNK memenangi perlawanan. Datuk Ahmad Basri yang menjadi Timbalan Presiden KFA akhinya bersetuju.

Tetapi pada minggu berikutnya, sebelum memulakan Mesyuarat Majlis KFA, Allahyarham Datuk Ahmad Basri berkata kepada saya dan Datuk Shukri bahawa beliau kurang setuju dengan identiti itu. Sebaliknya beliau mahu tukarkan kepada satu nama yang lain dan akan dibincang semasa agenda Hal-hal Lain nanti.

Akhirnya cadangan Datuk Ahmad Basri diterima iaitu HIJAU KUNING. Dan beliau memberi rasional yang cukup bernas iaitu padi hijau dahulu baru kuning dan kata beliau lagi, apabila orang datang ke Kedah semasa padi dah cukup usia orang akan nampak hijau dan kuning saujana mata memandang. Semua Ahli Majlis yang hadir pada petang itu bersetuju. Dan nama itu kekal sehingga sekarang.

Ketika Majlis KFA memutuskan untuk menukarkan logonya kepada logo baru seperti yang ada sekarang, tidak kurang menariknya cerita di sebalik proses itu.

Sebelum ini KFA menggunakan logo berbentuk bulat berwarna hitam. Lingkaran ikatan pokok padi memenuhi bahagian tepi bulatan itu. Gemal padi berwarna padi masak diletak di tengah bulatan dengan tulisan ‘Persatuan Bolasepak Kedah’ berwarna merah di bawahnya.
Logo KFA yang baru pula berwarna hijau sebagai latar belakang utamanya dengan tulisan berwarna kuning. Tulisan itu merupakan motto KFA iaitu’Biar Jasa Jadi Kenangan’. Tepinya adalah 11 garisan sempadan yang bersambung-sambung. Bahagian tengahnya diletakkan gabungan separuh bola dengan bunga dan daun pokok alamanda.

Ketika memutuskan untuk menerima penggunaan logo baru itu, sebagai menjawab pertanyaan beberapa orang Ahli Majlis, Datuk Ahmad Basri menerangkan logo kali ini tiada langsung unsur-unsur ‘padi’ kerana padi tidak selalu hijau dan tidak selalu kuning tapi alamanda sentiasa hijau dan kuning. 11 garisan yang bersambung pula merupakan 11 daerah di negeri Kedah dengan mengambil kira Pokok Sena sebagai satu daerah juga.

Dan sejak itu pasukan Kedah atau Hijau Kuning melangkah jauh menjadi pasukan elit. Cuma sekali sahaja terjerumus ke Divisyen Dua. Bila FAM menetapkan setiap pasukan wajib mempunyai maskot, Kedah memilih KENARI.

Banyak lagi memori menarik mengenai pasukan kebanggaan Negeri Kedah ini. Tidak cukup ruang pula nanti kalau hendak diceritakan.

Kepada Saudara Azraai Koh, saya ucapkan selamat maju jaya dengan perancangan anda!

2 comments:

Muhammad Azli Shukri said...

mutu permainan bola sepak negara kita makin mengecewakan...

gemaipadi said...

memang benar. kfa hari ini berpijak di bumi kudrat aruah DAB ttp sedihnya mereka di kfa hari ini melupakan samasekali jasanya. malah ada orang yang sanggup menafikan sumbangan DAB demi untuk menonjolkan diri mereka. memang... melayu mudah lupa.